Selasa, 20 Disember 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


NFC membarah: Kondo RM10 juta di Singapura pula

Posted: 19 Dec 2011 11:13 PM PST

SHAH ALAM, 20 Dis: Umno perlu membuat keputusan segera untuk bertindak kepada pihak yang bertanggungjawab dalam skandal NFC atau terus dimalukan.

Skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) semakin membarah apabila PKR hari ini mendedahkan NFC membeli sebuah kondominium bernilai hampir RM10 juta di Singapura.
(Kondominium mewah Orchard Scotts di Singapura. Disinilah NFC membeli unitnya bernilai kira-kira RM10 juta)

Kondominium ini dibeli pada harga S$4,107,600 dan luasnya adalah 2,282 kaki persegi, iaitu salah satu unit yang terbesar di bangunan kondominium mewah di tengah-tengah kota Singapura itu.

Pendedahan kali ini dibuat oleh tiga pemimpin kanan PKR dalam sidang media mereka hari ini.

Ketiga-tiga mereka adalah Saifudin Nasution Ismail (Setiausaha Agung), Zuraida Kamarudin (Ketua Wanita) dan Rafizi Ramli (Pengarah Strategik).

Sebelum ini, pelbagai pihak dalam Umno menekan agar Datuk Seri Shahrizat Jalil meletakkan jawatan. Turut memberikan tekanan adalah  bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

Ini kerana, NFC dikendalikan oleh suami dan anak-anak beliau.

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu beranggapan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika pinjaman itu diluluskan, Tan Sri Muhyidin Yassin mesti bertanggungjawab ke atas penyelewengan ini kerana projek ini terletak di bawah penyeliaan kementerian yang beliau jaga.

Pembelian harta mewah oleh keluarga menteri ini lebih memualkan bila mana ia didaftarkan terus di atas nama mereka.

"Carian rasmi menunjukkan ia didaftarkan secara bersama di atas nama Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh," kata kenyataan mereka bertiga.

Pendedahan dibuat ekoran Umno dan Shahrizat  belum memberi tanda-tanda akan ada pertanggungjawaban kepada penyelewengan dana rakyat melalui NFC seperti yang dituntut rakyat.

"KEADILAN akan terus membongkar penyalahgunaan dana awam bagi kepentingan peribadi keluarga menteri berkenaan," kata mereka.

Menurut kenyataan itu, mereka ada bukti-bukti pembelian sebuah kondominium mewah beralamat 7 Anthony Road, #14-24, Orchard Scotts, Singapore 229955 oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil pada 27 Januari 2010.

Kondominium ini dibeli pada harga S$4,107,600 dan luasnya adalah 2,282 kaki persegi, iaitu salah satu unit yang terbesar di bangunan kondominium mewah di tengah-tengah kota Singapura itu.


Pendedahan ini melengkapkan dakwaan KEADILAN sebelum ini bahawa dana dari NFC yang sepatutnya digunakan untuk membina industri daging negara telah disalurkan kepada syarikat-syarikat peribadi milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil seperti NMLC dan RFC, kata mereka.

Lebih teruk lagi, wang dari syarikat-syarikat seperti NMLC dan RFC kemudiannya disalurkan pula ke syarikat-syarikat milik keluarga  Shahrizat di Singapura iaitu Meatworks (Singapore) Pte Ltd dan Global Biofuture Pte Ltd yang menjalankan operasi perniagaan yang tidak ada kena mengena dengan tujuan bantuan dana kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC.

Meatworks (Singapore) Pte Ltd dilaporkan menjalankan perniagaan restoran mewah di Singapura, sementara Global Biofuture Pte Ltd pula menjalankan perniagaan perdagangan minyak dan ternakan.

Pada hari ini, KEADILAN boleh mendedahkan satu komunikasi (dalam bentuk email) di antara Saudara Wan Shahinur Izran dengan Saudari Donna Yong yang menguruskan perniagaan restoran di Singapura bagi pihak keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Email ini membincangkan pemindahan wang yang diperlukan untuk membiayai perniagaan restoran mewah di Singapura.

Bagi tempoh 3 bulan di antara Oktober 2010 dan Disember 2010, keluarga Dato' Seri Shahrizat Jalil dianggarkan memindahkan sejumlah S$530,000; bersamaan RM1.3 juta dari dana milik kerajaan untuk membiayai perniagaan peribadi di Singapura.

Jika ini berlaku sepanjang tahun 2010 dan 2011, kemungkinan jumlah wang yang telah dilarikan mencecah RM10 juta hanya untuk satu perniagaan di Singapura.

Amalan ini sudah tentu turut berleluasa dengan syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh mereka di Singapura, kata mereka.

Oleh kerana syarikat-syarikat ini adalah milik penuh keluarga  Shahrizat Jalil, wang dari NFC boleh sahaja dipindahkan terus ke akaun syarikat-syarikat ini, kemudiannya dikeluarkan oleh keluarga menteri untuk membiayai pembelian peribadi seperti kondominium mewah di Orchard Scotts.

"Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh berdiam diri lagi kerana pendedahan demi pendedahan membuktikan berlaku penyelewengan berleluasa dalam penggunaan dana rakyat berjumlah RM250 juta itu.

"Kami mendesak beliau mengambil tindakan segera membekukan kesemua akaun bank dan perbelanjaan NFC serta syarikat-syarikat berkaitan yang dimiliki oleh keluarga Dato' Seri Shahrizat Jalil, sementara siasatan yang lebih telus dan serius dijalankan secepat mungkin," kata kenyataan itu.

Pakatan Rakyat Perak diperkukuh

Posted: 19 Dec 2011 11:12 PM PST


(Pemimpin muda PAS dan PKR Perak bertemu secara rasmi hujung minggu lalu)
IPOH, 20 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Angkatan Muda Keadilan PKR Negeri Perak bagi mengukukuhkan hubungan antara kedua parti yang kini dalam Pakatan Rakyat di Negeri Perak.

Rombongan Pemuda PAS Perak diketuai oleh Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss bersama 10 orang Ahli Jawatankuasa Kerjanya membuat kunjungan itu hujung minggu baru-baru ini.
Angkatan Muda Perak pula diketuai oleh Ketuanya, Dr Meor Ahmad Isharra Ishak bersama Ahli Jawatankuasa Kerjanya menyambut kedatangan Pemuda PAS Perak.

Perbincangan lebih kearah untuk mengukuh peranan anak muda di dalam PR Perak bagi memastikan PR akan kembali memerintah Negeri Perak setelah dirampas dengan cara kotor awal Februari 2009 yang lalu.

Perbincangan hampir sejam tersebut banyak membincangkan persiapan jentera pilihanraya kedua-duanya.

Pemuda PAS Perak juga akan bertemu selepas ini dengan Ahli Jawatankuasa Kerja Pemuda Sosialis DAP Negeri Perak dalam masa terdekat untuk meneruskan agenda mengukuhkan hubungan dengan parti tersebut menjelangnya persiapan jentera Pilihan Raya Umum ke - 13 nanti.
Futsal Pemuda Perak meriah

Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melalui Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) telah menganjurkan kejohanan Futsal tahun 2011 kali ini.

Sebanyak 33 pasukan telah menyertai kejohanan kali ini yang datang daripada seluruh Negeri Perak. Pasukan yang telah menyertai kali ini dipilih oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan seluruh Perak.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Pilihanraya PAS Perak, Haji Asmuni Awi.

Manakala kehadiran daripada kepimpinan Pemuda PAS Perak terdiri daripada Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss dan Setiausahanya, Salman Saleh.

Kejohanan kali ini diserikan dengan cabutan bertuah yang menarik berikutan hadiah-hadiah yang disediakan oleh pihak penganjur menarik minat hadirin untuk tunggu hingga ke saat akhir.

Adun DAP Bukit Gasing meninggal dunia

Posted: 19 Dec 2011 11:12 PM PST

KUALA LUMPUR, 20 Dis: DAP hari ini mengucapkan takziah terhadap keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing, Edward Lee, yang meninggal dunia akibat barah kolon pagi tadi.

Lee, 61, menghembuskan nafas terakhir berikutan barah yang telah merebak ke hati dan tulangnya, lapor Roketkini.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, beliau terkejut dan sedih dengan pemergian Lee.

"Takziah kepada keluarga beliau. Malaysia telah kehilangan seorang patriot yang tekun dan rajin. Rest in peace," katanya melalui mesej Twitter.

Lee memenangi kerusi Dun Bukit Gasing dalam pilihan raya umum 2008 atas tiket DAP setelah menewaskan calon penyandang Gerakan Datuk Dr Lim Thuang Seng dengan majoriti 8,812 undi.
Sebelum itu, mendiang adalah aktivis alam sekitar di Petaling Jaya, khususnya bergiat untuk menyelamatkan Bukit Gasing untuk dikekalkan sebagai kawasan hijau di Selangor.

Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok berkata, Leed yang beliau kenal merupakan seorang yang jujur dan perihatin terhadap masyarakat khususnya golongan yang tidak bernasib baik.

"Takziah kepada keluarga beliau, semoga tabah dan kuatkan azam terhadap mendiang," katanya.
Lee merupakan Pembantu Exco Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong.

Mendiang juga merupakan salah seorang anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Selangor Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat). – Roketkini.com

SBPA: Jangan rosakkan masa depan rakyat, negara

Posted: 19 Dec 2011 11:11 PM PST

KUALA LUMPUR, 20 Dis: PAS kesal dengan sikap kerajaan yang sentiasa mengambil langkah tergesa-gesa dalam menentukan sesuatu polisi.
"Terkini ialah dengan memaksa kakitangan kerajaan untuk menandatangani skim Saraan Baru Perkhimatan Awam (SBPA) yang diumumkan oleh kerajaan," kata AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar).

Katanya, seperti yang diketahui, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) masih perlu berunding dengan kakitangan kerajaan untuk menyetujui skim tersebut.

Tetapi hari ini, katanya pihak guru-guru telah diminta untuk menandatangani segera skim tersebut, walaupun tempoh akhir masih belum sampai iaitu pada 31 Disember 2011.

PAS, jelasnya telah melalui pengalaman di mana pihak kerajaan telah menyekat bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang menyebabkan banyak SAR terpaksa ditutup.

Tambahnya, tujuan kerajaan ialah supaya mereka menyerah diri kepada skim Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dalam rangka pihak kerajaan menguasai pendidikan Islam dalam negara ini.

Menurutnya, pada 2006, PPSMI telah dipaksa kepada rakyat dan ternyata PPSMI telah membawa kepada kerosakan kepada kemajuan pendidikan kebangsaan yang berasaskan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Justeru, katanya apabila skim-skim yang membabitkan pendidikan dilaksanakan tanpa rundingan yang sebaik-baiknya dengan pihak kerajaan, PAS bimbang akan banyak lagi masalah yang akan timbul dalam bidang pendidikan yang akan merosakkan falsafah pendidikan di negara ini.

"Memadailah ibu bapa bimbang terhadap akhlak anak-anak mereka disebabkan kegagalan dasar pendidikan moral atau kelemahan dasar dalam pendidikan akhlak," ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, PAS berharap kerajaan menyelesaikan segera isu-isu besar seperti ini di samping membuat perancangan yang betul dalam bidang pengurusan, kerana perancangan semasa yang dibuat secara tergesa-gesa telah menyebabkan banyak kerosakan termasuklah soal penempatan guru-guru lepasan institusi pengajian tinggi dalam bidang pendidikan yang gagal diselesaikan sehingga hari ini.

"Begitu juga apabila SBPA mahu dilaksanakan, pastikan ia membawa kebaikan kepada rakyat keseluruhan, bukan untuk sesuatu kepentingan yang boleh merosakkan masa depan rakyat dan negara," ujarnya.

Umno lemah hadapi ugutan komponen BN

Posted: 19 Dec 2011 11:10 PM PST

TEMERLOH, 19 Dis: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kerajaan yang diteraju Umno berada dalam keadaan lemah sehingga sesuatu keputusan menjadi berubah-ubah apabila diugut oleh beberapa pihak.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu mendakwa, ini terbukti dalam isu novel Interlok di mana akhirnya kerajaan mengalah dengan tidak lagi menggunakan buku tersebut mulai tahun hadapan hanya kerana mahukan undi kaum India.

Katanya, novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu sepatutnya tidak mencetuskan kontroversi jika kerajaan mengambil kira semua aspek sejak daripada mula.

"Namun begitu perkembangan terbaru seperti diumumkan oleh Presiden MIC Datuk G. Palanivel, kabinet memutuskan untuk menarik balik novel Interlok daripada silibus sastera tingkatan lima kerana dibantah parti komponen BN itu menunjukkan kelemahan Umno sendiri.

"Apa faedahnya kerajaan berbelanja sehingga berjuta untuk mencetak, kemudian menampal beberapa perkataan yang dianggap menghina masyarakat India tetapi akhirnya ditarik balik selepas novel sudah dirosakkan," katanya.

Tambahnya, keputusan berubah-ubah itu turut melibatkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang pada mulanya setuju dimansuh tetapi kemudiannya ditangguh apabila dibantah sesetengah pihak.

"Jadi secara jelas sikap flip-flop ini menunjukkan betapa lemahnya Umno," kata Tuan Ibrahim ketika berucap merasmikan Seminar Penerangan PAS Pahang di Darul Amin Sungai Gau, dekat sini hari ini.

Kira-kira 300 peserta hadir. Turut membentangkan kertas kerja Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Anuar Hashim dan Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad.

Mengenai pilihan raya umum (PRU) kali ini, Tuan Ibrahim berkata ia merupakan yang paling sengit sehingga diakui dalam Perhimpunan Agung Umno yang baru-baru ini sebagai PRU menentukan hidup mati Umno.

Tambahnya, selepas PRU 2008 yang menimbulkan kejutan, sudah ada mood rakyat untuk melakukan perubahan.

"Pemerhati meramalkan jika tsunami dulu berpusat di Kedah sehingga membuatkan negeri di utara Semenanjung jatuh ke tangan PR, kali ini dijangka berpusat di Negeri Sembilan di mana akan menjatuhkan negeri-negeri di selatan tanah air pula," katanya.

Mengenai Pahang, beliau berkata pergantungan kepada pengundi Felda menjadi penentu kerana di negeri ini terdapat 27 kerusi Dun melibatkan kawasan Felda daripada 42 kesemuanya.

Tambahnya, dengan perkembangan terbaru isu-isu Felda PR mungkin menerima lonjakan undi luar biasa asalkan kerja-kerja penerangan dilakukan secara berterusan.

Serentak itu, beliau mahu saluran maklumat melalui dunia internet dipergunakan semaksimum mungkin dalam penyebaran maklumat termasuk melalui portal berita, blog, facebook dan twitter.

Dakwaan 120 sertai Umno di Bachok karut

Posted: 19 Dec 2011 11:09 PM PST

BACHOK. 19 Dis: Dakwaan 120 orang ahli PAS keluar parti di Kampung Beoh dalam Cawangan Redang, dekat sini adalah karut, malah anak Mohd Nor Jusoh yang dikatakan menyertai Umno tidak menyertai bapanya.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bachok, Abdul Aziz Kadir (gambar kiri), ketika ditemui memberitahu apa yang berlaku hanya empat orang satu keluarga sahaja menyertai Umno.

Sambungnya, Datuk Awang Adek kini memang kerap keluar masuk kampung serta memberikan pelbagai janji pada rakyat agar mereka menyertai Umno.

"Adik beradiknya (Awang Adek) belum tentu menyokong perjuangannya, apa lagi rakyat,"ujarnya ketika ditemui pada majlis bubur as-syura, di Kampung Beoh, dekat sini semalam.

Baru-baru ini beberapa buah akhbar termasuk televisyen melaporkan seorang penduduk Mohd Nor Jusoh, mewakili 120 orang penyokong kuat PAS menyertai Umno kerana tidak yakin dengan perjuangan parti itu.

Malah salah seorang anaknya, Mohd Adnan Mohd Nor, 28, (gambar kanan) mendakwa bukan semua anggota keluarga mengikut ayahnya.

Jelasnya, apa yang dilakukan hanya untuk memburukkan perjuangan PAS.

"Saya langsung tidak berminat dengan Umno kerana tidak ada sebab saya menyertai parti itu apa lagi perjuangan PAS terbukti benar-benar membela rakyat,"ujarnya.

Hadir sama pada pertemuan itu Penghulu Mukim Lubuk Tembesu, Beoh, Mohd Sabri Mat Nawi dan Ketua PAS Cawangan Beoh, Mohd Idris Mat.

Tiada ulasan:

Pengikut