Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan |
- Tiada alasan lagi tolak daratkan minyak di Bachok
- Tiada maruah pihak persenda lebuh raya rakyat
- Anwar: Siapa bayar sewa rumah Muhyiddin
- Orang Asli berhimpun tuntut hak, bantah ceroboh
Tiada alasan lagi tolak daratkan minyak di Bachok Posted: 10 Jun 2012 04:53 PM PDT KOTA BHARU: Tidak ada sebab lagi untuk Kerajaan Pusat menolak tuntutan pendaratan gas ke Pantai Bachok oleh kerajaan negeri apabila Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V turut menyokong tuntutan itu. (Sidang media Royalti) Presiden Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan, (Royalti) Nazri Deraman, berkata menolak tuntutan pendaratan gas oleh kerajaan negeri dan rakyat Kelantan, turut disokong oleh baginda pada pembukaan rasmi Persidangan Dun Kelantan Penggal ke lima baru-baru ini. "Ini bererti, kegagalan mendaratkan gas dan petroleum itu seumpama mengingkari baginda yang juga Timbalan Yang di Pertuan Agong. "Ini kerana baginda juga turut bersetuju dan menuntut perkara yang sama kepada kerajaan Pusat disamping menandatangani plak yang turut tertera titah baginda,"ujar Nazri lagi. Beliau berkata demikian kepada media dalam sidang medianya tengahari tadi, di khemah Ekspo Pertanian. Menurut Nazri, kerajaan Persekutuan seharusnya memberi perhatian terhadap titah baginda berhubung sokongan baginda berhubung pendaratan gas disamping menuntut royalti oleh kerajaan dan rakyat di negeri itu. Pada 5 Jun lalu, Sultan Muhammad ke-V berkesempatan menandatangani plak sokongan menuntut pendaratan gas di zon industri petroleum Pantai Bachok, di bawah titah baginda sendiri sempena sidang Dun Kelantan baru-baru ini. Plak berkenaan disediakan gabungan Royalti yang turut tertera potret dan titah baginda. Pada masa yang sama Nazri memberitahu pihaknya akan mensasarkan lebih 150,000 tandatangan rakyat Kelantan untuk tujuan yang sama disamping menuntut royalti. "Sehingga kini kami telah memperolehi lebih 60,000 tanda tangan rakyat negeri ini,"ujarnya. Bagaimanapun katanya, selain Sultan Kelantan dan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tengku Razaleigh Hamzah, Presiden Kafa, Tan Sri Anuar Musa juga telah menandatangani tuntutan itu baru-baru ini. Tambahnya, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemain bola sepak Kelantan, ikon anak muda negara Ustaz Azhar Idrus adalah antara kenamaan yang turut menandatangani menyokong tuntutan yang sama. Nazri seterusnya memberitahu, Walk for Royalti akan diadakan pada 7 Julai ini bermula di Stesyen Bas Kota Bharu bermula jam 2.00 petang. "Acara santai berjalan kaki ini akan melibatkan perjalanan sejauh tiga kilometer sambil mengedarkan risalah berkaitan tuntutan royalty. "Pada masa yang sama logo khas 'R' akan dilancarkan sebagai simbolik kepada Royalti,"ujarnya. |
Tiada maruah pihak persenda lebuh raya rakyat Posted: 10 Jun 2012 04:52 PM PDT KOTA BHARU: Pihak yang tidak ada maruah sahaja mempersendakan usaha kerajaan negeri membina lebuh raya rakyat Kota Bharu-Kuala Krai bagi menyelesaikan masalah lalu lintas. Bekas Setiasuaha Gerakan Kelantan, Lau Chin Chua (gambar) berkata, siapa sebenarnya yang menipu rakyat bagi membina kemudahan asas bagi manfaat orang ramai di Kelantan. "Sedangkan semua orang tahu projek lebuh raya itu pernah dijanjikan mahu dibina sejak 1986 oleh pemimpin Umno, namun sampai sekarang tidak menjadi kenyataan. "Jadi siapa sebenarnya yang tipu rakyat. Tengok jambatan Sultan Yahya Petra kedua sampai sekarang belum siap selepas masuk tahun kelima. "Saya difahamkan sudah berapa kali bertukar kontraktor yang membina jambatan itu. Sedangkan di China jambatan yang merentangi laut dapat disiapkan dalam tempoh tiga tahun," katanya pada ceramah di Lembah Sireh malam tadi. Ceramah terbabit diadakan sempena program Cakna Rakyat Dun Bunut Payong. Hadir sama Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Adun Bunut Payong, Datuk Takiyuddin Hassan. Pelbagai acara diadakan pada sebelah pagi sehingga petang. Biar pun hujan sebelah petang namun ia tidak menghalang orang ramai datang mengikuti ceramah. Rabu lalu sekumpulan pemuda yang didalangi Umno mengadakan perhimpunan di hadapan Kota Darulnaim dengan membawa peralatan binaan yang buruk, seperti mempersendakan kerajaan negeri membina lebuh raya rakyat. Lau yang juga bekas guru besar berkata, lebuh raya berkenaan diyakini dapat disiapkan mengikut jadual memandangkan bahan mentah seperti pasir dan batu banyak terdapat di lokasi lebuh raya yang akan dibina. Beliau juga yakin pemimpin Umno Kelantan menjadi penghalang kepada Kelantan mendapat hak ke atas royalti petroleum. "Saya yakin Perdana Menteri tidak ada masalah untuk membayar royalti tersebut, namun masalahnya ada pemimpin Umno di Kelantan sendiri yang menghalangnya," ujar beliau. Salahuddin pula memberitahu dua menteri kabinet yang berasal dari Kelantan tidak memainkan peranan untuk memastikan negeri ini mendapat hak ke atas royalti. "Mereka tahu kalau Kelantan mendapat royalti, Umno buat selama-lamanya tidak bermimpi untuk menawan Kelantan," ujarnya. |
Anwar: Siapa bayar sewa rumah Muhyiddin Posted: 10 Jun 2012 04:51 PM PDT KAJANG: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kepada rakyat siapakah yang membayar sewa rumahnya ketika dia mula-mula menjadi menteri di Kuala Lumpur. "Saya nak tanya siapa bayar sewa rumah dia tatkala dia jadi menteri di Kuala Lumpur. "Saya tahu sebab masa itu saya bos dia , saya timbalan perdana menteri. "Jawab la...nak lawan sangat," katanya dalam nada mencabar. Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah Merdeka Rakyat di Stadium Kajang di sini malam tadi. Menurut Anwar, selepas menjadi menteri besar Johor, Muhyiddin dilantik menjadi menteri dan ketika itulah sewa rumahnya dibayar oleh orang lain. Beliau membuat cabaran itu bagi menjawab gesaan Muhyiddin semalam yang mahu Anwar menjelaskan dakwaan yang dihadapinya 13 tahun lalu kononnya mempunyai aset dan wang tunai bernilai RM3 bilion. Anwar turut mengulangi kesediaanya untuk sedia mendedahkan akaun banknya dengan syarat Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri sedia berbuat perkara sama. "Muhyiddin Yasin, kamu nak siasat saya tiada masalah. "Ok, cek akaun kamu, dan cek akaun saya," katanya. Dalam pada itu, lebih 5,000 orang membanjiri stadium kajang malam tadi. Biarpun hujan renyai-renyai, mereka tidak berganjak mendengar kupasan isu-isu terbaru dari pimpinan Pakatan rakyat. Selain Anwar, antara pimpinan utama lain yang turut berceramah malam tadi adalah Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin, AJK PAS Pusat Dr. Mujahid Yusof dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim. Pada ceramah terbut juga menyaksikan 150 orang menyerahkan borang menyertai PKR cabang Hulu Langat. Ceramah malam tadi diakhiri dengan tembakan bunga api sejurus selesai ucapan Anwar. |
Orang Asli berhimpun tuntut hak, bantah ceroboh Posted: 10 Jun 2012 04:50 PM PDT ROMPIN: Kira-kira 300 Orang Asli sekitar daerah ini dan beberapa daerah lain berhimpun di hadapan Pejabat Tanah dan Daerah Rompin kelmarin untuk menyampaikan memorandum memohon pengiktirafan kerajaan terhadap Tanah Adat Orang Asli. Memorandum daripada Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) yang disampaikan oleh wakil Orang Asli kepada Pegawai Daerah Rompin, Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha itu turut membantah terhadap pencerobohan tanah penduduk. (Gambar: Fatimah sempat berucap di hadapan pegawai kerajaan.) Antara lain memorandum yang turut ditujukan kepada Menteri Besar Pahang dan Perdana Menteri itu mendedahkan, di Rompin isu pencerobohan Tanah Adat Orang Asli amat ketara melibatkan pembukaan ladang baru kelapa sawit serta lombong-lombong bijih besi dan emas menyebabkan kediaman komuniti tersebut semakin terhakis. Akibat daripada itu timbul masalah berlaku pencemaran bekalan air bersih yang kritikal dan kerosakan tanah kediaman yang teruk berikutan peninggalan kawah lombong sehingga Orang Asli setempat kehilangan sumber pemakanan dan pendapatan. Serentak dengan itu mereka menuntut kerajaan pusat dan setiap kerajaan negeri mengiktiraf Wilayah Adat Orang Asli sama ada Tanah Adat, laut dan tasik dengan mengikut proses keizinan maklumat awal bebas dan telus kepada semua perkampungan Orang Asli berkenaan. Kerajaan juga diminta menghormati, mengiktiraf dan mengambil kira hak-hak Orang Asli di bawah perkara 8(5)(c) Perlembagaan Persekutuan dan menguatkuasakan hak sebagai orang asal seperti terkandung didalam Deklarasi Hak Asasi Orang Asal Sejagat yang disokong berulang-kali oleh kerajaan Malaysia di gelanggang politik antarabangsa. Kumpulan Orang Asli berkenaan akhirnya menuntut kerajaan pusat dan negeri menghentikan sebarang pelupusan, pemajakan, penyewaan atau pemberian hak dan melarang pencerobohan tanah mereka sehingga satu polisi yang holistik mengenai pengiktirafan semua perkampungan Orang Asli. Sementara itu seorang wakil Orang Asli yang berucap, Fatimah, mahu pihak kerajaan dari peringkat daerah hinggalah kepada negeri dan pusat supaya mendengar suara mereka. "Kami Orang Asli bangkit hari ini menolak politik wang ringgit yang selama ini membelenggu pemikiran masyarakat kami sejak sekian lama terutama menjelang pilihan raya. "Himpunan pagi ini adalah titik permulaan kebangkitan Orang Asli menuntut hak kami demi masa depan keturunan kami dan generasi kami pada masa akan datang," katanya bersemangat. |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan