Khamis, 29 Mac 2012

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Tuan rumah sidang gas dunia, M’sia rayu Israel

Posted: 29 Mar 2012 01:40 AM PDT


KUALA LUMPUR, 29 Mac: PKR mendedahkan bahawa Umno BN memohon bantuan dari Israel sewaktu melobi untuk menjadi tuan rumah Persidangan Gas Sedunia (World Gas Conference) yang akan berlangsung pada 4 hingga 8 Jun depan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan merayu bantuan Israel itu turut mendapat restu dan nasihat Wisma Putra.

"Keadilan mempunyai bukti yang mengesahkan sikap talam dua muka Umno yang secara diam-diam merestui hubungan dua hala di antara malaysia dan Israel sedang ia menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. (Gambar Suara Keadilan)

Beliau turut menunjukkan satu surat dari wakil Malaysia kepada wakil Israel yang mengesahkan bahawa Wisma Putra telah merestui pendekatan merayu bantuan dan sokongan Israel demi mendapatkan hak penganjuran sebuah persidangan antarabangsa.

Penganjuran persidangan itu, kata Saifuddin dikendalikan oleh Persatuan Gas Malaysia yang diwakili oleh Petronas dan dinasihati mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Persidangan itu adalah persidangan terbesar yang akan mengumpulkan syarikat-syarikat minyak dan gas dari seluruh negara.

Justeru, Saifuddin mendesak Wisma Putra dan Tun Mahathir menjelaskan pendirian mereka berhubung perkara itu kerana ia bertentangan dengan solidariti rakyat malaysia yang memperjuangkan hak rakyat Palestin.

"Sikap Umno dan pimpinan mereka yang menentukan dasar Wisma Putra adalah bertentangan dengan keinginan rakyat Malaysia yang tidak mahu ada sebarang hubungan diplomat menentik sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan Israel," katanya yang juga Ahli Parlimen Machang.


Sumber: Harakahdaily

GMI desak Najib tunai janji mansuh ISA

Posted: 29 Mar 2012 01:35 AM PDT


KUALA LUMPUR, 29 Mac: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengulangi desakan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mesti menunaikan janjinya untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada sidang parlimen ini.

Menurut Sekretariat GMI, Nalini, rakyat sudah mula bertanya bila ISA akan dimansuhkan, ekoran Perdana Menteri sudah berjanji akan memansuhkan akta itu pada Mac ini.

"Hari ini, sudah akhir Mac, tetapi tidak nampak riak-riak Perdana Menteri mahu mansuhkan ISA, rakyat sudah bertanya, dan mereka tidak boleh tunggu lama-lama sangat," katanya semasa dihubungi.

Tegasnya, GMI akan mengadakan protes di hadapan Parlimen pada 9 April ini jam 11 pagi, jika sekiranya Najib dan kerajaan gagal untuk memansuhkan ISA seperti yang dijanjikan pada tahun lepas.

Sebelum ini, Najib berjanji akan meminda atau memansuhkan beberapa akta penting seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat, akta membabitkan perintah sekatan atau buang daerah, Akta Percetakan dan Penerbitan.

Najib telah membuat kejutan besar apabila mengumumkan akta itu akan dimansuhkan, pada Hari Malaysia, 16 September lalu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz pula pemansuhan ISA memerlukan tempoh lebih lama, kerana perlu ada pengganti kepada akta itu.

"Apa yang perlu ditegaskan ialah kenyataan Perdana Menteri ialah pernyataan dasar yang akan ditunaikan kerajaan BN...ISA tetap akan dimansuhkan cuma kita kena kaji dengan teliti akta yang boleh menggantikannya," kata Nazri.

Sumber: Harakahdaily

Zunar ketuai program 'Kartunis Bantah-Lynas'

Posted: 29 Mar 2012 01:30 AM PDT


KUALA LUMPUR, 29 Mac: Kartunis Zunar (gambar) akan mengetuai sekumpulan pelukis kartun untuk mengadakan program kesedaran bahaya sisa nadir bumi (rare earth) kepada penduduk tempatan di Kuantan pada 31 Mac ini.

Antara program yang akan diadakan ialah peraduan melukis dan mewarna untuk kanak-kanak, acara melukis karikatur, melukis banner secara terbuka dan demonstrasi melukis kartun, kata Zunar yang nama sebenarnya Zulkifli Anuar Ulhaque.

Antara kartunis yang akan turut mengambil bahagian dalam program tersebut ialah Johhny Ong, Nor Azlin Ngah (Jonos), Azman Md Noh, Azmie Taha dan Abdullah Jones.

Syarikat dari Australia, Lynas telah membina kilang yang merbahaya kepada alam sekitar dan manusia itu di kawasan perindustrian Gebeng, 25 km dari Kuantan

"Program amal ini adalah sebagai melaksanakan tanggungjawab kami sebagai kartunis kepada masyarakat.

"Kami berharap kaedah penerangan menerusi program santai begini akan memberi lebih kesedaran kepada masyarakat setempat tentang bahaya sisa nadir kepada kepada mereka dan generasi akan datang," katanya.

Sebanyak dua program berasingan akan diadakan iaitu di Balok pada sebelah petang dan malam di Pantai Teluk Chempedak.

Di Balok, program bermula jam 3 hingga 5 petang bertempat di Dewan Sekolah Rendah Islam Al-Irsyad manakala program di Teluk Cempedak bermula jam 8 malam.

Program anjuran bersama Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) dan BADAR ini adalah terbuka dan percuma untuk orang ramai.

Peraduan mewarna dikhususkan kepada kanak-kanak dan remaja di mana hadiah-hadiah menarik disediakan dan pendaftaran boleh dibuat di tempat pertandingan pada hari tersebut.

Manakala orang dewasa boleh mengambil bahagian dalam acara melukis kain rentang serta karikatur.


Sumber: Harakahdaily

Mat Sabu: Noh Dijangkiti Sindrom ‘Flip-Flop’ PM

Posted: 29 Mar 2012 01:25 AM PDT


SHAH ALAM, 29 MAC: Pengumuman Datuk Seri Noh Omar tentang pembukaan tender untuk mengambil alih projek ternakan lembu daging Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) merupakan satu tindakan 'flip-flop'.

Menurut Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu kenyataan terbaru Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu jelas bertentangan dengan kenyataan beliau sebelum ini bahawa projek berkenaan berjalan lancar.

Pembukaan tender tersebut itu juga bertentangan dengan kenyataan Noh sebelum ini yang NFC hampir memenuhi sasaran pengeluaran yang ditetapkan kementerian terbabit.

"Kerajaan mesti dapatkan semula duit pinjaman RM250 juta atau kalau susah, mereka mesti mengambil tindakan menerusi undang-undang.

"Tak boleh biarkan macam itu sahaja, tetapi dia nak pulangkan balik duit tu macam mana, syarikat itu dah jadi macam tu," Mohamad berkata apabila dihubungi.

Pembukaan tender itu kata Noh, adalah untuk memastikan projek tersebut mencapai sasaran pembekalan daging lembu tempatan.

Sebelum ini sasaran yang ditetapkan untuk NFC adalah sekurang-kurangnya 60,000 ekor lembu fidlot setahun untuk memenuhi pasaran tempatan.

Tetapi mengikut laporan Ketua Audit Negara, NFC hanya mencapai 8,016 ekor lembu antara tahun 2008 dan 2010, angka yang amat jauh dari sasaran.

NFC, yang diberi pinjaman terus RM250 juta dibelengu berbagai kontroversi termasuk menggunakan dana pinjamannya untuk membeli kondominium mewah, tanah dan membiayai perjalanan ke luar negara.

Isu yang juga menimbulkan persoalan adalah bagaimana projek mega tersebut diberi terus kepada suami menteri yang tidak berpengalaman di dalam industri ternakan lembu.

Mohd Sabu turut menyamakan keputusan Noh dengan pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sering berubah-ubah dalam membuat beberapa keputusan penting kerajaan.

"Tu kira flip-flop lah sebab mula-mula dulu dia ingat tak terbongkar, nak lindungi, tetapi tidak berupaya kerana maklumat dari pembangkang sangat lengkap.

"Samalah juga dengan PM yang dah banyak kali flip-flop dalam banyak isu, kejap-kejap tukar keputusan" ujar beliau.

Sumber: Selangorku

Perhimpunan tuntut mansuh pinjaman PTPTN bulan depan

Posted: 29 Mar 2012 01:20 AM PDT


Perhimpunan menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) akan diadakan di ibunegara pertengahan bulan depan.

Pengerusi SMM, Muhamad Safwan Anang berkata 'Himpunan Mansuh PTPTN' disokong oleh 10 kumpulan gabungan mahasiswa - antaranya Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Gerakan Demokratik Mahasiswa & Belia (DEMA), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP).

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, beliau yang juga pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS), berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat mereka malam tadi.

Katanya, maklumat terperinci mengenai tarikh, masa, lokasi dan jumlah peserta yang dijangka hadir dalam perhimpunan itu akan diumumkan dalam satu sidang akhbar esok.

Sidang media itu juga akan dihadiri Gerakan 'Malaysia Bangkit' - yang memperjuangkan pendidikan percuma - yang turut dianggotai pemimpin LMP Adam Adli.

"Memansuhkan PTPTN dianggap realistik untuk dilaksanakan walapun kerajaan tegas untuk menetapkannya tanpa perubahan langsung," tegas Muhamad Safwan.

"Tuntutan mengurangkan faedah tidak dilayan, walaupun dikurangkan satu peratus, (tetapi) ia belum menyeluruh dan tetap membebankan," tambahnya.

Isnin lalu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dilapor berkata PAS akan menyokong tindakan kumpulan mahasiswa yang mahu mengadakan perhimpunan menuntut pinjaman itu dihapuskan.

Bagaimanapun Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilapor menyifatkan cadangan Pakatan Rakyat yang mahu menghapuskan pinjaman itu jika berkuasa adalah "tidak relevan, mengurangkan semangat daya saing dan membebankan kerajaan".


Sementara Pemuda PAS Pusat menempelak kenyataan Khaled dengan mempersoalkan kerajaan BN tidak prihatin dengan masalah pelajar yang sepatutnya lebih utama, berbanding hanya memikirkan bebanan yang ditanggung kerajaan.

Sumber: malaysiakini

PKR: Tiada peruntukan untuk 'impeachment' di Parlimen

Posted: 29 Mar 2012 01:15 AM PDT


Tiada peruntukan atau duluan (precedent) di Dewan Rakyat bagi mengadakan impeachment (mencabar supaya dilucutkan jawatan) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang ekoran dakwaan terlibat dalam aktiviti biseksual, kata PKR.

Naib Presiden N Surendran berkata, dengan evolusi proses seperti usul tidak percaya dan siasatan jawatankuasa terpilih parlimen, mekanisne impeachment kini sudah lapuk dan di England sendiri kali terakhir berlaku 200 tahun lalu.

"Rasional penggunaan impeachment untuk memastikan menteri dan pihak yang bertanggungjawab dalam pentadbiran negara bersikap telus.

"Mencadangkannya ia digunakan terhadap ketua pembangkang menunjukkan salah faham terhadap proses impeachment itu.

Senator Datuk S Nallakaruppan sedang mencari jalan untuk mengadakan impeachment terhadap Anwar. Peguamnya Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah berkata, usul itu akan dibawa ke jawatankuasa disiplin parlimen bagi membolehkan Anwar digantung atau mengosongkan kerusi itu.


