Sabtu, 26 Oktober 2013

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil


Mengapa PAS bantah GST?

Posted: 26 Oct 2013 09:04 PM PDT

KUALA LUMPUR: Kerajaan BN masih meneruskan kerja borosnya manakala memangsakan rakyat dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk meningkatkan pendapatan.

"Oleh itu, PAS tetap membantah pelaksanaan GST," tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Katanya, pelaksanaan GST hanya boleh dilakukan apabila kerajaan mula bertanggungjawab untuk mengurangkan pengurusan operasi dan bukannya terus berboros dengan duit rakyat.

"Pengurangan subsidi dan kini GST bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara yang berpunca daripada sikap boros kerajaan berbelanja," ujarnya lagi.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) merupakan langkah baru untuk menambahkan pendapatan negara.

Ia adalah cara mengambil duit daripada rakyat melalui cukai yang dikatakan saksama sebagai pendapatan kerajaan.

Peluasan asas cukai ini mustahak untuk Malaysia, dakwa sesetengah pihak kerana hanya kira-kira 10 peratus daripada penduduk yang bekerja membayar cukai pada masa ini. 

PAS tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut, kerana rata-rata rakyat sedang membayar cukai tersembunyi tanpa diketahui mereka.

Umpamanya pembelian kereta, semua rakyat yang mempunyai kereta sudah dikenakan cukai.

Dengan GST, mereka yang tidak mempunyai kereta dan tidak mempunyai pekerjaan tetap sehingga tidak layak membayar cukai pun dikenakan cukai atas setiap pembelian.

Lebih-lebih lagi, rakyat Malaysia tidak diberikan tempoh untuk menyesuaikan diri dengan GST apabila GST diumumkan pada kadar yang sebegitu tinggi pada 6 peratus.

Di Singapura, kadar GST diperkenalkan pada kadar 3 peratus sebelum beransur menjadi 7 peratus.

Ada yang berkata masyarakat kampung tidak akan merasai beban daripada GST. Ingin diingatkan bahawa kebanyakan barangan yang dijual di kedai-kedai runcit di kampung datangnya juga daripada para pembekal di bandar.

Barangan itu sudahpun dikenakan GST ketika tiba di kedai runcit. Walaupun kedai runcit yang kecil itu dikecualikan daripada GST kerana tidak melepasi had minimum perolehan tertentu, barangan yang dijual kepada masyarakat kampung sudah tentunya pada harga yang lebih tinggi kerana sudah dikenakan GST oleh pembekal.

Jangan terlalu gembira dengan pengumumkan pelbagai barangan asas seperti tepung, gula, beras dan garam tidak dikenakan GST. Hakikatnya, apa-apa yang dihasilkan daripada tepung, gula, beras dan garam kepada makanan siap yang sampai ke tangan pengguna boleh dikenakan GST.

Perkara terpenting dalam perlaksanaan GST ialah penguatkuasaan, bab yang kerajaan BN terkenal sebagai kelemahannya.

Untuk memastikan GST berfungsi dengan baik yakni menjana pendapatan yang seharusnya bagi kerajaan, penguatkuasaan kepada semua yang mengenakan GST perlu dilakukan secara saksama dan adil.

PAS terbayang akan berlaku masalah di mana kedai yang tidak layak mengenakan GST, akan sengaja mengenakan GST kepada pelanggannya untuk pendapatan lebih. Lebihan wang hasil daripada peratusan tambahan GST itu pula tidak dilaporkan kepada kerajaan kerana penguatkuasaan dan pemantauan yang lemah.

Akhirnya, rakyat membayar GST ini bukan untuk pendapatan kerajaan tetapi untuk mengkayakan lagi mereka yng tidak bertanggungjawab ini.

Akibat rasuah yang berleluasa, PAS juga terbayang banyak syarikat yang terlepas daripada hukuman atau denda kerana menggunakan GST sebagai alasan untuk menaikkan harga barang yang dikenakan kepada rakyat awam.

Sesungguhnya, dengan masalah penguatkuasaan yang lemah dan juga rasuah yang masih berleluasa, iklim Malaysia masih tidak sesuai untuk pelaksanaan GST, lebih-lebih lagi apabila BN masih berkuasa.

Lihatlah bagaimana kerajaan BN cuba untuk mengurangkan defisit negara. BN tidak mengurangkan perbelanjaan pengurusan, malah perbelanjaan pengurusan meningkat RM15.8 bilion, daripada RM201.9 bilion pada 2013 kepada RM217.7 bilion pada 2014 berbanding peningkatan pendapatan sebanyak RM15.5 bilion daripada RM208.6 bilion pada 2013 kepada RM224.1 bilion pada 2014.

Pengurangan defisit bajet sebenarnya dicapai dengan memotong peruntukan pembangunan sebanyak RM3.2 bilion daripada RM49.7 bilion pada 2013 kepada RM46.5 bilion pada 2014.

Keadaan ini dijangka berterusan sehingga 2015 di mana GST bakal dilaksanakan. Ini bermakna kerajaan BN masih meneruskan kerja borosnya manakala memangsakan rakyat dengan GST untuk meningkatkan pendapatan.

Oleh itu, PAS tetap membantah pelaksanaan GST. Pelaksanaan GST hanya boleh dilakukan apabila kerajaan mula bertanggungjawab untuk mengurangkan pengurusan operasi dan bukannya terus berboros dengan duit rakyat.

Pengurangan subsidi dan kini GST bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara yang berpunca daripada sikap boros kerajaan berbelanja. ~harakahdaily





Tiada ulasan:

Pengikut