Jumaat, 7 September 2012

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KUBANG PASU

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KUBANG PASU


Umno Tidak Akan Menang Dengan Kejahatan

Posted: 07 Sep 2012 03:54 AM PDT

Oleh Mohd Sayuti Omar
Berbagai-bagai kejadian buruk dilaporkan berlaku dalam dunia politik negara kita ke belakangan ini. Kejadian-kejadian ini seperti satu strategi pula oleh pihak tertentu untuk mendapatkan kuasa. Walaupun perbuatan jahat dan keji itu dilarang agama tetapi ia tidak dipedulikan. Cara mereka mengolahkan kejahatan ini seakan mereka sudah tidak mempunyai adat dan nilai-nilai kemanusiaan beragama lagi yang mementingkan soal hormat menghormati di antara satu sama lain.


Apakah kerana keadaan begitu terdesak maka cara tidak halal itu digunakan?

Barang kali tidak disenangi kalau dikatakan yang acap melakukan kejahatan ini adalah di pihak parti kerajaan sendiri. Maksudnya parti Umno dan sekutunya dalam BN. Sesuatu yang menghairankan kenapa sampai begitu sekali. Tidakkah parti kerajaan mempunyai berbagai kemudahan untuk membantu mereka mengekalkan kuasa. Jadi kejahatan dan kekejaman langsung dari mereka tidak diperlukan lagi dan jika dilakukan juga memburukkan parti pemerintah sendiri. Kejahatan dan kekejaman menjatuhkan marudah bukannya menaikkan martabat parti itu sebagai parti pemerintah.

Parti kerajaan ada tentera, ada polis hatta Rela, yang menjaga keselamatan parti itu. Walaupun tugas pasukan keselamatan ini untuk umum tetapi dalam tindak tanduk pasukan-pasukan keselamatan ini mereka seolah-olah bekerja untuk parti pemerintahan. Apakah tidak cukup dengan polis dan tentera maka Umno terpaksa menggunakan samseng?

Kejadian-kejadian buruk dan keji yang dilaporkan setiap hari tidak dapat dipisahkan dari perbuatan parti pemerintah UBN. Penglibatan ini tidak boleh disembunyikan lagi. UBN khasnya Umno menjelama dalam pelbagai rupa untuk melakukan pengkhinatan-pengkhianatan itu.

Dalam masa terdekat ini dua kejadian yang sangat keji dan tidak beradat. Satu kejadian menyerang bas dua tingkat PKR di Kelantan dan satu lagi menyerang masjid di kampung Pumpong Kedah. Ini adalah kesenimbungan kejahatan yang dilakukan ke atas pembangkang sejak zaman berzaman. Sebelum ini bermacam-macam kejahatan telah berlaku dan dilaporkan.

Makin hari nampaknya makin banyak dan kerap kejahatan dengan menyerang pihak Pakatan Rakyat. Apakah UBN sudah benar-benar terdesak sehingga hilang akal meninggalkan politik secara sihat dan berfikiran terbuka dan diambilnya politik mafia?

Di sini saya hendak menarik perharian para pemimpin UBN berhubung siri-siri kejahatan yang mereka cita dan lakukan dengan bersembunyi di sebalik puak-puak atau individu tertentu. Bahawa kejahatan tidak pernah memberi kemenangan kepada sesiapa atau mana-mana puak sekali pun. Atas apa juga tindakan jahat, kejahatan tidak akan disokong sebaliknya akan dikutuk.

Apakah Umno fikir dengan melakukan kejahatan, ugutan, tekanan itu mereka akan menang? Silap kalau itulah anggapan dan kepecayaan yang ada kepada Umno. Saya ambil contoh yang berlaku di hadapan mata saya sendiri bagaimana kejahatan dan kekejaman tidak membantu memenangkan Umno. Politik jahat tidak pernah menjanjikan kemenangan.

Di Kelantan Umno berlaku sadis dan kejam ke atas orang Pas sejak tahun 60-an lagi. Apa yang tidak dilakukan oleh Umno menerusi pemuda tahan lasak atau kumpulan samseng yang diupahnya terhadap ahli dan penyokong Pas. Apa yang dilakukan Israel ke atas rakyat Palestin semuanya dilakukan oleh di Kelantan. Ugut, tangkap, penjara pemimpin Pas, pukul, tampar, sepak, teranjang dan segala macam dilakukan. Lebih dahsayat dari itu ada pemimpion Pas dibunuh. Ini menggambarkan akan kebobrokan politik negara ini.

Permis parti Pas dirobohkan dan dibakar. Orang Umno bertindak lebih kejam dari tentera Jepun yang menakluk Kelantan tahun 1942 dulu. Tetapi apakah hasil dari kejahatan dan kesadisan itu. Umno tidak menang rakyat tidak pernah takut dengan kejahatan sebalik kerja-kerja jahat itu dimurkai rakyat. Rakyat membalas kejahatan itu dengan tidak memangkah Umno. Kekalahan dan kegagalan Umno untuk menguasai Kelantan sejak 22 tahun lampau adalah disebabkan Umno mengamalkan politik jahat dan kejam.

Hari ini kejahatan yang berlaku dan dilakukan di hampir seluruh negara oleh Umno menerusi berbagai agensi samseng itu hampir menyamai kejahatan dilakukan di Kelantan dulu. Nampaknya kejahatan ini menjadi permainan dan senjata utama Umno dalam mempertahankan kuasa. Ingatalah dengan menoleh kepada apa yang berlaku di Kelantan Umno sepatutnya insaf; bahawa kejahatan tidak akan membawa kemenangan.

UBN harus kembali kepada politik secara sihat. Politik yang menyenangkan jiwa rakyat.  Betapa pun Umno menabur wang dan berjasa kepada rakyat tetapi dalam masa sama kejam terhadap lawan dilakukan, rakyat akan marah dan tidak akan bersama Umno. Sebagai parti unggul menjadi kerajaan Umno sepatutnya mempelopori politik harmonis dan profesional bukannya menyuburkan bibit-bibit kejahatan.

Hari ini dunia semakin maju dan generasi semakin cerdik dan bebas berfikir dan memikir. Apa yang dicari oleh rakyat dan ana-anak muda kini ialah sesuatu yang logik pada akal mereka. Mereka mahukan kepada fakta di dalam politik bukan retorik. Kejahatan sama sekali mereka akan tolak. Kejahatan fizikal tidak pernah ada dalam minda politik moden. Kejahatan fizikal hanya akan laku sekiranya negara ini masih belum tamadun.

Makanya kalau Umno ingin mengekalkan kuasa serta dihormati rakyat jelata mereka harus hentikan politik jahat menggunakan fizikal yang merugikan semua pihak dan menjatuhkan martabat negara. Kejadian serang masjid, serang bas, serang rumah terbuka ataupun melemparkan kata-kata keji dan perbuatan jahat kencing gambar pemimpin, hendaklah dihentikan segera.

Ingin ditegaskan bahawa kejahatan tidak akan menjamin dan membawa kemenangan melainkan ianya dibenci sampai ke dalam hati.
 http://msomelayu.blogspot.com/

Apa dosanya kibar Sang Saka Malaya?

Posted: 07 Sep 2012 03:52 AM PDT

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Sambutan kemerdekaan negara kita memang tidak sunyi daripada polemik. Sumbangan para pejuang yang berhempas-pulas menghalau penjajah dengan darah dan air mata turut menjadi pertikaian. Umno mahu membolot legasi perjuangan mulia itu; seolah-olah ia sahaja berperanan membebaskan watan tercinta.



Tahun lalu heboh kontroversi Mat Indera dan peristiwa Bukit Kepong. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, dilanyak Utusan Malaysia berminggu-minggu tanpa diberi peluang membela diri. Di peringkat awal, PAS nampak tersudut ke penjuru kelam, kononnya  tidak langsung menghargai pengorbanan pasukan keselamatan, sekali gus mengagungkan "wira komunis".

Bagaimanapun, tanpa dirancang, minat masyarakat untuk menelusuri jejak perjuangan membebaskan tanahair daripada cengkaman penjajahan British meningkat dengan drastik sekali. Naluri ingin tahu fakta sebenar membuak. (Secara peribadi, saya yakin, apa jua kontroversi, jika disorot melalui tradisi keilmuan yang segar dan mantap, pastinya mendatangkan manfaat buat semua).

Satu Wacana Merdeka, yang dianjurkan Jabatan Sejarah Universiti Malaya, pada 23 September 2011, di Dewan Uliah A, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM, mendapat sambutan memberangsangkan. Saya yang masih bertongkat, terpaksa hadir awal dan mendaftar sebelum jam 8 pagi, bimbang tidak mendapat tempat.

Sejarah, yang sering dianggap pengulangan cerita lama yang membosankan, tiba-tiba menggamit minat luar biasa masyarakat awam. Dari sisi lain, sekurang-kurangnya pusara anggota polis yang terbunuh di Bukit Kepong itu, tidak lagi terbiar. Ramai cuba mempamerkan simpati. Dan lebih penting, sehubungan itu, nasib pesara pasukan keselamatan, menjadi perhatian istimewa pemerintah, dengan menawarkan beberapa insentif menarik.


Ya, segalanya dimulakan oleh ceramah Mat Sabu di Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011. Rahmat terselindung -- ramai juga  (khususnya bekas polis dan tentera) mendapat manfaat atau "durian runtuh" ekoran kalimat yang dilihat kontroversi itu!

Seterusnya, soal yang berlegar sekitar pentafsiran sejarah itu, bukan sahaja disinggung tokoh akademik dan Majlis Profesor Negara, malah turut diheret ke mahkamah. Hakim diminta memutuskan isu berkaitan perdebatan proses kemerdekaan Tanah Melayu -- suatu dimensi yang sepatutnya terbuka untuk perkongsian lebih ramai khalayak.

Sememangnya proses pendakwaan kes jenayah di negara kita (bukan hanya Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA, yang digunakan sebagai senjata politik) sering menjadi alat atau perkakas siasah pemerintah apabila berdepan saingannya. (Saya terkenangkan Lim Guan Eng disumbat ke penjara selama hampir dua tahun melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dalam kes membabitkan bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Tamby Chik, sedangkan ia lebih kepada pertarungan politik).

Terbaru, aksi beberapa anak muda yang mengibarkan bendera "Sang Saka Malaya" di Dataran Merdeka, menjelang detik 12 tengah malam 31 Ogos lalu,  secepat kilat dimanipulasi untuk mempamerkan "wajah hodoh" Pakatan Rakyat dan pemimpin Bersih. Rupanya kempen politik BN dalam sambutan 55 Tahun Merdeka Janji Ditepati belum berakhir dengan himpunan besar-besaran di Stadium Bukit Jalil ....

Meneliti laporan media  (yang sentiasa menunggu bagai singa lapar untuk menghitam-legamkan wajah pembangkang, berdepan PRU13), dua insiden berbeda pada malam himpunan Janji Demokrasi itu cuba dihubungjalinkan dan dikaitkan dengan  Pakatan Rakyat.

Selain itu, penonjolan "Sang Saka Malaya" mahu disamakan dengan peristiwa memijak (dan tunjuk punggung) ke atas gambar Perdana Menteri, Najib Razak,  dan isterinya, Rosmah Mansor, serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Aziz Yusof. Pihak polis berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta Hasutan (yang mahu dimansuhkan itu), Akta Perhimpunan Aman dan Kanun Keseksaan.

Pastinya setiap kita tidak dapat menerima aksi melampau, mencabuli akhlak dan tidak bertamadun memijak gambar Najib itu. Walaupun ramai berkongsi tekad dan keazaman yang tinggi untuk menjatuhkan kerajaan BN pimpinan Najib dalam PRU13, namun segalanya perlu dibuat melalui amalan demokrasi. Justeru, yang dituntut adalah sistem pilihan raya yang bebas, adil dan bersih.

Sejak merdeka, pembangkang, khususnya PAS sebagai oposisi tertua, sentiasa dizalimi, dianiaya dan dinafikan hak sebagai parti berdaftar untuk bertanding di "atas padang yang sama rata".

Pemimpin dan aktivisnya bukan saja ditahan (sebahagiannya tanpa bicara), dibuang daerah, didiskriminasi serta melalui siri tribulasi dan mehnah  yang panjang, malah ada yang dibunuh, namun sistem pilihan raya yang serba tempang-kotor itu tetap dihormati. Mereka tidak pernah absen daripada menyertainya setiap kali diadakan.

Selama lebih lima dekad lalu, kesabaran dan toleransi  tinggi petugas PAS -- biarpun ditindas dan ditekan -- telah berjaya mewujudkan suasana aman-stabil yang berterusan. Ramai sarjana sejarah, termasuk di peringkat antarabangsa, menyanjung tinggi sikap berlapang dada pemimpin Parti Islam itu, sekali gus menolak pendekatan militan.

Saya sukar memahami motif Buletin Utama TV3, yang begitu kerap mengulangi rakaman aksi gambar Najib dipijak, seperti disaksikan 4 September lalu. Memanglah tujuannya untuk menanamkan rasa jelik kepada pelaku, yang mahu dikaitkan dengan penyokong Pakatan Rakyat, tetapi dengan ulangsiar berlebihan, ia boleh mengundang persoalan, mengapa marah sangat mereka terhadap Perdana Menteri? Rakyat kini bijak membaca dan menyelongkar apa yang tersirat, berbanding paparan tersurat.

Realitinya, tindakan pijak potret pemimpin bukan isu baru. Sepatutnya pihak polis bukan hanya bertindak segera dan pantas terhadap aksi pada sambutan ambang kemerdekaan itu, tetapi juga kepada deretan insiden yang jauh lebih tragis dan tersusun, termasuk mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap pemimpin dan penyokong Pakatan.

Dalam kenyataannya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta polis mengambil tindakan serupa terhadap pelaku yang memijak posternya, Mei lalu, yang turut melakukan upacara simboik pengkebumian di hadapan rumahnya. Begitu juga dengan "tarian punggung" di luar rumah Pengerusi Bersama Bersih, Ambiga Sreenevasan. (Lim juga dihina dengan penyerahan "kek tahi").

Ramai ingin tahu nasib laporan polis yang dibuat pemimpin Pakatan, yang diserang dan diganasi oleh samseng Umno dan Perkasa, ketika berceramah di seluruh negara, misalnya membabitkan Anwar Ibrahim, Mat Sabu dan Nurul Izzah.

Usah kukuhkan lagi imej buruk polis sebagai sebahagian perkakasan politik Umno yang amat memalukan itu. Seperti kata AJK PAS Pusat Pusat, Ustaz Idris Ahmad: "Semua rakyat memerhati dan berfikir, adakah pemimpin Umno yang bebal itu akan terus kebal?"

Meneliti kenyataan dua individu yang mengakui bertanggungjawab membuat dan mengibarkan bendera "Sang Saka Malaya" dalam blog Singa Selatan, yang mendakwa tidak mewakili mana-mana parti politik, saya kira insiden itu -- seperti juga ceramah Mat Sabu mengenai Mat Indera -- yang kelihatan agak mengejutkan dan mempunyai elemen radikalisme, akan menimbulkan polemik berpanjangan dan tidak mustahil di hujungnya nanti merupakan "satu pencerahan yang produktif" tentang asal-usul perjuangan memerdekakan tanahair.

"Kami mewakili golongan anak muda yang ingin menonjolkan kebenaran dan sejarah yang cuba ditenggelamkan oleh pihak yang bertanggungjawab, jauh sekali bermotif untuk menukar Jalur Gemilang kepada Sang Saka Malaya," tulisan itu dipetik.

Setelah menjelaskan inti perjuangan golongan kiri yang terawal memperjuangkan kemerdekaan seperti, KMM, PKMM, API, termasuk juga gerakan Islam Hizbul Muslimin, dirumuskan Sang Saka Malaya adalah panji perjuangan mereka dalam menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu. Beliau mengakui tujuannya mengibarkan bendera itu untuk memperingatkan orang ramai terhadap tokoh-tokoh pejuang seperti Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Hj Muhammad dan Ustaz Abu Bakar Baqir.

Tiada mana-mana parti politik dalam Pakatan menyokong usaha mereka. Namun media Umno, seperti lazimnya, tanpa merujuk sumber sahih, cuba  mendakwa Pakatan akan menukar bendera. Anwar menekankan, "tiada niat untuk kita menukar bendera Malaysia." Ustaz Idris menjelaskan, "pemimpin Pakatan Rakyat menegaskan tidak pernah ada perbincangan langsung untuk menukar bendera, cuma yang ada hanya untuk menukar kerajaan."


Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali mahu siasatan segera dibuat: "Perbuatan ini sangat tidak wajar dan satu pengkhianatan kepada kesepakatan yang diterima pakai rakyat Malaysia."

Polemik Sang Saka Malaya ini mengingatkan saya tentang buku Memoir Ahmad Boestamam, Merdeka dengan Darah dalam Api, terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (2004), yang menggabungkan tiga karya asal, Lambaian Dari Puncak, Merintis Jalan ke Puncak dan Tujuh Tahun Malam Memanjang.

Dalam bab "PKMM Menarik Diri dari Umno", Boestamam, dengan gaya ceritanya yang menarik, mengisahkan perjalanan sidang pertama Umno pada 1946, apabila wakil badan-badan gabungan diminta mengusul bendera atau lambang parti itu.

PKMM diwakili Ishak Hj Muhammad dan Boestamam sendiri. Ishak sebagai jurucakap membawa Sang Saka Merah-Putih, lambang PKMM sendiri, dan mengibarkannya dalam sidang itu, setelah mengemukakannya sebagai bendera Umno.

Keputusan pengundian menyaksikan usul PKMM itu dikalahkan hanya dengan satu usul yang mahukan lambang Umno seperti sekarang (masih Sang Saka Merah-Putih dengan tambahan lambang keris). Terdapat kira-kira 50 badan  dalam sidang itu dan setiap pertubuhan diberikan dua undi, manakala PKMM sahajalah "badan kiri".

Boestamam kemudiannya mengusulkan supaya PKMM, berdasarkan penolakan syornya tentang bendera itu, menarik diri keluar dari Umno. "Perbezaan pandangan politik antara Umno dengan PKMM," kata Boestamam, "sudah jelas jauh bertentangan. Sementara kita mahu kemerdekaan seratus peratus bagi Malaya, Umno hanya mahu kembali kepada status quo sahaja. Kerana perbezaan pandangan politik ini lambat launnya kita pasti akan berpisah juga dengannya ...."


Tanpa didorong keperluan untuk menukar bendera, saya masih tertarik dengan ulasan Hishamuddin Rais dalam Malaysian Insider: "Merah putih adalah motif Nusantara. Motif Melayu Raya, kerana itu bendera Umno, PAS, Singapura dan Indonesia semuanya menggunakan Sang Saka ... Tahun 2006, bendera Umno di nobat sebagai Sang Saka Bangsa, sila tanya pemuda Umno kerana mereka yang mencadangkan nama ini. Tanya Khairy Jamaluddin, dia senyap kerana dia tahu sejarah Sang Saka."

Bagi saya, usah melatah isu Sang Saka ini, apatah lagi mengenangkan masih banyak isu-isu kritikal yang perlu ditangani segera, misalnya kerakusan kroni Najib untuk memenuhkan tembolok dengan projek ratusan bilion, sebelum Putrajaya "dibebaskan" Pakatan dalam PRU13.

Beberapa insiden spontan, yang nampak menggemparkan (disensasikan media Umno) seperti mempamerkan Sang Saka Malaya oleh dua tiga anak muda itu tidaklah perlu dikutuk secara berlebihan. Ada baiknya juga jika kita memperuntukkan sedikit masa untuk menyelami jiwa mereka yang bergejolak itu, 'kan?

Melayu wajib kuatkan PAS dalam Pakatan

Posted: 07 Sep 2012 03:51 AM PDT

Oleh Abdul Hadi Awang
Tempoh masa lebih setengah abad sudah mencukupi bagi orang Melayu memberi kepercayaan kepada Umno menjadi teras BN memimpin negara. Jangan salahkan kaum lain sekiranya berlaku kesilapan sehingga Melayu, agamanya, bangsanya dan bahasanya terpinggir.


Semua kaum telah menerima hakikat secara perlembagaan bertulis bahawa Islam agama persekutuan, hak istimewa bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Raja berperlembagaan. Dalam masa yang sama hak kaum lain wajib diberi dengan adil.

Umno yang berkuasa dengan sokongan majoriti besar khususnya daripada penganut Islam berbangsa Melayu wajib dilakukan muhasabah dengan adil, bijak dan bertanggungjawab. Orang Melayu jangan menipu diri sendiri. Allah berfirman dalam surah Arra'du (bermaksud):

"Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.

"Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa Yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadanya."

Agama Islam

Walaupun Islam diletakkan dalam perlembagaan atas desakan kumpulan Islam bersama PAS kepada Suruhanjaya Reid, tetapi mereka menerima dengan pentafsiran bahasa dan fahaman mereka terhadap agama.

PAS menghargai dan menerima hakikat mencapai kemerdekaan terlebih dahulu, bersama pemimpin generasi awal Umno dengan iringan doa dirahmati Allah di alam barzakh kerana bersama mendukung kemerdekaan.

PAS mengambil keputusan bersusah dan berkorban menjadi parti pembangkang, supaya manjadi kekuatan di luar kerajaan bagi menyempurnakan kemerdekaan itu dengan acuan maruah agama dan bangsa tanpa terikat lagi dengan acuan pemikiran warisan penjajah.

Almarhum Tan Sri Syed Ja'afar Al Bar menegaskan kepada saya, hanya beberapa minggu sebelum beliau meninggal dunia:

"Adalah lebih baik PAS berada di luar BN membetulkan keadaan dan tidak bijak berada di dalam," tegas beliau, ketika PAS berada dalam BN.

Kenyataan ikhlas kerana melihat Umno tidak mempedulikan kepada perubahan yang sepatutnya selepas mencapai kemerdekaan.

Sepatutnya Islam ditafsirkan dengan bahasa al-Quran, bukannya bahasa Inggeris. Umno yang tidak membuat perubahan menyebabkan Islam terus berada di tahap yang tidak berdaulat, dengan cara pentadbiran agama Islam yang lama diatur sejak zaman penjajah.

Namun ketinggian moral pentadbiran bersih oleh generasi awal Umno dapat menarik beberapa orang tokoh bangsa lain menganut Islam.

Mengikut kajian ilmu pentadbiran dan pengurusan Islam, menunjukkan bahawa penjajah British lebih banyak terpengaruh dengan sistem pentadbiran Islam melalui kajian orientalis, tetapi mereka menolak akidah dan syariat yang sempurna.

Adalah lebih mudah mengambil alih negara daripada penjajah British daripada penjajah bangsa lain. Hanya sedikit perubahan perlu dilakukan dengan dimasukkan roh Islam dan petunjuk syariatnya.

Malangnya Umno tidak mengorak langkah yang maju dengan membuat perubahan yang positif dan pro-aktif dengan yang baik dikekalkan yang tidak baik dibuang.

Para pemimpin Umno lebih leka dengan perubahan bersifat kebendaan untuk menarik rakyat memberi sokongan semata-semata untuk menang pilihan raya.

Tanpa dinafikan perlunya banyak masjid yang didirikan, bangunan pusat Islam, bangunan sekolah agama, Tabung Haji, Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam dan sebagainya.

Masalahnya roh dan pengisiannya tidak mengikut acuan Islam yang sempurna secara ikhlas dan berta'abud dengan petunjuk Al Quran dan Sunnah yang banyak.

Keadaan ini menjadikan sehingga asasnya bocor, kedudukan Islam lebih lemah daripada zaman penjajahan, sehinggakan pemimpin Melayu Islam dan bangsanya tidak mampu menjadi contoh Islam yang sempurna kepada seluruh manusia.

Almarhum maulana Abu Hasan Ali Al Nadawi, tokoh ulama dan pemikir Islam yang tersohor menegaskan dalam bukunya Kembali Semula kepada Islam menegaskan:

"Pelaksanaan Islam dengan cabarannya berlaku dua cara pendekatan. Sama ada melaksanakan Islam secara ibadah, dengan yakin kepada janji Allah dunia dan akhirat, atau laksanakan Islam secara jibayah, dengan memilih secara akal manusia yang hanya mencari pengaruh untuk berkuasa dengan sokongan rakyat semata-mata."

Yang kedua inilah yang dilakukan oleh Umno sehingga boleh berlaku salah faham terhadap Islam di kalangan penganut yang jahil, dan lebih lagi di kalangan bukan Islam.

Apabila Islam dilihat bukan melalui kaca mata ajarannya yang sempurna dan murni, tetapi dilihat daripada kecuaian pemimpin Umno. Lebih berbahaya lagi apabila menunjukkan contoh negatif seperti tidak bermoral, rasuah, penyalahgunaan kuasa, politik wang dan sebagainya.

Sehingga Tun Dr Mahathir sendiri pernah membuat kenyataan terbuka dan telah dua kali keluar masuk Umno. Almarhum Tunku Abdul Rahman pula meninggalkan Umno dan berucap di pentas PAS sebelum meninggal dunia.

Peranan pengajian Islam kalangan umat Islam dilemahkan dengan kawalan bertauliah sejak zaman penjajahan, diteruskan oleh Umno bagi meneruskan pengaruh sekularisme dalam masyarakat Islam.

Agenda menghapuskan tulisan jawi yang tidak dapat dilaksanakan oleh penjajah dan melemahkan penguasaan bahasa Arab di kalangan pelajar aliran Islam berjaya dibuat bawah pemerintahan Umno.

Seterusnya Umno menggunakan media khususnya berbahasa Melayu, bagi mencetuskan perkara yang meragukan dan salah faham terhadap Islam, seperti isu syariat Islam.

Ia difikirkan boleh menjadi bahan untuk menakutkan kalangan bukan Islam dan mengelirukan penganut Islam yang jahil seperti hukum poligami, pesaka, undang-undang jenayah hudud dan qisas, haramnya riba secara menyeluruh, hak wanita, hiburan dan lain-lain yang memerlukan ilmu dan pelaksanaan untuk difahami.

Islam itu wajib diimani seluruhnya dan dilaksanakan semuanya. Beriman sebahagian dan menolak atau ragu sebahagiannya adalah merosakkan iman.

Beramal dengan sebahagian dan menolak sebahagiannya pula menyebabkan tasawur yang salah terhadap Islam dan menyebabkan celaka dunia dan akhirat.

Hak istimewa
Kaum bukan Melayu yang faham tidak membantah adanya hak istimewa kerana memahami hakikat majoriti Bumiputera khususnya orang-orang Melayu terpinggir dengan penyusunan masyarakat ciptaan penjajah.

Mereka tidak membantah hak istimewa yang dicatit tanpa menafikan hak yang adil kepada semua kaum lain.

Namun hak ini disalah guna, sehingga kaum Melayu dan bumiputera tidak mampu bersaing dengan sendiri, tetapi ditongkat oleh Umno demi agenda politik berkuasa semata-mata dan mengambil kesempatan mencari kekayaan diri, keluarga dan rakan sekeliling tetapi tidak memperkasakan kaum Melayu dan bumiputera.

Contoh yang jelas ialah tanah rezab Melayu dan pinjaman disalah gunakan, sehingga Bank Bumiputera dileburkan dan beberapa agensi dijadikan alat mengaut keuntungan bagi kalangan tertentu sahaja dan banyak bantuan tidak sampai kepada sasaran dan tidak mencapai matlamat.

Bahasa kebangsaan
Bahasa Melayu yang dijadikan bahasa kebangsaan terpinggir bukan sahaja dilemahkan daripada menjadi bahasa ilmu, bahkan dipinggirkan penggunaannya dalam amalan rasmi dan masyarakat umum.

Bahasa yang pernah diperkasakan oleh tamadun Islam serantau dan digunakan oleh lebih tiga ratus juta manusia, tiba-tiba menjadi dagang terpinggir di tengah pemimpin dan masyarakatnya sendiri.

Ketika bangsa lain berjaya diperkasakan dengan bahasa masing-masing, seperti Jepun, Jerman, China dan lain-lain, kita hanya sekadar bergaya dengan bahasa penjajah tetapi bangsa sendiri lemah jiwanya kerana membelakangi bahasanya, kerana bahasa adalah jiwa bangsa.

Kedudukan politik
Kelemahan kuasa politik Melayu terhakis kerana mengatur strategi kemenangan Umno secara salah dan jangka pendek. Kelemahan politik Melayu di Singapura, Pulau Pinang dan Pantai Barat, kerana penyusunan kerusi menguatkan kuasa Umno bukannya memperkasakan Melayu Islam.

Melayu ditanam semangat hanya Umno parti tunggal yang menjaga hak Melayu, seolah-olah mengganti Tuhan Maha Esa, memberi rezeki dan menyara hidup mereka.

Kaum lain boleh memilih parti lain dan menguasainya. Apabila MCA, MIC dan Gerakan tidak bermaya, mereka berpindah kepada DAP atau PKR atau DHPP. Maka Melayu terus berpaut dengan ranting Umno yang sudah berpenyakit dan menyalahkan kaum lain.

Kedudukan jumlah kerusi Melayu masih besar kerana kedudukan majoritinya, tetapi jumlah kerusi tanpa perubahan politik dalam kalangan bangsa Melayu sendiri tidak mampu mempertahankan kedudukan mereka.

Melayu Islam dapat diperkasakan dengan PAS yang berdasarkan Islam mengikut undang-undang tubuhnya yang berbeza dengan Umno. PAS telah membuktikan kemampuannya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Walaupun Umno menghalang pemerintahannya secara khianat terhadap agama dan bangsanya sendiri secara tidak bermoral dan melanggar adab demokrasi dan perlembagaan semata-mata mahu berkuasa dalam penyakit tua yang tidak sembuh.

Umno sanggup bermusuh dengan PAS dan kerajaan pimpinan PAS kerana Islamnya, lebih dahsyat daripada bermusuh dengan kaum lain.

Mutakhir ini adanya kalangan tokoh Melayu Islam dalam Umno meninggalkan Umno, bersama kalangan tokoh ilmuan, kakitangan kerajaan dan pasukan keselamatan menyertai PAS.

Ia adalah petunjuk positif kepada pengundi Melayu Islam secara khusus supaya mereka membuat perubahan bersama PAS menggantikan Umno sebagai kuasa pemerintahan. Perubahan sekadar ini tidak mencukupi tanpa sejumlah besar ahli Umno dan orang-orang Melayu yang bergantung dengannya secara khurafat .

Kalau mahu selamatkan Melayu dan perkasakannya, wajib masuk PAS yang mendaulatkan Islam, bukannya masuk Umno yang memikul Islam tanpa pelaksanaan sepenuhnya setelah lebih satu abad memikul amanah. Inilah pembetulan yang wajib dilakukan.

Kata Khalifah Umar bin Al Khattab RA: "Kembali kepada yang benar adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan."

Akhirnya renunglah kepada firman Allah yang tersebut di atas tadi dan Firman Allah (bermaksud):

"Dan jika kamu berpaling (daripada menegakkan Islam) ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu."

Melayu tegakkan Islam yang sempurna, bersama PAS Melayu selamat dan semua kaum juga akan selamat, kerana Islam itu rahmat Allah kepada seluruh alam dan adil untuk semua kaum.

Tegakkan Melayu dengan mengapikan semangat perkauman, Islam hanya sampingan, Melayu bersama Umno, tidak mampu lagi memimpin, kerana hilang meruah dan lemah jiwanya. Selamat berhijrah kepada ahli-ahli Umno kepada PAS.


DATUK SERI ABDUL HADI AWANG presiden PAS.

Asas perbezaan sebenar PAS dengan Umno

Posted: 07 Sep 2012 03:48 AM PDT

Oleh Mohd Rashidi Hassan
Dalam beberapa hari menjelang umat Islam menyambut Aidilfitri, sehin gga kini, polemik mengenai hukum hudud dibangkitkan semula, sehingga riuh rendah media massa memainkan isu ini.

Adakah di kalangan kita, boleh menerima alasan, bahawa isu mengenai hukum hudud ini dibangkitkan dan digembar-gemburkan media massa yang dikuasai kerajaan Umno-Barisan Nasional, kerana mereka kini sudah sedar dan benar-benar ikhlas, bangkit untuk memperjuangan Islam?

Dan dengan kesedaran ini juga Umno-BN akan bangkit melawan bermati-matian, terhadap semua tentangan golongan bukan Islam terhadap hukum hudud?

Sudah tentu tidak. Tujuan utama media pro Umno-BN membangkitkan isu ini hanya satu sahaja. Iaitu mereka memang mahu memecahbelahkan perpaduan dan kerjasama yang wujud di antara PAS dan DAP. Oleh sebab itu apabila DAP menentang hudud, mereka akan bangkit dan memaki hamun DAP, tetapi apabila MCA menentang hudud, Umno 'duduk menikus di belakang pintu'.

Jelas kepada kita, Umno-BN sangat takut dengan keakraban komponen parti dalam Pakatan Rakyat khususnya antara PAS dan DAP. Kerana Umno tahu, PAS dan DAP merupakan tonggak yang kuat dalam Pakatan Rakyat.

Selama mana PAS dan DAP berpadu, selama itulah Umno-BN takut untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan.

Maka, media massa diarahkan oleh pemimpin Umno-BN untuk berusaha keras dan cuba memecahbelahkan kedua-dua parti ini, dengan memainkan pelbagai isu yang boleh menimbulkan pertentangan di antara kedua-dua pihak.

Agenda setting mereka mudah. Jika pemimpin kedua-dua parti melatah dan bergaduh, mudah mereka 'masuk jarum' untuk mencetuskan perbalahan dan dalam masa yang sama memaparkan imej negatif di kalangan rakyat, bahawa parti-parti Pakatan Rakyat tidak 'sekepala', oleh itu mereka tidak layak diberikan kuasa untuk memerintah. Itu sahaja agenda Umno.

Oleh itu pemimpin PAS dan DAP khususnya, usaha melatah menurut 'agenda setting' yang dibentuk menurut acuan Umno.

Sebelum ini, media pro-Umno memainkan isu DAP kafir harbi kerana menentang hudud dan seolah-olahnya MCA yang bersekongkol dangan Umno adalah kafir zimmi.

Apabila isu ini mendapat tentangan hebat rakyat dan MCA dengan keras mengeluarkan kenyataan menentang hudud, pemimpin Umnpo terdiam. Usaha mereka untuk memainkan sentimen agama dengan menuduh DAP 'jahat' tidak kesampaian kerana rakan baik mereka iaitu MCA, pun sama-sama 'jahat' menentang Islam.

Isu sebenar ini di sini, bukan soal DAP atau MCA. Mereka adalah golongan bukan Islam. Tidak pelik bagi bukan Islam, yang menentang dilaksanakan hukum-hukum Islam.

Isu asasnya di sini adalah kecelaruan tahap kefahaman Islam yang ada pada pemimpin dan orang-orang Umno. Sejak dahulu lagi, direkodkan beratus-ratus kenyataan pemimpin Umno yang berketurunan Melayu, yang beragama Islam, menentang hukum-hukum ciptaan Allah dan mempersenda-sendakan hudud.

Kenyataan dan cercaan itu mereka buat, ketika Umno berada di puncak kuasa, yang terlalu hebat dan gah, sehingga tidak boleh digugat oleh sesiapa pun.

Maka apakah hari ini, apabila parti mereka sudah jatuh terjelepuk dan hampir terhumban ke lubang gaung, baru mereka hendak sedar dan menerima hukum hudud sebagai hukum yang wajib ditaati, diimani dan dilaksanakan sebagai seorang Islam?

Sifat Umno ini berbeza dengan PAS. PAS konsisten dengan perjuangan Islam sejak dahulu hingga hari ini. Tiada perubahan dalam soal dasar, tiada kompromi dalam melaksanakan kehendak Allah yang termaktub di dalam al-Quran.

PAS hanya mengubah pendekatan dan strateginya, sesuai dengan keperluan politik semasa, selama mana ianya bertepatan dengan garis panduan dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Pemahaman dan pegangan Islam inilah yang membezakan PAS dengan Umno. PAS menjadikan politik sebagai platform untuk memperjuangkan Islam, manakala Umno mempergunakan Islam sebagai platform untuk terus berkuasa.

Justeru, tiada jalan lain untuk menyelamatkan Islam, melainkan menurunkan Umno dari tampuk kuasa.

Tiada ulasan:

Pengikut