Sumber: malaysiakini

'Siasat anak PM berhubung manipulasi harga saham'

Posted: 29 Mar 2012 01:10 AM PDT


Suruhanjaya Sekuriti (SC) digesa menyiasat anak kedua Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak - Nazifuddin - berhubung dakwaan manipulasi harga saham.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua (kiri) berkata penglibatan Nazifuddin baru-baru ini dalam dua syarikat yang harga saham banyak turun naik, adalah sangat mencurigakan.

Dalam kes pertama, harga saham Harvest Court Industries Bhd melonjak 2.575 peratus selepas Nazifuddin menyertai lembaga pengarahnya akhir tahun lalu, dan harganya merudum selepas dia berhenti sebulan kemudian.

Kes terbaru melibatkan Supercomnet Technologies Bhd, yang menyaksikan harga sahamnya melonjak 362 peratus selepas syarikat itu mengumumkan bahawa Nazifuddin telah ditawarkan pilihan untuk memperolehi 18.66 peratus saham.

Harga saham Supercomnet merudum dua hari kemudian selepas syarikat itu mengumumkan bahawa Nazifuddin telah menolak tawaran saham tersebut.


Sumber: Malaysiakini

DAP gesa k'jaan dapatkan balik pinjaman pada NFC

Posted: 29 Mar 2012 01:05 AM PDT


Kerajaan persekutuan digesa mendapatkan balik pinjaman mudah kepada National Feedlot Corporation (NFC) memandangkan ia sedang mencari pelaksana baru bagi projek fidlot negara.

Ketua publisiti DAP Tony Pua berkata sekiranya kerajaan gagal berbuat demikian, maka ia akan membawa mesej bahawa ia membiarkan kronisme dan naungan.

NFC diuruskan oleh keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang berdepan dengan bahang ekoran skandal berkaitan dengan syarikat berkenaan.

Dokumen telah muncul yang menunjukkan bahawa NFC telah menggunakan pinjaman mudah itu untuk membiayai pelaburan dalam hartanah serta bidang-bidang lain yang tidak berkaitan dengan ternakan lembu.

Bos NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, suami kepada Shahrizat telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah dan melanggar Akta Syarikat 1965 berhubung operasi NFC.

Pua berhujah sekiranya pinjaman mudah itu tidak diperolehi kembali, maka semua tindakan terhadap Salleh dan tindakan Shahrizat melepaskan jawatan kabinet, tidak memberi sebarang makna.


Sumber: Malaysiakini

DAP: Jabatan Pelajaran kaji status pengundi guru

Posted: 29 Mar 2012 01:00 AM PDT


Jabatan Pelajaran Negeri Selangor telah menghantar memo dalaman meminta laporan mengenai "status pendaftaran pengundi di kalangan guru", dakwa Ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching.

Bercakap dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini, Teo
menunjukkan memo yang ditandatangani ketua bahagian pengurusan akademik jabatan tersebut, Hasnul Hadi Abdullah Sani dan dialamatkan kepada semua timbalan pegawai pendidikan daerah.

Borang yang memerlukan pegawai berkenaan menyenaraikan bilangan guru di setiap sekolah dan jumlah yang berdaftar sebagai pengundi serta kawasan pilihan raya parlimen dan negeri mereka, turut dikembarkan bersama memo yang bertarikh 22 Mac itu.

"Menurut seorang guru, ini adalah kali pertama kajiselidik seumpama itu dijalankan," kata Teo.

Selepas selesai menjalankan kajiselidik tersebut, katanya lagi, pegawai yang bertanggungjawab dikehendaki menghantar borang berkenaan kepada "Unit Vokasional dan Teknikal Jabatan Pelajaran".

"Ini membuat sesetengah guru rasa diganggu. Kami memandang berat yang kerajaan sedang cuba menyampaikan mesej kepada guru bahawa mereka sedang diperhatikan," tambah Teo.


Sumber: malaysiakini

Tiada ulasan:

Pengikut