Khamis, 26 Disember 2013

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


DIALOG RAKYAT

Posted: 26 Dec 2013 03:24 PM PST

KLANG,: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan kerjasama Pejabat Daerah Klang menganjurkan majlis Penyerahan Kunci Rumah Kerajaan Prihatin dan Subsidi Tambang Bas Sekolah, semalam.

Majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah Klang mulai jam 2.30 petang itu dilancarkan Timbalan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Tiew Way Keng.

Tiew dalam ucapannya berkata, program itu adalah usaha kerajaan negeri membantu rakyat Selangor dan diharap dapat meringankan beban mereka.

"Selain rumah untuk golongan berpendapatan rendah, Kerajaan Selangor juga memberi subsidi tambang bas sekolah kepada anak-anak pekerja ladang berikutan kenaikan harga barang dan pengurangan subsidi oleh kerajaan Pusat.

"Kerajaan negeri Selangor sentiasa berusaha memberi manfaat kepada rakyat. Program Pemberian Subsidi Tambang Bas Sekolah ini diharap dapat meringankan beban mereka," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Teratai.

Seramai 64 daripada 160 penerima bantuan Program Rumah Kerajaan Prihatin menerima kunci rumah masing-masing.

Seramai 39 pelajar daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Brafferton; Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Kapar, Sekolah Kebangsaan Kapar dan Sekolah Menengah Kebangsaaan Tengku Idris Shah pula menerima subsidi tambang bas sekolah bernilai RM300 setiap seorang.

Program Perumahan Kerajaan Prihatin adalah di bawah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), manakala Subsidi Tambang Bas Sekolah di bawah Tabung Pendidikan Anak Pekerja Landang.-Roketkini.com

SANDAKAN, : Ahli Parlimen DAP Sandakan, Stephen Wong mengecam kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mendakwa DAP sengaja mengelirukan masyarakat melalui projek Impian Sabah.

Beliau berkata, tuduhan Maximus itu sama sekali tidak benar dan membuktikan betapa beliau takut kegagalannya membantu penduduk terutamanya warga miskin Sabah terbongkar.

"DAP hadir ke Kampung Samparita Laut bukan dengan niat menghasut tapi kami ingin membantu seikhlas mungkin kepayahan yang dihadapi penduduk.

"Kami juga berusaha menyediakan air bersih kerana setelah lebih 50 tahun, penduduk kampung tidak pernah mempunyai akses kepada bekalan air bersih.

"Amat memalukan apabila seorang Menteri Air dan Ahli Parlimen BN Kota Marudu gagal menjaga kawasan sendiri," katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Menurut Stephen, usaha murni DAP itu adalah bertujuan membantu masyarakat luar bandar dan ia dimulakan di Kampung Samparita Laut minggu lalu.

Beliau yang juga Penyelaras Impian Sabah turut menyelar kegagalan Maximus membekalkan air bersih kepada penduduk Sabah walaupun sudah bergelar menteri lebih 10 tahun.

"Beliau langsung tidak mengucapkan terima kasih kepada DAP atau mengaku bersalah terhadap kecuaiannya tapi memilih untuk membuat tuduhan kepada kami.

"Saya ingin bertanya kepada Maximus, pernahkah beliau masuk menjenguk kampung ini selama sedekad ini? Adakah dia memahami penderitaan penduduk? Apakah beliau tahu kampung ini tidak ada bekalan elektrik dan air? Jambatan lengkap juga tidak disediakan untuk menyeberangi sungai," tegasnya.

Katanya, bantuan yang dibekalkan kepada penduduk Kampung Samparita Laut hanya permulaan dan DAP akan bergerak ke seluruh pelusuk Sabah untuk memastikan semua lapisan masyarakat dapat merealisasikan impian mereka.

"Kami bukan BN, kami tidak mempunyai wang dan tidak mempunyai akses kepada wang cukai. Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh orang ramai yang berhasrat melihat perubahan.

"Maximus harus meminta maaf kepada penduduk dan sukarelawan Impian Sabah yang bekerja dengan ikhlas untuk membantu penduduk.

