Ahad, 29 Julai 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Lajim Ukin cetus momentum perubahan rakyat Sabah

Posted: 28 Jul 2012 11:01 PM PDT


KUALA LUMPUR: Tindakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin (gambar) melepaskan semua jawatan dalam Umno disifatkam sebagai 'sejarah baru' politik Sabah.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling berkata, tindakan berani Lajim itu mampu mencetuskan momentum perubahan yang besar kepada rakyat negeri di bawah bayu itu.

"Ini satu sejarah yang baru dalam politik negeri Sabah dan PAS sangat mengalu-alukan momentum perubahan ini kerana ia sudah tentu memberi impak yang besar kepada kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Semalam, Lajim mengumumkan peletakan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuatkuasa serta-merta.

Beliau didakwa berbuat demikian kerana tidak lagi yakin terhadap kemampuan Umno BN membela nasib rakyat Sabah.

Mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau tidak terperanjat dengan pengumuman lajim, Aminuddin menyifatkan ia sebagai 'menyembunyikan kegerunannya'.

"Najib hanya nak sembunyikan rasa gerunnya sahaja kerana pasti akan ada yang mengikuti jejak langkah Lajim ini," katanya.

Difahamkan, Lajim akan membuat pengisytiharan keluar Umno dan menyertai Pakatan Rakyat di rumah beliau, petang ini.

"Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS, Dr Hatta Ramli akan ada bersama petang ini dan kita tunggulah pengisytiharan Lajim," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, mood rakyat Sabah mahukan perubahan dan bosan dengan janji kosong BN.

"Kita lihat di Sabah rakyat mahukan perubahan. Mereka sudah bosan dengan BN yang hanya tahu berjanji. Saya yakin kalau Pakatan Rakyat sentiasa menyampaikan maklumat yang tepat kepada mereka, rakyat akan pilih Pakatan Rakyat," katanya.

Seminar Cinta Wanita dan Iftar Amal 12 Ogos

Posted: 28 Jul 2012 11:01 PM PDT


KUALA LUMPUR: Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha akan menganjurkan Seminar Cinta Wanita dan Majlis Iftar Amal pada 12 Ogos ini di Hotel Palm Garden, Putrajaya.
Pengerusi maahad, Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, program itu dirancang dengan tujuan mengumpul dana untuk pengurusan Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha.

Ini, katanya kerana pengurusan bulanan maahad menjangkau RM25,000 sebulan dengan mengharapkan sumbangan masyarakat dan juga badan-badan korporat.

Menurutnya, program yang bermula jam 9.00 pagi hingga 10 malam itu mensasarkan peserta dari kalangan remaja wanita, wanita bujang, isteri serta suami isteri.


Katanya lagi, pembentang terdiri daripada pendakwah, selebriti dan artis seperti Dr. Mohd Shauqi Othman, Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman, Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang,  Bob Lokman, Hairie Othman, Norhayati A. Malek (pengasas RD Beauty), Ustazah Norhafizah Musa, Abby Abadi, Aishah, DJ radio Ikim, Nik Hasnah Ismail selaku moderator serta Kumpulan Nasyid Saujana.

Beliau berkata, maklumat lengkap boleh diperolehi menerusi pegawai maahd, Hasliza di talian 013-3831236 dan 013-7722820.

Tukar Pengarah: PAS mahu penjelasan Ismail Sabri

Posted: 28 Jul 2012 11:00 PM PDT

KUALA LUMPUR: PAS mempertikaikan tindakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob yang mengarahkan empat pengarah jabatan Koperasi Negeri bertukar tempat kerja dua hari selepas kegagalan himpunan Hari Koperasi Negara.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, isu pertukaran pengarah negeri terbabit mula diperkatakan apabila mereka diarahkan dalam tempoh yang singkat dan mengejutkan.

"Ini mula dipersoalkan banyak pihak atas tindakan Ismail Sabri kerana pertukaran itu dibuat dua hari selepas himpunan Hari Koperasi Negara," katanya kepada wartawan.

Keempat-empat pengarah terbabit masing-masing dari negeri Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan dan Kedah telah menerima surat pertukaran dua hari selepas hari perhimpunan itu diadakan pada 14 Julai lalu.

Malah dakwanya, tindakan itu diambil selepas Hari Himpunan Koperasi Malaysia gagal untuk himpunkan sejumlah 100,000 orang.

"Target tidak sampai, sehingga keadaan majlis yang berjalan sangat mengecewakan, Perdana Menteri terpaksa mententeramkan audien bagi memberi peluang beliau berucap.

"Malah ditengah-tengah ucapan PM pula, ramai audien mula keluar stadium, nampak satu yang tidak kena terhadap penganjuran," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS.

Mahfuz juga berkata, Ismail Sabri seharusnya menerima secara terbuka bahawa orang ramai tidak berminat menghadiri himpunan tersebut bukannya dengan mengenakan tindakan terhadap pegawai-pegawainya.

Mahfuz juga menolak alasan yang diberikan Ismail bahawa pertukaran empat pegawai terbabit adalah proses biasa iaitu penyusunan semula.

"Kalau penyusunan semula, sepatutnya empat pegawai terima surat dan dimaklumkan sebelum hari himpunan," katanya.

Bagaimanapun, Mahfuz melahirkan rasa hairan dan mempersoalkan mengapa kementerian terbabit mensasarkan kehadiran yang begitu besar dengan anggara perbelanjaan mencecah RM9 juta.

"Apabila mahu meraikan dan memberikan keselesaan dengan gambaran yang ramai kepada Perdana Menteri,  tetapi hakikat dan realiti tidak memberi apa-apa faedah malah merugikan rakyat," katanya.

"Kita berbelanja sampai RM9 juta hanya untuk mengembirakan PM, bagi saya ianya tidak patut berulang dalam cara PM mengendalikan program untuk menyakinkan rakyat," tegasnya.

Beliau percaya tumpuan Perdana Menteri pada himpunan besar untuk menunjukkan kepada dunia bahawa beliau masih diterima rakyat secara umum.

Rohingya: Kerajaan digesa guna saluran diplomatik

Posted: 28 Jul 2012 11:00 PM PDT


MARANG: PAS menggesa kerajaan Malaysia agar dapat menggunakan saluran diplomatik dan pertubuhan antarabangsa bagi menekan kerajaan Myanmar yang disifatkan zalim serta kejam ke atas etnik Rohingya.


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendesak agar tindakan zalim dan kejam pihak pemerintah Myanmar terhadap umat Islam Rohingya yang minoriti dihentikan segera.

"Kita mengajak supaya pihak kerajaan menggunakan saluran diplomatik dan pertubuhan antarabangsa untuk menekan kerajaan Myanmar supaya berhenti dari tindakan yang zalim dan kejam itu.

"Satu tindakan antarabangsa perlu diambil terhadap rejim Myanmar dan pihak pertubuhan antarabangsa perlu melakukan penyiasatan yang bebas dan mereka yang terlibat dengan jenayah kemanusiaan perlu dibawa ke mahkamah antarabangsa," tegas beliau.

Beliau berkata demikian selepas Ceramah Isu Semasa sempena kepulangannya dari lawatan ke Maghribi, Tunisia dan Mesir di pekarangan Masjid Rusila, semalam.

Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mengajak semua pihak agar menunjukkan rasa simpati terhadap bencana yang dialami oleh penduduk Islam Rohingya di Myanmar.

"Di atas nama kemanusiaan dan Islam, PAS mendesak semua pihak supaya menunjukkan simpati yang sesungguhnya terhadap bencana yang dialami oleh penduduk Islam di Burma, yang diperlakukan di luar perikemanusiaan.

"Tindakan yang diambil oleh rejim Burma dengan membunuh, membakar kediaman, meroboh rumah ibadat, menghalang beramal dengan agama adalah satu tindakan yang tidak bertamadun dan tidak patut berlaku di zaman sekarang," ujarnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Timbalan Pesuruhjaya (I) dan Setiausaha PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan Yahaya Ali.

Kajian MPN 'pancung' karier politik Mukhriz?

Posted: 28 Jul 2012 10:59 PM PDT

KUALA LUMPUR: Hasil kajian Majlis Professor Negara (MPN) dipercayai mempunyai agenda untuk memancung karier politik anak Tun Mahathir, Datuk Mukhriz, demikian tegas Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, kajian yang dilakukan sama ada mereka tidak bijak mengatur agenda politik atau mempunyai agenda tertentu sehinggakan melaporkan hasil kajian tersebut kepada publik.

"Sama ada agenda ini untuk pancung Mukhriz atau memperlihatkan ketidakcerdikan mereka yang buat kajian," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Bercakap dalam sidang media hari ini, Mahfuz berkata, mungkin tujuan kajian tersebut untuk menunjukkan Umno mempunyai pelapis yang baik sedangkan mereka tidak tahu percaturan politik Umno di Kedah sangat teruk.

Mahfuz turut melahirkan simpati kepada Mukhriz kerana anak bekas Perdana Menteri itu sedang berhadapan situasi politik pimpinan Umno Kedah yang tidak sebulu dengan ayahnya.

"Apabila menonjolkan hasil kajian, seolah-olah Mukhriz mengatasi pimpinan Umno yang lain maka sudah tentu sejarah melihat di Kedah berlaku percaturan tidak sebulunya Umno kedah dengan Tun Mahathir.

"Di belakang Mukhriz sudah tentu bapanya Mahathir, jadi percaturan politik akan berterusan dan ini akan merugikan Mukhriz," katanya.

Mahfuz turut mempertikaikan peranan MPN yang sepatutnya memberi tumpuan membantu membangunkan NCAR Koridor Utara bukannya memikirkan siapa bakal menjadi MB Kedah.

Ini kerana, beliau difahamkan kajian yang dijalan itu, ditanggung oleh NCAR Koridor Utara dan seharusnya memfokuskan perkara yang sepatutnya menjadi tanggungjawab mereka.

Namun, katanya PAS dan Pakatan Rakyat sentiasa mengambil sikap terbuka terhadap hasil kajian tersebut sebagai pendorong untuk memperkemas dan memperkukuhkan kedudukan politik Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak percaya bahawa kajian yang menyatakan bahawa anak bekas perdana menteri Datuk Mukhriz Mahathir adalah calon MB popular bakal memporak-perandakan BN.

Menurut Azizan, keputusan kajian tersebut sekali gus memberi kredit kepada PAS Kedah apabila, golongan pengkaji berkenaan "seolah-olah telah diperalat pihak tertentu bagi membangkitkan isu ini demi kepentingan kumpulan tertentu".

Kajian yang dibentangkan dalam satu program Majlis Profesor Negara pada Rabu lalu, menyebut bahawa Mukhriz merupakan calon menteri besar paling popular sekiranya BN berjaya merampas kembali pentadbiran Kedah.

Kajian itu membandingkan peluang Mukhriz dan tiga lagi pemimpin Umno Kedah – ketua perhubungannya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, ketua penerangan Datuk Seri Mohd Jamil Khir Baharom dan ketua pembangkang DUN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Laporan yang dibentangkan oleh Prof Madya Dr Rohana Yusof dari UUM juga menyatakan bahawa BN lebih berpeluang untuk merampas Kedah dari tangan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

Pelancaran Xpresi Ramadhan Anak Muda

Posted: 28 Jul 2012 10:58 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia sedang melaksanakan program Xpresi Ramadhan Anak Muda di seluruh negeri sempena bulan Ramadhan ini.

Ketua Penerangannya Riduan Mohd Nor berkata, program tersebut merupakan kesinambungan kepada program Xpresi Hijau Anak Muda yang dianjurkan beberapa kali sebelum ini dalam Himpunan Hijau ke Putrajaya.

"Program ini adalah untuk memugar semangat dan akidah perjuangan anak muda khususnya pemuda PAS.

"Ianya bersempena bulan Ramadhan yang disebut sebagai bulan kemenangan, maka kita akan bergerak ke seluruh negara untuk tujuan ini," katanya kepada Harakahdaily.

Untuk program terdekat, pelancaran secara rasmi program itu akan dibuat malam esok bertempat di Taman Melewar.

Ianya dijadual disempurnakan Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Semalam program serupa turut diadakan Melaka dengan kehadiran Ketua Pemuda PAS Ustaz Nasruddin Hassan sendiri.

"Kita memohon akar umbi pemuda untuk bersedia menerima kehadiran pimpinan mengadakan program ini di tempat masing-masing," kata Riduan.

Lusuh: Mutu wang kertas baru dipersoal

Posted: 28 Jul 2012 10:58 PM PDT


KUALA LUMPUR: Wang kertas baru yang diedarkan sejak 16 Julai lalu kini dipersoalkan pula mutu kertas yang digunakan apabila didapati ia mudah lusuh dan gambar yang tertera di pemukaan kertas itu mudah hilang.
Demikian ulasan di dalam blog http://greenboc.blogspot.com

Berikut adalah ulasan penuh.

Wang kertas baru yang diedarkan sejak 16 Julai lalu kini dipersoalkan pula mutu kertas yang digunakan apabila didapati ia mudah lusuh dan gambar yang tertera di pemukaan kertas itu mudah hilang.

Demikian persoalan yang timbul di beberapa laman facebook.

Bank Negara Malaysia sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa bertemakan 'Keunikan Malaysia', ciri-ciri yang mencorak budaya dan warisan serta keindahan alam semula jadi negara telah menjadi inspirasi dalam reka bentuk wang kertas terbaru itu.

Ia turut menampilkan teknologi wang kertas yang mengandungi ciri-ciri keselamatan yang lebih canggih termasuklah imej tanda bayang, tingkap pandang telus, potret tera air (watermark) dengan piksel dan angka, benang keselamatan dengan warna berubah-ubah, benang kanta mikro, tanda pandang telus dan petak kilat berwarna.

Namun dengan bukti yang ada, menjelaskan bahawa ciri kualiti tidak diambil berat oleh BNM terhadap pengeluaran wang kertas baru berkenaan.

Sementara itu, komen yang diberikan pada blog itu berhubung wang kertas baru menyatakan peniaga cukup takut menerimanya kerana mudah luntur sekiranya tangan berminyak terutamanya penjual kuih muih.

Satu lagi komen ialah mengenai duit syiling baru.

"Satu lagi yang ingin saya kongsi bersama... Ini saya sedar secara tidak sengaja, iaitu duit syiling terbaru kita mempunyai kandungan logam besi kerana syiling lama tidak melekat pada magnet/ besi berani tetapi syiling baru boleh melekat pada magnet. Nilai muka syiling baru sangat murah!" tulis pelayar blog tersebut.

Tiada ulasan:

Pengikut