GPB bersetuju dengan kenyataan YB Khairy Jamaluddin hari ini , apa guna KDNK negara mencatat pertumbuhan tetapi realitnya kos sara hidup rakyat meningkat dan tidak mengambarkan realiti sebenar ekonomi .
YB KJ cukup lantang dan peka kehendak generasi muda dan sebagai Menteri muda dalam kabinet , harap beliau dapat bawa rintihan dan kesempitan golongan ini di mesyuarat kabinet esok .
Keresahan orang muda mengenai kenaikan kos sara hidup akan dibawa ke dalam mesyuarat Kabinet, Rabu ini.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) telah membangkitkan isu itu rentetan kenaikan tarif elektrik, tol serta kesan gandaan yang bakal berlaku terhadap barangan dan perkhidmatan lain.
"Saya akan membawanya dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini sebagai mewakili pandangan orang muda dan kerisauan mereka tentang kenaikan yang datang sekali gus seperti tsunami.
"Ini adalah keresahan generasi muda berkaitan kos sara hidup, kita masih belum pasti penyelesaiannya tetapi perkara ini wajib saya bangkitkan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kementeriannya dengan Intel Technology Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan MPBN Sidang 2 Penggal ke-29 yang dihadiri lebih 70 peserta mewakili majlis belia negeri-negeri.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Jamil Salleh dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohd. Rapiee.
Menurut Khairy, beliau membangkitkan isu kenaikan kos sara hidup dalam Perhimpunan Agung UMNO 2013 baru-baru ini dan akan konsisten membawanya dalam mesyuarat Kabinet.
"Kenaikan banyak perkara secara serentak ini yang hendak dibincangkan, malangnya, kita tangguh (kenaikan) semua ini sudah lama, bila semuanya datang sekali, itu yang menjadi masalah kita hari ini," katanya.
Berhubung kenaikan tol, jelas Khairy, kerajaan terpaksa menanggung pampasan RM400 juta setahun kepada syarikat konsesi sekiranya kenaikan ditangguhkan, namun beliau berpendapat ada formula lain yang mungkin belum difikirkan.
"Semuanya ada kesan gandaan yang akan dirasai kemudian, memang bila kita naikkan tarif elektrik, kira-kira 70 atau 80 peratus isi rumah tidak nampak kesan dalam bil mereka tetapi ada kesan kemudiannya pada harga barangan dan perkhidmatan," katanya.
Menurut Khairy, beliau yakin kerajaan peka mengenai masalah yang berlaku kerana keutamaan negara adalah untuk menjaga kesejahteraan rakyatnya.
"Kita cakap kepada rakyat biasa bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan lima peratus tetapi jika apa yang rakyat rasa adalah kos hidup meningkat, itu adalah satu masalah kerana perangkaan ekonomi tidak menggambarkan realiti ekonomi sebenar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan