Rabu, 2 Januari 2013

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Posted: 01 Jan 2013 11:32 PM PST


Pakatan jumpa KPN bincang Himpunan 12 Jan

Posted: 01 Jan 2013 11:16 PM PST


PETALING JAYA: Pakatan Rakyat akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara berhubung penganjuran Himpunan 1 Juta Rakyat di Stadium Merdeka pada 12 Januari ini.

Pengarah Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) Mohamad Sabu, berkata pertemuan itu akan disertai pemimpin utama ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP dalam masa terdekat.

"Pertemuan itu bagi membincangkan agar pihak polis memberi kerjasama supaya himpunan itu nanti berjalan dengan baik.

"Kita memberi jaminan bahawa himpunan itu nanti akan berlangusung aman," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR di sini.

Turut serta pada sidang media itu, Setiausaha Agung PAS dan PKR, Datuk Mustafa Ali dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Biro Pakatan Rakyat DAP Teng Chang Kim serta anggota jawatankuasa pemandu HKR Hishamuddin Rais.

Selain itu kata Mohamad, pihak jawatankuasa induk sekretariat HKR pula, akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Wilayah Persekutuan bagi memaklumkan berhubung penganjuran himpunan itu.

Najib tunai janji

Sementara itu, Mohamad memberitahu, sehingga kini pihaknya belum menerima jawapan dari pihak pengurusan stadium terhadap surat permohonan yang dihantar 26 Disember lalu.

Ketika ditanya sama ada penganjur mempunyai alternatif lain jika stadium itu tidak dapat digunakan, beliau bagaimanapun melahirkan keyakinan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengotakan janji untuk membenarkan himpunan tersebut diadakan di stadium itu seperti yang dinyatakan ketika himpunan Bersih 3.0 tahun lalu.

"Buat masa ini hanya Stadium Merdeka. Saya yakin Perdana Menteri akan menepati janji," katanya.

Pada himpunan yang akan berlangsung dari jam 2 hingga 5 petang itu juga nanti, satu deklarasi rakyat yang dinamakan sebagai 'Deklarasi 12 Jan' akan dibentangkan.

Beliau juga memaklumkan himpunan serupa akan diadakan rakyat Malaysia di luar negara seperti himpunan Bersih lalu.

Lagi anak muda bantah Awang Adek

Posted: 01 Jan 2013 11:16 PM PST


BACHOK: Kenyataan Datuk Dr Awang Adek Hussin yang mendakwa kerajaan pusat tidak pernah berjanji mendarat minyak di perairan Kelantan ke Bachok, mengundang lagi kemarahan anak-anak muda.

Baru-baru ini lebih 300 anak muda dan penduduk tempatan menyertai bantahan di perkarangan Masjid Mahmudi Bachok.

Mereka bergabung di bawah Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R) dan Solidariti Rakyat Bachok Tuntut Pendaratan Gas ke Bachok (Cabar).

Mereka melaungkan perkataan "Awe Adek pengkhianat", "Awe Adek Koya Cerdik" "Daratkan Gas ke Bachok", "Awe Adek Pengderhaka" dan "Jangan Khianati Rakyat Bachok Kali Ke-2".

Turut hadir pada perhimpunan aman tersebut Setiausaha R, Hisyamuddin Ghazali, Pengerusi R Bachok, Zahari Sidek dan Pengerusi Cabar, Marzuk Shaari.

Hisyamuddin berkata, perhimpunan itu diadakan sebagai membantah kenyataan Awang Adek yang dinggap ingkar terhadap titah Sultan Kelantan.

Pada awal tahun lepas Sultan Muhammad V ketika bertitah merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri berharap gas yang terdapat di Telaga Bumi Selatan dan Telaga Surya Selatan (blok PM301) didaratkan di Bachok.

"Kami mendesak kerajaan dan Petronas mendaratkan gas ke Bachok memandangkan jarak telaga ke pantai Bachok hanya 160 km sahaja.

"Namun kerajaan baru-baru ini mengumumkan gas yang terdapat di perairan Kelantan iaitu di Blok PM301 akan salurkan ke Kerteh mulai 2013.

"Sedangkan kosnya sehingga RM16 bilion bagi membina paip baru sejauh 300 km serta loji penapisan baru," katanya di sini.

Hisyamuddin juga berkata, berdasar kepada kajian sekiranya gas didaratkan di Bachok ia akan memberikan 11,000 peluang kerja kepada penduduk setempat.

Oleh itu beliau berharap rakyat Kelantan bangkit menuntut gas yang berjumlah 1.7 trillion kaki padu didaratkan ke Kelantan.

"Rakyat Kelantan akan berputih mata sekali lagi selepas pengkhianatan kali pertama bilamana gas dilarikan ke Songkhla pada 2004," ujarnya.

Jelajah C4-R ke KLCC

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan program Cycling For Royalti (C4-R) hari kedua bermula di Pasar Pagi Kok Lanas jam 8.30 pagi tadi.

Sebelum itu peserta C4-R mengedar 500 keping sticker R dan 500 Buletin R kepada orang ramai di kedai Kok Lanas.

Acara perlepasan dilakukan anggota parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir dan Penyelia Dun Kok Lanas, Nik Mahadi Nik Mahmood.

Pengarah Program, Jeming Hassan berkata, sambutan penduduk setempat menggalakkan di mana lebih 200 hadir pada acara perlepasan biar pun dalam keadaan hujan lebat.

"Misi kami seterusnya ke Bachok dan Pasir Puteh. Bachok sepatutnya menjadi tempat pendaratan minyak dan gas.

"Di Pasir Puteh kami akan mengadakan ceramah perdana R di Kampung Gong Tinggi, Dun Semerak malam ini. Presiden R, Nazri Deraman dan Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim akan menjelaskan isu royalti dan pendaratan gas," katanya.

Esok jelajah C4-R akan bergerak dari Pasir Puteh ke Kuala Terengganu.

Dan esok juga R akan mengadakan perhimpunan aman "Dedah Penyelewengan Wang Ihsan Lesap RM12.3 juta" di hadapan bangunan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bermula jam 12.30 tengahari.

Jeming juga mengalu-alukan sumbangan kewangan, basikal, jaket keselamatan, helmet, makan-minum dan tempat tinggal untuk peserta C4-R. Sesiapa yang berminat boleh berhubung Cik Nurul: 019 9159559.

Pentas astaka Kemaman runtuh tutup tirai 2012

Posted: 01 Jan 2013 11:15 PM PST


KEMAMAN: Negeri Terengganu Darul Iman menutup tirai 2012 dengan insiden bumbung pentas astaka di Taman Bandar Chukai, Kemaman runtuh pada 30 Disember lalu.

Kejadian 'runtuh' seolah-olah badi bagi negeri ini selepas kejadian bumbung utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu runtuh pada 2 Jun 2009.

Tinjauan Harakahdaily mendapati sengkuap (awning) di pentas astaka berkenaan runtuh menyembah bumi dipercayai strukturnya yang lemah serta reput sekitar jam 2.30 petang.

Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai, Hanafiah Mat menggesa agar siasatan perlu dibuat secara telus bagi memastikan punca sebenar sebahagian bumbung astaka itu runtuh.

Ini kerana, katanya kejadian runtuh, roboh dan tumbang banyak berlaku di negeri ini seolah-olah membenarkan jolokan gelaran 'Terengganu Darul Runtuh' yang memalukan.

Sebelum ini, pelbagai jenis bangunan runtuh di Terengganu sehingga menerima jolokan 'Darul Runtuh'. Antaranya sekolah, masjid, stadium dan stesen bas. Kolam renang bertaraf nasional juga rosak iaitu bocor dengan airnya melimpah ke ruang niaga di sebelah kolam renang di Batu Burok itu.

Pelbagai pihak menyifatkan punca runtuhan itu adalah pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan akibat dari kontraktor kroni dan amalan rasuah dalam pembinaannya.

Tiada ulasan:

Pengikut