Dewan Pemuda PAS Kawasan Ampang, Selangor |
SAMA-SAMALAH KITA BERMAAFAN... Posted: 02 Jul 2013 06:59 PM PDT Seorang pendekar yatim piatu baru mengetahui cerita sebenar mengenai kematian ibubapanya. Sejak itu, hidupnya tidak tenteram kerana hatinya membara dengan kebencian dan niat untuk membalas dendam. Kerana api kebencian, pendekar menguatkan ilmu silatnya sehingga menjadi pendekar terbaik di nusantara. Kini dia bersedia untuk membalas dendam untuk ibubapanya. Sebelum bertolak, pendekar berjumpa Tok Guru Zainal di Gunung Puncak. "Selepas membunuh pakcik (orang yang menyebakan kematian ibubapa pendekar), apa yang akan berlaku?" tanya Tok Guru Zainal. Pendekar mendiamkan diri, kerana dia tidak tahu apa yang akan berlaku. "Wahai anakku, jangan ingat kamu akan berasa puas dan gembira selepas membalas dendam. Sebenarnya tidak. Selepas itu, kamu hidup dalam kebimbangan, kerana anak-anak pakcik kamu akan mencarimu untuk membalas dendam. Wahai anakku, selepas kematianmu, anak-anak kamu pula akan mencari anak-anak mereka untuk membalas dendam. Dan berulanglah perkara ini sehingga bergenerasi akan datang. Apakah kamu akan puas dan gembira melihat anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicitmu hidup dalam kebencian?" tanya TG Zainal lagi. Pendekar terdiam lagi, tapi niat membalas dendam masih membara. "Kebencian tidak boleh diselesaikan kebencian. Kebencian bukanlah jawapan kepada kebencian yang satu lagi. Jawapan kepada kebencian ialah kemaafan. Wahai anakku, tidak cukup mu hidup sengsara untuk 10 tahun kebelakangan ini selepas mengetahui kematian ibubapamu? Tidak cukupkah bagimu melihat anak-anak dan isterimu sengsara dalam api kebencian yang menyemarak di dalam hatimu. Wahai anakku, fikirkan kembali zaman mudamu yang gembira waktu kamu masih tidak mengetahui kematian ibubapamu. Betapa gembira dan bahagianya hidupmu. Apakah berbaloi untuk meneruskan kebencian ini dan menggadaikan segala ini untuk meneruskan kebencianmu? Wahai anakku, fikirkan juga. Jikalau kamu tidak ingin melihat anak-anakmu hidup dalam kebencian, apakah ibubapamu rela melihatmu hidup dalam api membalas dendam. Yang diharapkan ibubapamu padamu ialah melihat kamu hidup bahagia dengan mendapat keredhaan Allah daripada terjerumus dalam bisikan syaitan yang suka membuat sarang pada hati dan minda yang penuh kebencian. Wahai anakku, turunlah dari gunung ini jika kata-kataku tidak dapat menginsafkanmu. Tapi ingat, jangan naik balik ke gunung ini mencariku setelah kamu membalas dendam, kerana dendam akan balik mencarimu, dan aku tidak rela gunung ini dijerebui dendam yang mencarimu. Nak balas dendam, engkau perlu berjalan beribu batu menumpaskan beribu orang, nak memaafkan orang, engkau hanya perlu menggugurkan batu dari hatimu. Wahai anakku, sudah tentu engkau tahu yang mana lebih mudah dan membahagiakan. Tapi awasilah egomu dan racun dendam di hatimu yang barangkali sedang melanggar akal fikiranmu dan jiwamu kerana bisikan syaitan yang enggan membebaskanmu dan meringankan hidupmu," kata TG Zainal lagi. Pendekar mengangkat kepalanya, matanya merah bergenang air. TG Zainal terus memeluknya. "Terima kasih kerana menyelamatkan aku, Tok Guruku. Kebencianku ditawarkan dengan kesayangan Tok Guru. Betullah kebencian tidak boleh dipadamkan dengan kebencian, tapi dengan kemaafan dan kasih sayang," kata pendekar. Isi tersirat ada, tapi hanya pada mereka yang sudi menerimanya sahaja. Senyum. |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda PAS Kawasan Ampang, Selangor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan