Blog Rasmi Dewan Pemuda PAS Puchong |
Posted: 04 Nov 2013 06:25 PM PST Muharram bulan yang dihormati Firman Allah S.W.T dalam surah At-Taubah ayat 36 yang bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan,(yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi,di antaranya ada empat bulan yang dihormati,itulah ketetapan agama yang lurus" Muharram merupakan bulan yang pertama dalam kalendar islam dan ia termasuk dalam salah satu bulan yang dipanggil bulan haram ataupun bulan yang dihormati,seperti mana yang dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam maksud ayat quran di atas "diantaranya ada empat bulan haram (yang dihormati)". Para ulama tafsir mentafsirkan bahawa empat bulan yang dihormati itu ialah Zulqaidah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Seperti mana yang telah dinyatakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w : " Satu tahun ada dua belas bulan,diantaranya terdapat empat bulan haram(suci), tiga daripadanya berturutan iaitu Zulqaidah, Zulhijjah, Muharram kemudian bulan Rejab antara jumadi(Jamadil Akhir) dan Sya'ban." (hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Dinamakan bulan haram(suci atau dihormati) kerana di bulan tersebut diharamkan untuk melakukan peperangan. Al-Qodhi Abu Ya'la Rahimahullah mengatakan: "Dinamakan bulan haram kerana terdapat dua makna. Pertama, pada bulan tersebut diharamkan membuat pembunuhan. Kedua, pada bulan tersebut larangan untuk melakukan perbuatan haram lebih ditekankan daripada bulan lain kerana mulianya bulan tersebut. Demikian pula pada bulan itu sangatlah baik untuk melakukan amalan keaatan." Ibnu 'Abbas berpendapat, Allah mengkhususkan empat bulan tersebut sebagai bulan haram dan dianggap sebagai bulan suci, melakukan maksiat pada bulan tersebut dosanya akan lebih besar, dan amalan soleh yang dilakukan akan mendapat pahala yang lebih banyak." Muharram dan kaitannya dengan Hijrah. Hari-hari telah berlalu, sedang umur semakin meningkat, inilah yang selalu dibincangkan setiap kali datangnya permulaan tahun baru, dan tidak lama lagi kita akan memasuki tahun 1435 Hijrah. Hijrah sebenarnya berlaku pada bulan Rabiul Awal, bukan di bulan Muharram, cuma sewaktu saidina Umar Al-Khattab menjadi khalifah beliau bermesyuarat dengan para sahabat bagaimana hendak meletakkan tarikh untuk umat Nabi Muhammad ini, Maka Allah telah mencerahkan(memberi petunjuk) dada Saidina Umar dan hasil dari perbincangan tersebut Saidina Umar bersetuju untuk menjadikan peristiwa Hijrah itu sebagai permulaan tarikh bagi umat Islam, kerana Hijrah itu mempunyai maknanya yang terendiri iaitulah telah tertegaknya sebuah pemerintahan islam di Madinah. Saidina Umar menjelaskan mengapakah beliau memilih Hijrah itu sebagai permulaan tarikh kerana Hijrah itu telah memisahkan antara hak dan batil. Kemudian timbul pula persoalan hendak dimulakan dengan bulan apa,maka beberapa orang sahabat memberi cadangan, Saidina Usman telah mencadangkan untuk dimulakan dengan bulan Muharram dengan alasan kerana Muharram merupakan bulan yang dihormati, dan antara yang mencadangkan bulan Muharram juga termasuklah Saidina Umar dan Saidina Ali. Antara sebab lain ialah kerana keinginan dan perancangan untuk Nabi Muhammad melakukan hijrah itu bermula sejak bulan Muharram. MUHARRAM Al-Imam Abu Hurairah r.a telah mendengar Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: " Puasa yang paling Afdhal selepas(selain) puasa di bulan Ramadan iaitu pada bulan Allah Muharram" Hadis di atas menyatakan Muharram itu disandarkan kepada Allah(bulan Allah) untuk menerangkan kepada kita bulan Muharram itu ialah bulan Allah sebagai mana masjid (baitullah),tujuannya supaya kita banyak melakukan ibadah di bulan ini terutama ibadah puasa. Di dalam bulan Muharram ini juga terdapat satu hari kebesaran bagi umat islam iaitu hari 'asyura iaitu pada 10 muharram, dan disunatkan kepada umat islam untuk berpuasa pada hari tersebut. Diceritakan oleh Ibnu 'Abbas, ketika Nabi Muhammad s.a.w sampai ke madinah,nabi mendapati orang-orang yahudi di madinah berpuasa pada hari 'Asyura,nabi bertanya kepada orang yahudi,mengapa kamu puasa pada hari ini? Orang yahudi menjawab: Ini hari yang besar,hari yang mana Allah telah menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya daripada kepungan firaun(sebagaimana yang diceritakan dalam Surah Ash-Shu'ara), apabila nabi mendengar jawapan daripada orang yahudi itu, Nabi berkata : Kami orang islam lebih berhak mensyukuri nikmat Nabi Musa selamat daripada kamu orang-orang yahudi maka Nabi perintahkan kepada semua orang Islam untuk berpuasa pada hari tersebut. Inilah antara sunnah para anbiya' terdahulu apabila bersyukur dengan sesuatu daripada pemberian Allah,mereka akan berpuasa. Nabi Musa selepas selamat daripada kepungan firaun,beliau berpuasa sebagai tanda syukur atas nikmat yang diberikan. Nabi Muhammad apabila ditanya mengapa Baginda berpuasa pada hari isnin? Baginda menjawab aku bersyukur kerana pada hari itu aku dilahirkan. Hijrah Awal Muharram ataupun disebut juga sebagai Maal Hijrah mengingatkan kita kepada satu peristiwa besar bagi umat Islam tentang penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat daripada Makkah Al-Mukarramah ke Madinah Al-Munawwarah. Namun apa penting daripada peristiwa agong ini ialah bukan setakat kita peringatinya atau mengadakan sambutan, perarakan dan makan-makan sahaja tetapi apa yang perlu ialah sejauh mana kita mempraktikkan dan mengaplikasikan nilai-nilai yang terdapat dalam peristiwa hijrah tersebut dalam kehidupan seharian kita. Hijrah bermaksud meninggalkan sesuatu perbuatan ataupun berpindah dari suatu tempat ke tempat yang lain. Selepas tiga belas tahun Nabi Muhammad berdakwah di Makkah dengan pelbagai tekanan dan siksaan, maka Allah telah perintahkan kepada Nabi Muhammad untuk berhijrah ke Madinah, yang mana penghijrahan itulah yang telah menjadi kunci kepada kemenangan Islam dan telah tertegaknya sebuah Negara Islam di Madinah. Umat Islam di zaman Rasulullah sanggup berkorban dan berhijrah meninggalkan ahli keluarga, harta benda, binatang ternakan dan sebagainya demi untuk melaksanakan satu misi yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulnya. Inilah hijrah yang berlaku di zaman Rasulullah. Adapun dalam konteks kita pada hari ini, Hijrah yang paling besar ialah meninggalkan perbuatan yang dilarang oleh Allah dan kembali melakukan segala suruhan Allah Taala. Seperti mana yang telah dinyatakan oleh Baginda Nabi s.a.w: "Jihad yang paling besar adalah jihad melawan hawa nafsu". Di dalam Hadis lain pula nabi bersabda: "Orang-orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan segala apa yang Allah telah larang dari melakukannya". Sesungguhnya peristiwa Hijrah Rasulullah dan para sahabat ini merupakan titik permulaan yang menyebabkan tersebarnya Islam di seluruh pelusuk dunia. Maka menjadi kemestian kepada kita Umat Nabi Muhammad ini untuk menjadikan peristiwa Hijrah sebagai pengajaran kepada kita dengan cara melakukan perubahan dalam diri kita, meninggalkan segala sifat jahiliyyah yang ada dalam diri dan menanamkan benih-benih ketaqwaan dan keimanan dalam hati sanubari. Marilah sama-sama kita bertekad dan berazam mudah-mudahan pada Maal Hijrah 1435 ini menjadikan diri kita seorang hamba yang benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t. Menyucikan diri dari dosa,berazam untuk meninggalkan dosa dan seterusnya memelihara diri daripada melakukan maksiat. UNIT PENERANGAN LAJNAH PENERANGAN, DAKWAH & MEDIA BARU DEWAN PEMUDA PAS PUCHONG |
You are subscribed to email updates from Blog Rasmi Dewan Pemuda PAS Puchong To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan