Ahad, 19 Mei 2013

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KUBANG PASU

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KUBANG PASU


PRU13, kemenangan milik siapa?

Posted: 19 May 2013 08:33 PM PDT

Oleh AHMAD LUQMAN HAKIM AHMAD LUTFI 


HARAPAN lebih 50 peratus rakyat Malaysia secara umumnya tidak kesampaian pada 5 Mei lalu apabila keputusan PRU13 memihak Barisan Nasional (BN) pada peringkat Persekutuan apabila memperoleh majoriti mudah 133 kerusi Parlimen berbanding Pakatan Rakyat yang mendapat 89 kerusi Parlimen.

Begitu juga di negeri-negeri seluruh Malaysia kecuali Sarawak (yang telah mengadakan pilihan raya negeri sebelum ini) yang mempamerkan prestasi BN mampu mengekalkan kuasa di sembilan buah negeri selain merampas semula Kedah yang sebelum ini dikuasai oleh Pakatan, manakala Pakatan dapat mengekalkan kemenangan bergaya di negeri Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang dengan majoriti 2/3 di kesemua negeri yang dikuasai mereka. Sekali imbas, BN dapat mengekalkan pengaruhnya di kebanyakan tempat di Malaysia walaupun terpalit dengan pelbagai kontroversi dakwaan dakwat kekal yang "tidak kekal", pengundi Bangla, 'blackout' dan sebagainya selain berdepan tentangan yang amat sengit daripada lawannya oleh Pakatan melalui kempen-kempen yang telah dijalankan sepanjang 15 hari kempen pilihan raya yang disifatkan sebagai "ibu segala pilihan raya".
Namun hakikat yang perlu ditelan oleh BN ialah mereka sebenarnya kerajaan tidak popular buat pertama kali dalam tempoh 56 tahun Malaysia merdeka apabila statistik SPR menunjukkan undi popular BN hanya 46 peratus berbanding undi popular kepada Pakatan mencecah 50.3 peratus, fakta yang sebenarnya amat mengejutkan majoriti rakyat Malaysia jika dibandingkan dengan kekuasaan BN yang tetap kekal di puncak kuasa.
Pakatan akan mengemukakan petisen terhadap SPR di mahkamah selepas keputusan PRU13 diwartakan kerana terdapat beberapa alasan yang munasabah bagi mencabar kemenangan BN di beberapa tempat. Siapakah sebenarnya menguasai PRU13 dan isuisu berkaitan yang menimbulkan kemelut yang kian menampakkan bibit-bibit keraguan antara kaum mula ditimbulkan.
Seperti biasa, akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo yang sedia maklum merupakan akhbar "kempen" BN telah memainkan sentimen perkauman hanya dua hari selepas PRU13 iaitu memaparkan tajuk "Apa lagi Cina mahu?" dan "Pengundi Cina bersikap talam dua muka". Hal ini sebenarnya mencabul etika akhbar yang menjadi santapan rakyat setiap hari.
Sewajarnya akhbar memainkan peranan sihat dan adil dalam melaporkan sesuatu berita kerana rakyat berhak tahu akan situasi sebenar yang berlaku, namun akibat sudah alah bisa tegal biasa, Utusan Malaysia dan Kosmo sudah tidak peduli akan semua itu dan terus sahaja memperalat perasaan rakyat Malaysia dengan menggunakan pendekatan prasangka buruk dan serkap jarang dalam setiap laporan yang dipaparkan.
Umum mengetahui sokongan pengundi Cina meliputi hampir 30% daripada komposisi kaum di Malaysia tidak memihak kepada BN dan menyokong penuh Pakatan, tetapi media di Malaysia yang pro-BN telah melaporkan kononnya "tsunami Cina" dan dipengaruhi oleh fitnah Pakatan telah mengakibatkan BN tewas di kebanyakan tempat.
