Ahad, 15 Julai 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


GSF junjung kasih Agong berkenan terima memorandum

Posted: 14 Jul 2012 06:40 PM PDT



KUALA LUMPUR, 14 Julai: Gerakan Selamatkan Felda (GSF) menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana berkenan menerima memorandum bantahan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) ke Bursa Malaysia hari ini.

Koordinator GSF, Mazlan Aliman berkata, penerimaan baik memorandum peneroka itu membuktikan isu peneroka bukan 'isu jalanan' tetapi mendapat pengiktirafan Yang di-Pertuan Agong.

"Terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana hari ini detik yang paling bersejarah kerana selama lapan bulan kita berhubung dengan perdana menteri bagi menyatakan pandangan kita tapi langsung tak ada respons.

"Tapi hari ini pegawai perhubungan awam istana bersedia terima memorandum seperti yang dijanjikan, ini menandakan keyakinan Yang di-Pertuan Agong dalam mengambil kira isu penyenaraian FGVH," kata beliau pada sidang media selepas penyerahan memorandum ke Istana Negara, petang tadi.
Terima kasih polis
Mazlan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak polis yang memberikan kerjasama penuh dalam memantau perhimpunan dan perarakan yang bermula dari Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta.

"Kita nyatakan penghargaan kepada PDRM yang beri kerjasama bukan sahaja dalam memantau pergerakan peserta himpunan namun mereka mengiringi sampai ke pintu istana bagi memudahkan kami menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong," kata beliau yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Namun tegasnya, memorandum tersebut tidak akan berakhir di setakat ini sahaja tetapi tindkan undang-undang terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan diteruskan kerana berhubung kenyataannya yang menggelarkan 'haram jadah' kepada peneroka.

"GSF selepas ini akan mulakan beberapa prosiding penting iaitu menyaman Najib yang menyabut 'haram jadah' dan berada di peringkat akhir untuk mengemukakan tuntutan di mahkamah terhadap suruhanjaya sekuriti kerana tidak memberi respons terhadap aduan kita," katanya.

Tunggu campurtangan Agong

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, pihaknya menunggu tindakan daripada Yang di-Pertuan Agong kerana penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia disifatkan sebagai bahaya kepada aset bumiputera.

"Kita harap Agong dapat membuat sesuatu untuk menyelamatkan tanah peneroka dalam jangka masa panjang kerana kita amat bimbang aset peneroka tergadai.

"Sekarang hak rakyat mahu disenaraikan dalam senarai bursa saham. Ini satu penyenaraian yang berbahaya dan kepada peneroka," tegasnya.

Enam orang dibenarkan masuk menyerahkan memorandum ke istana kira-kira jam 3.20 petang.

Kenderaan mereka daripada jalan Dutamas 1 diiringi kenderaan polis masuk ke kawasan istana.

Juara tilawah jadi inspirasi anak Kelantan

Posted: 14 Jul 2012 06:39 PM PDT


KOTA BHARU, 14 Julai: Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nikdul  AbAziz Nik Mat mengucapkan tahniah kepada anak jati Kelantan, Muhammad Anuar Ghazali (gambar kiri) yang telah memenangi tempat pertama di dalam pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54 tahun 1433H.

Menulis di laman Facebook beliau, Nik Aziz berharap kejayaan Ustaz Muhamad Anuar akan menjadi inspirasi kepada seluruh anak Kelantan khususnya dan rakyat Malaysia keseluruhannya untuk terus mendalami ilmu tarannum al-Quran dan mengamalkan isi kandungan al-Quran di dalam kehidupan.

"Semoga kejayaan beliau menjadi inspirasi kepada seluruh anak Kelantan khususnya dan rakyat Malaysia keseluruhannya untuk terus mendalami ilmu tarannum al-Quran dan mengamalkan isi kandungan al-Quran di dalam kehidupan.. tahniah!" tulis beliau.

Muhammad Anuar Ghazali, 36, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara kategori qari di Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang berakhir malam tadi.

Muhammad Anuar memperdengarkan bacaan Surah al-Hud, memperoleh markah 95.33 peratus. mengalahkan qari Iran Amin Pouya dengan 91.67 peratus dan qari Indonesia menerusi Raden Harmoko Baharudin (90.16 peratus).

Bagi kategori qariah (wanita) dimenangi peserta Maghribi Hasnae Khoulali, 19, yang memperdengarkan bacaan Surah al-Israk memperoleh 94 peratus sama seperti markah yang diperoleh naib johan dan pemenang ketiga.

Hasnae menewaskan qariah Indonesia, Rahmawati Bakri Hunawa dan qariah Malaysia, Che Aminah Che Awang menerusi cara bacaan, tajwid, kefasihan serta suara dalam menentukan perkiraan markah mereka.

Penyampaian hadiah kepada qari disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sementara Raja Permaisuri Agong pula kepada qariah

Juara mendapat hadiah wang tunai RM40,000 serta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan.

Oren buktikan perhimpunan aman tanpa provokasi

Posted: 14 Jul 2012 06:38 PM PDT


KUALA LUMPUR, 14 Julai: Rakyat berjaya membuktikan perhimpunan berlangsung aman tanpa provokasi mana-mana pihak dalam Perhimpunan Oren Selamatkan Felda hari ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada sebab mana-mana pihak mahu melakukan provokasi kerana berhimpun secara aman merupakan hak rakyat.

"Pertama sekali kita ucap terima kasih kepada pihak polis kerana beri ruang yang sangat baik dan hari ini kita nak buktikan perhimpunan tanpa provokasi akan berjalan dengan baik. Dalam negara demokrasi, hak rakyat untuk berhimpun secara aman," kata beliau ketika ditemui selepas penyerahan memorandum membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Istana Negara petang tadi.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang menjayakan perhimpunan dan perarakan dengan baik sehingga memorandum berjaya diserahkan kepada pihak istana.

Perhimpunan bermula dengan solat Zuhur di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta dan berarak sehingga Jalan Dutamas 1.

Polis hanya membenarkan peserta yang berjumlah kira-kira 5,000 berkumpul di situ dan menutup laluan.

Mereka berkumpul sambil mendengar ucapan pimpinan Pakatan Rakyat, wakil-wakil NGO sementara enam wakil ke diiringi kereta polis ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum.

"Walaupun peringkat awalnya kita cadang nak berarak sampai istana tapi hasil perbincangan dengan pihak polis mereka hanya membenarkan kita berhenti di sini (Jalan Dutamas 1) dan pihak polis iring kita untuk hantar memorandum, adi keseluruhan berjalan dengan baik," kata beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Polis akui Himpunan Oren berlangsung aman

Posted: 14 Jul 2012 06:38 PM PDT


KUALA LUMPUR: Pihak polis mengakui Himpunan Oren Selamatkan Felda yang dianjurkan oleh Gerakan Selamatkan Felda (GSF) hari ini berlangsung dalam suasana aman.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Superitendan Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, pihak polis akan memastikan hajat dan matlamat mana-mana pihak ditunaikan kerana itu adalah hak mereka.

Ketika ditanya mengapa anggota FRU tidak ditugaskan mengawal dalam Himpunan Oren hari ini,  beliau berkata keadaan tidak memaksa mereka berbuat demikian.

"Kita buat penilaian sendiri, kalau keadaan tidak mamaksa...dan sebagainya, kita bukan suka mencari...cuma jangan mencetuskan perkara yang melanggar undang-undang," katanya ketika ditemui media di hadapan Pintu 3 Istana Negara sebaik sahaja rombongan GSF beredar selepas mengadap Agong.

Bagaimanapun, Wan Abdul Bari enggan memberitahu jumlah anggota keselamatan yang bertugas dalam himpunan ini walaupun berkali-kali ditanya pihak wartawan.

"Tak pelah itu soal keselamatan, anggota hari ini mencukupi untuk menghadapi apa-apa kemungkinan tidak perlu saya bagitahu jumlah anggota polis yang bertugas hari ini," katanya.

Beliau turut menjelaskan dua orang wakil dari GSF yang tidak dibenarkan masuk ke istana kerana nama mereka tidak ada di dalam senarai asal yang difakskan ke pihak istana sebelum ini.

