Ahad, 30 Mac 2014

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


SIASAH

Posted: 30 Mar 2014 03:24 PM PDT

Pengalaman peribadi saya di Mesir - sebuah negara yang telah saya lawati banyak kali sejak tiga dekad lalu dan membangkitkan perasaan yang kuat, disebabkan sejarah hubungan keluarga - telah menunjukkan pada saya bahawa sikap terhadap Turki di negara tunjang dunia Arab ini biasanya, paling kurang, bercampur-campur.
Saya dapati melalui pengalaman di beberapa negara Asia Barat yang sikap umum terhadap Turki ialah campuran memandang rendah dan kagum.
Dari perspektif Islam, terutama mereka yang menjadi ahli atau simpatisan Ikhwan al-Muslimin, pandangan paling berleluasa ialah Turki hilang jiwa Islamnya selepas reformasi pembaratan Presiden Mustafa Kamal Attaturk.

Sebuah Turki sekular yang bermatlamat menjadi sebuah negara mengamalkan demokrasi cara Barat - walaupun populasinya majoriti Muslim yang mengamalkan agama - dilihat sebagai bertentangan dengan apa yang dipegang oleh Ikhwan.

Hal ini jga ditunjukkan dengan jelas semasa kemuncak kebangkitan Arab, apabila Ikhwan memberikan reaksi marah terhadap cadangan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan kepada Mesir supaya membina sebuah perlembagaan sekular, dengan menggambarkan yang sekularisme bukan bermakna atheisme dan bersikap neutral terhadap semua agama.

Cadangan Erdogan itu walau bagaimanapun diterima ramai rakyat Mesir yang berkecenderungan liberal, sama ada dalam kalangan Muslim atau Kristian. Pandangan Erdogan itu juga diterima di Eropah dan Amerika Syarikat, di mana perasaan pada masa itu ialah Turki, sebagai sebuah negara majoriti Muslim tetapi dikendalikan dengan demokrasi ala-Barat, boleh menjadi contoh penting kepada negara-negara yang dilanda perubahan.

Erdogan walau bagaimanapun tidak terus mengangkat isu itu, dan kemudian menyokong kempen Mohamed Morsi untuk jawatan presiden dan usaha Ikhwan mendapatkan kuasa melalui pilihan raya demokratik pertama Mesir.

Beliau juga tidak mengkritik Morsi dan Ikhwan selepas mereka mendapat kuasa, yang berlebihan dalam melaksanakan tindakan-tindakan Islamis dan memperlihatkan kecenderungan antidemokratik, terutama dalam menggubal perlembagaan baharu negara itu dan cara ia dipaksakan ke atas negara Mesir.

Sebenarnya, memang tidak banyak sebab untuk Erdogan mengkritik Mesir pada peringkat itu, kerana beliau dan partinya, Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, yang bersimpati dengan Ikhwan juga telah menjadi semakin autoritarian dan semakin bersifat Islamis, berdasarkan pemahaman demokrasi yang majoritarian dan bukan pluralistik.

Simpati itu menjadikan Erdogan disanjung oleh Islamis di seluruh Asia Barat, di mana Ikhwan diangkat sebagai satu kuasa baharu meningkat yang penting, sehingga mendorong sekularis Turki mendakwa AKP secara terbuka meninggalkan haluan modernis dan mahu menjadi lebih keagamaan yang reaksionari.

Parlimen Eropah, dalam laporan kemajuan Turki sebagai calon ahli Kesatuan Eropah pada pada 12 Mac lalu - dalam laporan paling kritikal sejak 2005 - juga menekankan yang Turki sedang merosot dari segi kriteria demokratik, politik dan kehakiman, kriteria yang diperlukan untuk dinilai sebelum diterima sebagai ahli EU.

Jutaan warga Turki, Mesir dan negara-negara lain seluruh dunia Arab yang mahukan kebebasan gaya Barat kini berasa kecewa dengan Turki yang selama ini dilihat sebagai model demokrasi, tetapi kini mula menunjukkan yang Islam dan demokrasi mungkin sebenarnya memang tidak selari.

Selama ini, ramai yang menyebut, "Kalau Turki boleh melakukannya, tentu kita juga boleh." Hari ini, ia telah berubah kepada "pengalaman Tunisia," kerana Tunisia walaupun dilanda pelbagai masalah, terus menjadi tarikan sementara Turki kini dilanda kekacauan politik dalaman, di bawah perdana menteri dan parti pemerintah yang semakin autoritarian.

"Perkembangan terkini melibatkan kebebasan fundamental, kebebasan kehakiman, kebebasan ekspresi dan lain-lain semakin membimbangkan," kata wakil khas parlimen Eropah ke Turki, Ria Oomen-Ruijten, selepas parlimen Eropah menerima laporan kemajuan Turki itu.

Laporan itu juga menyentuh cubaan kerajaan AKP menyekat akses kepada internet dan usaha Erdogan menutup Facebook dan Youtube menjelang pilihan raya tempatan pada 30 Mac.

Memandangkan peranan internet dalam demonstrasi besar-besaran yang diadakan oleh orang muda di Dataran Tahrir pada 2011, berita sekatan internet yang diperkenalkan oleh kerajaan Erdogan itu, dan hasrat Erdogan menghadkan media sosial, meminggirkan beliau daripada warga Mesir yang bukan pengikut Ikhwan al-Muslimin.

Sejauh mana kekaguman terhadap Erdogan akan bertahan dalam kalangan pengikut Ikhwan Muslimin, yang tertarik dengan beliau disebabkan sikap kerasnya terhadap tentera Mesir, juga semakin tidak menentu dengan dakwaan korupsi terhadap beliau pada masa ini.

Satu faktor utama menyatukan belia-belia Mesir yang berbeza pandangan politik pada 2011, selain pemerintahan diktator Presiden Hosni Mubarak yang disingkirkan itu, ialah korupsi yang berleluasa di bawah rejim Mubarak.

Suasana politik dalaman yang kacau dan sentimen sesama Islamis mungkin menghalang ahli Ikhwan memberi fokus pada tuduhan korupsi yang dikenakan pada Erdogan dan ahli AKP pada masa ini.

Sama ada kekaguman terhadap beliau berterusan memandangkan pelbagai pendedahan politik dalaman kini, masih menjadi satu soalan yang terbuka.

Setelah kehilangan kekuatan sebagai model kepada rakyat Mesir yang liberal dan sekular, tidak menghairankan bahawa Turki di bawah Erdogan mungkin akan kehilangan kepimpinan moral pada pandangan rakyat Mesir yang lebih cenderung kepada agama dan penyokong Ikhwan al-Muslimin di seluruh dunia Arab.

Semakin pudar harapan untuk melihat Turki di bawah kepimpinan Erdogan terus menyediakan model untuk diikuti oleh negara-negara Asia Barat yang ingin maju dalam dunia moden hari ini.

Semih Idiz ialah penganalisis politik Turki. Artikel ini dipetik dan diterjemahkan daripada laman Al-Monitor.

DIALOG RAKYAT

Posted: 30 Mar 2014 03:23 PM PDT

SISTEM masyarakat yang semakin kompleks ini mendesak lahirnya pemikir untuk menyelesaikan masalah yang tidak beres yang dilihat dalam kehidupan sehari-hari.

Kejadian ini menurut Syed Hussein Alatas, menjadi tanggungjawab pemikir – memegang usaha memikirkan permasalahan masyarakatnya.
Negara yang baru merdeka dalam kawasan membangun diisi oleh masyarakat kelas atas dan menengah, mereka tidak menghormati pemikir masa lampau atau mengembangkan percakapan intelektual di rumah.

Golongan ini yang juga digelar sebagai Pak Pandir tidak mampu mencerna dan mengenalpasti satu-satu masalah, ia bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah sedia ada malah menambah.
Sistem pendidikan di Malaysia, bermula dengan Laporan Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1960), Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), Akta Pendidikan (1996), Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) dan penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan (2013-2025).
Kerajaan juga memperuntukkan 16 peratus daripada belanjawan negara setiap tahun untuk Kementerian Pelajaran.

Pelan Pembangunan Pendidikan ini mempunyai 3 gelombang, gelombang pertama (2013-2015) peningkatan dalam kemahiran guru, gelombang kedua (2016-2020) berlakunya perubahan struktur sistem pendidikan negara dan gelombang ketiga (2021-2025) kelompok sasaran seperti sekolah, guru dan pengetua akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin ketika pembentangan Pelan Awal Pembangunan Pendidikan Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pelan ini disediakan hasil rundingan awam secara telus dan terbuka dan mengambil kira 90 peratus pandangan orang ramai menerusi siri jelajah Dialog Nasional Pendidikan Negara.

Bagaimanapun, Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) sekolah rendah mulai 2011 dan peringkat menengah rendah mulai 2012 menimbulkan rasa tidak puas hati kebanyakan guru sehingga terjadinya demonstrasi di ibu kota.

Selepas demonstrasi Anti-PPSMI pada 7 Mac 2009, kini demonstrasi bantah PBS pada 22 Februari lalu.

Kebanyakan guru merungut dan tidak senang dengan sistem baru ini kerana didapati menyukarkan kerja mereka walaupun setelah 3 tahun diimplementasikan.

Antara masalah yang dikenal pasti dalam perlaksanaan PBS ini ialah: Tidak mesra-pengguna.

Guru dikehendaki memasukkan bebanan data dalam sistem PBS. Tiada skop dan tujuan jelas akan kegunaan PBS.

Kekaburan pengumpulan data (online database) atau masalah pelaksanaan dasar (policy implementation).

Ibu bapa juga mengatakan sistem sedia ada ini tidak memberi pengukuran adil kepada mereka yang "introvert" justeru tidak meningkatkan sistem sedia ada.

