Isnin, 19 November 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Saya rela mati selepas Islam menang - Presiden PAS

Posted: 18 Nov 2012 03:47 PM PST


KOTA BHARU: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak berminat untuk menjadi perdana menteri dan "biarlah Islam menang dahulu sebelum beliau mati."

"Saya minta tuhan jadikan cita-cita saya menangkan Islam dahulu, lepas tu nak mati-matilah," ujarnya ketika dalam ucapan penangguhan
Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 di Putik, petang tadi.

Beliau memberi respons itu ekoran ada perwakilan mencadangkan Abdul Hadi diangkat menjadi Perdana Menteri sekiranya menang dalam pilihan raya nanti.

Ustaz Hadi bagaimanapun mengucapkan ribuan terima kasih diatas kepercayaan Dewan Ulamak untuk melihat beliau menjaedi perdana menteri tetapi katanya, yang lebih penting Islam yang menang.

Sewaktu ucapan penangguhan hari ini, wakil Ulama dan Muslimat sekali lagi menegaskan hasrat itu.

Abdul Hadi sebelum ini, juga memberitahu beliau sanggup menjadi nelayan semula dan seboleh-bolehnya mahu menjadi khadam rakyat.

Ucapan Tuan Guru Abdul Hadi kali ini disifatkan yang terbaik pernah beliau berikan dengan pelbagai ragam ucapan dan gelak ketawa dan kadang-kadang serius.

"Bagi saya, Ustaz Hadi telah berjaya menjadi ayah kepada semua pemimpin, ahli dan pihak-pihak dalam PAS dalam ucapannya kali ini," kata seorang pemerhati muktamar ini.

Para petugas media juga membuat penilaian yang sama dan mereka menyifatkan ini adalah ucapan terbaik dari Presiden PAS yang berlangsung kira-kira satu jam itu.


Hanya satu parti Islam




(Sebahagian pemerhati muktamar yang setia sehingga akhir muktamar)

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut bangga apabila PAS satu-satunya parti Islam yang terus bertahan di Malaysia sehingga hari ini.

"Kita berjaya wujudkan satu sahaja parti Islam di negara ini. Di Indonesia, lebih dari satu parti Isam wujud. Kita bersyukur hanya PAS satu-satunya, tetapi kita ada banyak NgO Islam yang turut memberi pandangan kepada kita,"katanya.

Di akhir penangguhan itu, Abdul Hadi turut berpesan kepada para perwakilan agar membuat persiapan pilihan raya mengikut kemampuan dan kewangan yang ada tidak semestinya sama dengan musuh.

Tetapi katanya, dengan kesediaan dan keikhlasan yang ada, pasti akan datang pertolongan daripada Allah SWT.

"Kena ingat, BN jadi kuat dan menang pun sebab mereka pakai tongkat, dengan penipuan, politik wang, guna jentera kerajaan.

"Umpama kalau kita main bola, pemain BN 30, penjaga gol mereka 10 orang, lepas tu pula pengadil pun sepak bola masuk gol yang dijaga oleh seorang sahaja penjaga gol," katanya diringi sorakan dan tepukan para perwakilan.

Justeru, beliau mengajak semua perwakilan terus yakin dengan PAS kerana PAS merupakan bahtera yang paling kukuh dan kuat kerana dapat bertahan sehingga ke hari ini.

"Bahtera PAS terus bertahan walaupun menghadapi perjalanan yang jauh dan dilanda ribut. Tetapi jangan kita terjun! Kalau mabuk makan ubat kalau pening rehat sebentar. Jangan terjun sebab dibawah ada jerung!," katanya yang disambut Allahuakbar para perwakilan.

Saya orang pertama sokong istihar harta

Posted: 18 Nov 2012 03:46 PM PST


PAS siap hadapi PRU di tahap maksima

Posted: 18 Nov 2012 03:45 PM PST

(Ustaz Hadi bersama Mohamad Sabu dan Mustafa menjawab soalan dari para perwakilan dalam sidang media selepas selesai muktamar)

KOTA BHARU: Persiapan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 berada pada tahap maksimum di seluruh negara, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, persediaan rapi bukan sahaja ditunjukkan di negeri-negeri di bawah PAS tetapi juga di negeri-negeri di bawah pemerintahan BN.

"Saya bukan sahaja melihat mood perwakilan tapi melawat seluruh negara, ke kawasan-kawasan parlimen dan saya dapati persediaan pilihan raya sangat baik dan sangat memuaskan hati saya.

"Bukan sahaja di negeri-negeri PAS sudah memerintah tetapi termasuk di negeri bukan PAS memerintah termasuk Sabah dan Sarawak," kata beliau pada sidang media sejurus berakhirnya Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 di Putik hari ini.

