Isnin, 29 Ogos 2011

AMK BATU

AMK BATU


Perutusan Ahli Parlimen BATU Y.B. TIAN CHUA bersempena HARI RAYA AIDIL FITRI / 1 SYAWAL 1432 H

Posted: 29 Aug 2011 08:13 AM PDT

Perutusan Ahli Parlimen BATU Y.B. TIAN CHUA bersempena
HARI RAYA AIDIL FITRI / 1 SYAWAL 1432 H


Assalamualaikum w.r.t. w.b.t. dan Salam Perjuangan,

Bersempena dengan kedatangan bulan Syawal yang bakal menjelang tiba, saya disini ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri kepada semua muslimin muslimat terutama semua kenalan para penduduk di dalam kawasan khidmat saya sebagai Ahli Parlimen Batu (P.115).

Saya yakin dan percaya setelah sebulan menempuh ibadah puasa Ramadhan yakni Rukun Ketiga dalam agama Islam, muslimin-muslimat semua sama-sama sekali lagi diuji selain menahan dahaga dan kelaparan, telah juga berjaya membendung pelbagai nafsu diri dan melalui cabaran mihnah rintangan menjauhi segala larangan semasa meneruskan aktiviti harian sebagai rakyat Malaysia. Diharapkan dengan semangat ini moga semua muslimin - muslimat kekal redha, bertaqwa dan bersyukur penuh kesabaran seterusnya diberi ganjaran pahala dan keampunan.

Selain itu diteruskan beristiqamah memperbaiki diri dan senantiasa berubah ke arah kebaikan untuk perjalanan kehidupan kita sebagai masyarakat sivil, hidup aman harmoni di lain-lain bulan seterusnya. Ini terutamanya dalam meningkatkan iltizam dan mutu kerja-kerja sukarelawan sesama kita dalam menegakkan keadilan dan memperjuangkan kebenaran bagi kebahagiaan dan hak rakyat yang sewajarnya. Keupayaan dan dedikasi terutama muslimin-muslimat saya yakini sepanjang bulan Ramadhan boleh dicontohi apabila bersama-sama membantu saya membela golongan yang tertindas dalam gaya kehidupan dan kos sara hidup kian meningkat selain sangat menyukarkan semakin hari terutamanya rakyat yang tidak diberi bantuan yang segera dan sewajarnya.

Seiring dengan suasana hari lebaran yang pastinya akan disambut dengan penuh kegembiraan bertemu keluarga, sanak saudara dan sahabat taulan, marilah kita sama-sama memperingati dan tidak sesaat pun melupakan golongan fakir miskin dan pelbagai lapisan dalam masyarakat kita yang berada dalam golongan kurang berada dan memerlukan bantuan. Diharapkan sumbangan bantuan yang kita hulurkan semasa menjalani ibadah Ramadhan yang penuh pahala ini dilanjutkan juga bagi meringankan beban hidup golongan tersebut. Semoga usaha kita akan menimbulkan keinsafan dan seterusnya senantiasa memanjatkan rasa kesyukuran atas nikmat dan rezeki yang kita perolehi.

Akhirul kalam ucapan, saya sekali lagi merakamkan ucapan Selamat Hari Raya dan menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua sekiranya ada tersalah kata-bahasa, tersilap langkah-perilaku, sepanjang perkhidmatan harian saya sebagai Ahli Parlimen sekiranya ada kekurangan dan kelemahan. Insya Allah akan saya perbaiki sedaya upaya dari masa ke semasa atas petunjuk dan kerjasama semua.

Tidak lupa juga saya dengan berbesar hati menjemput semua terutamanya warga Parlimen Batu dan kawasan sekitar agar hadir ke Majlis Jamuan Rumah Terbuka bersempena Perayaan Hari Raya Aidil Fitri yang sebagaimana biasa saban tahun dianjurkan oleh Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Batu / KEADILAN Cabang BATU pada 17 September 2011 (Sabtu) di Taman Dato' Senu, Kuala Lumpur kelak. Kehadiran anda semua bagi menceriakan majlis adalah amat dialu-alukan dan dihargai.

Moga iltizam Ramadhan dan Syawal menjelang menjanjikan barakah dalam kehidupan mendatang.

Salam perjuangan demi rakyat menuju kemenangan.

CHUA TIAN CHANG (TIAN CHUA)
Ahli Parlimen BATU
Naib Presiden Parti KEADILAN Rakyat

Tiada ulasan:

Pengikut