Jumaat, 8 Julai 2011

Dewan Pemuda PAS Petaling Jaya Utara

Dewan Pemuda PAS Petaling Jaya Utara


PEMUDA PAS SELANGOR SELAR NAJIB, HISHAMMUDDIN

Posted: 07 Jul 2011 08:07 PM PDT

KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR


Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melahirkan rasa kekecewaan yang teramat sangat terhadap YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai seorang Melayu Islam tetapi dalam masa yang sama tidak menunjukkan nilai-nilai agama Islam yang baik dengan tidak menepati janji untuk memberikan kebenaran penggunaan stadium bagi himpunan BERSIH. Sedangkan sebelum itu, Perdana Menteri sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihak kerajaan akan menawarkan mana-mana stadium untuk digunakan sebagai tempat himpunan tersebut dengan syarat tertentu jika pihak Sekretariat BERSIH membatalkan hasrat untuk berhimpun di jalanan. Kini apabila pihak Sekretariat BERSIH bersetuju dengan perhimpunan di dalam stadium maka pihak kerajaan pula yang berdolak-dalih dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Sepatutnya YAB Perdana Menteri menunjukkan bahawa beliau seorang yang berjiwa besar dengan menunaikan janji yang telah diumumkan dan mengarahkan pengurusan Stadium Merdeka untuk menerima permohonan Sekretariat BERSIH untuk menggunakan stadium tersebut sebagai tempat perhimpunan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga merasakan tindakan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein terus menerus melabelkan Gerakan BERSIH sebagai HARAM adalah satu tindakan yang kurang wajar dan tidak cerdik kerana pihak Sekretariat BERSIH sendiri telah di terima untuk mengadap ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong untuk menyampaikan dan memaklumkan agenda sebenar Himpunan BERSIH. Adakah Hishamuddin berhajat untuk memperkecilkan kebijaksanaan Tuanku Al Sultan di dalam menilai usul pangkal isu-isu yang berlaku di dalam Negara ataupun beliau sememangnya berhajat untuk melakukan penderhakaan dengan menganggap Tuanku Al Sultan mengiktiraf sebuah gerakan yang HARAM dan boleh menjejaskan keamanan masyarakat. Berdasarkan titah khas Tuanku Al Sultan baru-baru ini, sepatutnya Hishamuddin mengambil tindakan segera untuk mengendurkan tekanan-tekanan yang telah dikenakan ke atas rakyat dengan melepaskan semua tahanan-tahanan yang telah ditangkap secara paksa, membenarkan perarakan himpunan aman dengan pemantauan pihak polis dan mengeluarkan permit himpunan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat berharap semoga kedua-dua pimpinan Negara ini, YAB Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dapat menunjukkan akhlak muslim sejati dengan menunaikan janji mereka (lebih-lebih lagi apabila di hadapan seorang yang bukan Islam) untuk memberikan kebenaran supaya himpunan BERSIH dapat dijayakan di Stadium Merdeka pada 9 Julai ini. Sepatutnya Kerajaan UMNO/BN tidak lagi terus-terusan membohongi dan berdolak-dalih di dalam isu ini kerana ianya akan hanya menambah kebencian dan rasa amarah rakyat kepada mereka. Rakyat kini sudah sedar akan penipuan dan penyelewengan pemimpin UMNO/BN untuk mempastikan kuasa mereka terus dipertahankan. Pilihanraya umum yang 13 akan datang rakyat pasti akan menghukum dan menumbangkan mereka daripada tampuk kekuasaan Negara. InsyaAllah.

USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN

KETUA PEMUDA

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

07 Julai 2011


Tiada ulasan:

Pengikut