Dewan Pemuda PAS Parlimen Langkawi |
- Ziarah Ramadhan dan Eidul Fitri di Hospital Langkawi
- Kelantan Hanya Dapat Wang Ehsan..
- RAPATKAN SAFF MANTAPKAN UKHUWAH..
- Memorandum Bantahan DPPNK Kepada Kosmo
- Teks Usrah Minggu Ini
- Situasi Terkini Demostrasi Memali..
- Semoga Mendapat Haji Yang Mabrur..
Ziarah Ramadhan dan Eidul Fitri di Hospital Langkawi Posted: 06 Sep 2011 08:28 PM PDT 23 Ramadhan 1432H, Hospital Langkawi - Dewan Pemuda PAS Parlimen Langkawi mengambil inisiatif sempena Ramadhan pada tahun ini untuk mengadakan program ziarah pesakit-pesakit di Hospital Langkawi, program yang disusun oleh Unit Amal PAS Langkawi ini melibatkan seramai 12 orang anggota yang bergerak dari wad ke wad untuk bertanya khabar, mendoakan pesakit serta menyampaikan cenderahati. Rata-rata pesakit yang ditemui termasuk beberapa pelancong asing memuji usaha tersebut dan berharap usaha ini akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang. Sdr Zulkifli Hj Noh, Ketua Pemuda PAS Langkawi sedang beramah mesra serta menyampaikan sedikit cenderahati dengan salah seorang pesakit. Sdr Ahmad Manaf, Pengerusi Unit Amal PAS Langkawi menemui kenalan beliau yang juga terpaksa menerima rawatan di Hospital Langkawi. | ||||
Kelantan Hanya Dapat Wang Ehsan.. Posted: 03 Nov 2009 09:30 PM PST KUALA LUMPUR, 4 Nov: Ekoran pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan pusat akan memberikan wang ehsan sahaja kepada rakyat Kelantan dan bukannya royalti, Dewan Rakyat menjadi kecoh hari ini. Ia bermula apabila ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub meminta Najib menjelaskan bilakah tuntutan royalti kerajaan negeri Kelantan akan dilangsaikan oleh Petronas. Menjawab soalan itu, Najib menjelaskan bahawa pihak kerajaan sedang mempertimbang untuk memberikan wang ehsan langsung kepada rakyat Kelantan. Dewan menjadi kecoh dengan jawapan yang diberikan Najib itu kerana ia dianggap menipu dan menafikan hak rakyat Kelantan. Beberapa ahli Parlimen bangun lalu menegaskan bahawa persoalan royalti itu adalah penting untuk rakyat Kelantan. Mereka yang terbabit, termasuk Salahuddin sendiri diminta duduk oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Salahudin kemudiannya diberi amaran keluar dewan beberapa jam jika enggan mendengar penjelasan Najib "Yang penting, kita nak tolong rakyat Kelantan. selepas kita ada semangat nak runding dengan kerajaan negeri, yang penting rakyat dapat manfaat daripada wang ehsan," kata Najib. "Apa nak dipertikai lagi? Yang penting, rakyat Kelantan mendapat wang ehsan dari (kerajaan) Persekutuan," sindir Najib. Kelantan hari ini sudah banyak membangun, walaupun dinafikan hak royalti minyak sekian lama.. Tanpa laluan Speaker, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bangkit dan menjelaskan bahawa penjelasan yang diberikan itu tidak menyelesaikan soal kuasa persekutuan dan negeri, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Petronas bersama kerajaan persekutuan-negeri. Pun begitu, Speaker memberi laluan kepada Siti Zailah Mohd Yusoff bercakap mengenai isu royalti Kelantan itu dengan alasan ahli Parlimen Rantau Panjang itu boleh dikatakan mewakili rakyat Kelantan. "Kenapa sebelum ini kerajaan (Persekutuan) tidak pernah mempertimbangkan hak rakyat Kelantan diberikan wang ehsan?" soal Siti Zailah dengan nada yang tegas. "Setelah rakyat dinafikan hak bertahun-tahun, sekian lama, sekarang hak rakyat Kelantan baru nak dipertimbangkan." Beliau yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat meminta Najib menjelaskan soal jaminan persekutuan melangsaikan tuntutan royalti minyak tersebut. "Apa jaminan kerajaan (persekutuan) bahawa royalti ini disalurkan kepada kerajaan Kelantan dan rakyat, bukannya kepada JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan) yang dilantik kerajaan Persekutuan?" soalnya lagi. Najib dalam nada yang sinis menjelaskan bahawa sepatutnya rakyat Kelantan tidak ada hak mendapat royalti tersebut. "Selama ini, kerajaan Kelantan tidak ada hak menerima (royalti minyak), sebab ini melibatkan kawasan pertindihan. Sekarang ini, kita dapat sahkan bahawa ada blok (kawasan minyak dalam laut) yang boleh dipertimbangkan...kita pastikan hanya rakyat Kelantan akan dapat manafaat," kata Najib. Beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sekali lagi bangkit memprotes jawapan lisan itu. Bagi mengelakkan Najib terus dipertikai, anggota dari Masjid Tanah yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusoff bangkit lalu memohon laluan Speaker untuk menjawab soalan lisan seterusnya, yang melibatkan kementeriannya. Mengikut pengalaman di Terengganu, wang ehsan diberikan terus kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan diagihkan menerusi jabatan dan egensi di bawah kerajaan pusat. Dari segi pelaksanaannya pula, ia akan melalui ketua-ketua bahagian Umno di negeri itu. Petang semalam, Anggota Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub mendesak kerajaan pusat supaya membayar royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan sebagaimana yang dilakukan kepada negeri-negeri lain. Cadangan Salahudin ini berikutan dari tuntutan kerajaan negeri Kelantan agar Petronas membayar royalti petroleum sebanyak 5 % sebagaimana yag dinikmati oleh negeri-negeri yang lain yang dikeluarkan minyak dari perairannya. Tuntutan Kelantan ini disokong oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang menandatangani perjanjian ini bagi pihak Petronas dahulu. Ketika itu beliau adalah Pengerusi Petronas. Tuntutan ini juga disokong oleh Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dijangka akan menjawab perkara ini di Dewan Rakyat hari ini. | ||||
RAPATKAN SAFF MANTAPKAN UKHUWAH.. Posted: 29 Oct 2009 06:34 PM PDT Rapatkan Saff, Mantapkan Ukhuwwah, Melandasi Etika, Memacu Gerakkerja. 1. Kewajipan ternyata lebih banyak dari masa yang ada pada kita . Justeru itu , jangan lengah , alpa dan bersahaja . Sebaliknya tangkas , tuntas dan cergas . 2. Jangan buka terlalu luas ruang untuk berkhilaf kerana disana terlalu banyak sudut yang boleh kita bersama . 3. Padam secepat mungkin api fitnah yang semakin merebak dan membinasakan jamaah . Sebaliknya , segeralah nyalakan obor persaudaraan [ ukhuwwah fillah ] dan sematkan jiwa berjuang untuk menjulang panji perjuangan ke arah membina negara Toiyyibah [ sejahtera ] dan mengharapkan curahan Maghfirah [ keampunan ] 4. Peliharalah wadah perjuangan suci ini daripada panahan syaithan dan racun iblis agar ia tidak musnah binasa . Korbankanlah perasaan dan apa jua kepentingan diri dan dunia kita andai ia membuatkan jamaah terpelihara , lantaran pengorbanan adalah syarat kemenangan bagi perjuangan suci ini . 5. Mengorbankan tenaga , masa dan wang ringgit barangkali mudah bahkan jauh lebih mudah berbanding korban perasaan terutama saat berdepan keputusan yang tidak memihak kepada kemahuan dan keinginan kita . Sungguhpun demikian , mengorbankan perasaan untuk menerima keputusan mesyuarat [ syura ] sebagai contoh , adalah sebahagian dari ketaatan yang dituntut oleh syara' biar dikala sukar dan getir . 6. Suatu yang paling bernilai dan penting dalam jamaah kita ialah persaudaraan [ ukhuwwah fillah ] dikalangan kita . Ukhuwwah yang diperkaya dengan nilai mahabbah [ kasih sayang ] dan tasaamuh [ tolak ansur ] yang tinggi . Jauh dari bayangan hasad dengki , dendam dan khianat . 7. Seketika jamaah kita terpaksa mengharungi zon sukar . Badai yang mampu menghancurkan seluruh struktur utama jamaah , jika pemimpin dan anggota tidak benar - benar mempertahankannya dengan semangat cintakan Islam dan jamaahnya . 8. Jamaah yang benar dan suci ini mengundang dendam dan cemburu yang sungguh dahsyat dari musuh durjana . Inilah yang telah didedahkan oleh Allah swt di dalam kitab suciNya . Kelicikan mereka dengan bara dendam yang tidak kunjung padam terhadap cita - cita perjuangan Islam ini bisa sahaja membuatkan mereka berani dan nekad menyusup masuk , menyelinap dari celah saf pejuang - pejuang kita lalu membisikkan sejuta fitnah yang menjarakkan mereka malah mencetus sengketa . 9. Sejarah semalam memang masih membekas bahkan pedihnya masih terasa angkara panahan fitnah . Namun bukankah kita selalu dituntut agar berkorban demi perjuangan ? lalu , lupakan lah sengketa lama dan padamkan lah api kebencian . Kita tautkan kembali ikatan ukhuwwah yang longgar akibat gegaran semasa melintasi zon sukar tersebut . Kini kita fokus tanggungjawab dan amanah perjuangan yang belum selesai ditunaikan . Mentari esok masih sedia menyinar . Terpulang kepada kita , apakah mahu terus melangkah atau kita masih tidak mahu mengalah . 10. Fikirkan masa depan perjuangan ini buat generasi akan datang . Janganlah kita rosakkan segalanya kerana mengidam sebuah kepuasan yang belum pasti . Hulurkan tangan kalian , kita bersilang menderap langkah tanpa menoleh lagi mengenang tragedi silam demi masa depan Islam yang gemilang . Ayuh , kita hadapi musuh tanpa ragu ! | ||||
Memorandum Bantahan DPPNK Kepada Kosmo Posted: 29 Oct 2009 06:22 PM PDT *************************************************************************** MEMORANDUM Ketua Biro Utusan Malaysia (Alor Setar) Ketua Biro Kosmo ! (Alor Setar) Tingkat 2, NO 1588, Jalan Sultan Badlishah, 05000 Alor Setar, Kedah. Assalamualaikum wrt wbh. Tuan, Dengan tegasnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah mengecam penyiaran artikel oleh akhbar Kosmo ! pada mukasurat 11 ruangan Negara kolum keluaran 26/10/2009 (Isnin) Di Sebalik Berita tulisan Zulkifli Manzor berhubung ajaran sesat di negara ini telah turut sama mengaitkannya dengan peristiwa Memali. Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah menegaskan bahawa, artikel tersebut adalah satu tuduhan yang berniat jahat dan cuba mengeruhkan ketenangan para penduduk Memali khususnya dan para pendokong PAS amnya. Ditegaskan di sini bahawa: 1. Penulis artikel tersebut amat jelas gagal memahami sejarah peristiwa itu apabila menyamakannya dengan ajaran sesat. 3. Kosmo ! juga telah mencemarkan kedaulatan KeBawah Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Sultan Kedah kerana, apabila menyifatkan mangsa Memali pengikut ajaran sesat, secara tidak langsung Kosmo ! menuduh KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah yang telah bercemar duli menziarahi pusara mangsa Memali di Kampung Parit Panjang, Baling telah menziarahi pusara pengikut ajaran sesat. 