Rabu, 19 Februari 2014

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


Biaqpila

Posted: 19 Feb 2014 03:14 PM PST

Dua menteri Umno sudah menunjukkan mereka mahu keluar daripada Kabinet menjelang rombakan pada Jun, membayangkan peningkatan kejengkelan terhadap tanggapan tiada arah tuju dalam kerajaan, kata sumber dalaman parti.

Ia sekurang-kurangnya membabitkan seorang menteri dalam pasukan ekonomi Putrajaya, yang berdepan dengan isu potongan subsidi, konsesi kenderaan import dan rundingan pakatan perdagangan Pacific Rim.

"Mood di Putrajaya muram. Sekurang-kurangnya dua menteri mahu cepat keluar daripada kerajaan Najib," kata seorang ahli politik Umno kepada The Malaysian Insider, merujuk kepada presiden parti dan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Pencarian untuk menggantikan tempat itu kini bermula tetapi kekurangan bakat. Kita mempunyai sedikit sangat menteri atau ahli politik yang berkelayakan," katanya.

Pasukan ekonomi Najib merangkumi dirinya sendiri sebagai menteri kewangan 1; Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebagai menteri kewangan II; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad; penasihat ekonomi, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad Husni dan Abdul Wahid mendiamkan diri sejak kebelakangan ini selepas Putrajaya membuat keputusan menarik balik kenaikan kadar tol yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila beliau berkata kerajaan akan membayar RM400 juta kepada pemegang konsesi tol sebagai ganti rugi.

Mustapa dan kementeriannya menjadi perhatian kerana masih belum lagi memuktamadkan sistem Permit Import (AP) untuk kenderaan, yang semakin meningkatkan harga, dan kerana masih berbincang dengan rakan kongsi dalam Pacific Rim untuk membentuk Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Perdana menteri masih boleh menambah seorang lagi timbalan menteri dalam Kementerian Kewangan, ruang yang disimpan untuk MCA kerana parti komponen senior Barisan Nasional (BN) itu mengambil keputusan untuk tidak menyertai kerajaan berikutan kekalahan teruk dalam pilihan raya tahun lalu.

Seorang pakar strategi Umno berkata, kemasukan MCA tidak akan memberi kesan besar terhadap kerajaan Najib, yang berdepan dengan perang prasangka lebih besar selepas pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy meletakkan jawatan secara mengejut sebagai timbalan menteri, minggu lalu.

"Kabinet seperti sudah tidak ada calon dan MCA tidak terlalu menonjol, maka kemasukan mereka nanti tidak akan mengubah apa-apa.

"Kerajaan perlu cepat keluar daripada kesuraman ini dan bekerja kuat. Mereka tidak akan kehilangan apa-apa sehingga pilihan raya akan datang," katanya.

Pengkritik berkata, pentadbiran Najib gagal meredakan peningkatan ketegangan perkauman dan agama dalam negara, terutama di Pulau Pinang dan Selangor yang ditadbir oleh pembangkang.

Katanya, polis berjanji untuk bertindak tetapi setakat ini, hanya pemimpin pembangkang yang berdepan dengan cabaran besar.

Najib juga berdepan dengan kritikan daripada parti Umno sendiri, terutama golongan veterannya, yang percaya bahawa perdana menteri perlu melakukan lebih lagi untuk memotong perbelanjaan, bukan semata-mata potong subsidi.

"Kerajaan memerlukan kepimpinan lebih tegas dan lebih memahami apa yang berlaku dalam Malaysia. Mereka kelihatan seperti tidak tahu dan kadang-kadang, nampak tidak peduli.

"Mungkin itu sebabnya mereka mereka berperasaan muram. Mereka tiada arah, tiada petunjuk dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk memastikan Putrajaya terus berkuasa," kata seorang ahli Umno.

TMI

SIASAH

Posted: 19 Feb 2014 03:07 PM PST

Pengunduran Tan Sri Taib Mahmud daripada kedudukan sebagai ketua menteri Sarawak yang dipegangnya selama 33 tahun telah mencetuskan isu politik dalaman negeri ini, berhubung penggantinya dan pengaruh Taib selepas ini.

Kedudukan Taib yang sangat lama sebagai ketua menteri telah mengukuhkan kedudukan beliau dan sekutu politik dan ekonominya, pada satu tahap yang hanya dapat diperhatikan di Sarawak.

Pemimpin selepas Taib dijangka tidak akan dapat mengatasi malah menyaingi pengaruhnya sebagai ketua menteri, dan kemungkinan akan terus dibayangi Taib dalam politik dan pentadbiran negeri Sarawak.

Malah, mungkin ada yang melihat kepentingan Taib masih kuat dalam usaha memastikan kestabilan di Sarawak, dan untuk mengelakkan persaingan kuasa yang boleh menjejaskan partinya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, PBB dan Barisan Nasional.

Pengaruh yang telah lama dibina bermakna penguasaan Taib dan sekutu yang kukuh dalam pelbagai ruang, dalam tempoh yang suasana politiknya jauh berbeza dengan sekarang dari sudut penguasaan parti pemerintah dominan.

Hari ini, selain pengganti yang tidak dapat menyamai kepimpinan Taib, suasana politik yang baharu menyaksikan parti-parti pembangkang termasuk daripada Pakatan Rakyat semakin mengukuhkan kedudukan di negeri ini.

Dalam Pilihan Raya Negeri ke-10 pada April 2011, BN memenangi 55 kerusi Dewan Undangan Negeri, daripada 71 kerusi, merosot daripada 62 kerusi dalam pilihan raya negeri sebelum itu.

Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mac tahun lalu pula menyaksikan BN menang 25 kerusi Parlimen daripada 31 kerusi, berbanding 31 dimenangi pada pilihan raya umum 2008.

Ini bermakna landskap politik Sarawak telah banyak berubah, malah Parti Keadilan Rakyat pada 2011 berkempen dengan menjanjikan pelantikan pemimpin parti itu, Baru Bian sebagai ketua menteri jika PR menguasai Sarawak.

Pada tahun-tahun akhir Taib sebagai ketua menteri, kempen untuk menjatuhkan beliau juga berjalan dengan rancak dari dalam dan luar negara, meningkatkan lagi tekanan ke atas Taib dan negeri kubu kuat BN itu.

Tetapi selepas dua pilihan raya itu, Sarawak kekal sebagai kubu kuat BN walaupun dengan kekuatan yang merosot, dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, PBB, yang bersifat Bumiputera Muslim kekal dominan dalam BN di Sarawak, dan bersama dengan Umno menjadikan BN hanya dikuasai parti Melayu.

Piliha raya 2011 telah mencatat rekod terbaharu Taib berjaya mempertahankan penguasaan BN di Sarawak, pada masa banyak pihak bercakap tentang keperluan peralihan kepimpinan negeri Sarawak.

Perkembangan itu menunjukkan satu perubahan besar yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini; peningkatan kepentingan Sarawak dalam politik nasional, terutama kepada parti-parti politik dominan yang asas kuasanya terletak di Semenanjung.

Menyedari kekuatan undi di Sarawak, PR menjadikan negeri ini sebagai sasaran perubahan besar-besaran untuk mengubah imbangan kuasa BN-PR, terutamanya memandangkan Sarawak memegang 31 kerusi Parlimen.

Sarawak dan juga Sabah mula menjadi perhatian khusus parti-parti pembangkang, terutama PR dan parti Kita untuk merebut bahagian lebih besar hasil pilihan raya, dengan tawar-menawar yang semakin seimbang.

Selama ini, Sarawak dan Sabah kelihatan sekadar dipergunakan untuk kepentingan agenda-agenda yang sering tidak sehaluan dan tidak meletakkan kepentingan rakyat dua negeri itu sebagai matlamat utama.

Tetapi, berbeza dengan Sabah, Sarawak terus dikuasai PBB sedangkan Sabah telah menjadi salah satu medan utama Umno dan mempunyai kedudukan istimewa dalam kepimpinan tertinggi parti itu.

Sarawak mahu mengekalkan kepentingannya, dan bukan sekadar menjadi sumber undi mudah kepada BN tanpa pulangan yang sewajarnya.

Perkembangan ini menunjukkan pengaruh PBB yang semakin kritikal kepada BN, yang masih mampu mempertahankan negeri bank undi gabungan parti pemerintah.

Hal ini menjadikan PBB menyedari kekuatannya dan dapat dijangka tidak akan dengan mudah mahu mengorbankan kedudukan dominan ini, kedudukan yang semakin jelas pada masa BN semakin tercabar oleh PR. - Februari 11, 2014

Tiada ulasan:

Pengikut