Pakatan Rakyat |
Posted: 07 Sep 2013 03:32 PM PDT Menjelang perhimpunan agung Umno tidak lama lagi, serangan atas Datuk Seri Najib Razak semakin ketara oleh para blogger Umno sehingga ada yang menggelarkannya sebagai "sewel". Syed Akbar Ali melalui blognya, OutSyed The Box, menggunakan nama Datuk "Sewel" Najib Tun Razak merujuk kepada presiden Umno itu. Menurut kamus Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sewel bermaksud tidak begitu waras atau tidak siuman. Serangan Syed Akbar dalam tulisannya bertajuk "The PM's Screwup Team - Senarai Pegawai Pemandu, Bersih Supporters Etc" itu disiarkan juga di blog Rocky Bru, milik Datuk Ahirudin Atan, blogger yang rapat dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Kedua-dua mereka sepakat pembentukan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), badan yang ditubuhkan kerajaan untuk memantau pelaksanaan polisi kerajaan, adalah membazirkan wang negara. Mereka memaparkan bagaimana staf-staf Pemandu diberikan gaji tinggi berbanding dengan pegawai kerajaan lain yang jauh lebih lama bertugas dari mereka. Selain itu, mereka mempertikaikan gaji tinggi diberikan kepada staf Pemandu walaupun mereka gagal dalam memacukan ekonomi hingga keadaan ekonomi negara semakin teruk yang menyebabkan kerajaan terpaksa menaikkan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter baru-baru ini. Menurut Ahirudin, sejak ditubuhkan, Pemandu tidak disenangi oleh para blogger pro-Barisan Nasional (BN). Secara sulit, para menteri di dalam Kabinet Najib sendiri juga tidak senang dengan Datuk Seri Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang mengetuai Pemandu, kata Ahirudin bekas pengarang di beberapa akhbar pro-BN. Syed Akbar pula melalui pengiraannya, Pemandu sudah membelanjakan RM337 juta dalam masa empat tahun ini. Beliau mendakwa, sekumpulan orang muda dalam Pemandu ini yang memerintah negara bagi pihak perdana menteri. Sebahagian dari mereka pula adalah penyokong Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), dakwa beliau dalam blognya. "Mereka adalah dari firma Zaid Ibrahm and Co, Pricewaterhousecooper Singapura dan dari pelbagai tempat," katanya. Menurut seorang pemimpin PKR, yang tidak mahu namanya dikenali, mengatakan kumpulan yang berkiblat kepada Dr Mahathir menjadikan isu Pemandu sebagai salah satu bahan serangan mereka. Selain itu, mereka juga menyerang Perjanjian Persahabatan Trans Pasifik (TPPA), kegagalan Najib dalam pilihan raya umum lalu, pemansuhan Ordinan Darurat (EO) dan beberapa isu lagi. "Saya berpendapat, mereka akan membiarkan Najib kekal dalam pemilihan Umno akan datang ini. "Namun selepas beberapa bulan, mereka akan menekan Najib agar meletakkan jawatan sebagaimana Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) ditekan sehingga meletakkan jawatan sebelum ini," kata pemimpin itu. Menurutnya, tindakan tidak mencabar Najib dalam pemilihan akan datang adalah untuk mengelakkan Umno berpecah. Bagi beliau, inilah asasnya mengapa Najib begitu ketara sekali mahukan kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan perpaduan. "Najib mahu memberikan signal kepada Mahathir dan gengnya, beliau mempunyai 'option' lain iaitu Anwar," kata beliau kepada The Malaysian Insider. Beberapa hari lalu, wakil Najib menghubungi Anwar lagi bertanyakan kerjasama antara mereka. Anwar menolaknya dengan alasan tidak akan meninggalkan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR). Menurut mesej terbaru itu, Najib sedia mempertimbangkan jika Anwar mahu membawa PAS bersama namun tidak berapa senang dengan DAP. "Selain memberikan mesej kepada Dr Mahathir, kita bimbang isu ini juga bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan dalam PR," katanya. Semasa perutusan Hari Kemerdekaan ke-56 baru-baru ini, Anwar mengumumkan kesediaan mengadakan dialog secara terbuka dengan BN untuk membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan negara tetapi menolak agenda kerajaan perpaduan. Tiga isu yang disebutkan Anwar adalah kemerosotan ekonomi, jenayah dan hubungan antara kaum yang beliau sifatkan sebagai masalah ketara negara masa kini. – 6 September, 2013. |
Posted: 07 Sep 2013 03:27 PM PDT KUALA LUMPUR: Pimpinan Pakatan Rakyat mengesyorkan satu sidang meja bulat diadakan antara Pakatan Rakyat dengan Kerajaan bagi membincangkan usaha menangani ancaman pencerobohan bersenjata di Sabah. Pada masa sama, mereka juga mahu satu sidang khas Parlimen diadakan dengan segera, demi untuk mendapatkan gambaran sebenar insiden yang tercetus di Sabah itu. Cadangan tersebut dinyatakan melalui satu kenyataan media hari ini yang ditandatangan oleh ketiga-tiga pemimpin utama Pakatan Rakyat iaitu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang. "Pakatan Rakyat juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk tetap teguh mendokong pasukan keselamatan, samada dari pihak polis atau tentera. Kita berdoa moga mereka kekal selamat serta bersemangat mempertahankan negara dan rakyat Malaysia dari ancaman penceroboh. "Pakatan Rakyat menggesa supaya isu ini tidak dijadikan arena tuduh-menuduh dan sewajarnya kepimpinan negara memberi tumpuan kepada isu keselamatan negara serta tidak mengalihkan pandangan rakyat dari kelemahan mereka," kenyataan itu dipetik. Berikut kenyataan penuh: Kegagalan mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat merupakan satu pengkhianatan serta menodai amanah rakyat. Justeru Pakatan Rakyat berhasrat mengingatkan pimpinan negara agar tegas mempertahankan kedaulatan wilayah negara dan tidak alpa memastikan keselamatan setiap rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah ekoran dari insiden pencerobohan sekumpulan bersenjata warga asing di sekitar Lahad Datu serta Semporna. Setiap inci tanah Sabah dan keselamatan rakyatnya wajib dipertahankan. Pencerobohan di Lahad Datu telah mengorbankan dua nyawa perwira negara manakala insiden terbaru di Semporna pula mengorbankan enam nyawa perwira negara. Kita merakamkan ucapan takziah buat keluarga mereka dan rakyat Sabah serta berdoa moga roh mereka dicucuri rahmat. Pakatan Rakyat juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk tetap teguh mendokong pasukan keselamatan, samada dari pihak polis atau tentera. Kita berdoa moga mereka kekal selamat serta bersemangat mempertahankan negara dan rakyat Malaysia dari ancaman penceroboh. Pakatan Rakyat sedar keadaan mutakhir di Sabah sememangnya menimbulkan kebimbangan, akan tetapi kita menyeru agar orang ramai tetap bertenang dan tidak mengambil tindakan terburu-buru atau menyebarkan berita-berita fitnah yang boleh menimbulkan keresahan. Pakatan Rakyat ingin menyatakan dengan jelas keyakinan kita terhadap kecekapan dan kebolehan anggota pasukan keselamatan. Mereka pastinya dapat menjalankan tugas dengan profesional sekiranya diberi kebebasan bertindak tanpa sebarang campurtangan politik. Sehingga kini, kita merasa kesal dan kecewa dengan sikap kepimpinan negara yang tidak mempamerkan kewibawaan dan iltizam dalam menyelesaikan masalah ini. Pimpinan negara juga gagal menyalurkan maklumat tepat, cepat dan telus serta memberikan penjelasan terhadap apa yang berlaku kepada umum sehingga menyebabkan khabar angin tersebar luas. Pakatan Rakyat menggesa supaya isu ini tidak dijadikan arena tuduh-menuduh dan sewajarnya kepimpinan negara memberi tumpuan kepada isu keselamatan negara serta tidak mengalihkan pandangan rakyat dari kelemahan mereka. Sewajarnya mereka menyedari, keutamaan adalah demi mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan rakyat dan perwira negara yang bertungkus lumus di perbatasan. Pakatan Rakyat menuntut agar segera diadakan satu sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu pencerobohan ini serta demi untuk mendapatkan gambaran sebenar insiden yang tercetus di Sabah. Kita juga berhasrat mengadakan satu persidangan meja bulat di antara pimpinan Pakatan Rakyat dengan pimpinan kerajaan dalam usaha untuk mencapai muafakat bersama berhubung isu ini. YB DATO' SERI ANWAR IBRAHIM Ketua Umum KEADILAN YB DATO' SERI ABDUL HADI AWANG Presiden PAS YB LIM KIT SIANG Penasihat DAP |
You are subscribed to email updates from Pakatan Rakyat To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan