Jumaat, 21 Oktober 2011

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


SIASAH

Posted: 21 Oct 2011 03:39 PM PDT

Dewan Pemuda PAS Pusat terus menunjukkan sokongan kepada Perhimpunan Sejuta Umat yang dijadual esok di Shah Alam, Selangor, walaupun PAS secara rasmi tidak menyertai perhimpunan itu dengan alasan tidak mempolitikkan gerakan itu.

Timbalan Ketua Pemuda Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam dua tulisan di blog beliau menegaskan lagi sokongan untuk Himpun, yang dipercayai menggambarkan sentimen sejumlah besar ahli sayap parti itu.

Nik Abduh menerbitkan dua tulisan berkenaan Himpun selama dua hari berturut-turut pada Rabu dan Khamis, yang dilihat sebagai isyarat kepada Pemuda PAS dan membalas arahan halangan yang dikeluarkan oleh PAS Selangor.

Sebelum itu, Ketua Pemuda Nasrudin Hassan turut menyatakan sokongan melalui kenyataan pada Isnin, 17 Oktober.

Arahan menghalang ahli menyertai Himpun oleh PAS Selangor dikritik sebagai tidak perlu dan berlebihan oleh ramai ahli, selepas PAS pusat hanya menyatakan pendirian tidak menyertai tetapi tidak menyatakan halangan kepada ahli.

Rabu lalu, Nik Abduh dalam tulisan Mengapa PAS Menyokong Himpun? menjelaskan Pemuda PAS menyokong Himpun "dengan tujuan menunjukkan keprihatinan bersama terhadap usaha menyelamatkan dan memperkasakan akidah umat Islam daripada diganggu gugat oleh musuh-musuh Islam yang berusaha merosakkan akidah umat."

"Justeru PAS memandang tinggi usaha seluruh umat Islam untuk berhimpun memahamkan umat dan mendesak kerajaan agar segera melakukan sesuatu yang lebih tegas melalui undang-undang yang diaktakan demi mencegah pencabulan ke atas maruah dan ruh umat Islam," tegasnya dalam pandangan yang selari dengan pendirian Himpun.

Pemuda PAS ialah salah sebuah kumpulan yang tersenarai sebagai penyokong Himpun, dengan ahlinya terlibat aktif dalam kumpulan yang menjadi penganjur bersama.

Himpun dikritik banyak pihak sebagai membawa pendekatan yang salah, termasuk oleh pemimpin PAS sendiri Dr Mujahid Yusof, yang menyatakan dialog antara agama sebagai pilihan yang lebih baik.

Mujahid juga dilapor melahirkan kebimbangan Himpun akan dieksploit oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda jahat - yang dipercayai merujuk kepada Umno dan penyokongnya - dan berpotensi mencetuskan ketegangan antara agama.

Pengerusi bersama Himpun, Dr Yusri Mohamad dilapor kesal dengan kenyataan beberapa pemimpin politik Melayu yang didakwa kurang sensitif, termasuk mendakwa perhimpunan itu bukan wadah terbaik menangani isu seperti murtad.

Yusri dilapor berkata pemimpin politik Muslim sewajarnya menyokong Himpun walaupun enggan menyertai secara langsung.

Himpun juga berpendirian mengelakkan perhimpunan itu dipolitikkan tetapi mengalu-alukan penyertaan semua pihak beragama Islam.

Himpun juga memberi jaminan tidak akan membenarkan sebarang provokasi seperti dalam bentuk tulisan di sepanduk dibawa oleh peserta himpunan.

Perhimpunan seperti ini pernah diadakan pada Julai 2006 di Masjid Wilayah Jalan Duta dengan memberi tumpuan kepada isu murtad Lina Joy dan implikasi perundangannya dan tuntutan Majlis Antara Agama.

Perhimpunan itu juga digerakkan oleh Pertubuhan Pembela Islam dan Teras dan turut disertai wakil-wakil PAS.

Perhimpunan kali ini yang diadakan menyusul kes gereja Metodis yang dipercayai berusaha memurtadkan umat Muslim dibimbangi PAS bakal mendatangkan implikasi politik yang negatif terhadap kerajaan negeri Selangor yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Kes tersebut menjadi kes terbaharu yang meletakkan PAS dalam kedudukan defensif dan dieksploit oleh Umno untuk mengukuhkan kempen negatif terhadap PAS, terutama di Selangor yang sebelum ini dikuasai Umno.

Full content generated by Get Full RSS.

ALHUSSEYN

Posted: 21 Oct 2011 03:26 PM PDT

Pada 22 Oktober, seluruh umat Islam diseru untuk menghadirkan diri ke Stadium Shah Alam untuk menyuarakan bantahan terhadap peningkatan kes-kes murtad yang dilaporkan di Malaysia.

Keengganan PAS untuk tidak menyatakan sokongan dilihat sedikit sebanyak menempangkan gerak langkah gabungan NGO ini. Walaupun masih lagi dinaungi oleh NGO-NGO yang lain, namun kegagalan menarik PAS turut sama terlibat dalam Himpun ini dilihat bakal memberikan impak yang bukan kecil.

Mengapa Himpun? Agaknya, apa perasaan kita, selaku orang Islam, tatkala penganut Buddha beramai-ramai berkumpul menyatakan kebimbangan mereka apabila 'murtad'nya penganut Buddha dengan kembali kepada Islam?

Apa jeritan hati kecil kita, tatkala para pendokong Hindu, menyuarakan bantahan dengan berkumpul beramai-ramai, mencela penganutnya yang menganut Islam? Soalnya, mana sensitiviti kita terhadap konsep keharmonian agama yang selama ini kita junjung bersama?

Harus diingat, kita sepatutnya gusar, seandainya golongan yang hadir ke Himpun hanyalah mereka yang sudah sebati dengan Islam sekaligus meninggalkan puak-puak yang masih hanyut, jauh di belakang. Target mad'u yang dilihat terlalu terbuka seperti ini dilihat menyukarkan perkembangan dakwah yang sepatutnya menjadi titik permulaan bagi membasmi gejala murtad yang kian membarah di bumi ini.

Sasaran utama kita haruslah mereka yang masih tidak sedar gejala murtad yang merebak dalam diam, namun, akan datangkah golongan sebegitu dalam perhimpunan seumpama ini?

Usah menuding jari kepada agama lain. Lihat sendiri, apa yang orang Islam laksanakan untuk menyuburi hati-hati orang Islam. Sebenarnya, di mana kita dalam menangani isu murtad?

Berapa banyak bajet dalam belanjawan diperuntukkan untuk menangani gejala sosial dalam kalangan anak muda? Berapa program realiti yang menjarakkan manusia dengan nilai-nilai Islami dihentikan? Berapa konsert hiburan-hiburan yang berjaya dibatalkan?

Sejauh mana dakwah Islam benar-benar konsisten menyirami hati-hati gersang warga Islam di Malaysia? Berapa banyak gerakan dakwah dijana pada peringkat kerajaan? Cukupkah dengan sekadar penganjur Musabaqah Al-Quran saban tahun?

Dan, benarkah kita percaya, dengan Himpun, barah murtad bakal sembuh? Berapa ramai non-muslim akan kembali pada fitrah mereka, yakni Islam? Berapa ramai pula orang Islam yang sudah murtad akan insaf, dan bertaubat dengan pulang ke pangkuan Islam?

Saya berpendapat idea Himpun, adalah cukup baik. Namun, saya bimbang seandainya dengan Himpun, persepsi non-muslim terhadap muslim akan lebih buruk. Mungkin jurang antara agama akan wujud dengan lebih besar selepas ini. Dan secara langsung akan memberi kesan kepada usaha dakwah di bumi Malaysia.

Pandangan saya, Himpun hanya satu cara, dan kita masih punya beraneka alternatif lain bagi menangani gejala murtad seperti ini. Jangan semakin bezakan kita dengan mereka, jika tidak bagaimana mereka akan menuruti kita? Jadi, saya mohon tampil berbeza.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Pengikut