Ahad, 10 Mac 2013

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah


Antara 'Kelemahan' Pak Lah Dan 'Keberanian' Najib

Posted: 10 Mar 2013 06:41 PM PDT

Oleh: Syarhan Humaizi Halim

Ketika artikel ini ditulis, baru sahaja seminit melepasi 8 Mac 2013. Rakyat Malaysia meraikan 5 tahun ulang tahun tsunami politik melanda Malaysia.

Parlimen pun masih belum dibubarkan. Rakyat Malaysia semakin resah, malah pemimpin-pemimpin politik baik di pihak kerajaan atau pun pembanagkang lebih resah menanti tarikh pembubaran parlimen.

Mengimbau 5 tahun lalu ketika tsunami politik 2008 melanda, Malaysia berPerdana Menterikan Abdullah Ahmad Badawi yang juga dikenali sebagai Pak Lah.

Beliau pengganti Mahathir Mohammad yang memegang jawatan PM paling lama dalam sejarah Malaysia iaitu selama hampir 30 tahun.

Pak Lah, ketika lantikannya dikenali juga sebagai Mr Clean lantaran perwatakannya yang lemah lembut dan dilihat bersih dari sebarang masalah politik dan salah guna kuasa. Beliau dipilih oleh Mahathir untuk meraih kembali sokongan rakyat lantaran imej 'diktator' yang lekat pada Mahathir semenjak zaman reformasi 1999 dan ternyata strategi ini membuahkan hasil.

Selain itu, beliau juga sebagai seorang tokoh berlatarbelakangkan agama yang amat sukar sekali dicari dalam Umno, malah waris kepada tokoh ulama di Pulau Pinang. Ciri-ciri inilah yang menjadikan rakyat Malaysia terutama orang Melayu, terpesona dengan perwatakan dan latar belakangnya dan melupakan kejahatan dan kezaliman Mahathir sebelum itu.

Sebaik sahaja mengambil alih jawatan PM pada 31 Oktober 2003, Pak Lah tidak perlu mengambil masa lama untuk membubarkan parlimen bagi mendapat mandat baru dari rakyat.

Beliau hanya mengambil masa 5 bulan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri untuk membubarkan parlimen pada 4 Mac 2004 dan seterusnya mandat baru diperoleh pada 21 Mac 2004.

Mandat yang beliau peroleh bukan calang-calang mandat, malah yang terbaik buat Umno dan Barisan Nasional pasca reformasi 1999 dan dalam sejarah Umno dan BN. Ternyata strategi Umno / BN untuk mengalihkan beban imej Mahathir sebagai diktator dengan pengganti barunya Abdullah Ahmad Badawi, berhasil cemerlang, gemilang dan terbilang!

Namun, Pak Lah kemudiannya mula dilihat seorang PM yang lembut dan 'lembik" serta lemah dalam pentadbiran negara, sehingga beliau diserang dari luar dan dalam sebaik sahaja Umno BN gagal meraih 2/3 majoriti parlimen pada 2008. Gambar-gambar beliau yang 'selalu tidur' menjadi bahan jenaka rakyat yang menjadi satu faktor kegagalan beliau untuk mendapat 2/3 majoriti pada 2008.

Namun di dalam kelembutan dan kelembikanya, Pak Lah dengan macho dan berani membubarkan parlimen dalam masa 5 bulan sahaja selepas perlantikannya sebagai PM untuk mendapat mandat baru.

Selepas itu, mandat tersebut digunakan sebaiknya sebelum membubarkan parlimen kira-kira 4 tahun selepas itu yag menyaksikan tsunami politik negara pada 2008.

Disebabkan kegagalannya meraih 2/3 majoriti parlimen dalam sejarah Malaysia, beliau diserang luar dan dalam malah oleh mantan PM, Dr Mahathir.

Tidak perlu lama untuk mengakui kelemahan dan kesilapan, beliau meletakkan jawatan sebagai PM dan menyerahkannya pada 3 April 2009 kepada Najib Razak, PM Malaysia ke-6.

Najib semenjak zaman mudanya dikenali sebagai seorang yang lantang dan agresif. Ucapan dan pidatonya juga berapi-api, amat jauh sekali dengan Abdullah Badawi.

Dari segi sejarah, Najib pernah menjadi ahli perlimen termuda, timbalan menteri termuda dan menteri besar termuda di Malaysia. Malah beliau antara pemimpin Umno yang mempunyai kepetahan berpidato yang jarang-jarang dimiliki oleh pemimpin Umno lain.

Sedar tidak sedar, hari ini sudah hampir 4 tahun rakyat Malaysia berPerdana Menterikan Najib Razak. 3 April bulan hadapan genap 4 tahun beliau menjadi PM Malaysia ke-6 dan mungkin yang terakhir.

Malah, sedar tidak sedar juga sebenarnya mandat yang diterima oleh Najib hari ini sebenarnya mandat rakyat untuk Pak Lah, bukan untuk Najib. Ya, beliau harus sedar bahawa mandat yang beliau pegang hari ini adalah mandat yang diperoleh oleh Abdullah Badawi pada 8 Mac 2008 dan beliau hanya menumpang mandat Pak Lah.

Selemah-lemah Pak Lah, beliau dengan beraninya membubarkan parlimen dalam masa setahun selepas menerima mandat PM dari Mahathir.

Namun sehebat-hebat Najib, sudah 4 tahun beliau masih menggunakan mandat Pak Lah yang lemah dan masih belum berani membubarkan parlimen.
___________________________________________________________
Penulis ialah Ketua Pemuda PAS Kawasan Gombak, Selangor

Tabung Khas Bantu Penduduk Sabah Terjejas

Posted: 10 Mar 2013 04:18 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Sabah melancarkan tabung kemanusiaan, khusus bagi memenuhi keperluan penduduk yang terjejas ekoran krisis di Lahad Datu.

Ketua Pemudanya, Lahirul Latigu, berkata dengan penubuhan tabung berkenaan, segala keperluan dapat disalurkan PAS Sabah kepada penduduk yang kini ditempatkan di pusat-pusat sementara.

Ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini, Lahirul berkata pihaknya juga dalam rangka untuk menziarahi penduduk di pusat sementara itu dan menghulurkan bantuan.

"Kami juga bercadang akan ke sana. Buat masa sekarang, kami sedang mendapatkan info berkaitan keperluan yang mereka perlukan lagi, selain bantuan yang sudah mereka terima sebelum ini," tegas beliau.

Bagaimanapun, kata Lahirul, beberapa pimpinan PAS Lahad Datu sudahpun mula turun menziarahi dan menghulurkan bantuan kepada mereka.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada tabung berkenaan memandangkan krisis tersebut masih berlanjutan.

Kepada sesiapa yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Dewan Pemuda PAS Sabah, di nombor akaun 560232000360.

PRU13: Sasaran 40% Calon Muda Tercapai

Posted: 10 Mar 2013 04:15 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpuas hati apabila sasaran 40 peratus kerusi untuk calon-calon muda yang dimintanya sebelum ini tercapai.

Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, PAS pusat telah berjaya memenuhi target mereka agar kerusi-kerusi sama ada di peringkat parlimen atau Dun diberikan kepada calon-calon muda.

Bagaimanapun, Nasruddin tidak dapat memberi angka yang spesifik berhubung bilangan kerusi yang diberikan kepada calon muda itu.

"Kami berpuas hati, kerana target yang kami mahukan tercapai, cuma jumlah calon muda yang bertanding kami tidak ada angkanya kerana ianya ditentukann oleh PAS Pusat," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Sebelum ini pada tahun 2011, DPPM pernah menyatakan hasrat mereka agar PAS Pusat mempertimbangkan cadangan 40 peratus calon diberikan kepada orang muda.  

Nasruddin juga memberitahu kesemua jentera DPPM sama ada di peringkat national dan negeri sudah membuat persiapan akhir kerana mereka yakin PRU13 semakin hampir.

Sehubungan itu, DPPM akan menganjurkan Xpresi Ulama Muda Pelapis Haraki di Ehya As Sharif Gunung Semanggol Mac ini, yang mana ianya akan mengumpulkan kira-kira 1,000 ulama muda di sana nanti.

"Kita akan kumpulkan ulama muda daripada pelbagai bidang sama ada aktivis dan profesional sebagai persiapan sekaligus memenangkan Pakatan Rakyat dalam PRU nanti.

"Gunung Semanggol dipilih sebagai memperingati semula kelahiran ulama-ulama, dan di sinilah kita akan mula menggerakkan ulama muda kita yang bukan sahaja lepasa Timur Tengah bahkan juga lepasan tempatan," katanya.

Di dalam program itu DPPM akan mengisytiharkan beberapa ulama muda yang menyokong perjuangan PAS serta bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.

PAS Sabah Sumbang Kepada Keluarga Polis Terkorban

Posted: 10 Mar 2013 04:08 PM PDT

KOTA KINABALU: Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah hari ini menghulurkan sumbangan kepada balu Allahyarham Sarjan Mejar Baharin Hamit yang terkorban dalam serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata ketika operasi di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabtu lalu.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Naib Ketua Muslimat PAS Sabah, Faizah Antong di rumah Allahyarham di Kampung Darau, dekat Menggatal di sini pagi tadi.

Turut serta ke rumah Allahyarham adalah Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling dan beberapa pimpinan PAS Sabah bagi memberikan sokongan moral kepada keluarga Allahyarham.

Baharin, 50, dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, mula bertugas sebagai anggota polis pada tahun 1984, meninggalkan seorang balu, Sumiati Suarah, 40 dan dua anaknya Mohd Izzat, 16 dan Nur Izzaty, 11 tahun.

Lima lagi yang terkorban ialah ialah Supritendan Ibrahim Lebar dari Bukit Aman, Asisten Supritendan Michael Padel Sano dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Sarjan Aziz Sarikun dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Koperal Salam Tongiran (IPD Tawau) dan Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran (PGA Tawau).

Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu dan Semporna.

Tiada ulasan:

Pengikut