Hal ini adalah auta dan disangkal sama sekali. Sedikit fakta yang dipetik daripada kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur sebelum ini ingin disorot bagi menjelaskan kedudukan sebenar pengundi Cina di Malaysia.
Daripada 222 kerusi Parlimen, hanya 34 yang mempunyai komposisi pengundi kaum Cina sebagai majoriti. Walaupun Pakatan berjaya memperoleh kesemua undi Cina dalam kerusi-kerusi ini, ia hanya akan memenuhi 15% kerusi Parlimen.
Selain itu, di 55 kerusi Parlimen, pengundi Cina membentuk 30% hingga 50% bilangan pengundi.
Meskipun Pakatan mampu memperoleh 80% undi Cina dalam kerusi- kerusi ini, ia masih memerlukan di antara 35% hingga 40% sokongan daripada komuniti yang lain untuk memenangi kerusi-kerusi ini.
Secara keseluruhannya, hanya ada 89 kerusi Parlimen yang mempunyai pengundi Cina yang membentuk 30% jumlah keseluruhan pengundi. Jika ditakdirkan Pakatan memenangi kesemua kerusi Parlimen ini sekalipun, ia hanya akan membentuk 40% jumlah kerusi Parlimen, yang jelas tidak cukup untuk mencapai bilangan majoriti kerusi parlimen yang memerlukan minimum 112 kerusi untuk dimenangi.
Fakta PRU13 antaranya menyaksikan Parlimen Kota Raja di Selangor mewakili suara rakyat pelbagai kaum (44% Melayu, 25% Cina dan 29% India). Di sini melihatkan pertandingan empat penjuru antara penyandang daripada Pakatan- PAS, Dr Siti Mariah Mahmud'; BNMIC, Murugesan A/L Sinnandavar dan dua calon Bebas, Uthayakumar A/L Ponnusamy dan Azman Idrus.
Keputusan pengundi Kota Raja menunjukkan penyandang daripada Pakatan-PAS menang bergaya di kerusi tersebut apabila menambah majoriti sebanyak 29,395 berbanding 20,751 pada PRU12 meskipun berhadapan dengan tiga lagi calon.
Jika dianalisis mengikut trend "tsunami Cina" oleh Utusan Malaysia, mana mungkin Pakatan boleh menang jika tidak mendapat sokongan pengundi Melayu dan India secara bersama dan padu? Inilah fakta yang digelapkan oleh media pro-kerajaan.
Secara mudah, dapat disimpulkan PRU13 ini merupakan tsunami rakyat Malaysia yang inginkan perubahan setelah 56 tahun berada di bawah cengkaman BN yang kian leka dan alpa dengan kuasa yang ada, bukannya tsunami Cina semata-mata!
Kini rakyat di bandar-bandar dan kawasan celik IT dan maklumat sudah bijak membuat pilihan dan tidak menjadikan media nasional dan tradisional sebagai wadah maklumat utama, cuma masyarakat di kawasan luar bandar yang masih lagi dibutakan oleh BN tidak terdedah secara meluas dengan hal ini. PRU13 menyaksikan BN menjadi kerajaan tidak popular 46% dan tidak menjadi pilihan masyarakat bandar.
Percayalah, jika Pakatan berjaya menerobos kawasan kampung dan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak pada lima tahun mendatang, langkah BN akan berjaya dinoktahkan dan Pakatan akan menjadi harapan baharu Malaysia pada PRU14 insya-Allah.
Generasi Y dan Z akan menjadi penentu keputusan PRU14 kelak.
Itulah generasi kami semua yang lahir pada tahun 1992. Suara rakyat suara keramat!

