Selasa, 12 Jun 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Bapa kafir: Rahim Noor, NST disaman RM10 juta

Posted: 11 Jun 2012 05:06 PM PDT


KOTA BHARU: Gara-gara mengeluarkan kenyataan menuduh Menteri Besar Kelantan sebagai bapa kafir, kini bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor berdepan dengan tuntutan saman sebanyak RM10 juta.

Saman tersebut difailkan melalui Tetuan Hisham Fauzi & Associates pada 31 Mei lalu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.  Dan sebutannya akan diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu 15 Julai depan.
Saman tersebut difailkan Nik Aziz melalui Tetuan Hisham Fauzi & Associates pada 31 Mei lalu dan akan diserahkan kepada semua defendan terbabit dalam masa terdekat ini.

Selain Rahim, enam lagi defendan yang dinamakan ialah NST, ketua editornya, Abdul Jalil Hamid dan wartawannya iaitu Rahmah Ghazali, Lim Poh Lean, Nik Amran Abdullah dan pengarang NST Syed Nadzri Syed Harun.

Saman itu dibuat ekoran kegagalan kedua dua pihak memohon maaf dan menarik balik tuduhan terhadapnya sebagai "bapa kafir" dalam tempoh yang diberikan.

"Defendan-defendan secara bersama/berasingan telah bertanggungjawab menulis dan menyebabkan tersiarnya sebuah artikel di muka surat 6 di dalam akhbar New Straits Times, yang bertajuk 'NIK AZIZ IS FATHER OF KAFIR' yang diterbitkan pada hari Selasa 08 Mei 2012, yang mana artikel tersebut secara jelas menyebut secara langsung berita yang tidak benar dan tidak berasas yang dikaitkan dengan Plaintif," tulis writ saman tersebut.

Rahim dalam kenyataannya melalui akhbar New Straits Times pada 8 Mei lalu menyebut "Nik Aziz is father of kafir".

Ekoran itu Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan memberi tempoh 24 jam kepada Rahim bagi menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka.

Bagaimanapun bekas ketua polis yang kontroversi itu gagal menarik balik kenyataan tersebut. Keengganan Rahim menyebabkan pelbagai pihak tampil membuat laporan polis dan demontrasi membantah kenyataannya.

Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat akan diwakili pasukan peguam diketuai Hanipa Maidin dengan dibantu Hisham Fauzi, Aminudin Zulkepli, Hatman Abdullah, Abdul Rasyid Yah dan Hilmi Abdullah.

Saman juga dikemukakan terhadap enam lagi pihak iaitu tiga wartawan NST yang terbabit menulis berita berkenaan, Pengarang Urusan Kumpulan NST, penyunting kumpulan NST dan syarikat NST.

Menteri Besar dalam pernyataan tuntutan mahu defendan-defendan menarik balik berita fitnah yang disiarkan NST pada 8 Mei lalu.

Selain itu permohonan maaf secara terbuka kepada plaintif dengan mengiklankan permohonan maaf tersebut semuka penuh dalam akhbar Utusan Malaysia atau Berita Harian.

Turut dituntut ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan ganti rugi punitif.

Injunksi juga dikemukakan bagi menghalang defendan-defendan memberi komen, mengulangi atau menyebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan yang berunsur fitnah terhadap plaintif.

Dalam afidavitnya Menteri Besar berkata, tulisan tersebut bermaksud menuduh dan memfitnahnya sebagai "bapa kafir" menggunakan agama untuk mengelirukan umat Islam.

Tulisan tersebut juga disifatkan memberikan gambaran yang buruk terhadap plaintif.

Majlis Makan Tengahari

Posted: 11 Jun 2012 05:06 PM PDT

Kelantan benarkan balik qari wanita sertai tilawah

Posted: 11 Jun 2012 05:02 PM PDT



(Anuar Ghazali menerima hadiah dari MB Kelantan)

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan akan memberi laluan semula kepada qari wanita (qariah) untuk menyertai tilawah membaca Al- Quran bermula tahun depan.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz (gambar) berkata, ketika ia disekat 22 tahun lalu, ia hanya disekat sementara bukannya diharamkan.

Langkah ini, katanya diambil memandangkan banyak hasrat disampaikan melalui pertemuan dan surat agar membenarkan ianya diadakan semula "akhirnya ikatan sekatan itu dibuka semula bermula tahun hadapan."

Beliau berkata, kebenaran ini diberikan berdasarkan pendekatan serupa yang diambil Rasulullah dalam isu menziarahi kubur.

"Ketika itu, ada yang menangis, jilat kubur, cium dan lain-lain lagi," katanya.

Begitu juga di Kelantan, peringkat awal dahulu masyarakat tidak begitu berpegang pada syariat khususnya dalam menjaga aurat, berpakaian menjolok mata hingga tidak ada perbezaan lelaki dan wanita.

Sedangkan Allah jadikan ianya berbeza antara lelaki dan wanita, katanya.

"Kini banyak dah tutup aurat, amalan hidup juga berbeza banding dulu," katanya.

Beliau berkata kepada media selepas majlis makan tengahari bersama MB untuk meraikan johan tilawah Al-quran peringkat kebangsaan Anuar Ghazali.

Anuar yang mewakili Kelantan menjadi johan dalam tilawah itu dengan mendapat pencapaian tertinggi iaitu 93.6 peratus dan juga johan paling muda, 36 tahun.

Beliau bakal mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

Ketika ditanya, tidakkah ia bakal menjadi isu, Nik Aziz menjawab, Kelantan sudah sentiasa menjadi isu dan tidak putus-putus.

"Lagipun dulu hanya kita sekat bukan haram terus," katanya.

Bersih 3.0: Menteri KDN patut tanggung kerugian

Posted: 11 Jun 2012 05:02 PM PDT


Kalau Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein bersama polis bijak membaca keadaan dan pandai menguruskan keselamatan awam negara tidak mengalami kerugian sebanyak RM1.8 juta dalam tempoh hanya beberapa jam saja. Tetapi kerana Hishammuddin dan pasukan polis tidak bijak menyebabkan wang sepatutnya boleh digunakan untuk membeli uniform baru polis hangus begitu sahaja.
Kerugian wang negara sebanyak RM1.8 juga itu kerana digunakan untuk mengawal himpunan Bersih 3.0 baru-baru ini. Jumlah itu tentulah untuk membayar gas pemedih mata yang digunakan untuk menyuraikan himpunan dan juga tanggungan-tanggungan lain termasuk membayar rawatan anggota polis cedera dalam himpunan berkenaan.

Angka itu dikeluarkan hari ini oleh kementerian dalam negeri di parlimen bagi menjelaskan pertanyaan wakil rakyat DAP Batu Gajah (Fong Po Kuan).

Dalam kejadian itu kementerian dalam negeri memberi tahu sebanyak 909 kelongsong gas pemedih mata digunakan pada himpunan pada 28 April itu di mana jumlah tersebut tiga kali ganda daripada yang digunakan dalam perhimpunan Bersih 2.0 tahun lepas. Jumlah ini mengesahkan bahawa Bersih 3.0 lebih hebat dan ramai berbanding dengan kehadiran pada Bersih 1.0 dan Bersih 2.0.

Turut sama dijelaskan sebanyak 58 lagi jenis gas yang dibaling dengan tangan terhadap para himpunan. (Cis... kepada polis jahat).

Barang kali wajar kalau mana-mana parti bakal membentuk kerajaan di masa akan datang tidak melantik orang-orang yang tidak bijak ataupun kurang akal dalam menyelesaikan apa juga isu membabitkan rakyat kerana disebabkan kelemahan itu kerajaan terpaksa mengalami kerugian. Bayangkan kalau menteri dalam negeri dan juga perdana menteri gentleman membenarkan himpunan itu berlangsung secara aman negara tidak mengalami kerugian sebanyak itu dan wang RM1.8 juga boleh diagihkan untuk perkara lebih berfaedah.

Sebenarnya kalau hendak dihitung jumlah kerugian itu bukan saja bagi kerajaan tetapi peserta juga mengalami kerugian sama. Betapa tidak beratus buah telefon bimbit, kamera, kereta, motosikal juga mengalami kemusnahan disebabkan kerakusan polis.  Semasa peserta himpunan lari bercelidar disebabkan amukan polis, berbagai peralatan peribadi termasuk dompet, beg tangan, gedget, kasut, selipar dan pelbagai peralatan IT bertaburan di  jalanan.

Semoga untuk masa akan datang kejadian seperti itu (yang boleh dilakukan dengan baik) tidak diurus dengan rakus semata-mata kerana kerajaan UBN ingin memberi gambaran kepada umum yang himpunan Bersih jahat. Kini orang ramai dapat menilai sendiri siapa yang selama ini mengkhianati harta benda negara ataupun membelanjakan wang negara di tempat tidak wajar dan mengetahui apakah punca dan di mana kelemahannya. -

967 gas pemedih mata dilepaskan pada Bersih 3.0

Posted: 11 Jun 2012 05:01 PM PDT


KUALA LUMPUR: Sebanyak 967 butir gas pemedih mata telah dilepaskan dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Jumlah itu lebih tiga kali ganda berbanding dalam perhimpunan Bersih 2.0, iaitu sebanyak 262 butir.

Tembakan yang dilepaskan dalam Bersih 3.0 itu termasuk 909 butir 'shell tear smoke' dan 58 butir 'grenade tear smoke'.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussin dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan.

Dalam jawapan itu, Hishammuddin turut memberitahu kerajaan telah menanggung kos keseluruhan sebanyak RM1.8 juta akibat daripada penganjuran perhimpunan itu.

Fong Po Kuan dalam soalan lisannya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah tembakan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh anggota yang bertugas, perbelanjaan pada hari tersebut.

Sementara itu, Hishammuddin memandang serius sebarang pelanggaran Peraturan sedia ada (SOP) yang telah ditetapkan dan dua anggota polis telahpun didakwa di mahkamah.

"Sekiranya terdapat mana-mana anggota keselamatan terbukti bersalah melanggar SOP yang telah disediakan, tindakan undang-undnag akan tetap diambil terhadap anggota berkenaan," katanya.

Padang rosak teruk gara-gara program PM

Posted: 11 Jun 2012 05:01 PM PDT


GUA MUSANG: Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) kini menanggung kos kira-kira RM200,000 kerana padang tempat berlangsung program dihadiri Datuk Seri Najib Razak rosak teruk.

Dan akibat kerosakan itu padang milik MDGM tersebut tidak lagi dapat digunakan untuk sebarang aktiviti sukan sehingga sekarang.

Pada awal April lalu Perdana Menteri datang ke Gua Musang merasmikan Karnival Komuniti 1Malaysia yang diadakan di padang berhampiran Pusat Sivik.

Lebih malang lagi Kesedar dan Kementerian Penerangan merupakan penganjur program difahamkan masih membisu sehingga sekarang biar pun notis peringatan dihantar MDGM.

Ahli Majlis MDGM, Amran Abdullah berkata, majlis daerah membenarkan penggunaan padang tersebut selepas dimohon Kesedar.

Bagaimanapun katanya, pihak penganjur tidak menghormati kebenaran yang diberi dan menggali lubang bagi mendirikan khemah besar sehingga menyebabkan padang rosak teruk.

"Isu ini sudah dibincang di peringkat ahli majlis bersama Yang Dipertua. Mesyuarat memutuskan Kesedar perlu menanggung kos kerosakan padang.

"Namun tuntutan awal yang dibuat tidak dihiraukan. Oleh itu kami bersetuju menghantar tuntutan sebanyak RM200,000 bagi menampung kos kerja-kerja membaiki kerosakan padang," katanya di sini.

Dewan Rakyat tolak usul bincang isu Scorpene

Posted: 11 Jun 2012 05:00 PM PDT


KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berhubung skandal pembelian kapal selam Scorpene.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Panglima Pandikar Amin Mulia menolak usul tersebut dalam kamar kerana tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat 23(1)h.

Sebelum itu, Nurul Izzah mengemukakan usul menangguhkan mesyuarat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) bagi mencadangkan supaya Majlis Mesyuarat ditangguhkan dengan tujuan merundingkan perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai.

Melalui surat yang dikemukakan beliau meminta agar dewan mendesak Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan Malaysia menjelaskan secara terperinci berkenaan dengan isu komisen dan penjualan dokumen rasmi sulit dalam kes Kapal Selam Scorpene.

Menurutnya lagi, pendedahan isu komisen dan penjualan rasmi sulit Kementerian Pertahanan Malaysia mengenai Scorpene kepada Syarikat Pertahanan Perancis seperti yang didakwa oleh Suaram di Bangkok pada 30 Mei yang lepas boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.

"Suatu dokumen yang sulit iaitu penilaian Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) terhadap Scorpene yang akan dibeli oleh kerajaan itu didakwa telah dibeli oleh sebuah Syarikat Pertahanan Perancis.

"Laporan yang didedahkan oleh Peguam Perancis, Joseph Breham yang mewakili NGO Hak Asasi Manusia atau Suaram mendakwa syarikat berkenaan didakwa membayar 36 juta euro (RM142 juta) kepada Terasasi (Hong Kong) Ltd, dikatakan untuk kerja-kerja kejuruteraan komersial," jelasnya pada sidang media di lobi parlimen.

Tambahnya lagi, dokumen rahsia tersebut merupakan satu penilaian untuk tempahan kapal selam berkenaan yang mana ia merupakan laporan yang sangat sulit.

Menurutnya lagi, pendedahan ini perlu diperjelaskan kepada Dewan Rakyat dan juga rakyat bagi memberitahu betapa seriusnya isu itu lebih-lebih lagi melibatkan rahsia pertahanan negara.

"Kita tidak mahu rahsia negara boleh digadaikan begitu sahaja demi kepentingan politik sesetengah pihak.

"Saya mengesa Kerajaan Malaysia menjelaskan secara terperinci peranan syarikat Terasasi yang didakwa menjual rahsia negara kepada syarikat Perancis berhubung urusniaga RM4 bilion untuk membeli kapal selam," katanya.

Nurul Izzah turut menyatakan Dewan Rakyat sebelum ini tidak pernah dimaklumkan berkenaan dengan peranaan Terasasi dan juga peranan yang dimainkan Abdul Razak Baginda dalam transaksi yang melibatkan kertas penilaian Scorpene.

"Perkara ini sepatutnya dibincangkan tetapi saya kecewa kenapa ia ditolak adakah kerana ingin melindungi pihak-pihak tertentu itu," sambung beliau lagi.

Kes B Kepong: Pengadu minta Mat Sabu dibebaskan

Posted: 11 Jun 2012 05:00 PM PDT


PULAU PINANG: Perbicaraan kes Haji Mohamad Sabu yang didakwa kerana dikatakan memfitnah polis Bukit Kepong di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaaan menyaksikan kegemparan apabila pengadu kes tersebut beberapa kali meminta maaf kepada beliau dan meminta Mahkamah membebaskannya dari pertuduhan.

Saksi pendakwa tersebut Visvanathan a/l Muthu iaitu seorang pesara polis yang memberi keterangan beliau hari ini berulang-ulang kali meminta maaf kepada Mat Sabu sambil mengangkat tangannya kepada Mat Sabu dan meminta mahkamah membebaskan beliau.

Beliau berkata demikian apabila di soal balas secara panjang lebar oleh peguambela Mat Sabu, Mohamed Hanipa Maidin di Mahkamah Sesyen hari ini.

Semasa pemeriksaan balas tersebut beliau mengakui bahawa laporan polis yang beliau pada 27 Ogos 2011 adalah semata-mata berdasarkan laporan Utusan Malaysia pada tarikh yang sama.

Berikut adalah antara lain petikan soal balas Hanipa dengan saksi tersebut.

Soalan peguambela (S): Kamu setuju kamu sendiri tak dengar ceramah Mat Sabu?
Jawapan saksi(J): Ya, setuju.

S: Kamu setuju apabila kamu tak dengar apa yang Mat Sabu kata, kamu sebenarnya tak tahu apa yang Mat Sabu kata?
J: Ya. Setuju.

S: Cuba kamu lihat laporan laporan akhbar Utusan dan petikan ucapan Mat Sabu, setuju tak apa yang ditulis oleh Utusan adalah tidak sama dengan apa yang Mat Sabu kata?
J : Ya, setuju.

S : Mat sabu tak ada kata perkataan komunis langsung dalam ucapan beliau tapi Utusan ada kata, betul tak?
A : Betul.

S: Kamu setuju atau tidak apa yang kamu tulis dalam laporan polis kamu yang katakan Mat Sabu menfitnah polis dan menyokong komunis adalah tidak betul?
J : Ya, setuju.

S : Jadi laporan polis kamu tidak betul dan saya katakan bukan Mat Sabu yang memfitnah polis tetapi kamu yang sebenarnya memfitnah Mat Sabu dalam laporan polis kamu?
J : Ya, saya setuju. Saya mahu minta apology (maaf) kepada beliau (sambil tunjukkan tangan minta maaf pada Mat Sabu yang ada di kandang orang kena tuduh).

S : Dalam laporan polis kamu ada sebut minta polis ambil tindakan undang-undang Mat Sabu, kamu masih mahu 'stick' kepada apa yang kamu katakan?
J : Tidak, saya mahu minta maaf pada Mat Sabu dan 'he is now my brother'. Saya mahu Mat Sabu dibebaskan.

S: Kamu kata Mat Sabu derhaka pada Yang Dipertuan Agong, saya ingin tanya pada kamu macam mana kamu boleh kata dia derhaka kepada Agong, sedangkan pada masa peristiwa Bukit Kepong Malaysia belum wujud dan Yang Di Pertuan Agong pun belum ada. Macam mana Mat Sabu boleh derhaka pada benda yang belum ada?
J :Saya tidak boleh jawab soalan itu.

S: Jadi kamu setuju kamu tidak cakap benda betul dalam laporan polis kamu?
A: Setuju.

Saski juga mengakui dia tidak tahu di mana Bukit Kepong dan apabila terus ditanya oleh Hanipa beliau menyatakan Bukit Kepong terletak di Selangor dan Hanipa lantas menyampuk "Itu Kepong bukan Bukit Kepong!"

Saksi tersebut yang mengidap diabetik beberapa kali terpaksa berhenti memberi keterangan kerana dikhuatiri akan pengsan kerana berdiri terlalu lama.

Apabila disoal semula oleh pihak pendakwa saksi sekali lagi meminta maaf pada Mat Sabu dan berkata beliau menyesal (kerana buat laporan polis ke atas Mat Sabu).

Selepas selesai memberikan keterangan saksi tersebut dilihat berjalan menuju ke kandang Mat Sabu dan terus bersalam dengan  beliau dan meminta maaf sekali lagi.

Kes kemudiannya ditangguhkan ke 13,16 dan 17 Julai depan kerana Hanipa memaklumkan mahkamah bahawa Mat Sabu sedang menunggu tarikh rayuannya di Mahkamah Rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang enggan membatalkan pertuduhan ke atas beliau.

Mat Sabu diwakili oleh Mohamed Mohamed Hanipa Maidin, Amin Zulkifli dan Nasar Khan manakalan Encik Husaini mewakili pihak pendakwa.

Galeri Mahkamah yang dipenuhi pemerhati turut menyaksikan kehadiran Ustaz Salleh Man, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dan Ahli Majlis dari DAP iaitu saudara Francis.

Tiada ulasan:

Pengikut