Selasa, 18 Oktober 2011

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Rais jangan guna SKMM sebagai polis peribadi

Posted: 18 Oct 2011 12:55 AM PDT


KUALA LUMPUR, 18 Okt: Datuk Seri Rais Yatim diharap tidak menggunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai polis peribadinya semata-mata untuk membuktikan beliau masih lagi relevan.

Ketika menyatakan harapan tersebut kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) berkata, rakyat tidak ingin melihat mana-mana kementerian atau institusi kerajaan digunakan untuk membodek Perdana Menteri atau membuktikan kononnya seseorang itu masih lagi relevan.

Mengulas tindakan SKMM menyiasat pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari, dipercayai ekoran reaksi pensayarah itu terhadap tindakan Sultan Selangor baru-baru ini, Salahuddin berharap tindakan itu dihentikan serta merta.

"Tindakan itu dilihat umum sebagai penyalahgunaan kuasa yang sangat ketara dan pencabulan kebebasan bersuara yang memalukan negara.

"Ia mesti dihentikan serta merta kerana ia bukan sahaja pencabulan kebebasan bersuara malah pencabulan serta penghinaan terhadap kebebasan akademik," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Dr Abdul Aziz, kata Salahuddin, bercakap berdasarkan ilmu dan kelayakan akademiknya dan tindakan SKMM menyiasatnya tanpa menyatakan kepada umum kesalahan beliau di sisi undang-undang adalah tindakan yang dilihat rakyat sebagai menjijikkan.

Beliau juga mempersoalkan adalah SKMM mahu mewujudkan 'profesor kangkung' yang bercakap melalui TV dan media tanpa mengikut fakta sebenar semata-mata mengampu pemerintah.

Sebelum itu, walaupun mendakwa kenyataan Dr Abdul Aziz kurang ajar, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau tidak tahu adakah pensyarah itu melanggar undang-undang atau tidak.

"Sama ada ia melanggar undang-undang, saya tidak tahu, tetapi dari segi moral, ia kurang ajar," Bernama memetik Dr Mahathir berkata.

Setakat ini, kata Salahuddin, tidak ada mana-mana pihak berwibawa yang secara jelas dan terus terang menyatakan Dr Abdul Aziz melanggar mana-mana peruntukan undang-undang kerana kenyataannya itu.

"Yang ada hanyalah histeria dan gelagat tidak tentu arah dan melucukan dari mereka yang hendak membodek atau mereka yang sudah jenuh dilihat umum sebagai gila-gila," kata beliau.

Dr Abdul Aziz sebelum itu menyifatkan tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja bukanlah suatu tindakan yang lazim.

Aziz dilaporkan berkata, sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhak campur tangan, namun ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam.



Sumber: Harakahdaily

Siasat pendatang asing bebas dapat IC

Posted: 18 Oct 2011 12:53 AM PDT


KUALA LUMPUR, 18 Okt: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, didesak menubuhkan satu badan penyiasat atau jawatankuasa bebas bagi menyiasat kejadian warganegara asing didakwa diberikan IC dengan mudah yang berlaku di Istana Dugang Country Resort, Sepang, Selangor pada 11 dan 12 Oktober lalu.

Bagi tujuan itu, semua pihak terbabit mesti dipanggil termasuk pengusaha Istana Dugang Country Resort, penganjur program, warga asing terbabit, pemandu bas, Pemuda PAS dan pihak polis.

Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam desakannya berkata, bagaimanapun pihaknya mahu satu jaminan bahawa semua pihak diberi kebebasan untuk memberikan keterangan kepada jawatankuasa bebas itu bukannya dipaksa menyatakan sesuatu yang tidak benar.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan agensi yang berkaitan dengan permohonan kewarganegaraan tidak perlu terlibat dalam jawatankuasa tersebut.

Menurut beliau, desakan agar ditubuhkan jawatankuasa tersebut dibuat berikutan kejadian 240 orang warga asing yang telah berkumpul di Istana Dugang Country Resort pada 12 Oktober lalu sehingga menimbulkan kecurigaan kepada Pemuda PAS berhubung beberapa perkara.

Katanya, kecurigaan pertama timbul ekoran kenyataan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman bahawa warga asing yang berkubu di resort itu bertujuan untuk kursus keusahawanan adalah tidak konsisten dengan bukti dan keterangan saksi.

"Antara keterangan yang diperolehi adalah pertama tiada sebarang kursus pun diadakan dalam tempoh 5 jam tersebut dan resort itu. Malah warga asing itu hanya mundar mandir dalam resort tersebut. Ini telah disahkan oleh petugas-petugas Pemuda PAS yang berada di lokasi kejadian," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Kecurigaan kedua, menurut beliau, tiada ekonomik suatu kursus dalam tempoh masa hanya 5 jam dengan jarak 800 KM pergi dan balik dari Johor Baharu ke Putrajaya untuk melatih 240 orang warga asing.

Katanya, ketiga, apakah keperluan untuk mengadakan kursus keusahawanan kepada warga asing yang tidak dibenarkan berniaga dalam negara ini.

"Justeru, pihak polis seolah-olah melindungi pihak-pihak tertentu dalam kejadian yang berlaku itu," katanya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Johor.

Katanya, menurut saksi kejadian, terdapat ikrar yang telah dibacakan tanpa menggunakan mikrofon dalam bas yang memberi maksud bahawa kad pengenalan biru akan diberikan kepada warga asing itu dengan diminta mengundi parti kerajaan yang memerintah.

"Menurut saksi kejadian, terdapat seorang wanita yang memakai jaket JPN telah menaiki bas dari hentian Rawat & Rehat (R&R) Kulai, Johor dan telah memberi taklimat tertentu di dalam bas tanpa menggunakan microfon, tetapi tidak bersama kumpulan warga asing itu semasa di resort tersebut.

Katanya, menurut saksi kejadian, arah perjalanan warga asing itu sering berubah-berubah, apabila mulanya atas tujuan mesyuarat di Putrajaya, kemudian ada ura-ura dipecahkan di beberapa lokasi di Johor dan setelah sampai di Putrajaya, mereka berpusing-pusing di Putrajaya dan akhirnya diarahkan ke resort itu.

"Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin seolah-olah lepas tangan dalam isu ini dengan kononnya mahu menyerahkan kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkaitan pilihan raya dan SPR.

"Pemuda PAS berpendapat bahawa Jawatankuasa Terpilih Parlimen ditubuhkan untuk memperbaiki sistem perjalanan pilihanraya di negara ini, bukannya bertujuan untuk memperbaiki sistem permohonan kad pengenalan warga asing yang melibatkan JPN," tegasnya.

Menteri Dalam Negeri juga, katanya, tidak mengetahui tujuan 240 orang warga asing itu berada di resort tersebut, sedangkan Ketua Polis Daerah Sepang mengetahui tujuan mereka berada di situ.

"Ini memberi isyarat bahawa Menteri Dalam Negeri seolah-olah melindungi pihak-pihak tertentu dalam hal yang berkaitan dengan mempermudahkan pemberian kad pengenalan kepada warga asing bagi tujuan-tujuan tertentu," ujar beliau.


Sumber: Harakahdaily

Tiada ulasan:

Pengikut