Rabu, 11 Mei 2011

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KOTA RAJA

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KOTA RAJA


Pengundi: Pemuda PAS Selangor mahu mengadap Sultan

Posted: 11 May 2011 03:15 AM PDT

GOMBAK, 11 Mei: Dewan Pemuda PAS Selangor sedang merancang untuk menyerahkan satu memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membantah kewujudan senarai pengundi-pengundi tukar alamat yang luar biasa di kebanyakan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor.
Menurut ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan kewujudan itu dikesan melalui senarai pengundi-pengundi dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku 1/2011 yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) Selangor baru-baru ini.
Ianya dikeluarkan bermula 28 April sehingga 4 Mei bagi tujuan semakan tuntutan dan bantahan kepada awam.
Hasbullah berkata, timbul keraguan apabila kebanyakan pengundi yang bertukar alamat ke Parlimen dan Dun ini ialah penduduk Sabah yang mempunyai kod kad pengenalan 12 yang kebanyakannya ditukarkan ke Parlimen Kota Raja yang dimenangi PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
"Pemuda PAS Selangor akan bawa perkara ini kepada pengetahuan Sultan Selangor melalui memorandum yang akan diserahkan. Kita sedang berusaha untuk mengadap Tuanku Sultan dan surat telah pun dihantar, tunggu maklum balas daripada istana," kata beliau pada sidang media di pejabat PAS Kawasan Gombak, dekat sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hasbullah berkata, kebanyakan pengundi-pengundi luar yang bertukar alamat ini mengesahkan bahawa mereka dipanggil pihak-pihak tertentu untuk mengundi di kawasan-kawasan tertentu tanpa kerelaan.
Ujarnya juga, tambah mendukacitakan dan menyukarkan proses semakan apabila alamat lengkap pengundi-pengundi tidak menunjukkan sebarang nama jalan, nama taman perumahan dan nama lorong.
"Siasatan dan semakan mendapati pengundi-pengundi yang bertukar alamat ini diletakkan dalam sesebuah rumah dalam jumlah yang ramai dan tidak munasabah serta pelbagai bangsa iaitu terdapat setengah pengundi Cina dan India dalam rumah yang sama begitu juga sebaliknya," katanya.
Minggu lalu, ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud  juga menggesa  SPR menjelaskan kekeliruan dan keraguan dalam senarai daftar pemilih secara atas talian(online) dan pejabat SPR negeri.
Beliau berkata, timbul keraguan apabila ramai pengundi (Parlimen Kota Raja) didakwa bertukar alamat gagal dikenal pasti dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) kerana tidak disertakan alamat lengkap.
Selain itu, Pemuda PAS Selangor turut membantah tindakan SPR mendaftarkan seramai 303 anggota pasukan latihan pegawai simpanan (PALAPES) Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai pengundi pos yang jelas melanggar peraturan dan akta SPR.
Menurutnya, pihaknya telah membawa perkara itu kepada SPR selangor untuk mendapatkan penjelasan namun belum ada sebarang maklum balas.
"Kenapa PALAPES UPM didaftarkan sebagai pengundi pos sedangkan mereka belum lagi menjadi anggota tentera?" soalnya.
Lapor polis
Sementara itu, pemuda PAS Selangor juga akan membuat satu laporan polis berkaitan taktik Umno BN memberikan kerakyatan kepada 2,000 pengundi baru warga Indonesia.
PKR semalam mendakwa Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Idris Abu Bakar menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien.
Dalam surat itu, Idris memohon kelulusan untuk mendapatkan warganegara Malaysia (PR) bagi kawasan Parlimen Hulu Selangor, seramai 2,000 orang.
Pemuda PAS Selangor juga mengggesa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR menjelaskan mengenai maklumat yang didedahkan itu.
"Pemuda PAS Selangor berikrar tidak akan merelakan negeri ini digadai serta dicabul kedaulatannya daripada pihak-pihak luar yang bakal menjejaskan keharmonian dan kerukunan negeri Selangor daripada pihak-pihak yangrakuskan kuasa dan pangkat secara bacul serta tidak bermaruah," katanya.
Dalam pada itu, nama-nama dalam surat Idris itu menyatakan bahawa ianya merupakan pengundi yang boleh membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Menurut surat itu, mereka telah menjalankan ujian saringan terhadap 2000 warga Indonesia itu bebas daripada kesalahan jenayah, dadah dan ideologi yang  berbahaya serta terpesong dan terdiri daripada kalangan pelajar, usahawan tulen dan bekerjaya.

TAHNIAH JABATAN AMAL NEGERI PERAK

Posted: 10 May 2011 08:25 PM PDT


 Kenyataan Media (11 Mei 2011)

 ANAK KARTIKA: TAHNIAH JABATAN AMAL NEGERI PERAK

 

Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Raja (DPPKR) merakamkan ucapan takziah kepada Kartika Sari Dewi Sukarno di atas kembalinya kerahmatullah anak sulungnya Muhammad Azfar Mohamad Afandi, 9 tahun yang berjaya ditemui terapung di Sungai Perak dekat pengenapan inap desa milik keluarga mereka di Kampung Jawang, Karai, Sungai Siput awal pagi kelmarin.
 
Jabatan Amal DPPKR juga merakamkan ucapan tahniah kepada semua anggota Jabatan Amal Negeri Perak yang telah berjaya menemui mayat anak sulung Kartika sekitar jam 2.33 pagi, 1 kilometer dari tempat kejadian. Namun demikian ucapan  terima kasih dan syabas kepada Pasukan Penyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Polis DiRaja Malaysia, Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung berhampiran.

Sesungguhnya, usaha dan kejayaan Jabatan Amal membantu sehingga berjayanya menjumpai jenazah Allahyarham pagi kelmarin adalah satu usaha dan gerakerja yang perlu dicontohi dan di azami bersama. Adalah diharapkan semoga Jabatan Amal akan meneruskan usaha bakti dan kebajikan kepada umum sekaligus meletakkan Jabatan Amal sebagai salah satu badan kebajikan yang tidak asing di kalangan rakyat. 

Beramal Kerana Allah

 
 






 

ADAM BIN ABD KADIR
KOMANDER,
JABATAN AMAL
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KOTA RAJA.

Tiada ulasan:

Pengikut