"Beliau bukan saja gagal melaksanakan tugas tapi tidak pernah mengakui kegagalan BN sejak 50 tahun lalu," ujarnya.

Beliau menambah, Impian Sabah tetap akan diteruskan dan DAP konsisten bekerja demi kebaikan rakyat Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya. -Roketkini.com

KUALA LUMPUR,: Perjanjian kotor kerajaan demi mengkayakan kroni dalam pemberian kontrak projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) 26 tahun lalu akhirnya terbukti menyusahkan rakyat.

Dalam risalah bertajuk 'Skandal Lebuhraya Utara Selatan' terbitan 1987, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pernah mendedahkan kemungkaran UMNO yang dilihat mempunyai kepentingan kepada saham konsesi lebuhraya itu, namun sehingga kini masih diam membisu.

Antara yang dipertikaikan beliau adalah peranan syarikat pelaburan UMNO iaitu Hati Budi Sdn Bhd yang menguasai United Engineers Malaysia (UEM) Bhd.

Hati Budi ketika itu dikaitkan dengan pimpinan tertinggi kerajaan iaitu Tun Daim Zainuddin (Menteri Kewangan ketika itu) dan Dr Mahathir Mohamad.

UEM merupakan syarikat utama mendapat kontrak pembinaan PLUS dengan tempoh konsesi daripada 1987-2017 yang akan mengutip tol berjumlah RM54 bilion dalam tempoh 30 tahun.

"PLUS adalah projek yang menelan belanja RM3.4 bilion. Pemberikan kontrak kepada UEM menjadi satu persoalan yang tidak terjawab.

"UEM jelas tidak mempunyai 'track record' sama sekali dalam pembinaan jalan raya berbanding syarikat lain yang berpengalaman dan memohon tender sama seperti Pilecon serta Hashbuddin dengan kadar jauh lebih rendah.

"Ia jelas pemberian kepada UEM adalah semata-mata disebabkan pertalian unik Hati Budi dengan Daim dan Mahathir," katanya dalam risalah itu.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen DAP Tanjung ketika itu turut menggesa Menteri Kerja Raya, Datuk S Samy Vellu mendedahkan identiti UMNO di sebalik syarikat Hati Budi.

Namun Samy Vellu tidak mahu membuka mulut dan hanya menyatakan fakta terbabit boleh didapati di Pejabat Pendaftar Syarikat.

"Saya telah menghantar orang untuk memeriksa fail syarikat itu, tetapi ia tidak boleh didapati.

"Persoalannya apakah 'track record' kewangan yang dimiliki UEM adalah sebuah 'insolvent company' sehingga boleh menawar untuk mendapat projek PLUS yang begitu besar?

"Satu pemeriksaan dilakukan ke atas Hati Budi menunjukkan bahawa pada 1984, ia cuma sebuah syarikat yang ditubuhkan dengan modal RM2 dan mempunyai dua pemegang saham.

"Adakah benar Hati Budi tidak perlu mengeluarkan sebarang wang tunai untuk membeli saham UEM kerana mendapat pinjaman bank OCBC sebanyak RM25 juta atas persefahaman bahawa UEM akan dapat kontrak PLUS dan beberapa kontrak lain?," soalnya. – Roketkini.com

HO CHI MINH (Vietnam), Kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu memohon maaf kerana menggunakan wang rakyat untuk membiayai kumpulan yang menentang penyatuan kaum dan keharmonian agama, termasuk Perkasa.

Setiausaha Publisiti DAP, Teresa Kok Suh Sim berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak seharusnya membantu kumpulan pendesak Melayu yang melawan konsep 1Malaysia yang sering dilaungkan.

"Maka kebenaran (akhirnya) keluar, UMNO dan kerajaan selama ini melindungi dan memberi banyak dana kepada Perkasa.

"Bagaimana kerajaan yang sering cakap mengenai 1Malaysia boleh melindungi dan beri bantuan kepada organisasi yang melawan konsep itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen DAP Seputeh itu turut mendesak Najib mendedahkan maklumat bantuan yang diberikan, serta menyatakan sama ada beliau komited dengan konsep 1Malaysia.

Beliau merujuk laporan kenyataan anggota Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Isa Samad bahawa Perkasa banyak mendapat bantuan daripada UMNO.

"Dia pun nasib dia, kita yang bela dan mereka banyak terima nikmat daripada kita. Macam mana mereka nak ganti dia?" kata Isa seperti dipetik.

Dalam pada itu, Teresa berkata, tanggapan umum bahawa UMNO menggunakan Perkasa bagi menyuarakan permintaan ekstrim mereka memang sudah lama berlegar.

"(Malah) tiada tindakan diambil kepada kumpulan ini apabila membuat kenyataan provokasi dan menghasut yang melanggar undang-undang," katanya yang menyifatkan pengakuan Perkasa itu mengejutkan dan tidak boleh diterima.

Memetik laporan Malaysiakini semalam, Perkasa turut mengakui mendapat bantuan daripada tiga agensi kerajaan – Majlis Keselamatan Negara (MKN); Biro Tata Negara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang membiayai programnya.-Roketkini.com

Biaqpila

Posted: 26 Dec 2013 03:18 PM PST


Tips Memilih Kata Laluan (Password) Yang Kuat dan Selamat

Kata laluan adalah satu daripada langkah keselamatan yang digunakan bagi melindungi maklumat peribadi yang disimpan di dalam sesebuah sistem atau aplikasi di internet.

Kecurian identiti, pengodaman, scam, phising dan lain-lain jenayah siber bermula dengan kelemahan penggunaan kata laluan, selain kecuaian daripada pengguna sendiri. Di sini kami kongsikan beberapa tips untuk bagaimana memiliki kata laluan yang kuat dan selamat sekaligus menyukarkan penjenayah siber menceroboh dan menyalahgunakan maklumat peribadi anda.

1. Tidak menggunakan mana-mana bahagian daripada maklumat peribadi anda seperti nama, tarikh lahir, alamat, nombor telefon mahupun haiwan peliharaan di dalam kata laluan seperti "ahmad1902", "kucingcomel". Ini adalah cara yang paling utama digunakan oleh penceroboh untuk meneka kata laluan anda.

2. Menggunakan perkataan dan nombor sebagai pengganti kepada abjad. Contoh: "peanut" kepada P3@NU7 ", "isketambola" kepada "1$K3T@MB0L@".

3. Tidak menggunakan urutan abjad dan nombor seperti "abcdefg" dan "123456".

4. Tidak menggunakan turutan abjad yang terdapat pada papan kekunci (keyboard) seperti "qwertyu" atau "asdfgh".

5. Menggunakan sebanyak karakter yang mungkin, yang mengandungi huruf besar dan kecil, angka dan simbol seperti "d0Nu7_B3s@R".

6. Menjadikan awalan huruf pada satu ayat mudah sebagai kata laluan seperti "Ada 4 subjek yang menjadi kegemaran saya" kepada "@45ymK5".

Ikuti tips seterusnya bagaimana menjaga keselamatan kata laluan anda iaitu:

7. Jadikan sebagai tabiat untuk menukar kata laluan sekerap yang mungkin.

8. Tidak mendedahkannya kepada sesiapa pun termasuk melalui panggilan telefon, e-mel, soalan kaji selidik mahupun mereka yang rapat dengan anda.

9. Tidak menulis atau menyimpan kata laluan tersebut di dalam beg tangan, nota kecil atau menyembunyikannya di bawah papan kekunci. SENTIASA HAFAL kata laluan tersebut.

10. Jika menggunakan kemudahan internet di tempat awam seperti kafe siber misalnya, pastikan anda telah keluar (log out) daripada aplikasi yang digunakan sebelum beredar.

11. Dan akhir sekali, jika anda menesyaki bahawa orang lain mengetahui kata laluan anda, TUKAR SERTA MERTA!

Ini hanya sebahagian daripada tips yang boleh dijadikan panduan. Jika anda ada lagi tips – tips bagaimana memilih dan menjaga keselamatan kata laluan, kongsikan bersama kami. Jadikanlah kepentingan menjaga keselamatan kata laluan ini seperti pentingnya menjaga harta benda yang bernilai.

SUMBER: FB PDRM

Tiada ulasan:

Pengikut