Isnin, 10 September 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Majlis Syura tak bincang isu Nasharudin

Posted: 09 Sep 2012 04:52 PM PDT

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Syura PAS malam tadi tidak membincangkan sebarang isu berkait kedudukan bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa.

Menurut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, mesyuarat lebih dua jam malam tadi hanya memberi fokus kepada perkara-perkara yang berkait pilihan raya khususnya senarai calon yang akan bertanding.

Berhubung kedudukan Nasharudin katanya, tiada sebarang masalah yang timbul dan tiada keperluan bagi majlis syura membincangkannya.

"Mesyuarat tak bincang isu Ustaz Nasharudin dan dia pun ada dalam mesyuarat tadi.

"Tidak berbangkit untuk bincang isu Ustaz Nasha kerana tiada masalah yang timbul. Siapa kata ada masalah?" Kata beliau selepas selesai mesyuarat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut malam tadi.

Sehubungan itu jelasnya, kedudukan Nasharudin kekal sebagai anggota Majlis Syura PAS dan tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap Ahli Parlimen Bachok itu.

"Beliau kekal sebagai ahli majlis syura seperti biasa dan tiada apa-apa tindakan sebab tiada apa-apa masalah," katanya lagi.

Mesyuarat malam tadi turut dihadiri Nasharudin selaku ahli Majlis Syura PAS yang dilihat tiba di ibu pejabat PAS, kira-kira jam 8.55 malam tadi.

Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut hadir mempengerusikan mesyuarat.

Bagaimanapun beliau yang juga Menteri Besar Kelantan dilihat meninggalkan bangunan ibu pejabat parti itu kira-kira jam 9.15 malam.

Isu kedudukan Nasharudin menjadi tumpuan ekoran kenyataan beliau dimedia arus perdana yang menggesa PAS mempertimbang semula kenggotaan dalam Pakatan Rakyat berikutan pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam isu hudud.

Samseng: PKR mahu jumpa Ketua Polis Negara

Posted: 09 Sep 2012 04:51 PM PDT

KUALA LUMPUR: Pemimpin PKR akan memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berhubung beberapa serangan terhadap program parti itu sejak kebelakangan ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata,  Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution akan menulis surat memohon pertemuan itu diadakan dengan segera.

Semalam, bas Jelajah Merdeka Rakyat yang digunakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan PKR sekali lagi diserang ketika siri lawatan di Jasin, Melaka.

Bas tersebut dihalang sekumpulan samseng dan dilempar cat merah.

Ianya merupakan serangan kedua selepas kali pertama diserang di Kota Bharu minggu lepas.

Menurut Nik Nazmi, sebelum itu lagi, taktik samseng sama telah digunakan terhadap pimpinan PKR dan Pakatan Rakyat.

Ia termasuk serangan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sembrong Johor, kecederaan warga emas di Lembah Pantai apabila terkena batu yang dilontarkan terhadap YB Nurul Izzah Anwar dan pelbagai lagi kejadian lain.

Pun begitu katanya, sekalipun pelbagai laporan polis dibuat, sehingga hari ini pihak polis dilihat tidak serius dalam mengambil tindakan dalam hal ini.

"Datuk Seri Najib Razak, selaku Perdana Menteri terus diam membisu, seolah-olah memberikan lampu hijau untuk gejala samseng ini terus berleluasa.

"Untuk menghentikan kejadian ini, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution akan menulis surat rasmi kepada Ketua Polis Di Raja Malaysia Tan Sri Ismail Omar untuk bertemu dan memastikan polis memberikan perhatian terhadap amalan yang mengancam demokrasi negara ini," katanya.

Salahuddin ketuai pasukan khas isu Rapid Pengerang

Posted: 09 Sep 2012 04:51 PM PDT


KUALA LUMPUR: PAS mewujudkan pasukan khas bagi menangani isu Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang Johor yang melibatkan pengambilan tanah penduduk oleh kerajaan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub merangkap pengerusi pasukan khas tersebut berkata, PAS mahu menyelesaikan isu itu dengan segera selepas kerajaan bertindak mengambil tanah penduduk tanpa mempedulikan hak mereka.

"Hasil mesyuarat bulan ahli jawatankuasa PAS hari ini, PAS bersetuju tubuh 'task force' isu Rapid di Pengerang bagi membantu penduduk di Johor menyelesaikan isu yang semakin berlarutan ini," kata beliau ketika ditemui di majlis rumah terbuka PAS Pusat di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru petang ini.

Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) dilantik sebgai timblan pengerusi pasukan khas tersebut.

Petronas merancang membina kilang petrokimia bernilai RM20 bilion bagi projek pembangunan hab industri minyak dan gas penapis gas di Pengerang yang diwakili Ahli Parlimen BN, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Namun projek tersebut dibantah penduduk yang risau tanah mereka diambil tanpa pampasan sewajarnya.

Salahuddin juga berkata, satu himpunan besar-besaran akan diadakan di Pengerang pada 30 September ini sebagai tanda protes selepas usaha penduduk berunding dengan pihak pemaju dan kerajaan menemui jalan buntu.

"Kita akan berhimpun secara besar-besaran di Pengerang sebagai sokongan kepada penduduk yang mempertahankan tanah mereka," katanya.

Majlis hari terbuka Aidilfitri PAS meriah

Posted: 09 Sep 2012 04:51 PM PDT

KUALA LUMPUR: Biarpun hujan mula membasahi padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, ia tidak menghalang orang ramai untuk menghadiri majlis terbuka Aidilfitri PAS Pusat,hari ini.

Majlis yang bermula pada jam 2 petang itu, dimeriahkan dengan kehadiran orang ramai dari pelbagai kaum, sama ada Cina, dan India.

Kebanyakan orang ramai yang hadir turut membawa anak kecil bersama-sama bagi memeriahkan suasana hari terbuka itu.

Pada tahun ini, PAS Pusat menyediakan pelbagai menu istimewa, antaranya sate, lemang, nasi dagang, kuey tiaw goreng, mee goreng, dan menu kegemaran kanak-kanak, aiskrim.

Hampir kesemua pemimpin utama PAS berada pada majlis sambutan Aidilfitri, bagi membolehkan para hadirin berpeluang bersalaman dan bergambar kenangan.

Pengarah program, Mohamad Nor Muhammad, berkata seramai 500 petugas dari Selangor, Wilayah Persekutuan, dan Negeri Sembilan membantu melancarkan majlis.

"Terima kasih kepada yang hadir, yang difahamkan bukan sahaja dari sekitar Lembah Kelang, tetapi juga dari Negeri Sembilan. Sambutan agak menggalakkan, sehinggakan menu utama iaitu nasi dagang sudah habis sejak jam 3 petang," kata beliau yang ditemui pada majlis tersebut.

Beliau turut memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan pada majlis tersebut.

Antara pemimpin utama Pakatan Rakyat yang hadir ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Wan Azizah, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

Tiada ulasan:

Pengikut