Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan |
- Dr. Lo' Lo' meninggal dunia sebentar tadi
- Perkhemahan Perdana Briged Amal Kelantan
- Agong seru ambil panduan Quran Hadis
- PAS lancar kempen teruskan memontum Bersih 2.0
Dr. Lo' Lo' meninggal dunia sebentar tadi Posted: 17 Jul 2011 09:18 AM PDT KUALA LUMPUR, 17 Julai: Ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali(gambar) menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang kira-kira jam 10.15 malam ini. Jenazah beliau kini sedang diusahakan untuk dibawa ke Masjid Al-Akram, Dato Keramat. Perkara itu disahkan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof ketika dihubungi Harakahdaily. Maklumat berkenaan kematian itu juga turut dimuatkan pada laman Facebook dan Twitter Allahyarhamah atas nama keluarga. Beliau sebelum ini menerima rawatan akibat kanser. Dalam respons awal, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Allahyarhamuha seorang yang istiqamah berjuang untuk Islam sehingga akhir hayat. "Saya dimaklumkan oleh keluarga terdekat almarhumah Dr Lo' Lo', MP PAS Titiwangsa tentang pemergian beliau sebentar tadi. "Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Beliau seorang yang istiqomah berjuang untuk Islam hingga ke saat akhir hayatnya," tulisnya di Facebook. Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan pula menyifatkan Allahyarhamah seorang tokoh pejuang Islam yang tabah. "PAS dan rakyat sebentar tadi kehilangan tokoh pejuang Islam yg tabah apabila sbentar td Dr Lo' Lo' telah kembali ke rahmatillah.. Al Faatiihah." tulisnya di Twitter. Menurut anak allahyarhamuha, Muhd Fawwaz, jenazah akan diuruskan di Masjid al-Akram, Datuk Keramat pagi esok. "Insya allah, akan dikebumikan pada waktu pagi di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat," tulisnya melalui sistem mesej singkat (SMS) kepada Harakahdaily. |
Perkhemahan Perdana Briged Amal Kelantan Posted: 17 Jul 2011 12:09 AM PDT |
Agong seru ambil panduan Quran Hadis Posted: 16 Jul 2011 11:59 PM PDT KUALA LUMPUR, 17 Julai: Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong menyeru umat Islam kembali mengambil Al-Quran dan Al-Hadis sebagai sumber penyelesai masalah yang timbul dalam masyarakat. Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah jika ada perselisihan pendapat dan sukar untuk mencari keputusan, Allah menggariskan agar al-Quran dan al-Sunnah dijadikan tempat rujukan seperti Firman-Nya di dalam Surah An-Nisa. Baginda menyarankan demikian ketika menyampaikan titah perasmian Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa ke-53 yang bermula malam tadi hingga 23 Julai. Majlis berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah. Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong Tuanku, Nur Zahirah turut berangkat. Majlis itu disiarkan secara langsung melalui radio dan televisyen ke seluruh negara. "Beta percaya keamanan negara berkait rapat dengan perpaduan ummah, perkara ini ditunjukkan dengan kehancuran empayar-empayar hebat pada masa lampau akibat perlakuan rakyatnya yang tidak bersatu padu malah mengenepikan persefahaman dalam menjaga kemakmuran negara. "Sesungguhnya Islam melarang umatnya membiarkan perselisihan pendapat, pandangan atau apa-apa keadaan yang akhirnya melemahkan negara. "Inilah yang ingin beta tekankan supaya kita kembali kepada ajaran Islam sebenar namun harus kita fahami ini bukanlah bermakna Islam menolak perbezaan pendapat kerana Islam mengharuskan kepelbagaian pendapat tentang sesuatu perkara untuk menghasilkan kebaikan," titah baginda. Pada tahun ini, seramai 81 peserta terdiri daripada 50 qari dan 31 qariah dari 50 negara bakal memperdengarkan bacaan mereka dalam seminggu ini. Malaysia diwakili oleh qari Amirrahman Abas dan qariah Suraya Abu Hassan yang muncul johan pada majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-54 di Kuching, Sarawak. Dalam titah itu, baginda juga mengingatkan umat Islam agar menggunakan pendekatan bijaksana dengan mengutamakan rundingan sesama mereka. "Islam mengajar kita bahawa setiap perselisihan pasti ada penyelesaian manakala penyelesaian yang dicapai hasil daripada pendekatan dengan cara berhemah mengikut cara Rasulullah adalah yang lebih mulia dan terpuji di sisi Allah," tegas baginda lagi. Tuanku Mizan bertitah untuk itu, umat Islam perlu menghayati perihal Rasulullah SAW yang telah menunjukkan kaedah dan cara menunaikan kewajipan terhadap agama, masyarakat dan negara. "Hendaklah mengukuhkan persefahaman dan perpaduan warganegara Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan keturunan. "Rasulullah SAW dalam Piagam Madinah mewajibkan semua penduduk Madinah agar menyayangi dan menghormati bumi Madinah," titah baginda. |
PAS lancar kempen teruskan memontum Bersih 2.0 Posted: 16 Jul 2011 11:59 PM PDT KUALA LUMPUR,16 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat akan melancarkan kempen "Ramadhan Bulan Bersih" sebagai meneruskan momentum himpunan Bersih 2.0 yang telah berjaya diadakan 9 Julai lau. Kempen itu sebagai usaha penerangan ke seluruh negara berhubung tuntutan ke arah sistem pilihan raya yang bersih dan adil, yang akan berlangsung sepanjang Ramadhan yang akan tiba bulan hadapan. Menurut ketuanya, Nasrudin Hassan, pihaknya akan memulakan siri jelajah ke setiap negeri sejurus bermulanya Ramadhan bagi memberikan penerangan mengenai Bersih 2.0. Siri jelajah itu akan diteruskan dengan kempen balik kampung sempena Aidilfitri yang turut menjurus kepada penerangan mengenai Bersih 2.0. "Pemuda PAS terdiri daripada jawatankuasa harian akan menjalankan roadshow ke seluruh negara Ramadhan ini bermula di negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Kedah, Pulau Pinang dan seterusnya Perak. "Manakala untuk negeri Pantai Timur, kami akan turun sempena sambutan Aidilfitri nanti," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini. Katanya juga, Ramadhan dipilih untuk "Bulan Bersih" selaras dengan kemuliaan bulan itu yang menuntut manusia khususnya umat Islam membersihkan hati dan akhlak. "Kempen kita merangkumi ceramah dan edaran pelbagai risalah mengenai Bersih agar semua maklumat sampai kepada rakyat," katanya. Selain itu, DPP juga katanya tetap berpendirian bahawa segala rampasan barangan Bersih 2.0 adalah tidak sah dan menuntut segala barangan yang dirampas dikembalikan semula kepada pemiliknya. Khidmat Guaman Sementara itu, beliau mengecam tindakan membuang seorang pelajar sebuah universiti di Mesir, Firdaus Mazlan yang mengajurkan perhimpunan Bersih 2.0 di sana. Tegasnya, ruang demokrasi yang bebas harus juga diberikan kepada mahasiswa. "Tindakan buang universiti suatu yang keterlaluan kerana pelajar ini hanya tinggal dua minggu lagi untuk menamatkan pelajaran," katanya. Sehubungan itu, pihaknya akan menyediakan khidmat guaman melalui Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham). "Pihak keluarga boleh menghubungi pengarah Juham untuk tindakan undang-undang dan sesiapa sahaja yang mengalami masalah boleh berbuat demikian," katanya. |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan