Rabu, 1 Ogos 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Kerajaan Selangor sedia biayai kos guaman Rafizi

Posted: 31 Jul 2012 11:47 PM PDT


SHAH ALAM: Kerajaan Negeri  Selangor bersedia membiayai kos guaman bagi membantu bekas CEO Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Mohd Rafizi Ramli ekoran dakwaan ke atas beliau berkaitan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim  dalam  Twitternya pagi tadi menyelar tindakan penahanan tersebut selepas Rafzi  mendedahkan beberapa skandal utama yang melibatkan pemimpin Umno-BN termasuk Projek Tambahan LRT Ampang.

"Insya-Allah, kerajaan negeri telah menyediakan dana khas untuk menolong membiayai kos guaman  Mohd Rafizi Ramli.

"Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mengecam penangkapan dan pendakwaan terhadap Rafizi Ramli kerana membongkar kes penyelewengan NFC & George Kent," katanya.

Mahkamah Seksyen Shah Alam hari ini menetapkan bayaran ikat jamin sebanyak RM15,000 kepada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Johari Mohamad serta menetapkan tarikh perbicaraan kes ini pada 10 Septermber 2012.

Rafizi Ramli menerusi laman Twitternya Awal pagi tadi, menyatakan bahawa beliau ditahan polis atas pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) 1989.

Menerusi paparan twitter itu juga, Rafizi menjelaskan rumahnya diserbu kira-kira jam 7 pagi tadi sebelum dibawa ke balai polis Hulu Klang.

Sekitar jam 8 pagi, Rafizi menyatakan beliau sedang dibawa polis ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan proses pertuduhan ke atasnya dipercepat, kepada 9 pagi.

Turut ditahan Johari Muhamad merupakan bekas kerani Public Bank yang dikatakan salah seorang pemberi maklumat mengenai pembelian hartanah mewah keluarga Shahrizat di KL Eco City, Bangsar.

Dakwa Rafizi: Sah transformasi Najib bohong

Posted: 31 Jul 2012 11:47 PM PDT

SHAH ALAM: PAS menyifatkan segala janji-janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan tranformasi politik hanya cakap politik semata-mata.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar yang ditemui di Mahkamah Shah Alam berkata, segala janji Najib itu terbatal dengan hanya tindakan pendakwaan terhadap Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli hari ini.

"Kes pendakwaan hari ini membuktikan segala janji kerajaan di bawah Najib dalam membawa perbaharuan selaras dengan demokrasi semuanya terbatal.

"Apa yang dijanjikan oleh beliau itu hanya sekadar cakap-cakap politik Umno-Barisan Nasional sahaja," jelasnya ketiaka ditemui di Mahkamah Shah Alam hari ini.

Beliau yang hadir memberi sokongan kepada Rafizi berkata, sempena bulan Ramadhan ini sepatutnya kerajaan menggalakkan rakyat meningkatkan ibadat serta meningkat amalan kebaikan.

Namun katanya, tindakan pendakwaan terhadap individu yang menegakkan kebaikkan telah mencemar kesucian bulan Ramadhan.

"Kesucian bulan Ramadhan akhirnya tercemar apabila tiba-tiba orang yang ingin membawa perubahan kebaikan dalam menonjolkan penyelewengan dan rasuah akhirnya didakwa.

"Pendedahan penyelewengan dilakukan kerana ia melibatkan ratusan juta wang rakyat dan wang negara namun kerajaan di bawah Najib tetap meneruskan pendakwaan," katanya.

Kamaruddin turut menyatakan, ini bukti yang jelas bahawa semua rakyat mesti memahami bahawa kerajaan di bawah Najib seperti mahu melindungi mereka-mereka yang terlibat dalam rasuah serta penyelewengan.

"Kita melihat tidak ada sedikit pun unsur-unsur yang dilakukan oleh Najib dalam mengambil tindakan serta menghukum mereka yang melakukan jenayah terutamanya rasuah walaupun bukti yang jelas telah didedahkan.

"Malah Najib masih lagi mahu melindungi mereka-mereka ini serta memberi peluang untuk mereka-mereka yang terlibat membersihkan nama," tambahnya.

Beliau yang ketika ditanya tentang peluang kemenangan dalam kes hari ini memberitahu bahawa pendakwaan hari ini memberi peluang untuk melakukan pendedahan yang lebih mendalam.

"Bagi kes ini telah memberi ruang kepada kita membuat lebih pendedahan dan kita berpeluang untuk menang.

"Selain itu juga peluang kepada kita menjelaskan lagi kepada rakyat bahawa tidak ada penyelesaian terhadap masalah hari ini jika berada di bawah Umno-Barisan Nasional kecuali melakukan perubahan melalui pilihanraya umum yang akan datang," tegasnya.

Qaryah Ramadhan Malam Yang ke 12 Ramadhan.

Posted: 31 Jul 2012 11:46 PM PDT






NFC: Usaha Rafizi patut dipuji tetapi dihukum

Posted: 31 Jul 2012 11:40 PM PDT


KUALA LUMPUR: DAPSY mengecam sekeras-kerasnya pendakwaan terhadap Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli di bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (BAFIA) kerana mendedahkan akaun kewangan berkenaan National Feedlot Corporation (NFC) pada pagi ini.
Ketuanya, Loke Siew Fook (gambar) berkata, tindakan pendakwaan terhadap Rafizi yang membongkarkan skandal kewangan NFC memberikan mesej yang salah kepada rakyat Malaysia bahawa pemberi maklumat yang membantu memerangi rasuah adalah sesuatu yang salah dan perlu dihukum.

Menurutnya, pendakwaan tersebut juga bertentangan dengan semangat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang diluluskan Parlimen yang bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai orang berani tampil memberikan kerjasama dan bukti dalam kes-kes rasuah.

"Ini jelas menunjukkan bahawa pentadbiran Najib langsung tidak serius dalam usaha memerangi rasuah dan segala slogan transformasi kerajaan adalah janji-janji kosong," ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, Rafizi sepatutnya dipuji kerana kelantangan dan keberaniannya membongkarkan skandal kewangan NFC dan membantu usaha ke arah sistem pentadbiran yang lebih telus dan bersih.

"Namun, peranan beliau bukan sahaja tidak dihargai tetapi dihukum pula dengan pendakwaan yang dihadapinya sekarang," katanya lagi.

Justeru, katanya DAPSY menggesa pihak Peguam Negara menimbang semula kes tersebut dan menggugurkan pendakwaan terhadap Rafizi kerana tindakan mendakwa beliau di mahkamah hanya akan menimbulkan lebih banyak perasaan tidak puas hati terhadap sistem keadilan negara kita di kalangan rakyat Malaysia.

Gambar fitnah MB Kedah dicekup SPRM tersebar

Posted: 31 Jul 2012 11:40 PM PDT



KUALA LUMPUR: Sebuah akaun di Facebook yang menggelarkan dirinya Anti PKR Club telah membuat fitnah jahat dan jijik kononnya Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak ditahan pihak SPRM kerana menerima rasuah jutaan ringgit.
Blog http://omakkau.blogspot.com mendedahkannya.
Berikut petikan daripada blog tersebut.
Sebuah akaun di Facebook yang menggelarkan dirinya Anti PKR Club telah membuat fitnah jahat dan jijik kononnya Menteri Besar Kedah YAB Datuk Seri Azizan Razak dan Setiausaha Politiknya ditahan pihak SPRM kerana menerima rasuah jutaan ringgit.

Wang kononnya dirampas itu telah dipamirkan kepada umum.

Sila lihat cara pencacai UMNO membuat gambar yang telah diedit semata-mata mau membuat fitnah.

Memperlihatkan berasa bangga apabila melakukan fitnah sedemikian rupa.

LAGI DIFITNAH.. LAGI RAMAI RAKYAT AKAN BERHIJRAH.

Angaukan Selangor, Sabah pula terlepas

Posted: 31 Jul 2012 11:39 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dalam keghairahan untuk merampas Selangor, BN diingatkan agar tidak menjadi seperti peribahasa 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran'.

Sebaliknya BN perlu meneliti suasana politik di Sabah yang muktahir ini meniupkan gelombang perubahan pimpinan BN, sekaligus rakyat negeri di bawah bayu itu.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli, berkata BN sebelum ini begitu yakin untuk merampas Selangor, namun 'terlepas pandang' terhadap Sabah yang dianggap sebagai 'fix deposit' mereka selama ini.

"Jadi, saya nasihatkan BN agar tidak membuang masa untuk mengubah suasana harmoni di Selangor hari ini, tetapi selesaikan kemelut di Sabah hingga menyebabkan dua pimpinan BN bertindak keluar parti," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred Bumburing yang mengumumkan keluar dari BN dan menyokong Pakatan Rakyat, baru-baru ini.

Dr. Hatta yang juga ahli parlimen Kuala Krai itu berkata gelombang perubahan di Sabah itu bukan sahaja membabitkan kedua-dua pimpinan terbabit, sebaliknya ia juga merupakan satu gelombang rakyat.

Beliau juga menjangkakan BN tidak dapat membendung gelombang perubahan tersebut, malah yakin akan ada beberapa lagi nama lain di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang akan mengambil keputusan sama seperti Lajim dan Wilfred.

Ditanya sama ada suasana tersebut akan membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menangguhkan lagi pilihan raya, Dr. Hatta berkata ia sesuatu yang tidak mustahil.

"Kita harap, pilihan raya dipanggil segera. Tapi, perkiraan saya Najib akan mengambil masa yang lebih lama untuk berbuat demikian.  Dia masih resah dan mengharapkan adanya perbalahan di kalangan Pakatan Rakyat untuk diambil kesempatan," tegas beliau lagi.

Pada 29 Julai lalu, Lajim yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno mengumumkan perletakan semua jawatannya dalam parti dan BN berkuat kuasa serta-merta, untuk bekerjasama dengan Pakatan Rakyat di Sabah.

Perlantikan Lajim sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dibatalkan serta-merta setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, mengikut peruntukan Fasal (3) Perkara 43A yang dibacakan bersama Fasal(5) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Wilfred yang mengisytiharkan keluar dari Barisan Nasional (BN) dan menyertai Pakatan Rakyat melalui parti Angkatan Perubahan Sabah yang baru diumumkan penubuhannya.

Ahli Parlimen Tuaran itu juga berkata beliau akan menjelajah ke seluruh negeri Sabah untuk membantu Pakatan Rakyat memenangi negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Kes Rafizi: Rakyat tambah benci pemimpin korup

Posted: 31 Jul 2012 11:39 PM PDT


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius penahanan Rafizi Ramli, Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah BAFIA (Akta Institusi Perbankan dan Kewangan) hari ini.

(Rafizi bersama Dr Dzulkefly Ahmad dan N Surendran di perkarangan mahkamah hari ini)

"Bagi DPPM tangkapan ke atas Rafizi membuktikan kerajaan bersikap tidak ikhlas dan telus dalam memastikan negara ini bebas dari rasuah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara," kata Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss.

Katanya, DPPM menganggap tindakan ke atas Rafizi lebih dilihat sebagai tindakan politik pihak tertentu yang tersepit dan cemas dengan pelbagai pendedahan berani serta sensasi oleh beliau.

"Tindakan ini juga seperti suatu ancaman ke atas beliau ekoran kejayaan beliau mendedahkan skandal National Feedlot Corporation (NFC) serta ugutan kepada pemberi-pemberi maklumat lain supaya jangan memberi kerjasama kepada 'whistle blower' skandal pemimpin negara ini.

"Malah beliau juga mempunyai siri-siri pendedahan skandal pemimpin negara yang mempunyai kepentingan terhadap projek tertentu serta terlibat dalam pelbagai penyelewengan," katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya melihat isu yang ditimbulkan oleh Rafizi jauh lebih utama dan penting berbanding tindakannya membocorkan maklumat.

Tambahnya, tindakan Rafizi wajar dipuji kerana usahanya memastikan negara ini bebas daripada penyangak-penyangak rasuah oleh pemimpin-pemimpin negara.