"Nama-nama yang terdapat dalam faks dihantar pada Istana kita benarkan, setelah kita sahkan nama betul mereka kita benarkan mereka masuk. Yang mana saya boleh sahkan, pihak istana bersedia terima memorandum GSF," katanya.

Justeru katanya, keadaan di hadapan istana dalam keadaan yang baik dan tidak ada perkara yang tidak diingini dan memudaratkan berlaku.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Peguam Mohd Harris Abdullah yang menggantikan tempat Presiden Teras Mohd Azmi Abdul Hamid dan Wakil NGO Raja Abd Rahman, tidak dibenarkan masuk ke istana kerana pertukaran itu dimaklumkan pada saat-saat akhir.

Tarik balik karikatur hina pemimpin Pakatan

Posted: 14 Jul 2012 06:38 PM PDT


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menerima satu 'mock up' komik karikatur yang menghina pemimpin Pakatan Rakyat, selain berbaur fitnah.

Naskhah karikatur yng dianggarkan setebal 50 muka surat itu diterima oleh salah seorang exco Pemuda PAS dan diserahkan kepada Ketua Pemuda, Ustaz Nasruddin Hassan, hari ini.

Ketika menunjukkan karikatur itu kepada wartawan, Nasruddin berkata pihaknya tidak mengetahui siapakah yang bertanggungjawab di sebalik penerbitan karikatur tersebut.

"Karikatur ini diterima oleh salah seorang exco kami yang berada di Kuala Lumpur. Kami percaya, ia belum diterbitkan lagi dan mungkin ada pihak yang ingin kami tahu lebih awal," tegas beliau pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Tambah beliau, karikatur yang dihantar melalui pos itu jelas menghina dan memfitnah pemimpin Pakatan Rakyat dengan pemaparan karikatur yang jelek dan tidak bermaruah.

Sambil tidak menuntut sesiapa untuk menjelaskan penerbitan karikatur itu, Nasruddin menyebut terdapat cetakan pada belakang naskhah komik tersebut yang tercetak 'Diterbitkan oleh Jabatan Penerangan Umno Malaysia, Tingkat 38, PWTC'.

Beliau yang kesal dengan penerbitan komik karikatur itu bagaimanapun tidak mahu membuat sebarang kesimpulan dengan cetakan tersebut, sebaliknya meminta pihak yang bertanggungjawab menerbitkan karikatur itu menarik semula komik tersebut,

Selain itu, beliau juga menggesa mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan Pakatan Rakyat untuk bertemu bagi berhujah secara matang, dan tidak bertindak tidak matang dengan menghina sedemikian.

"Saya percaya, jika inilah sikapnya (membuat fitnah), rakyat akan semakin meluat," tegas beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar memantau perkara tersebut dengan kadar segera.

Noh kata tidak salah terlibat projek udang

Posted: 14 Jul 2012 06:37 PM PDT


KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar (gambar) mengakui mempunyai pegangan dalam projek penternakan udang di Tanjong Karang tetapi menegaskan ia bukan satu kesalahan.

"Jadi, seorang menteri perumahan tidak boleh beli rumah. Apakah itu juga konflik kepentingan?" soal beliau balik apabila ditanya wartawan mengenainya.

Menurut laporan akhbar Sin Chew Daily hari ini, beliau mendakwa ketika tanah seluas 30 ekar di Bagan Tengkorak dimilikinya, beliau belum lagi dilantik sebagai menteri pertanian.

Dewan Negeri Selangor baru-baru ini digemparkan tentang skandal pembelian tanah oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang pada 1995.

Lebih lagi, Noh, yang sekarang Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, telah memulakan projek ternakan udang pada tahan 30 ekar itu bersama sebuah syarikat Pristine Agrofood Sdn Bhd.

Penglibatan Noh di dalam syarikat itu, kata Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) (gambar) yang mendedahkan skandal tersebut, menimbulkan persoalan percanggahan kepentingan kerana Noh merupakan menteri yang bertanggungjawab mengelola industri itu.

Noh membeli tanah 30 ekar itu dengan hanya membayar RM100,000 berbanding harga asal kira-kira RM3 juta pada ketika itu, kata Suee Lim.

Katanya, tanah itu yang asalnya berstatus komersil kemudiannya ditukar kepada tanah pertanian demi menjayakan projek ternakan udang itu pada 2011.

"Rakyat susah untuk mendapat tanah tetapi seorang pemimpin kanan diberi tanah dengan mudah pada ketika itu. Saya telah melawat kawasan itu dan mendapati statusnya adalah untuk ternakan udang," katanya semasa sesi perbahasan di hari terakhir persidangan itu.

"Tambahan pula, tanah itu bukan milik saya sendiri. Ya, saya menjalankan perniagaan penternakan udang bersama dengan ahli perniagaan lain, ini pun tidak boleh ke?" katanya ketika menjawab soalan wartawan selepas melancarkan satu program Bank Pertanian semalam.

"Saya mesti menegaskan bahawa perniagaan ini dikongsi dengan orang lain. Ia adalah sesuatu yang saya lakukan sebelum menjadi menteri. Saya membuat perniagaan itu bukan kerana Kementerian Pertanian, jadi apa yang salahnya?" kata Noh sebagaimana dilaporkan oleh akhbar Cina itu.

Mengenai sama ada perniagaan penternakan udang itu akan menimbulkan isu konflik kepentingan kerana kedudukan portfolio beliau, Noh menyangkal.

Sebab beliau menjalankan perniagaan penternakan udang ialah keinginan untuk merasai kehidupan seorang petani dan beliau sendiri berminat dalam pertanian.

Sementara itu, pengarah Pristine Agrofood Sdn Bhd, Chu Bak Teck menafikan dakwaan bahawa ia berniaga dengan Noh dalam projek usahasama ternakan udang itu.

Bercanggah dengan Noh, Chu sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa menteri berkenaan hanyalah pemilik sebahagian projek penternakan udang itu seluas 100 ekar di Tanjung Karang, dan syarikatnya adalah penyewa.

Jenayah: Hishammuddin kena debat dengan Musa

Posted: 14 Jul 2012 06:36 PM PDT


KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hendaklah berani berdebat dengan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai kadar jenayah untuk membuktikan kerajaan tidak berbohong.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, rakyat kini mendapat gambaran bahawa kerajaan berbohong apabila mendakwa indeks kadar jenayah negara berjaya diturunkan sebanyak 10.1 peratus bagi tempoh Januari hingga Mei 2012 berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Bila perkara itu diumumkan, Musa terus kata, kadar jenayah dalam negara ini semakin meningkat dan bukannya semakin berkurangan.

"Beliau juga mengingatkan kerajaan supaya tidak menyorokkan fakta sebenar kepada orang ramai.

"Sebagai bekas Ketua Polis Negara, Musa mempunyai autoriti untuk bercakap mengenai perkara itu dan apabila beliau menafikan, itu dengan sendirinya memberi pengertian bahawa kerajaan berbohong," katanya.

Jika Hishammuddin berani berdebat dengan Musa, kata Mahfuz, rakyat boleh membuat penilaian sipakah yang bercakap benar.

"Bukan itu sahaja, perdebatan itu juga memberi peluang kepada rakyat untuk mengetahui keadaan sebenar mengenai indeks kadar jenayah negara ini, sama ada betul-betul turun atau tidak," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Rakyat juga, katanya lagi, boleh menilai sama ada Hishammuddin seorang ahli politik yang bercakap benar atau tidak.

"Musa pula bukan ahli politik dan tidak seperti Hishammuddin, beliau dilihat tidak mempunyai kepentingan politik," kata Mahfuz.

Beliau berharap Hishammuddin mempunyai keberanian untuk menghadapi Musa dalam perdebatan mengenai indeks kadar jenayah itu dan membuktikan bahawa kerajaan yang diwakilinya tidak berbohong semata-mata untuk bermain politik dalam perkara itu.

"Jika indeks kadar jenayah negara tidak turun seperti yang didakwa oleh kerajaan melalui kenyataan polis dan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) itu, pada masa itu rakyat bolehlah mengukuhkan lagi keputusan mereka bahawa kerajaan Umno dan Barisan Nasionallah yang mesti diturunkan," tegas Mahfuz.

Tiada ulasan:

Pengikut