Muktamar PAS yang berakhir petang ini dalam suasana yang sangat ceria di kalangan semua pihak yang menyertainya kali ini.

Ucapan penggulungan yang dibuat oleh Presiden PAS dianggap yang terbaik dan memberikan motivasi kepada semua.

Muktamar dewan-dewan bermula Khamis lalu dengan pelbagai warna telah ditutup dengan paling baik oleh Tuan Guru Abdul Hadi.

Perwakilan dan semua pemimpin PAS telah berdiri tanda penghormatan di atas ucapan beliau yang amat bermakna itu.

Menang tumpuan utama


Menjawab soalan wartawan yang membangkitkan isu bakal Perdana Menteri selepas Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya pula, Ustaz Hadi tetap menegaskan ia bukan fokus utama.

"Tiada ketetapan siapa jadi Perdana Menteri," jawabnya ringkas lalu disambut Setiausahanya, Datuk Mustafa Ali, "nak jadi Perdana Menteri kena menang sebanyak mungkin. Kalau tak menang tak boleh jadi Perdana Menteri,"

Muktamar berakhir kira-kira jam 2.30 petang selepas ucapan penangguhan dari Ustaz Hadi.

PAS bukan parti kampung, sedia tadbir negara

Posted: 18 Nov 2012 03:45 PM PST

KOTA BHARU: PAS bukan 'parti kampung' bahkan sebuah parti yang kini bersedia untuk mentadbir Malaysia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Beliau berkata PAS kini didukung ahli dari pelbagai lapisan termasuk pegawai tinggi kerajaan dan pegawai keselamatan yang telah bersara.

(Gambar: Husam bersama petugas Harakah di muktamar.)

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan berkata Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-58 meletakkan PAS bukan saja untuk PAS tetapi juga PAS untuk semua.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Muktmar Tahunan PAS ke-58 yang berakhir di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) dekat sini petang semalam.

"Hendak membentuk sebuah kerajaan mesti ada pelbagai aliran kekuatan termasuk pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan pegawai dari pasukan keselamatan yang telah bersara.

"Dan ini membuktikan PAS tidak lagi sebuah 'parti kampung' tetapi sebuah parti yang bersedia untuk mentadbir kerajaan secara yang baik," ujarnya.

Katanya,, ucapan penggulungan Presiden PAS menunjukkan beliau seorang pemimpin sudah teruji, bahkan bersedia untuk memimpin rakyat Malaysia pelbagai kaum serta menguasai isu-isu governance dengan cekap.

Beliau turut mengulas isu 'pengkhianatan Umno'  terhadap Melayu.

Husam mendakwa itu merupakan isu besar yang akan diikuti follow-up program-program yang lain selepas ini.

Ini, ujarnya penting supaya rakyat di luar bandar boleh faham bahawa sebenarnya selama ini mereka adalah terpinggir kerana kecuaian atau pun pengkhianatan Umno.

Mengenai calon PAS untuk PRU13, beliau berharap calon itu mestilah seorang berbudi baik dari perspektif Islam,  beriman, bertaqwa dan ada track record serta rapat dan mesra dengan pengundi.

Muktamar PAS terus perkukuh Pakatan Rakyat

Posted: 18 Nov 2012 03:44 PM PST


KOTA BHARU: PAS terus beriltizam memperkukuhkan Pakatan Rakyat dengan mengambil kira parti itu tidak boleh bersendirian di Malaysia dalam suasana masyarakat majmuk, kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Begitu juga kata Presiden PAS itu, Umno tidak boleh bersendirian memerintah negara dalam suasana masyarakat yang pelbagai.

"Kita memerintah dalam suasana masyarakat majmuk. Melalui Pakatan Rakyat kita berjaya menghasilkan resolusi dalam tiga konvensyen yang diadakan," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada hari akhir muktamar di Putik hari ini.

Ucapannya mengambil masa lebih sejam itu mempertegaskan kesepakatan dalam Pakatan Rakyat menyentuh perkara yang sudah termaktub dalam perlembagaan.

Menurutnya apa yang telah ada dalam perlembagaan iaitu Islam agama persekutuan, keadilan kepada agama lain, hak istimewa bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan raja berperlembagaan sudah disepakati.

"Kita menerima kerana ini sudah ada dalam perlembagaan. Apa yang dihalal agama lain sebaliknya diharam agama Islam, kita tidak boleh ganggu. Amalan ini sudah dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu.

"Kita halalkan perkara halal dan haramkan perkara haram. Sebaliknya sekarang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak diketepikan.

"Misalnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang boleh menyatukan semua bangsa di Malaysia. Melalui bahasa dapat menyatukan antara satu sama lain, cuma kalau hendak tambah ilmu bolehlah menggunakan bahasa asing," ujarnya.

Kata Ustaz Abdul Hadi semua orang tahu bahasa adalah jiwa bangsa.

Sebaliknya kata beliau Umno pinggirkan bahasa kebangsaan, di  mana pemimpin negara lebih berminat menggunakan bahasa asing.

Katanya, pemimpin negara lain bercakap di PBB menggunakan bahasa ibunda masing-masing, sebaliknya pemimpin negara kita lebih suka menggunakan bahasa Inggeris.

Boleh murtad jika perlekeh Islam

Posted: 18 Nov 2012 03:44 PM PST

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sesiapa sahaja orang Islam yang memperlekeh agama Islam dengan sengaja maka ia boleh jatuh kepada murtad (terkeluar dari Islam).

Katanya, tindakan memperlekeh Islam boleh berlaku dengan banyak cara termasuk menolak Islam sebagai dasar perjuangan kerana menganggap Islam itu sudah lapuk dan tidak sesuai lagi zaman ini.

"Tak kira siapa pun kalau tok guru berserban berjanggut sekalipun kalau tolak islam dengan hati yang sengaja, dia kata Islam tak guna, dia murtad sekalipun tak ada mufti bagitau dia.

"Umno tolak Islam maka nampak dia telah memperlekeh Islam. Dia buang Islam macam buang ubat habis tempoh. Boleh jadi yang tolak Islam tu murtad dah, boleh jadi dia jahil, boleh jadi dia tak faham," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Muktamar Tahunan PAS kali ke 58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di sini hari ini.

Menteri Besar Kelantan itu juga berkata, bagaimana PAS boleh percaya dengan ajakan Umno untuk bersama-sama mereka membela Islam sedangkan sejarah membuktikan Umno sendiri menolak ulamak dalam biro agama Umno waktu perjuangan kemerdekaan dahulu.

"PAS bukan dicipta oleh orang PAS tapi oleh biro agama Umno. Kami hanya jaga sahaja.

"Sekarang (Umno) nak ajak PAS (bersama-sama) bela Islam. Alim ulamak kamu pun kamu tolak, takkan kamu nak terima ulamak kami pula. Itu logiknya," tegasnya memberi analogi.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut ditanya wartawan berhubung kenyataan Mursyidul Am PAS itu yang mengaitkan Umno dengan murtad.

Presiden PAS itu bagaimanapun berkata, huraian berhubung murtad boleh dirujuk dalam Kitab Mustika Hadis yang diterbitkan Jabatan Perdana Menteri.

"Baca kitab itu, ada hukum mengenai orang yang memperlekehkan Islam. Itu kitab yang ditandatangani Tun Dr Mahathir," katanya tidak mahu mengulas panjang.

Carian Harakahdaily terhadap kitab dimaksudkan itu mendapati, bahagian kedua di bawah tajuk 'Iktikad kepercayaan yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam', menyebut;

Melalui percakapan, iaitu tiap-tiap perkataan yang mencaci, menghina, merendah-rendah, mengecil dan mempermain-mainkan nama Allah, sifat-sifat-Nya, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, ayat-ayat-Nya dan hukum-hukum-Nya serta hukum-hukum yang diterangkan oleh rasul-Nya.

Dan juga perkataan yang menolak, menafi dan mengingkari segala perkara yang sekata alim ulamak mensabitkannya atau menafikannya serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu dari agama.

Misalnya seperti katanya mengenai mana-mana hukum Islam:

1. "Hukum apa ini?"

2. "Hukum ini sudah lapuk."

3. "Zaman sekarang tak patut diharamkan riba kerana mnghalangi kemajuan."

4. "Dalam zaman yang serba maju ini kaum wania tak perlu dibungkus-bungkus."

5. "Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?"

6. "Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya?"

7. "Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya?"

8. "Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam sampai kiamat kita tak maju."

9. Berkata: "Perbuatan yang demikian tidak beradab" – apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w selepas makan: menjilat sisa makanan dijarinya.

10. Berkata: "Aku tak mahu memotong kuku sekalipun sunat" – apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunat.

11. Berkata: "Si anu dah mulai menyalak" – semasa ia mendengar azannya.

12. Membaca ayat-ayat suci, hadis-hadis Nabi dan nama-nama Tuhan dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkannya.

13. Kata-kata mengkafirkan seseorang Islam, pada hal orang itu tidak diyakini ada padanya sesuatu sebab yang menjadikannya kafir, sebagaimana yang diterangkan oleh hadis Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Muslim.

Tiada ulasan:

Pengikut