Jumaat, 28 Oktober 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil


Disamun RM200,000

Posted: 27 Oct 2011 06:51 PM PDT



Tangan dan kaki diikat manakala mulutnya disumbat dengan kain. Itulah nasib menimpa seorang lelaki apabila lori membawa muatan kayu bernilai kira-kira RM200,000 dipandunya disamun dua lelaki bersenjatakan parang di Alor Gajah, Melaka, Ahad lalu.

Bagaimanapun, lelaki berusia 30-an itu diselamatkan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan seorang daripada suspek ditahan bersama lori berkenaan di belakang sebuah stesen minyak di Sungai Chua, hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, ketika kejadian, lori dipandu mangsa dalam perjalanan ke Lembah Klang sebelum suspek bersenjatakan parang mengarahkan mangsa memberhentikan lorinya di bahu jalan.

Katanya, sebaik lori itu berhenti, dua suspek meluru ke arah mangsa dan mengarahkannya turun tetapi mangsa enggan menyebabkan dia dipukul.

Menurutnya, mangsa cedera di beberapa bahagian badan kemudian diikat dan disumbat di bahagian belakang lori.

Ab Rashid berkata, polis yang menjalankan rondaan rutin terserempak dengan lori berkenaan di kawasan sunyi di belakang sebuah stesen minyak bersama dua lelaki dalam keadaan mencurigakan dengan seorang daripada mereka sedang menelefon seseorang dipercayai pembeli kayu berkenaan.

Polis kemudian melakukan pemeriksaan tetapi suspek yang cemas melihat kehadiran polis sempat melarikan diri namun seorang daripada mereka berjaya ditahan.

"Sebaik ditahan, polis menemui mangsa dengan tangan, kaki dan mulutnya diikat di bahagian belakang lori berkenaan.

"Selain itu, mangsa turut mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dipercayai kesan daripada pergelutan dengan suspek sewaktu merampas lori yang dipandunya," katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian Kenaikan Pangkat Pelbagai Jawatan kepada 75 pegawai dan anggota di IPD Kajang, semalam. Beliau berkata, polis turut menemui parang yang digunakan suspek berusia 30-an untuk mencederakan mangsa selain menemui semula kayu di dalam lori itu.

"Suspek kini masih ditahan reman untuk membantu siasatan dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun berkumpulan dan menggunakan senjata," katanya.

Tiada ulasan:

Pengikut