Pemuda: Susun Saff, Atur Langkah dan Kukuhkan Tarbiyah

Posted: 19 May 2013 01:36 AM PDT

1. Pilihanraya umum ke 13 baru saja berlalu. Keputusannya sangat memberangsangkan meskipun kita belum berjaya capai target ke Putrajaya apabila 53 peratus undi atau sokongan rakyat adalah bersama kita Pakatan Rakyat.

2. Jelasnya perjuangan kita belum selesai. Perjuangan kita belum tamat. Kejayaan yang kita buru dan kemenangan yang kita dambakan bukan hanya sekadar Putrajaya yang terhenti di sempadan dunia tetapi apa yang kita buru dan dambakan ialah Syurgajaya yang melepasi hingga ke sempadan akhirat.

3. Justeru itu raikanlah kemenangan atau kejayaan dengan sederhana. Penuh tawadhu' dan insaf terhadap amanah kepimpinan yang terbeban ke atas kita. Raikan kemenangan dengan bertasbih kepada Allah dan istighfar mohon ampun kepadaNya. Jangan biar kelekaan mempengaruhi dan kelalaian menguasai diri kita. Kita adalah pejuang !
4. Tiada lagi masa rehat. Perjalanan kita masih jauh. Bangkit segera untuk melunaskan amanah perjuangan dan tanggungjawab kepimpinan ini. Berjuang untuk daulatkan syariah Allah swt dan tinggikan izzah ummah serta makmurkan muka bumi ini dengan akhlak mulia, keadilan dan nilai murni merentas kaum, bangsa, warna kulit dan bahasa lidah.

5. Susunlah saff kita dengan rapat tanpa beri peluang kepada musuh masuk menyelinap.

Aturlah langkah kita dengan mantap dan pantas mendepani cabaran dan tribulasi tanpa mengeluh dan gelisah.

Kukuhkan pembinaan tarbiyah Amal Islami pada setiap anggota dan kepimpinan pemuda sebagai pelapis perjuangan ini tanpa culas dan mengelak diri dari proses pembentukan aqidah yang soheh [ benar ], syakhsiah yang soleh [ baik ] dan fikrah yang soreh [ jelas ].

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPPM

Jaguh-jaguh perdebatan baru di Parlimen

Posted: 19 May 2013 01:35 AM PDT

Oleh Mohd Sayuti Omar
Pastinya sidang parlimen penggal ke-13 yang dijangka bersidang bulan depan tidak akan kalut dengan juahan dan bangkangan membuta tuli dari beberapa bekas orang ahli parlimen yang dianggap pengacau sidang dan sekaligus menjadikan parlimen riuh randah laksana pasar ikan.
Orang seperti Inchek Ibrahim Ali, orang itu, bekas MP Kulim ― Bandar Baru, Zaharain Hashim, Gobalakrishan atau Wee Chee Keong adalah bekas ahli parlimen yang mahu menjadi hero dan alat kepada UBN. 

Mereka asalnya mewakili Pakatan Rakyat tetapi separuh jalan "menungging punggung" kepada Pakatan Rakyat bahkan membaling tahi kepada mereka yang berjasa dan berbudi kepada mereka termasuk memberi laluan dan restu bertanding atas lambang parti. Apa dilakukan mereka adalah untuk mengambil hati Najib Razak dan UBN agar memberi sesuatu habuan kepada mereka. Mereka ini adalah orang-orang yang boleh "diciskan". Mereka bukan saja tidak ada moral politik tetapi sebenarnya tidak pernah menghormati demokrasi dan amanah rakyat kepada mereka. Cis 44 kali.
Ada yang juga yang terpaksa berpaling tadah kerana dikejar jenayah yang mereka lakukan sendiri. Jadi untuk menyelamatkan diri mereka sanggup menjilat ludah dan "menggetel telor" pemimpin UBN. Ada juga yang sanggup menggunting lidah sendiri di akhirat besok semata-mata untuk mempertahkan kedudukan sebagai ahli parlimen. Sidang parlimen kali ini tanpa mereka. Mereka semua kalah dalam pilihan raya lalu atau tidak diberi peluang bertanding langsung. Inchek Ibrahim Ali yang kononnya bisanya sampai ke telinga, dihumban pengundi Pasir Mas, kalah sehinggakan makan pasir kepada lawan yang dianggap sebagai "anak kera Pulau Melaka" dengan kekurang undi sebanyak 8,047.
Selain bekas-bekas MP cabuk itu sudah tidak ada lagi di dewan, beberapa MP Umno mulut berus dan cakap besar juga sudah tidak ada lagi. Dari Umno Abdul Aziz Mohamad wakil Seri Gading, Johor sudah tidak ada. Tajuddin Rahman pula yang sering menunjukkan muka bengis dan hidung "bercengik" juga tidak akan galak lagi kerana beliau dinaikkan pangkat menjadi timbalan menteri. Begitu juga Rahman Dahlan yang dijadikan peluru untuk serang Anwar Ibrahim tidak akan dapat dijadikan bullet lagi kerana dia dinaikan pangkat menjadi menteri. Kedudukan itu agak canggung untuk mereka bertindak menjadi penjerkah atau pengampu yang penuh lemak dan perut labuh di parlimen.
Yang ada hanya Bung Mokhtar Radin dari Kanabatangan Sabah.
Mungkin kehilangan mereka itu kita tidak terasa bahkan mujur. Mudah-mudahan sidang parlimen tanpa mereka tidak akan jadi kalut dan membentuk parlimen menjadi sarkas. Mudah-mudahan parlimen akan datang benar-benar terjaga akan kemuliaanya. Tetapi ketiadaan orang-orang seperti Sallahuddin Ayub, Saifuddin Abdullah, Saifuddin Nasation Ismail, Azan Ismail menjadikan sidang kali ini kurang bertenaga. Kita tidak dapat mendengar lagi perbahasan mereka yang sarat dengan fakta dan berkualiti dan senantiasa dinanti-nanti oleh pegawai kerajaan dan pengikut sidang parlimen.
Ketiga-tiga mereka tews dalam pilihan raya lalu. Salahuddin yang sebelum ini menjadi anggota parlimen Kubang Kerian, Kelantan tewas di parlimen Pulai, Johor. Manakala Saifuddin Nasution Ismail bekas anggota Parlimen Machang pula tewas di Kulim ― Bandar Baru. Begitu juga Azan Ismail yang tidak lagi bertanding di kerusi parlimen, berpindah ke kerusi state Terengganu, menang.
Sayang sekali. Tetapi apa boleh buat, semua terletak ditangan pengundi. Pengundilah yang menentukan apakah mereka masuk atau tidak ke parlimen. Betapa pun mereka diperlukan untuk menjadi pembahas dan kritikus parlimen yang baik tetapi kerana kehebatan mereka itu tidak dinilai pengundi, maka mereka tertinggal. Kekalahan mereka sedikit sebanyak menghilangkan keceriaan parlimen kali ini.
Bagaimana pun kata orang, yang hilang akan berganti, yang patah akan tumbuh. Ketiadaan mereka pasti akan berganti. Beberapa muka baru yanhg mulai melangkah ke perlimen sebagai anggota dewan diharap dapat menyambung tugasan dan tanggungjawab kekawan mereka yang tiada dalam dewan. Kehangatan dewan dengan suara mereka yang membawa suara dan aspirasi rakyat akan dapat diteruskan oleh muka-muka baru.
Antara muka baru yang dirasakan akan menjadi ahli parlimen berwibawa ialah Mohd Rafizi Ramli (Padan), Hanifa Maidin (Sepang) Takiyuddin Hassan (Kota Baru), Idris Jauzi (Batu Pahat), Idris Ahmad (Bukit Gantang) dan juga Shamsul Md Akin (Bukit Katil). Kebetulan kesemua mereka adalah profesional. Rafizi merupakan pengarah Strategfi PKR kelulusan sebagai akauntan yang banyak mendedahkan isu penyelewengan UBN. Salah satu isu yang sebati dengan Rafizi ialah pendedahan projek NFC.
Idris  Jauzi bekas pegawai kerajaan begitu juga Idris Ahmad bekas pensyarah dan pendakwah. Kedua mereka banyak pengalaman. Manakala Takiyuddin, Hanifa dan Shamsul Iskandar pula ketika-tika mereka adalah peguam yang berpengalaman.
Teruyamanya Takiyuddin bekas anggota Exco Kelantan akan menggunakan pengalamannya sebagai anggota Exco untuk berhujah dan membawa idea-idea baru di parlimen. Sebagai peguam sudah tentu Takiyuddin, Hanifa dan Shamsul akan menegakkan keadilan dan kebenaran di parlimen. Mereka akan menjadi pengkirtik berwibawa terhadap mana-mana tindak tanduk kerajaan yang tergelecah dari perundangan dan perlembagaan.
Sudah tentu kehilangan Sallahuddin, Saifuddin Nasution dan Azan akan diganti oleh mereka. Mereka yang baru ini akan memperkuatkan barisan pembangkang dengan ahli parlimen yang sedia ada seperti Mohamed Azmin Ali, Mahfuz Omar, Tony Pua, Tian Chua, Nurul Izzah dan lain-lain. Sudah pasti Nurul Izzah yang menang menewaskan menteri akan menjadi heroin di parlimen.
Selain mereka berlima terdapat beberapa muka baru yang lain. Mereka ialah Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, (Pasir Mas) Marzub Shaari (Bachok) dan juga Nasdaruddin Hassan. (Temerloh).  Kebetulan mereka adalah dari Dewan Pemuda PAS. Mereka sudah dikenali sebagai penceramah dan da"i di dalam PAS tetapi kewibawana mereka sebanarnya akan diuji di dalam parlimen.
Apakah mereka akan hadir ke parlimen setakat mendengar dan angguk, ataupun membaca beberapa hadith dan ayat-ayat Quran untuk mematahkan hujah pihak kerajaan dari konteks agama? Atau mengemukakan pandangan berupakan konsep atau pun idea-idea progresif dari akar Islam untuk membangun agama dan negara?
Kita berharap mereka bukan beretorik atau pun sekadar memberi ingatan dan pesan agar solat, jangan tinggalkan puasa ataupun sekadar menceritakan hikmah dan filsafah Haji dan Umrah ataupun membentangkan kehebatan syaksiyah para Rasul dan Umur Ibnu Aziz seperti di pentas-pentas ceramah fardu ain atau kuliah Maghrib. Kita mahu mendengar apakah pandangan mereka untuk membaik-pulih pentadbiran negara, ataupun lebih diharapkan mengemukakan formula konkrit ke arah perpaduan sejagat. Hujah dan idea mereka untuk mengatasi masalah sosial juga diperlukan. Dalam masa sama, apakah mereka dapat bertindak menjadi pembangkang yang bijak dan kreatif.
Lain-lain muka baru seperti Dr Izani Hussein dari Pengkalan Chepa, atau Wan Hassan dari Dungun Terengganu dan lain-lain juga diharap jangan setakat mengambil bahagian sekadar mengemukakan soalan bertulis tetapi yang lebih diharap akan mengemukakan soalan tambahan yang boleh menggoncangkan pihak kerajaan.
Sama-sama kita tunggu dan ambil perhatian atas apa yang saya perkatakan ini.

Loceng amaran dan Melayu dikhianati?

Posted: 19 May 2013 01:34 AM PDT

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Saya di Kota Bharu ketika menulis catatan pendek ini. Bersama wartawan kanan, Wan Nordin Wan Yaakob, saya cuba menghayati dan menikmati kemenangan berganda Pakatan Rakyat di Kelantan meskipun hebat diasak Umno-BN. Tidak mudah juga PAS mempertahankan Serambi Makkah selepas 23 tahun berkuasa semula, selepas dikalahkan pada 1978.

Meskipun BN dapat merebut tiga kerusi Parlimen yang ditandingi KeADILan di Machang, Tanah Merah dan Ketereh -- selain mempertahankan Jeli dan Gua Musang, keputusan mempertahankan 33 kerusi Dun dalam PRU13 itu boleh dianggap satu pencapaian membanggakan.

Serangan bertali-arus BN, terutama menggunakan senjata ampuh politik wang, juga dilihat mempunyai kesan negatif kepada sokongan terhadap Pakatan, terutama di kawasan membabitkan tokoh-tokoh utama Umno. Namun, saya sempat dibisikkan bahawa keputusan di Kelantan tidak boleh dipandang selesa, sebaliknya satu bentuk "loceng amaran" awal.
"Persaingan adalah merebut sokongan pengundi atas pagar dan jumlah besar anak-anak Kelantan di perantauan yang balik mengundi di kampung halaman, iaitu hampir 200,000 pemilih," kata seorang rakan, yang terserempak di KLIA semasa menunggu pesawat ke Kota Bharu. Beliau kelihatan agak bimbang dengan kecenderungan mengundi anak tempatan.
Kebetulan sewaktu tiba di hotel penginapan, Raudah, ada jamuan meraikan petugas pilihan raya PAS Kelantan. Ditemani ketua wartawan Harakah negeri, Mazlan Jusoh, kami menikmati makan malam yang enak, ditempatkan bersebelahan meja utama Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, Setiausaha Perhubungan PAS, Zulkifli Mamat, Pengarah Pilihan Raya Negeri, Wan Nik Wan Yusof.
Ustaz Mad, dalam ucapannya, menyuntik semangat untuk aktivis parti menyusun pendekatan terbaik dan membuat persiapan rapi menghadapi PRU14, "bermula dari sekarang, sebaik keputusan PRU13 diumumkan". Beliau sempat merakamkan penghargaan kepada NGO Royalti dan pihak yang menguruskan pengundi luar, yang memberi sumbangan besar kepada kemenangan di Kelantan.
Seusai majlis, Wan Nik menunjukkan analisis awal keputusan PRU13 Kelantan. Agak menarik bila dibentangkan fakta tentang "undi belah-bahagi"; ada pengundi memilih PAS di peringkat Dun tetapi memangkah BN di peringkat Parlimen, misalnya di Machang, Tanah Merah dan tidak terkecuali Kota Bharu. Namun begitu, ramai juga pengundi yang menyokong BN di kerusi Dun tetapi memilih PAS di kerusi Parlimen, seperti Tumpat dan Pasir Puteh.
Sebenarnya saya lebih terdorong untuk menulis tentang percikan api perkauman dan sentimen persengketaan antara kaum yang cuba dicetuskan oleh pihak tidak bertanggungjawab (mungkin mengambil semangat daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Najib Razak sendiri) dan media utama yang ditaja Umno.
Kecaman melulu kepada DAP secara khusus dan pengundi Cina secara umum hanya mendedahkan hipokrasi Umno berdepan situasi sulit yang dihadapinya. Ramai pemerhati politik hairan bagaimana parti teras BN itu mengambil sikap bebal, yang bukan hanya memerangkap diri sendiri, malah boleh menjerumuskan negara ke lembah kebinasaan.
"Alhamdulillah, DAP yang dikecam hebat dengan fitnah melulu tidak melenting. Begitu juga dengan sikap bijaksana pemimpin PAS yang tidak mudah terperangkap dengan ajakan perpaduan juak-juak Umno," kata seorang pensyarah sains politik.
Secara peribadi, saya terganggu dengan kenyataan bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan Ahli Jawatankuasa Rayuan Disiplin UMNO, Dato' Mohd Noor Abdullah yang mengugut masyarakat Cina supaya bersedia dengan  tindak balas masyarakat Melayu kerana "pengkhianatan" mereka dalam PRU13.
Dalam ucapan di Seminar Pasca PRU-13 di ibu negara, Mohd Noor mempertegaskan amaran bahawa orang Melayu akan membalas dendam sekiranya dikhianati. "...Bagi orang Melayu, pantang larangnya, jangan dikhianati orang Melayu. Oleh kerana orang Melayu bila dikhianati, dia membalas dendam kesumatnya tak sudah-sudah."
Malu saya untuk mengaku seorang Melayu jika ciri-ciri kemelayuan termasuk "membalas dendam kesumat tak sudah-sudah", seperti disebut Mohd Noor, yang sarat dengan elemen perkauman, hasutan dan langsung tidak bertanggungjawab! Kenyataan yang lazim didendangkan dalam kursus Biro Tata Negara ini seharusnya dikutuk.
Tempoh lima tahun ini wajar dimanfaatkan oleh Pakatan Rakyat, terutama PAS, bagi menawarkan budaya politik baru, untuk menjamin Malaysia yang dapat meneduhi setiap warganya, selain menguburkan terus politik kuno yang jahat dan hodoh itu.
Selepas memenangi hampir semua kawasan bandar, yang ditandai dengan majoriti lebih besar, Pakatan sebenarnya menguasai potensi masa depan yang cerah. Peningkatan kesedaran berpolitik masyarakat desa dan penempatan Felda misalnya, dikira mampu mengangkat kedudukan Pakatan, menjadikan impian ke Putrajaya lebih realistik.
Masyarakat Tionghua mungkin saja boleh berpatah palik memberi sokongan kepada BN dalam PRU14, tetapi dengan luka pedih dan bisa perit tusukan perkauman Umno, saya percaya dalam tempoh lima tahun ini, pengundi Cina tidak mudah memaafkan, apatah lagi melupakannya.

Zahid orang Melayu yang pongoh

Posted: 19 May 2013 01:34 AM PDT

Oleh Rossem
Orang Melayu menurut Munysi Abdullah ialah bangsa yang pongoh, cepat naik darah dan mudah hilang pertimbangan. Ketika marahnya mendidih mengelegak seperti air dalam cerek, perkataan pertama keluar dari rahang mulutnya ialah "Keluar engkau dari sini…" 


Maka berlakulah sepertimana pernah kita dengar, si ayah menghalau anaknya keluar dari rumah, dan tak mengaku sebagai anak. Suami menghalau isterinya keluar rumah dan tak izin kembali lagi. Kemarahan hanya bisa diredakan dengan cara bertindak seperti itu. Itulah jatidiri bangsa Melayu! Kelmarin, seorang menteri kabinet, iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi melakukan tindakan yang sama dengan mengesa rakyat Malaysia yang enggan menerima sistem pilihan raya Malaysia agar meninggalkan negara ini dan berhijrah ke negara lain yang cocok dengan mereka.
Zahid bertindak cara orang Melayu yang pongoh. Mungkin cara itu sesuai dizaman orang Melayu berjalan mundar mandir besisipkan keris di pinggang atau parang telanjang. Tapi tak sesuai di zaman facebook seperti sekarang!

Kabinet Najib Bakal Tersungkur?

Posted: 19 May 2013 01:33 AM PDT

Oleh Shahbudin Husin
Sementara Anwar dan Pakatan Rakyat terus memperhebatkan tekanan menolak keputusan piliharaya lalu dengan siri perhimpunan aman diteruskan lagi ke beberapa negeri, kabinet yang dibentuk Najib turut mulai bergelora. Bermula dengan Joseph Salang Gandum dari Parti Rakyat Sarawak atau PRS menolak perlantikannya sebagai timbalan menteri, majlis tertinggi parti itu juga membuat keputusan terbaru iaitu menolak sebarang jawatan yang ditawarkan Najib.

Ini bermakna, seorang lagi Ahli Parlimen PRS, Joseph Entulu yang sebelum ini dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, turut dianggap menolak perlantikan itu berasaskan keputusan yang dibuat oleh PRS itu.

Sebagaimana yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today, Presiden PRS James Masing berkata, majoriti pimpinan tertinggi parti menolak perlantikan yang dibuat oleh Najib kerana berasa dianaktirikan dari segi pembahagian kerusi kabinet berasaskan sumbangan enam kerusi Parlimen yang disumbangkan daripada 133 yang dimenangi oleh BN.

Berbanding MIC misalnya yang menang empat kerusi Parlimen tetapi diberikan dua jawatan menteri dan tiga timbalan menteri, pimpinan PRS merasakan pembahagian yang dilakukan oleh Najib sebagai tidak adil dan mereka berhak mendapat lebih daripada satu menteri dan satu timbalan menteri sepertimana yang diberikan oleh Najib.

Hanya bermula dengan tindakan Joseph Salang Gandum yang tidak puas hati kerana hanya diberikan jawatan timbalan sedangkan beliau mengharapkan diberi jawatan menteri, tindakan PRS ini bakal menimbulkan gelora yang lebih besar kepada Najib dan BN.

Walaupun bakal mengemukakan permintaan kepada Najib supaya diberikan keadilan, James Masing masih enggan memberitahu tindakan yang bakal diambil oleh PRS jika permintaan mereka gagal dipenuhi oleh Najib. Hakikatnya PRS sudah mula mengemukakan ugutan kepada Najib dan pilihan yang boleh diambilnya selepas itu tidaklah sukar difahami.

Dengan enam kerusi Parlimen yang dimilikinya, kuasa tawar-menawar yang dimiliki PRS bolehlah dikira bernilai tinggi.

Dalam masa yang sama sebuah lagi parti di Sarawak iaitu Parti Progresif Demokratik Sarawak atau SPDP turut meluahkan rasa tidak puas hati dalam pengagihan kerusi kabinet kali ini. Parti itu yang menang empat kerusi Parlimen dalam pilihanraya lalu, langsung tidak diberikan apa-apa jawatan oleh Najib.

Sumbangan empat kerusi Parlimen seolah-olah langsung tidak dihargai oleh Najib dan kini sudah timbul desakan agar parti itu menimbangkan kedudukannya dalam BN. Ia diakui oleh Setiausaha Agung parti itu sendiri. Ini kerana parti itu sebelum ini menjangkakan mereka sekurang-kurangnya akan ditawarkan satu jawatan menteri dan satu timbalan menteri atau dua jawatan timbalan menteri, lebih-lebih lagi salah seorang Ahli Parlimennya dari Bintulu, Tiong King Sing adalah juga Pengerusi BNBBC dan tokoh yang agak dikenali umum.

