Khamis, 10 April 2014

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil


Warga Asing Bolot Perniagaan di Melaka Sentral ?

Posted: 09 Apr 2014 08:48 PM PDT

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil memandang berat laporan Ketua Audit Negara 2013 yang mendedahkan banyak lot perniagaan di Melaka Sentral diusahakan oleh warga asing. Kenyataan di dalam laporan tersebut juga menyebut terdapat premis yang disewakan semula kepada pihak ketiga dan pemilihan penyewa tidak melalui proses temu duga.

Selain daripada itu, disebutkan juga bahawa pengunjung kurang berpuas hati terhadap keselamatan dan kemudahan penghawa dingin dan ini semua menunjukkan kelemahan dalam pengurusan aktiviti dan tadbir urus korporat syarikat. 

Dengan ini Dewan Pemuda Bukit Katil menyokong pengesyoran Laporan Audit Negara untuk membaiki kelemahan - kelemahan yang telah dilaporkan. Agensi berkaitan harus menyemak semula dan mengemaskinikan SOP Penyewaan bagi menangani isu lambakan peniaga warga asing dan sublet. 

Agensi tersebut juga mesti memastikan keselamatan persekitaran kompleks sentiasa terjamin, dan kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan adalah selesa bagi menggalakkan aktiviti perniagaan dan kehadiran orang awam. 

Klik untuk Laporan Audit Negara - Melaka 2013



Berita berkaitan :

AYER KEROH - Tiga belas daripada 31 lot perniagaan di Melaka Sentral didapati diusahakan warga asing dengan melibatkan empat buah syarikat.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013, semakan mendapati permohonan penyewaan lot perniagaan ini telah dibuat atas nama syarikat di mana pegangan saham dimiliki warga tempatan yang majoritinya pasangan kepada warga asing berkenaan.

Laporan berkenaan turut menyatakan pengesahan Jabatan Imigresen Melaka bertarikh 20 November 2013 mendapati  empat daripada enam pemegang saham dalam empat syarikat berkenaan merupakan pemegang pas lawatan sosial serta pas pengajian yang telah tamat tempoh.

"Bagaimanapun, menurut maklum balas Melaka Sentral Sdn Bhd (MSSB) bertarikh 3 Oktober 2013, tawaran lot kedai untuk disewa adalah berdasarkan status warganegara pasangan dan penyewa mempunyai pengalaman perniagaan serta status kewangan yang kukuh," kata laporan berkenaan.

Selain itu, audit yang dijalankan turut mendapati adanya penyewa lot kedai yang menyewakan semula lot berkenaan kepada pihak ketiga.

Menurut laporan berkenaan, semakan yang dijalankan mendapati empat lot merupakan sublet dan semakan selanjutnya mendapati salah satu daripada empat lot berkenaan dimiliki salah seorang Ahli Lembaga Pengarah MSSB.

Laporan berkenaan menambah, antara sebab berlakunya sublet adalah penyewa asal tidak mampu meneruskan perniagaan serta kurang pemantauan dari pihak MSSB.

"Susulan ini, MSSB telah memberi maklum balas bahawa ia mengambil tindakan menamatkan sewaan, mengosongkan serta membaik pulih lot kedai terbabit kerana MSSB tidak akan berkompromi dengan peniaga yang didapati menyewa semula lot kedai kepada pihak lain.

"Audit mengesyorkan supaya MSSB menyemak semula dan mengemas kini standard operating procedure penyewaan bagi menangani isu lambakan peniaga warga asing serta sublet," katanya.

Laporan Ketua Audit turut mendedahkan terdapatnya dua lot kedai yang tidak ditawarkan mengikut standard operating procedure sebaliknya ditawarkan kepada penyewa baharu tanpa proses temu duga.
Menurut laporan berkenaan, penyewa baru ini  dipilih berdasarkan cadangan penyewa terdahulu.

Dalam maklum balasnya, MSSB menyatakan tawaran ini dibuat atas dasar penyewa terbabit adalah pembekal utama dan pertimbangan budi bicara kerana hubungan saudara antara penyewa lama dan baharu.

"Pada pendapat Audit, peluang perniagaan kepada penduduk Melaka adalah baik. MSSB perlu lebih berhati-hati dan serius supaya lot-lot perniagaan tidak jatuh ke tangan warga asing atau disublet agar objektif penubuhan MSSB dalam meningkatkan taraf ekonomi golongan bumiputera tercapai," kata laporan berkenaan.

sumber : Sinar Harian

                                                                                                                                          * Musab Umair

Tiada ulasan:

Pengikut