Sabtu, 1 Disember 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Kenyataan Musa: Hishammuddin didesak letak jawatan

Posted: 30 Nov 2012 04:45 PM PST


KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar) meletak jawatan atau digantung tugas dan harus ada siasatan terbuka ke atasnya.

Ini berikutan dakwaan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan yang mendakwa Hishamudin campur tangan dalam tugas polis.

Dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, Musa  menyatakan dengan jelas  tuduhan bahawa menteri Kabinet dan ahli politik sering cuba campur tangan dalam siasatan polis dan membuat penahanan semasa beliau berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara dan mendakwa ia masih berlanjutan.

Musa yang bersara pada September 2010 menamakan salah seorang menteri tersebut ialah Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai antara ahli politik itu dalam satu sidang media hari ini dan mendakwa keenggannya mengikut arahan tersebut menyebabkan beliau tidak disambung kontrak.

Tindakan Hishamuddin itu menurut Musa bersalahan dengan Seksyen 4 (1) Akta Polis (1967) yang membenarkan hanya beliau (IGP) saja yang boleh memberi arahan kepada pegawai bawahan.

Sehubungan itu, SAMM memandang serius pendedahan yang dibuat oleh Musa Hassan.

"Ini satu yang serius, rakyat dan warga asing yang mahu berurusan dalam negara ini sudah tentu tergugat kepercayaannya terhadap institusi polis negara ini. Sesuatu harus dilakukan segera," kata Norazizi A.Aziz,  Pengarah Seketeriat SAMM Kebangsaan.

Ekoran itu, SAMM dan sekutu akan melakukan himpunan ringkas, sidang media serta akan menfailkan satu laporan polis berkenaan perkara ini.

Ia akan diadakan hari ini di IPD Kuala Terengganu, Terengganu pada jam 11.50 pagi.

Laporan polis dan himpunan ini akan diketuai oleh cheGuBard, Penyelaras SAMM Kebangsaan sendiri.

Umno takut debat, hanya berani mengata belakang

Posted: 30 Nov 2012 04:45 PM PST

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mencadangkan pemimpin tertinggi Umno berdebat secara terbuka dengan pemimpin tertinggi PAS daripada terus menjadikan Perhimpunan Agung umno (PAU) sebagai medan memburuk-burukkan PAS dan Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan DMPP, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, ucapan perasmian Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ucapan dasar ketua-ketua sayap pemuda dan wanita hinggalah ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak tidak memberi fokus kepada hala tuju parti itu.

Sebaliknya mereka mengambil peluang tersebut untuk memburuk-burukkan Pakatan rakyat semahu-mahunya.

"Ucapan dasar Datuk Seri Najib menjadi ucapan nanar yang sasarannya ialah Pakatan Rakyat khususnya PAS.

"Muslimat mencadangkan Presiden Umno berdebat dengan Presiden PAS, Timbalan Presiden berdebat dengan Timbalan Presiden PAS dan naib-naib presidennya dengan Naib Presiden PAS.

"Tidak guna mereka menggunakan perhimpunan sendiri untuk mengutuk pihak lawan," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Tambah Aiman lagi, debat tersebut bukan untuk mencari siapa menang dan siapa kalah sebaliknya mahu rakyat menilai sendiri ketokohan semua pimpinan kedua-dua parti.

"Kita bukan mahu mencari pemenang tapi kita mahu debat yang harmoni, penuh fakta, menunjukkan intelektual pemimpin supaya rakyat dapat menilai sendiri.

"Sebaik-baiknya debat ini diadakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 sebelum rakyat memilih pemimpin yang dirasakan layak," katanya.

Beliau juga yakin wanita dan generasi muda mahu melihat pemimpin yang lebih matang dan mempunyai matlamat yang jelas daripada pemimpin yang hanya tahu memburuk-burukkan pihak lewan di medan sendiri.

"Muslimat juga mewakili generasi muda mahu melihat politik yang lebih matang dengan gagasan pemikiran yang dibawa, bukan politik kutuk-mengutuk kerana zaman politik begitu sudah berakhir," katanya.

