Pakatan Rakyat |
Posted: 21 Dec 2013 03:10 PM PST [SH] AYER KEROH - Seorang guru penolong kanan dan kekasihnya yang merupakan warga Pakistan dihadapkan ke mahkamah majistret di sini, semalam atas pertuduhan merakam video lucah di dalam sebuah rumah, November lalu. Tertuduh, Lizah Buang, 49 dan Muhamad Usman Ali Liqat, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham pertuduhan yang didakwa ke atas mereka di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Saleh. Berdasarkan pertuduhan, Lizah dan Muhamad Usman didakwa bersama-sama merakam video lucah atau yang bertentangan dengan kesopanan awam. Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Pangsapuri Bukit Beruang Utama kira-kira jam 8.30 pagi pada 16 November 2013. Mereka dituduh mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Penapisan Filem 2002 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara maksima lima tahun atau kedua-duanya sekali. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM3,000 terhadap Lizah, namun membantah jaminan terhadap Muhamad Usman yang merupakan warga asing. Bagaimanapun, Lizah ketika rayuan memohon supaya jumlah wang jaminan dikurangkan memandangkan dia menanggung enam anak serta suaminya yang sakit dan tidak bekerja. Sementara itu, Muhamad Usman juga merayu supaya dibenarkan jamin terhadapnya yang mempunyai isteri di Pakistan. Selepas mendengar rayuan tertuduh, Mohd Firdaus kemudian membenarkan Lizah diikat jamin RM2,500 sementara Muhamad Usman RM10,000 dengan dua penjamin serta syarat melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali. Tarikh sebutan kes bagi lantikan peguam ditetapkan pada 23 Januari 2014. -21/12/13 |
Posted: 21 Dec 2013 03:09 PM PST AKU mula mendengar istilah bankruptcy ini sekitar tahun 1998/1999, bukan kerana sebelum itu tidak ada manusia pernah bankrap di negara ini tetapi kerana sebelum itu aku belum cukup akal untuk ambil tahu dan keduanya barangkali ketika 1998/1999 ini ramai pula yang bankrap akibat kegawatan ekonomi, khasnya 'berniagawan' Bumiputera yang hanya bergantung kepada kontrak kelas F kerajaan dan makan atas angin. Malah, kerana jarangnya aku mendengar istilah bankruptcy ini, aku dengan penuh naifnya berkata; Kini suasananya cukup berbeza, ramai sungguh manusia bankrap di negara ini. Malah Husin dalam Hantu Kak Limah 2 pun bankrap juga sebab masuk skim cepat kaya di Singapura. Yes Sekupang pun bankrap. Tapi ini bukan hanya dalam filem, tahun lepas sahaja (2012) sahaja, menurut Jabatan Insolvensi (jabatan yang menguruskan orang bankrap dan ada masalah hutang) terdapat 19,575 orang diisytiharkan muflis aka bankrap kerana kegagalan menguruskan hutang. Malah, dalam jawapan bertulis beliau kepada Dewan Negara baru-baru ini, Najib Razak menyatakan sebanyak 68,299 orang daripada 129,640 yang diisytiharkan muflis sejak 2005 hingga 2012 adalah individu berusia di bawah 45 tahun. Malah semakan mendapati 70% daripada mangsa bankrap pada 2012 ini adalah lelaki dan kepada mereka yang sentiasa teruja untuk mengetahui sama ada mereka ini Melayu atau Cina, berikut adalah pecahanan rasmi daripada Jabatan Insolvensi: hampir separuh (48.41%) adalah Melayu, 33.15% Cina, 14.12% India, dan sebelebihnya (4.32%) daripada lain-lain keturunan. Tetapi yang lebih mengejutkan adalah kebanyakan mereka yang bankrap ini (57%) terdiri daripada mereka yang berumur antara 25 hingga 44 tahun. Malah terdapat 130 anak muda berumur bawah 25 tahun yang jatuh bankrap. Persoalannya kini mengapa ramai orang muda jatuh bankrap? Ramai yang beranggapan kebanyakan anak muda muflis kerana ketamakan gaya hidup serta keinginan untuk bergaya sehingga menggunakan kad kredit (kad hutang) secara berlebihan. Namun kad kredit hanya menyumbang 4.18% sahaja kepada punca muflis untuk tempoh 2007-2013 (sehingga November). Umumnya ramai yang bankrap kerana hutang kereta dan rumah yang masing- Tidak sedikit juga yang mencemuh anak muda yang tidak sedar diri mahu pakai kereta 'mahal' (import) sedangkan gaji kecil. Kebanyakan mereka yang memakai kereta bersaiz sederhana seperti Honda City dan Toyota Vios bukan semata-mata kerana gaya tetapi juga keselamatan serta keselesaan. Mereka ini rata-ratanya adalah golongan eksekutif muda yang aktif bergerak. Manakala bagi golongan yang lebih rendah pula mereka menggunakan kereta tempatan bertaraf nasional seperti Proton Saga BML dan Myvi. Kebanyakan mereka bukanlah benar-benar mampu untuk membelanjakan 30% daripada pendapatan bulanan untuk kereta (tidak termasuk petrol dan penyelenggaraan lain), namun kerana terpaksa. Di Malaysia kadar kemalangan tertinggi membabitkan motosikal. Kebanyakannya adalah anak muda yang tiada pilihan harus menyabung nyawa menaiki motosikal setiap hari untuk ke tempat kerja. Pilihan yang ada hanya dua – berdepan risiko mati katak di jalan raya atau hidup tertekan akibat hutang kereta dan berdepan kemungkinan diisytihar muflis. Di Malaysia yang aman damai ini, membeli kereta adalah perkara mewah kerana kadar cukai yang dikenakan adalah antara yang paling tinggi di dunia. Di Filipina yang kita anggap jauh lebih mundur daripada Malaysia, sebagai contoh , Suzuki Swift umumnya adalah kegunaan anak-anak universiti (setara dengan Kancil di sini). Manakala di Indonesia yang kita anggap melarat, menjadikan Toyota Vios sekadar teksi sahaja. Kemudian mereka yang tidak berkenderaan juga akan dihukum dengan sistem pengangkutan awam yang maha lemah. Jangan hanya lihat Kuala Lumpur, bayangkan juga Ipoh, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuantan. Hampir mustahil untuk bekerja dengan hanya bergantung kepada pengangkutan awam, khasnya mereka yang harus aktif bergerak. Maka hutang menjadi sebahagian daripada rutin hidup yang tidak terelakan – sama seperti nasi. Aku yang tidak pernah berhutang sebelum ini telah beberapa kali dinafikan bank untuk memohon pinjaman perumahan dengan alasan rekod kredit anda terlalu bersih! Tidak berhutang juga salah! Maka sesungguhnya kita telah sampai pada suatu generasi di mana keberadaan kita dalam masyarakat ditentukan sebanyak mana kita mampu berhutang. Selamat membayar hutang. – Roketkini.com |
You are subscribed to email updates from Pakatan Rakyat To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan