 Nik  Abdul Aziz berucap pada ceramah perdana bertajuk 'Pas For All' di  Putrajaya malam tadi. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
                                                                                                Nik  Abdul Aziz berucap pada ceramah perdana bertajuk 'Pas For All' di  Putrajaya malam tadi. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR                                                                  
PUTRAJAYA - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin  Barisan Nasional (BN) akan dikuburkan selama-lamanya pada 5 Mei ini  dengan kerajaan baru dibentuk pada keesokan hari. 
 Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, dengan angin  kebangkitan rakyat negara ini yang mahukan perubahan dalam atmosfera  politik akan memilih Pakatan Rakyat (PR) sebagai peneraju kepimpinan  negara dan menolak kerajaan sekarang. 
 "(Pada) 5 Mei rakyat akan mengundi, keyakinan saya mereka memilih kerajaan yang berlandaskan syariat Islam. 
 "6 Mei seluruh negara akan merayakannya dengan tertubuhnya negara Islam  sebenar. Gelombang Islam akan hapuskan nilai-nilai sekular," katanya  ketika menyampai ceramah perdana bertajuk 'Pas For All' di sini malam  tadi. 
 Hadir sama, calon Pas Parlimen Putrajaya, Datuk Husam Musa; Naib  Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Pesuruhjaya Pas Wilayah  Persekutuan, Md Nor Mohd; Yang Dipertua Pas Putrajaya, Nazir Zakaria dan  calon Pas Parlimen Titiwangsa, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzami. 
 Dalam perkembangan sama menurutnya, PR akan menerapkan konsep cara hidup Islam sepenuhnya dalam setiap aspek kehidupan. 
 "Islam datang dari ALLAH SWT, kita (manusia) hanya menumpang di dunia  ALLAH. Tibalah masanya kita amalkan sebuah negara mengikut acuan seperti  yang disyariatkan. 
 "Saya yakin Putrajaya ini bakal dirampas dan kita bersama-sama  menobatkan Datuk Husam Musa sebagai Ahli Parlimen Pas di sini," katanya. 
 Sementara itu, di Pentas Treler Negara Berkebajikan yang sama, Naib  Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, sekiranya BN terus memerintah  negara fitnah akan menjadi santapan rakyat setiap hari. 
 "Sebelum menjelang tarikh 5 Mei, Umno-BN telah rencanakan 1,001 fitnah jahat sebagai momokan pilihan raya. 
 "Terkini blogger Milo Suam mendedahkan proses undi awal penjawat awam  tidak seperti dijadualkan berlangsung pada 30 April telah didakwa tetapi  Papagomo yang memihak kepada mereka dibiarkan bertanding sebagai calon  bebas di Permatang Pauh," katanya. 
 Mengulas perkara sama Nurul Izzah berkata, tanpa Pemantau Pilihan Raya  (Paca) tidak mustahil BN akan merampas keputusan pilihan raya. 
 "Diingatkan undi setiap rakyat adalah penting untuk masa depan negara kerana pilihan raya kali ini terpenting buat kita. 
 "Kita perlu kuat menahan fitnah dan tohmahan menjelang tarikh 5 Mei  kerana semua itu akan kita kuburkan pada hari berikutnya," katanya.
SinarHarianOnline 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan