Rabu, 30 Mei 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Siapa menganut ajaran sesat - Presiden PAS

Posted: 29 May 2012 06:42 PM PDT


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengambil inisiatif menerbitkan sebuah buku bagi menjawab tuduhan Umno bahawa PAS parti ajaran sesat.

Buku bertajuk 'Siapa Menganut Ajaran Sesat?' itu memuatkan ucapan penuh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu pada 27 November 1984.

Beliau ketika itu ada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Marang merangkap Ketua Pembangkang di Dun Terengganu.

Dalam ucapan itu beliau antara lain menyentuh perbezaan ketara PAS dan Umno seperti dinyatakan dalam perlembagaan parti masing-masing.

"Fasal 7, Perlembagaan PAS menyatakan bahawa kuasa tertinggi di dalam PAS ialah al Quran, Hadis Nabi, Ijmak Ulama dan Qias.

"Fasal 3 Perlembagaan Umno menyatakan bahawa Umno adalah sebuah parti politik yang progresif, berjuang menurut lunas-lunas demokrasi dengan tujuan menghasilkan cita-cita kebangsaan," katanya.

Selain itu, Tuan Guru Abdul Hadi turut mengemukakan bukti satu kenyataan yang dibuat bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas dalam seminar di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 27 Julai 1984.

Kenyataan itu antara lain berbunyi; "Bahawa negara Malaysia memakai-undang-undang sekular iaitu sistem undang-undang Barat yang tidak berasaskan agama bahkan berasaskan kepada kepintaran akal manusia sahaja".

Buku setebal 42 muka surat itu turut merekodkan kenyataan-kenyataan pemimpin Umno yang menghina hukum Islam.

Ianya termasuk kenyataan dari bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung perlaksanaan hudud.

"Bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama menyatakan dalam ucapan menyambut salah satu hari jadinya, Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan ini hendaklah mengekalkan Malaysia sebagai negara sekular," katanya.

Buku ini antara lain bagi menjawab dakwaan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dalam siri ceramanya di negeri itu menuduh PAS sebagai parti ajaran sesat.

Ianya akan dilancarkan pada 1 Jun ini sempena program Himpunan Hijau ke Putrajaya yang diadakan di Stadium Darul Aman, Alor Setar Kedah.

Dialog Anak Kelantan Di Perantauan

Posted: 29 May 2012 06:41 PM PDT


Kelantan minta Soi Lek jangan prejudis

Posted: 29 May 2012 06:41 PM PDT


KOTA BHARU: Presiden MCA Datuk Seri  Chua Soi Lek diminta tidak bersikap prejudis terhadap kerajaan Kelantan kerana kesannya amat tidak baik baginya sebagai seorang pemimpin besar bangsa Cina di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) berkata Soi Lek seharusnya tidak begitu emosional dalam membuat kenyataannya yang berkaitan kerajaan Kelantan kerana ideologi politik yang berbeza.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya semalam ketika menjawab kenyataan bekas menteri itu dua hari lalu yang mendakwa kerajaan Kelantan telah menolak permohonan Persatuan Buddhist Kelantan yang ingin membuat rumah ibadat di bandar Kota Bharu.

Soi Lek dalam kenyataannya yang disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris itu juga mendakwa persatuan berkenaan kini sedang membuat rayuan pada kerajaan negeri agar permohonan mereka dipertimbangkan.

Jelas Takiyuddin lagi,  tidak timbul kerajaan negeri menolak dan tidak timbul persatuan terbabit membuat rayuan pada kerajaan negeri memandangkan persatuan itu tidak pernah membuat permohonan dari kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya semalam bagi mengulas kenyataan Chua Soi Lek dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

"Andainya pihak persatuan tidak pernah membuat sebarang permohonan pada kerajaan negeri, bagaimana ianya boleh timbul penolakan.

"Kerajaan negeri boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan itu, kerana ianya berbaur fitnah, tetapi rasanya cukup dengan pejelasan itu dan biarlah rakyat yang menentukannya," ujarnya.

Sambungnya lagi, beliau baru selesai mengadakan pertemuan dengan beberapa orang anggota jawatankuasa persatuan itu untuk mendapatkan penjelasan.

Tambahnya, pihak mereka mengakui tidak pernah membuat sebarang permohonan sebagaimana yang berkaitan, bagaimanapun hanya berhasrat untuk membina sebuah dewan komuniti sahaja.

Kerajaan Kelantan, katanya sentiasa bersikap toleransi dengan pelbagai anutan agama walaupun kerajaan negeri dipimpin oleh bukan Islam.

"Kerajaan negeri sejak awal lagi telah menetapkan bangunan sebegini tidak akan disyaratkan mengikut cirri-ciri Islam, kerana ianya rumah ibadat atau komuniti masyarakat bukan Islam," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan  pihak lawan tidak mengambil kesempatan terhadap kenyataannya sebelum ini yang mengingatkan pihak PBT atau individu yang ingin membena bangunan baru diminta menerapkan seni bina Islam.

Katanya, di bawah penyeragaman pembenaan bangunan perniagaan hanya gedung perniagaan sahaja yang terlibat dengan seni bina Islam, bagaimanapun bagi pembinaan rumah ibdat, ianya langsung tidak ada kaitan ciri-ciri itu.

Mengapa Najib, Umno takut debat dengan Anwar?

Posted: 29 May 2012 06:40 PM PDT


Di saat budaya debat mula diterima rakyat negara ini sebagai medium membuat penialaian terhadap sesuatu isu, namun masih ada lagi yang melihat debat tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Malangnya, kenyataan 'memperlekeh' debat itu yang seolah-olah dilihat hanya mendatangkan keburukan, datang dari pemimpin negara sendiri.

Terbaru, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim yang menyifatkan debat tidak menguntungkan mana-mana pihak sebaliknya mendorong kepada perbuatan tuduh menuduh dan kata-kata nista.

Beliau merujuk kepada keperluan debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dicadangkan banyak pihak.

Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga mengeluarkan pandangan serupa bahawa, debat di antara Najib dengan Anwar tidak perlu.

Beliau memberi alasan pembangkang khususnya Anwar akan mencetuskan suatu keadaan untuk mendapatkan 'mileage' politik dalam debat itu.

Apa yang menjadi persoalan kini, adakah pemimpin Umno ini tidak melihat contoh depan mata debat antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berhubung Pemansuhan PTPTN pada 22 April lalu?

Rata-rata melihatnya sebagai sesuatu yang positif, dan langsung tidak timbul persoalan siapa menang siapa kalah antara mereka.
Bagaimana pula debat antara Anwar dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek pada Julai 2008 untuk menurunkan harga minyak. Adakah debat tersebut mendatangkan keburukan?

Terbaru sebuah NGO Asli sekali lagi mahu menganjurkan debat antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selepas debat serupa dianjurkan mereka Februari lalu.

Malah Guan Eng yang Ketua Menteri Pulau Pinang dengan hati terbuka menerima tawaran debat itu hari ini.

Jika benar budaya debat tidak membawa kebaikan, patut hapuskan sahaja pertandingan debat di sekolah mahupun di universiti yang sudah diamal sejak sekian lama.

Dalam isu debat Najib-Anwar ini, saya tidak tahu kenapa Najib dan Umno perlu mengelak sampai rapat ke dindidng.

Kenyataan dari pemimpin Umno yang mewakili suara Najib menolak debat ini hanya akan dilihat sebagai 'mengampu' bos sahaja.

Manakala sikap sepi perdana menteri menyahut debat ini hanya mengesahkan pandangan rakyat bahawa Najib sememangnya takut untuk berhadapan dengan Anwar.

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

PM: Tunku Aziz selari dengan Nik Aziz

Posted: 29 May 2012 06:39 PM PDT



(Sidang media Tunku Aziz di rumahnya semalam)

PETALING JAYA: Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berpandangan selari dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Perdana Menteri negara ini seharusnya beragama Islam tanpa mengira kaum.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyuarakan pendirian beliau untuk melihat seorang calon bukan Melayu jika pembangkang mendapat mandat memerintah negara.

"Mana-mana kaum di Malaysia boleh menjadi Perdana Menteri, asalkan beragama Islam. India Muslim, Cina Muslim sekalipun boleh memerintah, yang penting agama mesti Islam," kata beliau pada sidang media di rumahnya semalam.

Karpal baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa Perlembagaan Negara tidak menetapkan apa-apa peraturan yang menetapkan hanya orang Melayu yang boleh menjadi Perdana Menteri.

DAP juga mendakwa, kenyataan yang disiarkan oleh Utusan Malaysia tidak benar apabila melaporkan Karpal berkata sampai mati beliau akan memperjuangkan agar seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.

Luar biasa bila Hanif teruskan siasatan

Posted: 29 May 2012 06:38 PM PDT


KUALA LUMPUR: Tindakan yang paling luar biasa di akhir-akhir ini adalah apabila Tun Hanif Omar berkeras untuk terus mempengerusikan "panel penyiasatan bebas" terhadap keganasan Bersih 3.0.

Ini kerana, hampir semua pihak kecuali kerajaan Umno dan BN yang mengiktiraf perlantikan itu.

Demikian kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.

Beliau mengulas tindakan Hanif yang terus mempengerusikan jawatankuasa siasatan yang tidak berwibawa dan ekoran itu tidak berani berdepan dengan wartawan.

Sesi sidang media yang telah dirancang lebih awal oleh Hanif dan panelnya telah dibatalkan semalam dan sebagai ganti hanya kenyataan media yang telah diedarkan.

"Ini merupakan satu bukti yang jelas bahawa Hanif dan panel bebas ini sedar yang orang awam tidak yakin panel ini boleh bertindak secara bebas, adil dan saksama terhadap keganasan Bersih 3.0 tanpa mengira jika mangsa-mengsa itu adalah kakitangan polis, wakil media dan perserta perhimpunan aman itu," kata Lim Kit Siang yang juga anggota Perlimen Ipoh Timur itu.

Sebelum ini, Hanif meminta agar pihak yang mengkritik serta meragui integritinya untuk mengetuai panel penasihat bebas mengenai perhimpunan BERSIH 3.0 supaya melihat kembali rekod lama semasa menganggotai beberapa jawatankuasa penyiasatan.

Namun, rekod Hanif yang tidak menjumpai ayat Al Quran yang mengharamkan judi adalah track rekodnya yang paling jelas.

Kalau ayat menentang judi tidak ditemuinya bagaimana beliau mahu memberikan keadilan kepada perhimpunan Bersih 3.0.

Bagi Lim Kit Siang (gambar), sememangnya luar biasa – apabila bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar berkeras untuk mempengerusikan "panel penyiasatan bebas" terhadap keganasan Bersih 3.0 padahal beliau dan ahli-ahli panel yang lain patut mengundur diri.

"Apa yang Kabinet patut lakukan adalah membatalkan panel ini dan sokongan penuh diberi kepada penyiasatan awam Suhakam terhadap apa-apa pencabulan hak asasi manusia dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 Aprilm," kata beliau.

Dalam tempoh sebulan yang lalu, kerajaan telah melancarkan satu kempen fitnah untuk mencerca Bersih 3.0 dan pakatan Rakyat boleh dianggap sebagai 'watak utama' dalam kempen fitnah ini.

Hanif sendiri memegang 'watak utama' dalam kempen fitnah ini dari awal lagi apabila memberi sokongan membuta tuli terhadap dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang perhimpunan Bersih 3.0 sebenarnya adalah satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan, katanya.

Apa yang lebih menghinakan, kata Kit Siang, adalah apabila Hanif berkata yang beliau dapat mengenalpasti individu-individu pro-komunis di Bersih 3.0.

Ia dibuat berdasarkan demonstrasi-demonstrasi 1970an dan memberitahu media yang ajen-ajen provokasi dan kanak-kanak digunakan dalam Perhimpunan Bersih 3.0 sebagai "taktik komunis".

"Bagaimana Hanif akan menukar prasangka buruk mengenai Bersih 3.0 melainkan beliau menarik balik prasangka ini?" soal beliau.

Dalam beliau mempertahankan integriti beliau dan perlantikan sebagai pengerusi panel penyiasatan itu, Hanif masih tidak sedar akan situasi sebenarnya.

Jika Hanif masih tidak mahu menarik balik kenyataan prasangka mengenai Bersih 3.0, beliau haruslah mengambil tempat sebagai "saksi utama" dihadapan mana-mana penyiasatan Bersih.

Ia bertujuan untuk memberi justifikasi pendirian beliau dan bukan mempengerusikan panel tersebut untuk menyiasat apa yang benar-benar telah berlaku di Bersih 3.0.

"Jika tiada bukti yang didapati selepas penyiastan dijalankan, adakah Hanif bersedia untuk mengumumkan secara terbuka yang kedua-kedua Perdana Menteri dan diri beliau mengaku salah dalam dakwaan yang perhimpunan Bersih 3.0 adalah satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan?" soalnya lagi.

Berbanding dengan kenyataan Tun Dr Mahathir yang mengambil alih kempen fitnah ini dengan tuduhan perhimpunan Bersih 3.0 adalah "persediaan" Pakatan Rakyat untuk mencetuskan kekecohan dan keganasan bagi menolak keputusan Pilihanraya Umum Ke-13, nampaknya rakyat lebih membenci dan menolak panel Hanif, dakwa Kit Siang.

Dalam tiga tahun yang lepas, selepas menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sering menyebut "era kerajaan serba tahu sudah berakhir" ("the era the government knows best is over").

Oleh itu, bagi Kit Siang, ini merupakan satu ujian samada beliau akan benar-benar mengotakan yang disebut itu dan menerima hakikat bahawa rakyat Malaysia menolah panel Hanif itu.

Najib mesti bertindak dengan lebih tegas untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa beliau dan kerajaan beliau serius dan ikhlas dengan membatalkan terus panel Hanif dan kerajaan memberi sokongan padu terhadap penyiasatan Suhakam dalam Bersih 3.0.

Sokongan terhadap PAS di Putrajaya meningkat

Posted: 29 May 2012 06:38 PM PDT

PUTRAJAYA: Sejak akhir-akhir ini, sokongan rakyat terhadap PAS khususnya kakitangan awam yang menetap di Putrajaya dilihat sangat memberangsangkan.

Biarpun Putrajaya terkenal sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan di mana masyarakatnya majoriti kakitangan awam, namun mereka kini tidak lagi takut untuk mendekati PAS.

Sabtu lalu, masyarakat Putrajaya mengambil peluang mengenali PAS secara lebih dekat sempena lawatan rasmi PAS Pusat di sana.

Menurut Yang DiPertua PAS Putrajaya Mohd Nazir Zakaria, sambutan yang menggalakkan dikalangan masyarakat menunjukkan PAS bukan asing pada mereka.

"Ini membuktikan yang PAS sudah bertapak di hati mereka dan sokongan terhadap PAS di Putrajaya pada hari ini telah meningkat hampir 5 kali ganda berbanding tahun 2011.

"Perkembangan ini sangat baik yang memberi satu gambaran yang jelas tentang keupayaan PAS dan Pakatan Rakyat untuk mara ke Putrajaya," katanya.

Terdahulu, lawatan tersebut adalah anjuran bersama Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan bersama PAS Kawasan Putrajaya.

Antara Pimpinan PAS Pusat yang hadir sempena program ini ialah Setiausaha Majlis Syura PAS Pusat Ustaz Nik Zawawi, dan Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Pusat Dr. Hatta Ramli.

Pimpinan tertinggi PAS Putrajaya pula ialah YDP PAS Putrajaya Mohd Nazir Zakaria, Timbalan YDP Kamaruzaman Mohamad merangkap Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Selain petugas PAS Putrajaya, program ini dibantu oleh petugas-petugas dari Bandar Tun Razak, Cheras dan Segambut.

Program dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah di Surau Al-Mizan, Presint 8 dan diikuti dengan tazkirah Maghrib yang disampaikan oleh Ust. Nik Zawawi.

Selepas solat Isyak yang diimamkan sendiri oleh Ustaz Nik Zawawi, rombongan peserta telah beramai-ramai ke Medan Selera Presint 9 untuk acara seterusnya.

Acara dimulakan dengan ceramah santai yang dikendalikan oleh Kamaruzaman Mohamad dengan ucapan dimulakan oleh Dr. Hatta.

Beliau telah menyeru kepada semua penduduk Putrajaya supaya memberikan peluang kepada PAS untuk menang di Putrajaya dan seterusnya mentadbir Malaysia.

Di dalam ucapannya, beliau turut mengucapkan takziah kepada peserta yang kemalangan dalam acara perlumbaan sempena Karnival Hari Belia di Putrajaya.

Ucapan seterusnya disampaikan oleh Ustaz Nik Zawawi. Beliau telah mengingatkan para hadirin bahawa hanya Islam sahaja yang mampu menyelamatkan negara Malaysia yang kian parah ini.

Program diakhiri dengan para pimpinan mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan para hadirin yang menjamu selera di medan selera tersebut.

Tiada ulasan:

Pengikut