Rabu, 13 Mac 2013

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah


Kenyataan Media Majlis Pakatan Rakyat Sabah Mengenai Isu Pencerobohan Di Lahad Datu

Posted: 13 Mar 2013 02:13 AM PDT

KENYATAAN MEDIA MAJLIS PAKATAN RAKYAT SABAH MENGENAI ISU PENCEROBOHAN DI LAHAD DATU

Tarikh: 12 Mac 2013

Terlebih dahulu, Majlis Pakatan Rakyat Sabah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga perwira negara serta berdoa semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan kami berdoa agar mereka yang tercedera cepat sembuh. Hari ini pada 12 Mac 2013, Majlis Pakatan Rakyat Sabah telah mengadakan mesyuarat khas membincangkan tragedi pencerobohan di Lahad Datu.

Justeru itu, selepas mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat Sabah, kami telah membuat keputusan secara sebulat suara dan menuntut seperti berikut.

Majlis Pakatan Rakyat Sabah:
  1. Meminta Kerajaan Pusat memberikan penjelasan kenapa kumpulan penceroboh dapat membolosi sistem pertahanan negara dengan begitu mudah di Sabah.
  2. Mendesak Datuk Seri Musa Aman selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri membentangkan kertas putih dalam Sidang Dewan Undangan Negeri secepat mungkin. Majlis Pakatan Rakyat Sabah menyokong tindakan ADUN DAP Sri Tanjung YB Jimmy Wong Sze Phin yang meminta sidang Dewan Undangan Negeri khas diadakan dengan segera.
  3. Menyokong keputusan Pakatan Rakyat Pusat untuk mendesak sidang khas Parlimen dijalankan bagi membincangkan isu pencerobohan ini.
  4. Mendesak diadakan satu persidangan meja bulat di antara pimpinan kerajaan negeri dengan pimpinan pembangkang dalam usaha untuk mencapai muafakat bersama berhubung isu ini.
  5. Meminta Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak menjelaskan agenda sebenar pertemuan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pihak-pihak yang mendakwa mereka itu "Sultan Sulu" atau wakil-wakil mereka yang dijemput ke Perhimpunan Agung UMNO dan majlis-majlis lain.
  6. Meminta kerajaan pusat dan negeri untuk menjelaskan kepada rakyat Sabah status tuntutan kesultanan di atas sebahagian negeri Sabah dan kenapa bayaran tahunan masih diteruskan.
  7. Mendesak supaya Dato Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri, Dato Seri Hishammuddin Hussien selaku Menteri Dalam Negeri & Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan dan Datuk Seri Musa Aman selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri untuk meletak jawatan di atas kegagalan mereka menghalang dan menangani tragedi ini sehingga menyebabkan nyawa perwira Negara terkorban, kerosakan harta benda dan ekonomi terjejas.
  8. Menafikan tunduhan Ketua Pembangkang – Dato Seri Anwar Ibrahim adalah dalang di sebalik pencerobohan di Lahad Datu.

Sdr. Ahmad Thamrin Jaini
Pengerusi PKR Sabah selaku Pengerusi Mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat Sabah
 
YB Jimmy Wong
Pengerusi DAP Sabah

YB Datuk Seri Panglima Hj. Lajim Hj. Ukin
Presiden Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS)

YB Datuk Seri Panglima Wilfred M. Bumburing
Presiden Angkatan Perubahan Sabah (APS)

Sdr. Aminudin Aling
Pesuruhjaya PAS Sabah

Lahad Datu: Korban Terbaru, PAS Ucap Takziah

Posted: 12 Mar 2013 04:01 PM PDT

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, yang menjadi korban terbaru dalam misi menghapuskan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PAS mendoakan Allahyarham memperoleh ganjaran setimpal dari Allah atas tugas mulia mempertahankan negara.

"Saya merakamkan takziah kepada keluarga seorang tentera Malaysia yang menjadi korban terbaru di Sabah dalam insiden tembak menembak pagi tadi.

"Saya dimaklumkan Allahyarham berasal dari Kelantan dan jenazahnya akan tiba pagi esok di Pengkalan Chepa.

"Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran yang besar kepada Allahyarham yg terkorban mempertahankan kedaulatan negara," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan melalui Facebook petang ini.

Seorang lagi wira Malaysia terkorban di Lahad Datu. Takziah buat keluarga Prebet Mohd Hurairah dari Kelantan yang bertugas di Kem Kukusan Tawau, Sabah. Moga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang beriman.

Dalam insiden pagi tadi, Mohd Hurairah yang berasal dari Kelantan dan bertugas di Kem Kukusan Tawau, Sabah terkorban ketika bertempur dengan penceroboh di Sungai Nyamuk, dekat Tanjung Batu di sini.

Dalam pertempuran itu juga, tiga orang penceroboh turut ditembak mati oleh pasukan keselamatan Malaysia.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan militan itu berlaku pada 10.45 pagi.

Zulkifeli berkata, pasukan keselamatan diserang hendap oleh kumpulan pengganas pada 7.45 pagi dan selepas itu mereka melarikan diri sebelum dijejaki pasukan keselamatan dan berlaku pertempuran.

Korban terbaru hari ini menjadikan jumlah keseluruhan anggota keselamatan yang terkorban seramai sembilan orang dipihak penceroboh seramai 57 orang.

Allahyarham Prebet Mohd Hurairah merupakan anggota tentera pertama yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Sabah.

Tiada ulasan:

Pengikut