DPPM menegaskan, ujarnya negara ini menuju kemusnahan jika jenayah rasuah dibiarkan berleluasa manakala pemberi maklumat diambil tindakan.

"Politik dendam dan hasad dengan menghukum seseorang hanya kerana individu tersebut bercakap benar adalah tindakan keji golongan yang menolak kebenaran," ujarnya.

Bagi rakyat, tegasnya tindakan itu bukan melunturkan semangat mereka mahukan perubahan, malah menambah lagi sentimen kebencian mereka melihat kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin yang korup dan mementingkan diri sendiri.

Rafizi dibebas dengan jaminan RM15,000

Posted: 31 Jul 2012 11:37 PM PDT


SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan jaminan sebanyak RM15 ribu kepada Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli dan bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad sebanyak RM15 ribu tiap seorang dengan seorang penjamin.

(Kanan: Rafizi dan Johari bergari di Mahkamah Sesyen Shah Alam.)

Mahkamah juga menetapkan 10 September depan bagi perbicaraan.


Hakim Aslam Zainuddin menetapkan jaminan dan tarikh tersebut setelah mendengar keterangan daripada pihak plantif dan defenden.

Sebelum itu, peguam pihak plantif yang mewakili Bank Negara meminta wang jaminan sebanyak RM100 ribu beserta pasport antarabangsa mereka berdua ditahan.

Namun, peguam defenden, N.Surendren meminta wang tersebut dikurangkan dan tidak melebihi RM5 ribu serta pasport mereka tidak ditahan.

Beliau menjelaskan penahanan pasport antarabangsa tidak wajar kerana Rafizi memerlukan passport tersebut bagi urusan rasmi beliau terhadap parti yang memerlukan beliau ke luar negara.
Rafizi dituduh di bawah Seksyen 97(1) Akta Bank dan Intitusi Kewangan 1989, manakala Johari pula di bawah Seksyen 112 (1)(c) juga di bawah akta yang sama, yang menetapkan hukuman maksimun 3 tahun penjara atau denda RM3 juta atau kedua-duanya sekali.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bertindak sebagai penjamin kepada Rafizi, manakala Johari pula dijamin oleh abangnya.

Kedua-dua mereka telah digari dan dibawa ke bilik tahanan bagi menunggu urusan membayar wang jaminan selesai.

(Rafizi dan rakan-rakannya di perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini)
Sebelum itu, Rafizi yang ditahan di rumahnya awal pagi tadi kira-kira jam 6.50 pagi.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli pagi ini ditahan oleh pihak polis berhubung dengan pendedahan butiran perbankan berkaitan dengan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Rafizi telah disiasat di bawah BAFIA kerana didakwa mendedahkan butir-butir perbankan NFC dan pengarahnya.

Syarikat itu dikendalikan oleh suami dan anak-anak bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Mahkamah hari ini penuh dengan penyokong PKR yang hadir memberi sokongan kepada Rafizi.

Guru Kafa berkhidmat 20 tahun tapi masih kontrak

Posted: 31 Jul 2012 11:37 PM PDT


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpandangan diskriminasi terhadap guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) tidak sewajarnya berlaku kerana sumbangan mereka bukanlah satu usaha yang boleh dipandang remeh.

(Para pelajar Kafa yang perlu mendapatkan guru yang terbaik - gambar hiasan)

Sehubungan itu, DPPM meminta agar kerajaan Malaysia mengkaji dan mempertimbangkan cadangan yang telah dibuat oleh Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sejak 16 Mei 2009 lagi sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia yang meminta agar 33,000 guru (Kafa) diserap ke jawatan tetap supaya kebajikan guru-guru Kafa lebih terbela.

"Pada masa ini guru Kafa di Malaysia berkhidmat secara kontrak. Mengambil kenyataan daripada Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman, pihak beliau telah menerima banyak rungutan dan keluhan berhubung isu taraf jawatan kontrak dan kebajikan guru Kafa yang tidak terbela," kata Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Malah, katanya terdapat juga aduan yang menyatakan mereka telah berkhidmat selama lebih daripada 20 tahun tetapi secara kontrak.

"Perkara ini sewajarnya diberikan perhatian oleh pihak kerajaan," ujar Khairul Faizi (gambar kanan) dalam satu kenyataan.

Bahkan, tambah beliau lebih teruk kerana ada guru Kafa yang tidak disambung kontrak perkhidmatannya sedangkan dirinya dibebani dengan pelbagai jenis ansuran seperti kenderaan atau rumah yang perlu mereka jelaskan.

Katanya lagi, diskriminasi terhadap guru Kafa tidak sewajarnya berlaku kerana sumbangan mereka dalam memberi pendidikan dan pembentukan generasi rabbani dan madani bukanlah satu usaha yang boleh dipandang remeh dan kecil.

Justeru, ujarnya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan tahniah ke atas Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas keperihatinan mereka terhadap masalah yang melanda guru Kafa di negeri tersebut.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilihat konsisten dalam membantu untuk meringankan bebanan guru-guru Kafa terutama apabila kerajaan pusat mengumumkan "duit raya" kepada penjawat-penjawat awam.

"Pada tahun 2011, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan lebih RM500 ribu sebagai bonus kepada guru-guru ini.

"Terkini pada tahun 2012, sebanyak RM RM3.9 juta telah diperuntukkan untuk pemberian bonus hariraya Aidil Fitri kepada penjawat awam dan guru Kelas Fardhu Ain (Kafa) seluruh negeri itu mulai 9 Ogos depan," ujarnya.

Beliau berkata, bagi membela kedudukan dan masa depan guru-guru Kafa, kerajaan perlu menyerapkan mereka ke dalam jawatan tetap.

"Tindakan kerajaan ini akan dilihat bijak bahkan seolah-olah hadiah istimewa buat mereka yang telah berkhidmat lama di dalam bidang ini terutamanya," katanya.

Tambahnya lagi, bukan sahaja kehidupan mereka lebih terjamin bahkan mereka juga dapat memberikan perhatian yang lebih di dalam pengajaran mereka.

"Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia, kami bersedia untuk menerima apa jua pandangan dan keluhan yang sedang menimpa guru-guru Kafa pada masa ini kerana kami percaya bahawa banyak lagi isu yang perlu diberikan perhatian terhadap guru-guru ini," katanya.

Rakyat perlu celik mata isu genosid Rohingya

Posted: 31 Jul 2012 11:37 PM PDT


Rakyat Malaysia digesa untuk mencelikkan mata melebarkan telinga terhadap isu genosid yang melanda kaum Rohingya di Arakan. Sejak 3 Jun yang lalu selepas satu kontroversi gadis Burma yang dituduh dirogol oleh 3 lelaki Rohingya di Sittwe Myanmar, walaupun tanpa bukti dan perbicaraan, puluhan ribu nyawa Rohingya telah melayang tanpa harga.

Mereka secara mendadak menerima lonjakan genosid semula walaupun sebelumnya kelihatan mulai reda sejak sinar demokrasi dikatakan kian muncul di negeri Buddha tersebut. Mereka mengalami bentuk genosid atau penghapisan jejak bangsa yang cukup dahsyat, dikepung, tiada muamalah jual beli dibenarkan, dibunuh oleh orang awam Buddha dengan lesen wewenang diberikan oleh tentera Burma serta aktiviti pemerkosaan yang cukup sadis.

Rakyat Malaysia juga digesa menyokong tindakan pro-aktif yang dijalankan oleh Mapim sebuah ikatan NGO-NGO Islam Malaysia yang ke Myanmar 1 Ogos 2012.

Menurut Setiausaha Agung Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid, antara agenda pertemuan itu ialah untuk mendesak Presiden Thein Sein membenarkan misi kemanusiaan masuk ke Myanmar untuk membantu pelarian Rohingya tanpa gangguan ala barbarian seperti misi Mavi Marmara suatu ketika dahulu ke Palestin.

Mereka  juga akan berjumpa dengan pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan Aung San Suu Kyi bagi membincangkan isu yang sama memandangkan ikon demokrasi itu telah berkempen sekian lama isu kemanusiaan dan kebebasan.

Lebih bermakna, Mapim akan membawa surat daripada para sami Buddha di Alor Setar yang menolak keganasan dan kezaliman kerana ia bercanggah dengan semangat ajaran Buddha. Sebelum ini Mapim dan Persatuan Ulama' Kedah telah berjumpa dengan salah seorang Ketua Sami Buddha Malaysia iaitu Ketua Wad Nikhotaram En Ai Lap a/l Tim di Wad Buddha  di Alor Setar , Kedah dalam rangka memohon pemimpin agama itu mengadakan perbincangan bersama ketua-ketuanya yang lain mengenai isu penghapusan etnik Rohingya Muslim di Myanmar.

Sebenarnya Aung Syu Kyi telah dihubungi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui panggilan telefon sejurus selepas Mapim mengutus surat untuk menggesa pemimpin itu bertindak atas isu genosid ini.

Sebelumnya Mapim telah menghantar surat kepada OIC, ASEAN, Setiausaha PBB, malah kepada Perdana Menteri Malaysia tetapi bagaikan anjing menyalak bukit. Tiada respons!

Malah yang menjadi kemarahan rakyat Malaysia yang prihatin adalah apabila usul mengenai kezaliman ini dibawa oleh Datuk Kamarudin Jaafar ke dalam parlimen ia ditolak mentah-mentah oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Datuk Seri Utama Pandikar Amin Mulia atas alasan tidak penting dan tdak relevan! Adakah nyawa umat islam di luar sana tidak penting sehingga berdiskusi pun dianggap membuang masa oleh kerajaan yang mengaku hebat di mata dunia Islam? Lebih menyedihkan, saat usul itu ditolak, telah 29,000 nyawa Rohingya melayang di Myanmar sejak 3 Jun 2012 yang lalu.

Perhatian isu ini secara teliti. Bayangkan jika Gaza dikepung da dibedil, sekurangnya mereka memiliki roket dan kerajaan HAMAS yang tegar menyerang balas. Rohinga tiada senapang malah tiada pedang pun untuk mempertahankan nyawa mereka. Mereka disembelih hidup-hidup!

Mereka tiada doa daripada umat islam selazim yang diterima oleh pejuang Chehnya, Afghanistan dan Palestin. Mereka tiada pengenalan diri, kad identiti  sehingga mereka dianggap tidak wujud dalam sejarah bangsa. Sekalipun rakyat patani dihimpit, mereka masih boleh bersekolah dan bebas ke bumi Malaysia, sedangkan Rohingya bakal menerima maut jika menyeberangi sungai sempadan ke Bangladesh.

Bersama kita doakan misi Mapim ke sana serta menantikan kejayaan kapal pertama yang bakal mengangkut bantuan ke Arakan melalui jalan laut insya Allah.

NFC: Rafizi ditahan di bawah Bafia

Posted: 31 Jul 2012 07:16 PM PDT


SHAH ALAM: Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli pagi ini ditahan oleh pihak polis berhubung dengan pendedahan butiran perbankan berkaitan dengan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Beliau yang tiba di Kompleks Mahkamah Shah Alam pada jam 9.20 pagi ini menjelaskan pihak polis datang kerumahnya kira-kira jam 6.50 pagi tadi.

"Pihak polis dan juga pegawai Bank Negara datang ke rumah saya pagi ini kira-kira jam 6.50 pagi.

"Lebih kurang 10 orang pegawai yang datang iaitu lima daripadanya adalah pegawai dari Bank Negara," jelasnya.

Tambahnya lagi, beliau ditahan di bawah Akta Istitusi Perbankan dan Kewangan (BAFIA).

"Selepas ditahan, saya dibawa ke Balai Polis Hulu Kelang untuk buat laporan polis berhubung penahanan saya sebelum dibawah ke mahkmah.

Rafizi telah disiasat di bawah BAFIA kerana didakwa mendedahkan butir-butir perbankan NFC dan pengarahnya.

Syarikat itu dikendalikan oleh suami dan anak-anak bekas menteri kabinet Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Sebelum itu turut hadir di mahkamah pagi ini adalah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefli Ahmah, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Sementera itu, Peguam N Surendran bertindak sebagai peguam yang mewakili beliau pagi ini.

Pakatan tubuh JK pilih tema Hari Kemerdekaan

Posted: 31 Jul 2012 04:49 PM PDT


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat menubuhkan jawatankuasa pemilihan tema Hari Kemerdekaan bagi menukar tema yang diberikan kerajaan, 'Janji Ditepati' yang merupakan slogan Barisan Nasional.

Jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan dianggotai bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil, bekas ahli jawatankuasa kerja Gerakan, Dr Toh Kin Woon dan pengarah eksekutif  Women's Aid Organisation ( WAO), Ivy Josiah.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, jawatankuasa itu akan memilih tema Hari Kemerdekaan yang dicadangkan oleh rakyat, selepas Pakatan membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk berbuat demikian.

"Sebelum ini kita beri tempoh seminggu kepada kerajaan untuk tukar tema hari merdeka agar lebih inklusif dan merangkumi semangat kemerdekaan rakyat Malaysia," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat bersama wakil DAP dan PKR.

Beliau berkata, selepas pengumuman tersebut, Pakatan menerima lebih kurang 250 cadangan tema kemerdekaan daripada pelbagai pihak.

"Setakat ini kita terima lebih kurang 250 cadangan tema daripada rakyat, jadi kita tubuhkan jawatankuasa untuk memilih tema yang terbaik," katanya.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari.

Tadarrus Al Quran Dan Berbuka Puasa DPPKM bersama YB Ust Latif di Banggol Juddah

Posted: 31 Jul 2012 04:48 PM PDT

Seminggu untuk Awang Adek jelas isu cek

Posted: 31 Jul 2012 04:43 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini memberi tempoh seminggu kepada Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin untuk membuat penjelasan mengenai sebuah syarikat yang memasukkan cek bernilai RM80,000 ke akaun beliau.

Cek tersebut didakwa sebagai rasuah bagi melanjutkan kontrak sebuah Syarikat Bumiputera dalam Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB).

Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, sekiranya Awang Adek  tidak memberikan sebarang respon berhubung tuduhan tersebut, pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan.

"Kita beri Dr Awang Adek seminggu untuk menafikan dokumen yang kita perolehi ini sebagai palsu atau tidak benar.

"Jika tidak kita akan mempertimbangkan untuk tindakan selanjutnya dan bawa perkara ini kepada SPRM untuk siasat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Cek CIMB Bank yang bernilai RM50,000 dan RM30,000 setiap satu itu dimasukkan ke dalam akaun Awang Adek ketika beliau menjadi Pengerusi SJJB pada tahun 2010.

Pertengahan Julai lalu, DPPP mendakwa Awang Adek pernah menerima dua cek bernilai RM80,000 sebagai dorongan untuk melanjutkan kontrak pengurusan kemudahan di Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral oleh Syarikat Advance Maintenance Precision Management Sdn Bhd. (AMPM).

DPPP mendakwa cek tersebut diberi sebagai dorongan bagi melanjutkan kontrak penyelenggaraan kedua-dua bangunan daripada lima tahun bagi Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral daripada 3 tahun 5 bulan kepada 10 tahun.

Mengulas lanjut, Khairul Faizi yang juga Ketua Pemuda PAS Johor mendakwa pihaknya memiliki dokumen serta surat permohonan lanjutan kontrak penyelenggaraan syarikat AMPM yang dihantar kepada Awang Adek.

"Surat permohonan lanjutan kontrak itu dihantar pada 6 Disember 2010 dan tarikh cek dikeluarkan juga pada tarikh yang sama. Selepas itu kita dapat maklumat satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SJJB diadakan pada 25 Ogos 2011, keputusannya mesyuarat bersetuju untuk melanjutkan kontrak kedua-dua bangunan kepada 10 tahun pada syarikat yang sama.

"Pemuda PAS ingin tahu adakah cek ini sebagai dorongan untuk memudahkan mereka (AMPM) mendapat perlanjutan kontrak? Sebab itu kita minta Dr Awang Adek tampil menjawab atau menafikan dakwaan itu sekiranya ia tidak benar," katanya.

Turut bersama pada sidang media ialah Timbalan DPPP, Nik Abduh Nik Aziz, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad dan Exconya Nurul Islam.

Pertama kali tema Hari Merdeka jadi perdebatan

Posted: 31 Jul 2012 04:42 PM PDT


KUALA LUMPUR: Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, 55 tahun adalah umur yang memerlukan seseorang itu menjadi sangat matang dan boleh membuat anjakan yang besar dalam kehidupan.
Baginya, tema Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini mempunyai signiikan yang tersendiri.

Ini, katanya adalah kerana umur lebih setengah abad memerlukan negara menilai dengan jujur apa yang telah dicapai dan apa kelemahan yang masih belum dapat diatasi.

"Teras tergerak untuk memberi komen kepada tema kemerdekaan kali ini ialah kerana ia telah menimbulkan perdebatan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sementara ada yang cuba mempertahan tema yang asal iaitu 'Janji Ditepati' ramai yang berpandangan tema itu adalah lanjutan dari tema Barisan Nasional yang kini giat mempopularkan mesej bahawa kerajaan telah menunaikan janji dan dengan itu harus dibekalkan berkuasa.

Akan tetapi, ujarnya bukankah kermerdekaan adalah persoalan yang berkait dengan perjuangan dan partisipasi rakyat serta soal kedaulatan.


"Tidakkah kemerdekaan ialah persoalan menjadikan negara dan seluruh rakyat sebagai entiti yang satu,  yang tidak boleh dipisah kerana tanpa negara tiada rakyat dan tanpa rakyat tiada negara?" tanya Azmi.

Lantaran itu, kata beliau kemerdekaan semestinya membawa mesej kesatuan dalam perbedaan darjat, pemikiran serta warna kulit dan kaum dikalangan seluruh rakyat.

Menurutnya lagi, apabila tema kemerdekaan tidak membawa pengertian asasi untuk menyuburkan rasa kebanggaan terhadap kedaulatan negara, maka sambutannya sendiri akan hilang erti.

Mohd Azmi berkata, untuk menyambutnya dengan membawa agenda sebuah parti politik maka kemerdekaan bukan lagi suatu penyatuan malah telah menjadi penyebab kepada perpecahan.

Justeru, katanya kemerdekaan yang disorot hanya dari kacamata sebuah parti politik tidak akan membawa kesan kebersamaan malah boleh menimbulkan perpecahan dan saling mencurigai.

"Cukuplah pelbagai program kemerdekaan yang dilakukan selama ini oleh Kerajaan yang sering menonjolkan hanya acara perarakan dan acara hiburan , kini Teras mengesa agar sambutan dilaksanakan dengan tema yang lebih serius dan membayangkan pengertian kebersamaan rakyat dari semua golongan sebagai penyumbang kepada kemerdekaan," ujarnya.

Penekanan betapa harga kemerdekaan adalah terlalu mahal  untuk dibiar digadai oleh pihak tertentu yang mahu meraih kekayaan dan membolot kekuasaan, maka mesej kemerdekaan harus menanam semangat pengorbanan dan rasa maruah yang tinggi untuk negara dan rakyat.

Katanya, rakyat perlu diingatkan  pelbagai cabaran dari dalam dan luar yang boleh sahaja menghancurkan kemerdekaan yang dibina oleh golongan terdahulu.

Beliau menambah, Teras kecewa apabila tema kemerdekaan tiba-tiba dicadangkan bernuansa agenda parti politik bukan kepada mesej yang mendalam yang mahu disuburkan dikalangan rakyat.

"Sebab inilah kali pertama tema kemerdekaan dijadi perdebatan kerana ia tidak berdasarkan kesatuan tetapi hanya mahu menonjolkan mesej sebuah parti politik," katanya.

Tiada ulasan:

Pengikut