Mohon maaf: Najib lebih lemah dari Pak Lah

Posted: 30 Nov 2012 04:44 PM PST

KUALA LUMPUR: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak buat kali ketiga memohon maaf kepada rakyat 'atas kekhilafan kerajaan' menggambarkan beliau lebih teruk 'gagal' berbanding Perdana Menteri sebelumnya, Abdullah Ahmad Badawi.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, beliau yakin permohonan Najib itu kerana kegagalannya mengurus tadbir negara dengan baik.

"Najib sedar beliau tidak dapat menyempurnakan tugas dengan baik untuk mengangkat negara ke arah yang lebih baik.

"Dan ini menunjukan beliau rasa beliau lagi gagal dari Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi)," kata beliua ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sebelum ini, pada Mac lalu ketika satu majlis di Baling Kedah, Najib juga pernah membuat rayuan momohon maaf kepada rakyat negeri itu atas kesilapan dalam pilihan raya umum lalu yang menyebabkan mereka ditolak di negeri itu.

Dalam satu majlis di Pelabuhan Kelang dua minggu sebelum itu, Najib juga memohon maaf dan mengakui bahawa BN ada melakukan beberapa kesilapan di negeri Selangor sehingga mereka ditolak oleh rakyat dalam pilihanraya 2008 lalu.

Mengulas lanjut, Salahuddin juga berkata, rakyat boleh memaafkan Umno BN atas kegagalan mereka namun tidak bermaksud rakyat akan terus memilih parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Mungkin rakyat boleh memaafkan Umno BN tapi tidak bermaksud rakyat akan terus memberi peluang kepda mereka. Memaafkan dan terus memilih dua perkara berbeza," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Justeru katanya, tiada masalah bagi rakyat memaafkan Umno BN tapi jangan sampai memberi peluang kepada parti yang terbukti gagal.

"Memaafkan itu boleh tapi pastikan rakyat tidak memilioh parti yang gagal lagi dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Najib dalam ucapan dasaranya dilaporkan sebagai berkata,"bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang, atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersandung atau tersalah. Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan"

Harap bertemu lagi sesi parlimen akan datang

Posted: 30 Nov 2012 04:44 PM PST


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli menyifatkan ketegangan semasa perbahasan di Parlimen adalah satu tanggungjawab anggotanya terhadap rakyat dalam menyampaikan isu-isu kepentingan negara.

Beliau yang mewakili Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menyatakan demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Dewan Rakyat petang semalam.

Persidangan Dewan Rakyat yang bermula 29 September berakhir semalam.

Beliau yang mewakili ahli-ahli parlimen Pakatan turut meminta maaf jika sepanjang perbahasan itu ada perkara yang menyinggung pihak kerajaan dan juga ahli-ahli parlimen yang lain.

"Seperti yang disebut karenah kekecohan di dalam dewan ini memang sudah dijangkakan, dan bukan suatu yang unik bagi dewan ini sahaja tetapi turut berlaku di negara-negara lain.

"Tindakan seperti ini adalah atas rasa tanggungjawab dan minat untuk mengambil bahagian serta menyampaikan isi hati rakyat yang dipertanggungjawabkan ke atas kita semua," ucapnya.

Dalam masa yang sama beliau juga turut mengagumi peranan dan tugas yang dilaksanakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan juga timbalannya dalam memimpin persidangan Dewan Rakyat bagi penggal ke 12.

Menurutnya lagi, atas kepimpinan Pandikar dan juga timbalan-timbalannya serta pertugas parlimen yang lain menyebabkan proses persidangan berlangsung dengan baik dan lancar.

"Apa yang berlaku sepanjang tempoh persidangan sejak 2008 sehingga sekarang, kita mengharapkan ia menjadi pengajaran dan pengalaman yang baik, ini adalah bagi memastikan proses demokrasi negara terus matang dan makmur," sambung beliau.

Dr Mohd Hatta mengakhiri ucapan dengan mengharapkan akan dapat bertemu di sesi yang akan datang kepada mereka yang masih dapat meneruskan kepimpinan selepas pilihan raya nanti.

"Biarlah perpisahan dan pergalaman selama ini diberkati oleh Allah," kata beliau sebelum mengakhiri ucapan.

Sebelum itu, Pandikar pada ucapan penggulungan menyatakan beliau tidak ada kuasa untuk memanggil persidangan pada tahun hadapan, dalam pada masa yang sama beliau menjelaskan tidak akan ada persidangan sehingga Mac 2013.

Tiada ulasan:

Pengikut