Sehingga ini dua parti dari Sarawak iaitu PRS dan SPDP dengan jumlah 10 kerusi Parlimen sudah secara terbuka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Najib berikutan perlantikan jawatan kabinet yang baru berusia tiga hari. Apakah selepas ini ada pihak-pihak lain lagi yang meluahkan perasaan yang sama? Atau mungkinkah kedudukan kabinet Najib terus bergoncang lagi?

Di Semenanjung pula, rasa tidak puas hati daripada kalangan UMNO terhadap kabinet Najib memang banyak kedengaran di mana-mana. Selain Kedah yang menyumbang 10 kerusi Parlimen tetapi hanya diberikan satu jawatan menteri dan dua timbalan menteri, di Selangor juga kedengaran nada yang sama berikutan ketiadaan langsung menteri daripada negeri itu, sebaliknya hanya seorang timbalan menteri saja iaitu Noriah Kasnon.

Beberapa perlantikan menteri dan timbalan menteri turut menjadi persoalan di kalangan rakyat dan ahli UMNO sendiri berikutan terdapat perlantikan yang dibuat Najib dilihat bukan berasaskan merit dan mahu melakukan peremajaan dalam parti sebaliknya lebih berasaskan balas budi semata-mata.

Perlantikan Shahidan Kassim dan Idris Jusoh sebagai menteri nyata menghalang proses peremajaan dan hasrat ingin memberi peluang kepada tokoh-tokoh muda kerana keduanya dianggap sebagai pemimpin kitar semula dan sudah berusia. Begitu juga Tajuddin Rahman sebagai timbalan menteri turut tidak memberi makna kepada peremajaan parti kerana jawatan itu sewajarnya diperuntukkan kepada tokoh-tokoh lain yang lebih muda.

Paul Low dari Transperancy International Malaysia pula dilantik sebagai menteri semata-mata kerana balas budi berikutan tindakannya membawa Najib menandatangi Ikrar Intergriti dipercayai telah melonjakkan keyakinan rakyat dan memberi kelebihan kepada Najib memenangi pilihanraya. Kerana beliau dianggap berbudi, maka ia dibalas dengan jawatan menteri walaupun seharusnya Najib membawa tokoh korporat atau profesional Cina yang lebih muda jika ingin memenangi hati pengundi Cina.

Begitu juga dengan perlantikan pemimpin Hindraf P Waythamoorthy, sebuah NGO mirip Perkasa, sebagai timbalan menteri adalah juga kerana membalas budi berikutan sokongan terbukanya kepada BN menjelang pilihanraya lalu sambil menandatangi perjanjian bersama Najib mengenai kepentingan kaum India yang seharusnya mendapat pembelaan daripada kerajaan. Kerana Najib percaya sokongan Hindraf itu membukan laluan kepada sokongan pengundi India yang lebih ramai, maka beliau diberikan ganjaran timbalan menteri.

Perlantikan pemimpin Hindraf itu bukan saja mendapat bantahan daripada Pemuda MIC yang merasakan IPF lebih baik jika ingin diberikan jawatan itu, malah ia juga menyebabkan imej Najib dengan dasar 1Malaysianya telah ditenggelamkan oleh perbuatannya sendiri.

Belum pun seminggu usia kabinet yang dibentuk Najib, unsur-unsur penolakan sudah pun mula kelihatan. Bermula dengan PRS dan SPDP yang merangkumi 10 kerusi Parlimen, jika ia gagal ditangani dan ditambah pula dengan beberapa Ahli Parlimen UMNO sendiri yang jelas rasa tidak puas hatinya di sana-sini, andai ia juga gagal dibendung, kebarangkalian untuk BN terus goyah dan tersungkur, tidak boleh dipandang mudah.

Jika ada diantara mereka ini memulakan langkah meninggalkan BN, yang lain hanya menunggu masa saja menuruti langkah yang sama.

Dengan PR mempunyai 89 kerusi Parlimen dan hanya kekurangan 23 kerusi lagi untuk membentuk kerajaan baru, mereka yang tidak berpuas hati ini barangkali hanya menunggu lamaran dan jika hantarannya bersesuaian, mengapa tidak! Lagi pula, politik adalah seni yang serba mungkin.
http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Pengikut