Masalah ketelusan dalam penilaian pelajar.

Masalah ini menyebabkan suara guru-masyarakat-Malaysia menganjurkan demonstrasi pada 22 Februari lalu setelah melalui semua saluran yang ada bagi menyuarakan suara guru yang tertindas.

Adalah amat menghairankan apabila PBS yang dikatakan oleh Muhyiddin Yassin mengambil pandangan umum kini ditentang masyarakat yang terdiri daripada guru, ibu bapa dan pelajar.
Malah, sistem ini sekaligus tidak mampu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran mahupun memperbaiki pendidikan negara.

Baru-baru ini pula, sesi penerangan PBS yang akan ditambah baik akan diadakan bermula April, menurut Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

Guru tidak perlu lagi memasukkan data maklumat pencapaian murid secara dalam talian seperti sebelum ini, tidak perlu menyertakan eviden dan hanya menyimpan data secara 'offline'.

Pelaksanaan PBS sebelum ini ternyata membebankan guru dan hasilnya kini ternyata sia-sia. Ini disokong oleh Syed Hussein Alatas yang menyatakan, "andai kata telah ada kelompok intelektual yang mengajukan masalah maka pendapat umum akan tertampung dan menetapkan langkah yang harus diambil oleh pemerintah." Bagaimanapun, parti politik lebih menumpukan perhatian pada hal yang remeh dan bermain dengan emosi massa.

Peringkat sekolah rendah dan menengah merupakan tempoh yang penting bagi pelajar dalam menentukan mereka sebagai birokrat yang mendukung status quo atau pembela massa yang berfikiran terkedepan.

Selain masalah PBS yang timbul baru-baru ini, kita masih berdepan masalah yang berulang di sekolah harian, masalah saiz bilik darjah yang besar dengan kekurangan tenaga pengajar, kelas yang tercorot, cara fikir binari antara kelas aliran sains dan sastera.

Ini masih jelas dan sewajarnya diberi perhatian dalam menyediakan pelajar bukan menyibukkan guru dengan beban yang sia-sia.

Beban kerja ini mengakibatkan guru mengajar silibus yang diulang-ulang setiap tahun, tiada masa untuk menjadi pendidik atau pencetus (inspire) murid, seperti dimaksudkan Paulo Freire.

Selepas universiti diikat dengan akta yang membataskan pelajar dan pensyarahnya, kini guru juga akan mula dikongkong dengan bebanan kerja, kedua-dua ini tidak lain merantai kelompok ini untuk berfikir lebih, menjadi pak turut dalam sistem yang dipaksakan – dengan alasan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara!-Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Menteri BN sebenarnya yang suka mengelirukan isu dan rakyat, bukannya portal berita bebas, kata Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.

Beliau membidas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata bahawa kerajaan menolak permohonan permit akhbar Malaysiakini dan FZ.com kononnya kerana ingin mengelakkan rakyat keliru dengan terlalu banyak akhbar di pasaran.

Beliau mengambil contoh jawapan Zahid tentang ancaman tampar terhadap dirinya, dan kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berhubung tragedi pesawat MH370.

"Bulan lalu, Zahid meremehkan ugutan tampar terhadap saya oleh sekumpulan NGO dengan alasan hanya ugutan bunuh yang layak dipanggil ugutan. Ia terlalu mengarut sehingga beliau sendiri tidak berani pertahankannya di Parlimen.

"Semalam, Abdul Rahim berikan jawapan salah tentang isu penerbangan MH370 patah balik, yang makin kelirukan rakyat.

"Maka, bolehkah Zahid nafikan yang Menteri dan Timbalan Menteri BN sebenarnya cenderung kelirukan isu dan orang ramai?" katanya lagi.

Beliau merujuk jawapan Abdul Rahim, bahawa kenyataannya sebelum ini bahawa MH370 berpatah balik kerana mendapat arahan daripada pusat kawalan, hanyalah andaian.

Ketika perbahasan di Dewan Rakyat semalam, Zahid turut mendakwa dua laman itu 'cenderung' menerbitkan 'berita sensasi dan kontroversi' untuk menarik perhatian pembaca.

Sehubungan itu, Naib Presiden DAP Kebangsaan itu mendesak Zahid untuk membuktikan kenyataannya itu, bukan sekadar membuat tuduhan tidak berasas.

"Agak kelakar untuknya mendakwa rakyat akan keliru dengan akhbar yang terlalu banyak. Beliau perlu tunjukkan bukti untuk menyokong dakwaannya itu," katanya lagi.

Namun, katanya lagi, jawapan itu langsung tidak mengejutkan, memandangkan kerajaan BN sememangnya takut dengan organisasi berita yang membuat laporan bebas dan tepat tanpa kawalan mereka.

Bulan lalu, Malaysiakini memenangi anugerah Kecemerlangan Media Sosial di Anugerah Media Sosial dan Penulis Blog Sedunia 2014. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Pengikut