Khamis, 13 Jun 2013

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Pembuat kereta sangkal dakwaan Utusan mengenai penurunan harga

Posted: 13 Jun 2013 02:49 AM PDT


KUALA LUMPUR, 13 Jun 2013 – Pembuat kereta Volkswagen dan Peugeot kedua-duanya telah menafikan penurunan harga tahun ini seperti dilaporkan oleh akhbar milik Umno Utusan Malaysia tiga hari lalu sebagai bukti gabungan pemerintah itu menunaikan janji pilihan raya mereka.

Utusan telah melaporkan Volkswagen, Peugeot, Honda dan pembuat kereta tempatan Proton dan Perodua telah menurunkan harga sepuluh model mereka sehingga 11 peratus bermula Januari tahun ini, menyiarkan senarai harga sebagai bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menunaikan janji mereka untuk menurunkan harga kereta dalam manifesto Pilihan Raya 2013.

"Sila ambil perhatian, harga di imej itu tidak tepat. Harga Golf memang RM157,888 semenjak dilancarkan. Bukan RM169,888," kata wakil dari Volkswagen Malaysia di akaun Facebook mereka merujuk kepada salah satu model Golf.

Seorang pengguna sebelum itu memuat naik laporan Utusan, yang mendakwa harga Golf telah dikurangkan sehingga 7.1 peratus dari RM169,888 ke RM157,888.

Bercakap kepada The Malaysian Insider, seorang pengedar untuk pembuat kereta Jerman itu mengesahkan harga Golf Mark 7 1.4 TSI yang dilancarkan sejak awal tahun ini memang berharga bermula dari RM157,888.

Peugeot Malaysia juga telah memberi respon di laman Facebook mereka mengenai dakwaan Utusan harga bagi model 308 telah diturunkan sebanyak 11 peratus dari RM115,663 ke RM102,888.

"Tanpa sebarang prejudis, tiada apa-apa dikeluarkan oleh kami, kami tidak dirujuk sebelum artikel itu dicetak dan tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan laporan berita itu. Harga yang ditunjukkan 308 Turbo pra- facelift dan 308 VTi sebenarnya merupakan dua varian berbeza dari Peugeot 308," kata pembuat kereta Perancis itu.

Seorang pengedar Peugeot memberitahu The Malaysian Insider model facelift 308 VTi semenangnya berharga RM102,888 semenjak ianya dilancarkan pada pertengahan tahun lepas dan harga 308 Turbo adalah RM121,888.

Utusan juga melaporkan Honda Jazz Hybrid kini berharga RM89,900 selepas diturunkan sebanyak 2.5 peratus dari RM92,187.

Semakan dengan pembuat kereta dari Jepun itu mengesahkan model versi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) di kilang Alor Gajah sememangnya dijual pada RM89,900 semenjak dilancarkan tahun lepas. Manakala model versi kenderaan jenis diimport sepenuhnya (CBU) dilancarkan sebelum ini berharga RM94,800.

Akhbar Melayu itu juga melaporkan penurunan harga bagi model syarikat tempatan seperti Persona, Preve, Saga dan Exora dari Proton, dan Alza, Viva, dan Myvi dari Perodua.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengulangi ikrar pilihan raya untuk mengurangkan harga kereta melalui akaun Twitter lewat bulan lepas, berjanji harga kereta akan dikurangkan secara berperingkat sehingga 2017.

Pada hari sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan telah berjanji untuk mengurangkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun, seperti yang digariskan dalam manifesto pilihan raya BN.

"Malah, sejak Oktober tahun lalu, harga 10 model popular di negara ini telah turun secara purata 7.3 peratus," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu, pertama selepas Mustapa dilantik semula ke dalam Kabinet.

Kedua-dua BN dan pembangkang Pakatan Rakyat telah berikrar harga kereta lebih murah menjelang pilihan raya Mei, walaupun melalui mekanisme berbeza.



Tiada ulasan:

Pengikut