Rabu, 11 Januari 2012

ANGKATAN MUDA keADILan CABANG PARIT SULONG

ANGKATAN MUDA keADILan CABANG PARIT SULONG


PEMBEBASAN SDR ANUAR, TERIMA KASIH RAKYAT MALAYSIA.

Posted: 10 Jan 2012 04:48 AM PST



Semalam, tanggal 9 Januari 2012 adalah suatu detik sejarah baru untuk Malaysia. Suatu peristiwa yang pastinya menggamit jutaan memori perjuangan rakyat yang berlanjutan hampir 14 tahun lamanya.

Seawal pagi lagi, ribuan pendokong dan penyokong keadilan sudah berada di perkarangan letak kereta di Mahkamah Tinggi Jalan Duta menanti kehadiraan Sdr Anwar dan saya serta keluarga. Ini sungguh memberikan semangat dan kekuatan kepada kami sekeluarga untuk mendepani dengan apa jua keputusan hakim mengenai kes fitnah 2 ini yang berlarutan.

Alhamdulillah, dengan berkat doa, usaha dan tawakkal selama ini, mahkamah telah memutuskan bahawa Sdr Anwar dibebaskan dari segala pertuduhan yang difitnah kepada beliau. Tatkala ini, adalah satu saat dan memori yang paling indah bagi keluarga kami. Segala syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T.

Justeru, saya dan keluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga selama ini dengan sokongan dan kesabaran yang menambahkan semangan perjuangan kami untuk membela kebenaran Sdr Anwar. Segala pengorbanan rakyat selama ini, didoakan agar menjadi saksi perjuangan menentang kezaliman, kerana Rasulullah S.A.W. bersabda: "Jihad yang paling utama adalah kalimat yang benar di hadapan penguasa yang zalim." (HR Ahmad)

Maka, jelaslah sekarang kebenaran itu adalah hak bagi kita semua yang dizalimi. Insya Allah, kebangkitan rakyat khususnya golongan muda akan menggerakkan zaman demi kesuburan demokrasi.

Dr Wan Azizah Wan Ismail

CATATAN DARI MUMBAI, ANWAR SEDIA MAAFKAN...

Posted: 10 Jan 2012 04:26 AM PST




Saya dan Azizah tiba di Mumbai dan menuju Panchgani sebagai tetamu kepada sahabat lama, Rajmohan Gandhi, penyala obor perjuangan datuknya, pejuang besar India Mahatma Gandhi.

Lebih tiga bulan lalu saya berjanji untuk bersama beliau menyemarakkan semangat perjuangan Gandhi bagi menegakkan demokrasi yang mempedulikan nasib rakyat serta menolak kezaliman dan rasuah.

Sepanjang dalam perjalanan selama tiga jam, saya menerima ribuan panggilan telefon, mesej dari Twitter dan Facebook, komen di blog serta SMS dari pelbagai lapisan masyarakat Malaysia dan dunia yang menyatakan kesyukuran dan rasa gembira.

Fikiran saya melayang mengenangkan wajah gelisah, sedih, derita keluarga dan rakyat terutama di saat cemas menunggu penghakiman pagi semalam.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana setelah sekian lama difitnah dan diaibkan oleh pemimpin dan media Umno, Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah memutuskan -- berlandaskan undang-undang dan fakta -- bahawa dakwaan seseorang tanpa saksi dan sebarang bukti sokongan adalah tidak dapat diterima. Malah keterangan forensik dan DNA yang dikemukakan pihak pendakwaan turut dipertikaikan kesahihannya.

Saya tidak berhasrat menyingkap permasalahan lalu atau memberikan sebarang tafsiran mengapa penghakiman mengejutkan ini berlaku. Walaubagaimanapun, saya bersyukur ke hadrat Allah Azzawajalla kerana saya bebas dari fitnah jahat sedemikian.

Kasih sayang Azizah dan keluarga; kesetiaan rakan-rakan PKR; dukungan PAS dan DAP; para reformis dan sokongan dan iringan doa rakyat bukan saja ibarat penawar malah membajai penyuburan semangat dan daya juang saya.

Seperti lazimnya saya tidak cenderung untuk merintih kisah derita silam malah sedia memaafkan. Hanya yang dimasyghulkan ialah kebiadaban gerombolan kecil termasuk media Umno yang berdendam kesumat dan terus memfitnah saya.

Saya ingin mengajak saudara-saudari bersama rakyat Malaysia untuk melonjakkan perjuangan menuntut kebebasan rakyat; pemerintahan yang telus dan adil; ekonomi yang dipacu segar tetapi mempedulikan nasib rakyat serta menolak keangkuhan kuasa dan rasuah.

Kami sekeluarga amat terharu dengan luahan simpati dan dukungan semua. Semoga usaha murni kita bersama direstui dan diberkati Allah SWT.

DSAI.

Tiada ulasan:

Pengikut