Isnin, 21 April 2014

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil


Intisari Pengisian Program Ijtimak PAS Kawasan Bukit Katil

Posted: 20 Apr 2014 06:37 PM PDT

Tarikh : 21 April 2014
Tempat : Markas PAS Paya Dalam, Ayer Molek
Penyampai : Ustaz Faisol

Hukum hudud dijamin Allah, mempunyai syarat yang ketat untuk dikuatkuasakan. Ia adalah undang-undang pencegahan. Untuk mensabitkan hukum hudud ini sangat susah. Ianya  mampu mencegah penjenayah daripada berbuat jahat sewenang-wenangnya.  Untuk menguatkuasakan hukum hudud ini bukan setakat pemikiran tetapi keimanan yang kukuh terhadap Allah, keyakinan terhadap hukum Allah.

Khalifah Abu Bakar pada zaman pemerintahan beliau telah menumpukan kepada pembebasan negara daripada unsur-unsur syirik, contohnya nabi palsu. Beliau tidak sempat membuat pembaharuan yang besar kerana menumpukan kepada pembersihan dalaman. Unsur dalaman yang negatif ini adalah merbahaya kerana jika tidak dibersihkan, ia boleh merosakkan sesuatu organisasi, negara mahupun jemaah apabila ia membuat satu fikrah yang berlawanan. Golongan tertentu di dalam jemaah islam yang mengkritik secara terbuka akan ketetapan yang telah dibuat oleh pimpinan dan jemaah( seperti mengkritik dan mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dan menghentam akan perlaksanaan hukum hudud di Malaysia ) dianggap telah melakukan sesuatu yang berlawanan dengan jemaah itu sendiri.

Kita tahu akan kisah keadilan Saidina Omar Al-Khatab yang mana ketika beliau terlepas satu ekor unta yang diberikan kepada Baitulmal, beliau sendiri telah mengejar unta tersebut di tengah2 panas terik matahari kerana takut disoal oleh Allah. Beliau bimbang akan ditanya Allah "Bagaimana kecuaian kamu wahai Omar ketika memerintah dahulu telah menyebabkan hilang seekor unta." Beliau yang ketika itu telah berusia 60 an telah berusaha mengejar unta itu dan dengan bantuan sahabat lain telah berjaya menangkap semula unta tersebut.

Inilah contoh yang ditunjukkan oleh seorang pemerintah negara terbilang di zaman para sahabat. Saidina Omar sangat perihatin terhadap harta negara. Beliau bimbang apabila susutnya harta negara akibat kelalaian beliau, maka terabailah hak-hak rakyat. Kita juga telah dihidangkan dengan kisah beliau yang berjalan di waktu malam meronda untuk mengetahui kehidupan rakyat. Contoh yang patut diikuti oleh pemimpin kita, yang sepatutnya mencari rakyat susah, bukannya rakyat yang susah mencari pemimpin.

Kerana inilah pemimpin mesti peka, mesti mengambil tahu akan rakyat yang hidup di kawasannya dan diberi bantuan sekadar yang kita mampu. Dalam keadaan kita sebagai wakil rakyat di DUN Bukit Baru (sebagai contoh) yang mempunyai pelbagai kekangan terutamanya dari segi kewangan, harus membantu sekadar kemampuan. Yang mana kekangan ini tidak menghalang kita daripada membantu walaupun sekadar menziarahi dan bertanya khabar, kerana rakyat ada yang faham bahawa kita bukanlah di pihak kerajaan yang tidak diberi peruntukan sebagaimana wakil rakyat di pihak kerajaan.

Elemen kekuasaan adalah penting kepada gerakan Islam yang bergerak di dalam medan siasah. Jemaah Islam yang mengabaikan faktor politik (kuasa) di dalam gerak kerjanya maka tidak akan lengkap gerak langkahnya. Setakat kita bernasyid berqasidah adalah dibolehkan, untuk mengisi ruang waktu rehat setelah kita penat berjuang.  Kita tidak menentang Ya Hanana, selagimana ia tidak melalaikan kita daripada bersolat dan ianya bertujuan untuk mengalihkan tumpuan anak muda daripada konsert-konsert yang tidak berfaedah. Tetapi jangan sampai kita meninggalkan perjuangan kerana berqasidah.

Kita kena ingat bahawa perjuangan nabi adalah perjuangan yang serius, perjuangan yang melibatkan pertempuran dengan musuh-musuh Islam seperti Rom dan Parsi. Yang mana sampaikan orang Arab berkata " Jika inilah perjuangan yang kau bawa wahai Muhammad, kami tidak akan terima. Kamu akan diperangi oleh orang Arab dan bukan Arab." Kalau nabi Muhammad setakat berjuangan dengan cara berqasidah sahaja, tiada siapa akan bangkang. Malah Abu Jahal sendiri akan menganjurkan majlis-majlis Selawat. Sebab itu orang-orang yang menentang perjuangan Islam yang sebenar akan menyambut juga majlis-majlis sebegini.

Kita bukan hendak menentang penganjuran majlis seperti ini, tetapi ingin mengingatkan kepada semua yang terlibat bahawa ianya bukan pokok dalam perjuangan islam. Sama seperti Dondang Sayang, PAS tidak menentang kerana ia adalah budaya hiburan yang tidak bercanggah dengan islam. Orang Melaka dahulunya berdondang sayang pada sela waktu ketika berehat setelah penat mengerjakan sawah, tanpa ada percampuran lelaki dan perempuan. Ianya ketika itu dilakukan untuk mengisi masa lapang dengan cara berhibur, yang mana ianya tidak menyalahi syariat islam. Dewan Ulama PAS Negeri Melaka juga apabila ditanya tentang Dondang Sayang tidak menghalang bentuk hiburan sebegini kerana ianya budaya yang tidak bercanggah dengan islam selagi mana batas syariat dijaga seperti tiada percampuran lelaki dan perempuan.

* Catatan oleh - Musab Umair

Tiada ulasan:

Pengikut