4. Kosmo ! juga dengan sengaja menimbulkan tekanan serta terus memalukan maruah para mangsa Memali dan ahli keluarga mangsa. Maka dengan ini, Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah mendesak agar penulis artikel tersebut, editor dan pihak Kosmo ! untuk memohon maaf secara terbuka dan disiarkan di muka hadapan akhbar Kosmo ! dalam tempoh 24 jam dari masa memorandum ini diserahkan. Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah juga mengingatkan, agar pihak Kosmo ! tidak perlu mengulas lanjut berkaitan artikel tersebut, tidak perlu diterbitkan artikel untuk menegakkan benang yang basah, cukup hanya sekadar pernyataan memohon maaf. Sekian, terima kasih. (AHMAD BIN YAHYA) Ketua Dewan Pemuda PAS, Negeri Kedah 27 Oktober 2009 bersamaan 8 Zulkaedah 1430H *************************************************************************** Ust Ahmad Yahya sedang menerangkan kepada wakil media situasi terkini bantahan pemuda terhadap isu Memali.. | ||||
Posted: 27 Oct 2009 10:02 PM PDT BERANI MUQADDIMAH Perkara paling penting yang perlu ada bagi pemuda mukmin adalahkekuatan dan keberanian untuk menzahirkan kebenaran terutama ke atas musuh-musuhnya. Kedua-duanya berkait rapat dengan hubungan yang baik dengan Allah. Hubungan ini terjalin melalui tauhid, cinta, harapan, takut, taubat, kusyuk, tawakkal dan sentiasa berada di sisiNya serta mencukupkan diri dari yang selainNya. Dalam hal ini, Allah SWT telah pun menjelaskan dalam kitabnya bahawa orang yang berhak menjadi pemimpin di bumi ialah manusia yang memiliki hati yang takut kepada Allah. Sifat takut hanya pada Allah akan menzahirkan rasa berani terhadap selain Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan Kami pasti akan menempatkan kamu di negeri-negeri itu setelah mereka (orang Kafir) . Yang demikian itu adalah untuk orang-orang yang takut (menghadap) kehadratKu dan takut akan ancamanKu". –Ibrahim ayat 14 BERANI YANG DITUNTUT Sebenarnya sifat berani yang dituntut agama ialah berani yang bersifat positif sahaja. Dengan kata lain, berani pada tempatnya atau berani kerana benar yang mendatangkan kebaikan kepada diri, jamaah dan masyarakat. Sebagai contoh ialah berani hanya kepada apa yang disuruh Allah SWT terutama di dalam usaha menegakkan agamaNya. Berani seperti ini adalah sikap diri yang mendorong sifat rajin dan berwaspada, sebab dengan adanya sifat-sifat ini, manusia akan merasa bahawa segala gerak gerinya hanyalah untuk mencari ridha Allah dan sedar bahawa ia sentiasa dalam pengawasan dan pertolonganNya. BERANI YANG DITEGAH Berani yang ditegah agama ialah berani kepada sesuatu yang patut ditakuti atau berani melanggar syariat dan peraturan yang baik. Dengan kata lain, berani yang merugikan diri sendiri, jamaah dan masyarakat, setidak-tidaknya berani yang tidak mendatangkan sebarang manfaat. Berani dalam hal yang tidak baik sama buruknya dengan perasaan takut melakukan yang baik dan berguna, kerana kedua-duanya akan merosak dan menggagalkan hidup seseorang. Tidak menghairankan mereka yang tidak mempunyai keberanian tidak akan meningkat taraf keupayaan perjuangannya. Mereka terlalu mudah menyerah kepada perasaan takut yang menghantui mereka. Hal itu merupakan kesalahan besar terutama terhadap pemuda Islam kerana ia tidak boleh menzahirkan kemampuan yang sebenar Mungkin kita boleh mencontohi seekor semut yang sedang berusaha mengambil gula di dalam botol, meskipun kita menghalaunya, namun ia tidak mudah mengalah sebelum mendapatkan gula tersebut. Dengan berani, gigih serta tekun ia dapat membawa keluar gula yang terkadang lebih besar dari tubuhnya. RASUL PELOPOR KEBERANIAN Bani Israil telah lama dicengkam kejahatan dan kezaliman Firaun. Akibatnya timbul ketakutan yang luar biasa di dalam diri mereka. Antara perlakuan Firaun kepada mereka ialah: -Firaun membunuh semua anak lelaki yang baru lahir -Firaun merperlakukan mereka sebagai warga kelas dua -Firaun menyuruh mereka menyembahnya dan mengaku dirinya tuhan Perubahan besar Bani Israil berlaku selepas Nabi Musa menerima wahyu dari Allah di Bukit Thursina. Ia bermula apabila Nabi Musa sedar tentang siapa dirinya dan tahu tentang posisi Firaun yang sebenarnya. Maka terzahirlah keberanian Nabi Musa apabila: -Datang kepada Firaun dan memintanya membebaskan Bani Israil -Mengajak Firaun menyembah Allah -Menentang ahli sihir Firaun -Memimpin Bani Israil berhijrah keluar dari kekejaman Firaun Lihatlah wahai para pemuda, ketika Nabi Musa tahu tentang diri dan potensinya, berlakulah perubahan. Nabi Musa yang datang menghadap bukan lagi sosok yang menjadi warga kelas dua, diburu tentera Firaun dan anak angkat di istana Firaun, sebaliknya ia adalah Rasulullah yang menjadi pelopor perubahan kepada Bani Israil dengan penuh keberanian. Justeru itu, sedarlah sahabat bahawa kita adalah "Musa-Musa kecil" yang berhadapan dengan banyak "Firaun-Firaun" yang hadhir dalam berbagai rupa bentuk kehidupan kini. Iaitu Firaun-Firaun yang menakuti kita dan membuatkan hidup kita berada di jalur yang lemah, bacul dan salah. Tugas kita sebagai "Musa-Musa kecil" adalah melawan segala bentuk "Fir'aunisme kehidupan" yang merosakkan itu. Sebab, selagi kita tidak melawan, kita akan terus dikuasai hingga tidak mampu melakukan perubahan kearah yang lebih baik. ALQADISIYAH CETUS KEBERANIAN Al Qadisiyah adalah satu lagi symbol keberanian dalam sejarah awal Islam. Dari satu sudut, ia melambangkan pertarungan sebuah Negara baru yang bermodalkan nilai ubudiyah yang kental melawan sebuah kuasa besar dunia. Dari sudut lain pula, ia melakarkan dialog yang menonjol makna keberanian yang sangat jelas. Sebagai peristiwa sejarah, Al Qadisiyah adalah lokasi pertempuran besar antara pasukan Islam dengan pasukan Parsi. Negara Madinah yang masih terlalu muda mengirimkan panglima Saad bin Abi Waqqas, sementara Parsi diwakili lansung panglima besarnya Rustum. Tambahan pula kekuatan pasukan Islam hanya seperempat pasukan musuh yang membariskan tentera bergajahnya sebagai kenderaan pemanah namun pertempuran yang berlaku menjadi punca kehancuran kuasa besar Parsi. Menjelang pertempuran, berlaku dialog yang menonjol makna keberanian yang jelas. Ketika itu, Rustum hairan dengan keberanian pasukan kecil Negara baru dari semenanjung Arab itu Kemudian ia bertanya kepada Rabi', "sebenarnya dengan apa dan untuk apa kamu datang?" Rabi' menjawab tangkas soalan ini, "kami datang membebaskan manusia dari perhambaan manusia menuju perhambaan kepada Allah, dari kezaliman cara hidup kepada keadilan Islam dan dari belenggu kehidupan dunia yang sempit kepada keluasan akhirat. AL-FATIH Sultan Muhammad Al-Fatih juga telah meninggalkan sejarah keberanian yang luar biasa di dalam usaha membebaskan Al Fatih dengan semangat pelaksanaannya mendapat ilham yang penuh dengan kecerdasan, kekuatan, keberanian dan keajaiban untuk mewujudkan janji yang lama tertangguh. Keinginannya untuk mewujudkan janji itu melahirkan sejarah kepahlawanan yang mengagumkan.. PEMUDA YANG BERANI Saudara sekelian, apa yang kita inginkan dari perbincangan ini ialah kefahaman dan kesedaran bahawa sifat berani amat penting kepada kita. Kita perlu memiliki sifat berani didalam banyak perkara, antaranya: -berani melakukan perkara yang bermanfaat dan menguntungkan Islam -berani mengakui kekurangan -berani menghadapi kritikan -berani mencetus dan memimpin perubahan -berani mengubah suasana dan adat yang rosak -berani membebaskan diri dari kawalan serta pengaruh yang buruk -berani bersikap jujur -berani mempertahankan keyakinan -berani menerima resiko -berani menjadi "pemain" bukan sekadar "penonton" dalam perjuangan -berani mengemukakan pandangan dan kritikan membina -berani "bangun" setiap kali "jatuh" -dan lain-lain Namun bukanlah berani yang kita maksudkan di sini secara membuta tuli, sebaliknya mestilah keberanian yang dibina di atas kebijaksanaan dan penuh hikmah. Mungkin ada di kalangan kita mengukur keberanian melalui sikap yang ditunjukkan, contohnya dikira berani kalau dapat menegur orang lain dengan lantang dan keras, bahkan dikira amat berani jika mampu "cerkah" orang lain. Ya, ada ketika kita mesti bersuara lantang dan keras, itu adalah salah satu ciri pemuda namun kita mesti bijak menggunakan "sifat keras" itu. Adalah amat baik jika kita gunakan sifat berani kita untuk mengemukakan cadangan yang baru dan meneroka sesuatu langkah terkini untuk memajukan perjuangan kita. Akan tetapi janganlah pula kerana terlalu berhikmah akhirnya kita menjadi bacul, lembik, ceroi dan yang semasa dengannya. PENUTUP Wahai sahabat-sahabat para pemuda! Renunglah apa yang diingatkan oleh Rasulullah SAW di dalam sabdanya yang bermaksud: "Janganlah salah seorang dari kamu menghina dirinya sendiri". | ||||
Situasi Terkini Demostrasi Memali.. Posted: 27 Oct 2009 01:07 AM PDT Berikut adalah artikel dari Blog Pemuda Kedah semalam..
| ||||
Semoga Mendapat Haji Yang Mabrur.. Posted: 26 Oct 2009 11:21 PM PDT PADANG MATSIRAT, 20 Okt - Kumpulan pertama jemaah haji dari Langkawi telah berangkat menuju Tanah Suci Mekah sekitar jam 5.30 petang hari ini. Keberangkatan para jemaah diiringi oleh seluruh jentera PAS Langkawi. Bakal-bakal tetamu Allah bersama ahli keluarga telah berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi yang terletak di kawasan Padang Matsirat selepas solat Asar. Turut serta dalam penghantaran jemaah haji ini, jentera Pemuda diwakili Setiausaha Al-Fadhil Ustaz Nazmi bin Natzeri, Bendahari Sdr Muhammad 'Akasyah Bin Azinan serta AJK yang tiba bersama saf kepimpinan kawasan. "Seluruh kepimpinan Muslimat PAS Langkawi mendoakan agar para jemaah dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang proses mengerjakan haji. Kami berharap mereka bakal memperolehi haji yang mabrur," jelas Ustazah Fatiinah binti Ibrahim, Ketua Muslimat PAS Langkawi yang tiba bersama AJK. Menurut Ketua Lajnah Penerangan dan Dakwah, Sdr Ahmad bin Sidek, dianggarkan sekitar 300 orang bersama-sama mengiringi bakal-bakal haji. "Ini menunjukkan satu sifat ukhwah yang tinggi antara kepimpinan PAS Langkawi dengan masyarakat," tegas beliau. Pihak Dewan Pemuda PAS Langkawi juga mengambil kesempatan mengucapkan selamat berangkat ke tanah suci dan semoga mendapat haji yang mabrur serta dipermudahkan segala urusan sepanjang berada di sana. |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda PAS Parlimen Langkawi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan