Hishamuddin Rais: Siti Aishah Tak Mahu Pulang, Nafi Dihambakan
[TMI] Wanita yang dikatakan menjadi mangsa penghambaan selama 30 tahun, Siti Aishah Abdul Wahab enggan pulang ke Malaysia dan berkata beliau tidak pernah diperhambakan di London, kata aktivis Hishamuddin Rais.
Katanya, Siti Aishah yang mendakwa dirinya tidak diperhambakan masih berpegang kepada ideologi Maoist.
"Siti Aishah berkata dia tidak pernah menjadi hamba kepada sesiapa. Itu adalah ideologi kepercayaannya.
"Dia juga tidak mahu pulang ke Malaysia," kata Hishamuddin yang berada di London ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider.
Mengulas lanjut,Hishamuddin melalui blognya Tukar Tiub menceritakan butiran lanjut situasi pertemuan Siti Aishah bersama kakaknya, Kamar Mahtum Abdul Wahab.
"Perjalanan enam jam dari kota London dan dua kali bertukar kereta di dua balai polis. Cikgu Kamar jumpa adiknya di satu tempat rahsia. Ada dua pegawai polis wanita dan lapan pegawai polis lelaki.
"Wakil dari kedutaan juga tidak dibenarkan turut serta. Cikgu Kamar memeluk adiknya sambil menangis penuh emosi dan Siti Aishah juga dilihat menitiskan air mata," katanya mengulas mengenai pertemuan dua beradik itu yang berlangsung selama 40 minit.
Kamar Mahtum merupakan bekas guru sekolah yang terbang ke London pada Selasa dalam impiannya untuk bertemu adiknya yang sudah lama terpisah dan ditemani oleh Hishamuddin.
Pihak berkuasa United Kingdom mengesahkan status Siti Aishah sebagai warganegara Malaysia dengan nama berdaftar Aishah Wahab dan dilahirkan pada 27 Mei, 1944.
Hishamuddin berkata, Aishah dilihat memakai baju merah dan berseluar hitam sementara Kamar Mahtum membawa bungkusan untuk diberikan kepada adiknya.
Katanya, dalam pertemuan singkat itu, Siti Aishah sempat bertanya keadaan ibunya dan adik-beradik yang lain.
"Cikgu Kamar membawa beg yang berisi hadiah iaitu sejadah, jubah dan kain tudung. Aishah bertanya tentang ibu, Kamar Mahtum menjawab telah lama pergi.
"Aishah bertanya tentang kakak yang satu lagi, beliau turut memberi jawapan sama," katanya.
Hishamuddin berkata, ketika dijemput pulang ke Malaysia untuk diperkenalkan dengan saudara-mara di sini, dia menjawab: "Satu masa nanti."
"Aishah diberitahu tentang ajaran Islam dan dia menjawab di London pun ada masjid serta ramai kawan beragama Islam," kata Hishamuddin.
Katanya, Kamar Mahtum berusaha sedaya upaya memujuk adiknya pulang ke Malaysia namun tiada sebarang petanda positif.
Kamar Mahtum Abdul Wahab minta adiknya pulang ke Malaysia."Saya berleter. Aishah amat British," kata Kamar Mahtum.
Di hujung pertemuan itu, Hishamuddin berkata, Siti Aishah mengakui bahawa dia senang di kota London dan mempunyai ramai kawan di sana.
Katanya, Kamar Mahtum dapat merasakan bahawa ada perkara sulit dalam hidup Siti Aishah yang ingin diceritakan namun tidak disampaikan dalam pertemuan singkat tersebut.
"Ada tiga permintaan Kamar Mahtum kepada adiknya iaitu meminta Siti Aishah tidak lupa membaca Al-Quran, meminta Siti Aishah mengirim surat dan terakhir sekali Kamar Mahtum meminta adiknya itu agar kembali ke Malaysia," katanya yang kini masih berada di kota London.
Siti Aishah adalah salah seorang daripada tiga wanita yang dibebaskan pada 25 Oktober di London selepas seorang daripada mereka menghubungi pertubuhan kebajikan.
Dua lagi wanita adalah warga Ireland berumur 57 tahun dan warga Britain berumur 30 tahun.
Akhbar Britain melaporkan pasangan yang ditahan ialah Aravindan Balakrishnan, juga dikenali sebagai "Comrade Bala" berasal dari Singapura dan isterinya Chanda dari Tanzania.
Polis Britain mengesahkan pasangan itu pernah ditahan pada 1970-an tetapi tidak menyatakan sebabnya.
Polis juga enggan mengesahkan identiti pasangan itu yang dibebaskan dengan ikat jamin sehingga tarikh perbicaraan pada Januari depan tetapi mengatakan ketiga-tiga mangsa tidak kelihatan seperti didera secara seksual tetapi tidak menolak dakwaan wanita itu dipukul.
Ketiga-tiga mangsa bebas daripada "perhambaan" selepas salah seorang daripada mereka menghubungi badan kebajikan Freedom Charity pada 18 Oktober. - 30 November, 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan