UMNO Cawangan Bukit Ampang Posted: 03 Jan 2011 01:05 AM PST PROGRAM 100 HARI DAN BUKU JINGGA BUKAN UNTUK RAKYAT Posted: 02 Jan 2011 03:24 AM PST Pakatan Pembangkang baru-baru ini telah menjaja buku jingga yang kononnya akan menjadi panduan asas kepada mereka dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang serta menggariskan 10 perubahan yang akan dilakukan sebagai permulaan reformasi menyeluruh dari aspek pengurusan negara, ekonomi, dan pendidikan. Benarkah ianya untuk rakyat ataupun hanya untuk memesongkan hati dan naluri rakyat yang amat memerlukannya?. Mari bersama kita meneliti program 100 hari pakatan pembangkang seperti dibawah:
1. Mereformasikan insititusi-institusi penting negara seperti SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan. 2. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 3. Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol. 4. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat. 5. Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru pendidik bangsa. 6. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan. 7. Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar. 8. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda. 9. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20%. 10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah
Bagi pendapat peribadi penulis, Pakatan pembangkang cuba untuk menggariskan objektif perjuangan partinya yang baru dan cuba meniru perancangan yang dibuahkan oleh Perdana Menteri dalam mentadbir Negara. Inilah pembuktian bahawa Pakatan Pembangkang kini khuatir dengan segala yang dirancang dan pendekatan oleh kerajaan Barisan Nasional seperti NKRA, KPI, GTP dan pelbagai lagi. Menyedari hakikat ini Pakatan Pembangkang cuba untuk mewujudkan sebuah situasi yang sama kononnya mereka juga mempunyai perancangan dengan menwujudkan buku Jingga yang kononnya bermatlamat dan berobjektif. Sekiranya diteliti mungkin apa yang dibangkitkan Pakatan pembangkang hakikatnya tidak boleh digunakan untuk mentadbir negara. Perancangan ini hakikatnya boleh merosakkan ekonomi dan memberi implikasi buruk terhadap kewangan Negara.
Perkara pertama kononnya mereka ingin lakukan adalah untuk mereformasikan institusi-institusi kerajaan seperti SPR,SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM supaya dapat mengembalikan kewibawaan pentadbirannya. Perkara ini hanya bersifat untuk mempertahankan agenda mereka sahaja. Apa yang dapat dilihat semua institusi-institusi ini memang selalunya menjadi bahan politik Pakatan Pembangkang untuk meraih sokongan. Pakatan Pembangkang seperti yang diketahui umum mereka selalu memutarbelitkan fakta. Bagi mereka semua yang ada di dunia ini tidak betul kecuali mereka sahaja yang benar. Apa yang mereka buat tidak kira betul ada tidak ia tetap yang terbaik walhal hakikatnya ia boleh membinasakan rakyat. Kononnya merekalah yang paling suci. Hakikatnya di dalam pentadbiran negeri Pakatan Pembangkang pada hari ini seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Wilayah Persekutuan, semuanya tidak sesuci seperti yang diwar-warkan. Banyak penyelewengan, pergaduhan, jenayah, perjudian, pelacuran, dan lain-lain lagi isu yang akhirnya boleh memudharatkan rakyat dalam jangka masa panjang.
Persoalannya mampukah Pakatan Pembangkang ini memulihkan kewibawaan pentadbiran institusi kerajaan seperti yang mereka war-warkan di dalam buku jingganya?. Pentadbiran negeri yang dipimpin pakatan pembangkang kini pun kucar-kacir. Rakyat di negeri yang mereka perintah sehingga ke hari ini tidak dapat merasai apa yang pernah dijanjikan dahulu serta tiada perkara yang dilaksanakan kerajaan negeri pembangkang untuk kepentingan masa hadapan rakyat kecuali kebanyakannya demonstrasi dan ceramah umum sahaja. Yang meniaga kini semakin merudum perniagaannya. Yang meniaga kecil-kecilan pula dirobohkan tempat perniagaannya. Masjid dan Surau dijadikan tempat berpolitik tanpa memikirkan adab masjid atau surau. Sultan serta undang-undang tidak dihormati. Ini semua kian berlaku di negeri pimpinan pakatan pembangkang. Secara logiknya mampukah Pakatan Pembangkang memulihkan kewibawaan pentadbiran institusi kerajaan yang lain? Nampak seolah seperti kata peribahasa seperti ketam mengajar anak berjalan kehadapan sedangkan dia sendiri berjalan mengiring.
Keduanya berkenaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kerajaan telah pun memulakan kajian untuk mengkaji semula Akta tersebut untuk memastikan ianya tidak disalahgunakan. Seharusnya Akta ini tidak boleh dimansuhkan demi untuk memastikan keselamatan dalam Negara dapat dijamin dengan baik serta aman. Negara-negara maju yang lain juga mempunyai Akta untuk memastikan keselamatan Negara mereka. Singapura juga mempunyai Akta yang sedemikian. Penulis ingin menyeru kepada semua untuk mengkaji Negara-negara lain yang membangun apakah mereka mempunyai Akta ini dan apakah kesan sekiranya ianya tiada. Sebagai contoh di Thailand, negara jiran yang hampir dengan Malaysia yang tidak mempunyai akta tersebut, rakyat mereka sering berperang dan keamanan di Negara tersebut sukar untuk dicapai. Di Afghanistan, Iraq, dan Negara-negara Islam yang lain juga sering mempunyai masalah seperti peperangan, pembunuhan, terroris dan lain-lain lagi. Apakah kita menginginkan Malaysia sedemikian rupa?. Kita harus bersyukur kerana Malaysia mengecapi keamanan selama ini dan semuanya bukannya datang bergolek sahaja. Salah satu sebab kita mengecami keamanan adalah kerana Akta Keselamatan ini. Persoalan sebenar adalah bagaimana untuk memastikan ianya tidak disalahgunakan dan usaha mengkaji telah giat dijalankan oleh kerajaan persekutuan bagi mencapai tujuan tersebut.
Perkara ketiga dalam perancangan program 100 hari mereka adalah berkenaan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan lain-lain badan milik kerajaan yang kononnya akan diarahkan untuk mengambil alih aset lebuhraya bertol daripada entiti korporat yang menguasainya sekarang sekiranya mereka memerintah. Penulis menyeru supaya semua rakyat berfikiran wajar tentang perkara ini.
Khazanah Berhad dan KWSP wujud dari sumber wang rakyat. KWSP terang-terang berpunca dari duit caruman pekerja rakyat yang bekerja siang dan malam. Bayangkan susah payah rakyat simpan wang ini untuk kegunaan masa depan, dengan senang Pakatan pembangkang merancang untuk menggunakan duit tersebut bagi mengambil alih aset lebuhraya bertol. Apakah rasionalnya rakyat perlu korbankan duit simpanan masa depan mereka untuk mendapatkan tol percuma?. Kita perlu memahami bukan semua rakyat menggunakan lebuhraya bertol. Bagi yang tidak mampu kadangkala mereka menggunakan lebuhraya atau jalan lama yang tidak mempunyai tol. Sekiranya ia dilaksanakan rakyat berpendapatan tinggilah yang paling beruntung kerana mereka yang sering menggunakan lebuhraya bertol ini. Apakah ianya adil untuk rakyat yang berpendapatan rendah?..
Perkara keempat berkenaan subsidi. Pakatan Pembangkang menyatakan kononnya ingin merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
Sedar atau tidak mereka tidak menyatakan dalam perkara tersebut mereka ingin memindahkan wang itu kepada entiti yang mana bagi menampung perbelanjaan rakyat. Secara tidak langsung perkara ini dengan sendirinya membuktikan pakatan pembangkang bersifat tidak telus. Kalau difikirkan semula dulu pun mereka janji bermacam-macam tapi bila dah dapat habuk pun tiada. Bayangkan apakah kerosakan yang akan dilakukan oleh doktrin-doktrin ini sekiranya mereka memperolehi wang subsidi ini. Wang subsidi ini hakikatnya bukanlah untuk kepentingan pihak swasta tetapi ianya untuk kepentingan rakyat. Rakyat yang akan merasa manfaatnya dari subsidi tersebut kerana dengan adanya subsidi ini pelbagai harga dapat dikurangkan untuk selaras dengan kemampuan rakyat. Mengapa perlu kita memindahkan subsidi ini sedangkan rakyat kini menikmati manfaatnya. Semoga tuhan menyelamatkan negara kita dari kemusnahan.
Ada juga kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha agong PAS yang ingin menggunakan duit subsidi IPP bagi menampung kos lebuhraya bertol dan pelbagai lagi untuk disalurkan kepada rakyat. Bagi pendapat saya, seandainya subsidi swasta yang mereka maksudkan adalah IPP secara tidak langsung ini akan melibatkan kenaikan bill letrik di seluruh Negara dan keseluruhan rakyat akan menerima kesannya. Apakah rakyat perlu membuat pengorbanan sedemikian besar semata-mata untuk kesenangan kerajaan negeri memerintah?. Apakah ianya lebih menyenangkan rakyat atau lebih menyusahkan rakyat?.
Perkara kelima ialah mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru pendidik bangsa. Memang benar kita perlu menghargai jasa guru tetapi apakah ianya mesti berupa imbuhan wang. Tidakkah kita terfikir ini seolah-olah seperti rasuah yang terselindung yang cuba dilakukan oleh Pakatan Pembangkang? Mengapa hanya guru yang difokuskan, mengapa tidak diberikan kepada doktor walhal mereka juga berjasa? Bagaimana pula dengan nelayan mereka juga berjasa kerana kalau tidak kerana mereka keseluruhan rakyat tidak dapat memakan ikan setiap hari dan jika difikir mereka lebih layak menerima imbuhan tersebut. Begitu juga dengan pengusaha ayam dan bahan makanan lain. Penjawat awam juga berjasa besar mengapa tidak menghargai mereka. Apakah tujuan pakatan pembangkang hanya menumpukan kepada guru sahaja? Tidakkah ianya seolah ada agenda yang tersembunyi? Terpulanglah kepada pemikiran anda masing-masing untuk menilai.
Perkara keenam pula berkenaan menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan. Perkara ini penulis ingin menyentuh sedikit berkenaan kewibawaan Menteri Besar. Menteri Besar mempunyai kuasa di negeri yang diperintahnya. Segala keputusan boleh dibuat sekiranya beliau sendiri mahu lakukan seperti isu air ini. Apa yang memalukan dalam sejarah dunia belum pernah ada seorang berstatuskan Menteri Besar yang tidak dapat menyelesaikan sesuatu isu mengambil pendekatan melakukan demonstrasi jalanan sedangkan kuasa ada ditangan beliau. Beliau boleh berbincang atau musyawarah dengan pembekal air untuk mencapai kata putus bersandarkan kepada kepentingan rakyat. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa pentadbiran kerajaan negeri pembangkang ini tidak mampu menyelesaikan sebarang isu dengan cara yang baik untuk kepentingan rakyat. Apakah demonstrasi jalanan dan ceramah umum mampu untuk menyelesaikan masalah?.. Masihkah kita fikir Pakatan Pembangkang mampu untuk memerintah?..
Perkara ketujuh ialah dengan menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar. Buat pengetahuan pembaca sekalian, kemudahan wifi ini berpunca dari asas jalur lebar yang telah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu Kerajaan Barisan Nasional sejak sekian lama dahulu. Ianya mula dicetuskan sewaktu zaman pimpinan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri yang memperkenalkan ICT kepada rakyat justru kerajaan ketika itu menyediakan asas technology jalur lebar ini yang dikendalikan oleh Telekom Malaysia Berhad. Bermula dari Cyberjaya dan Multimedia Super Coridor (MSC) sebagai pusat kepada ICT dan akhirnya kini menjadi sesuatu yang perlu dikalangan rakyat. Dahulu penulis masih ingat Pakatan Pembangkang jugalah yang berusaha keras untuk menidakkan pembangunan Cyberjaya dan Putrajaya serta KLCC tetapi kini nampak seolah mereka cukup berterima kasih atas idea cetusan Presiden Barisan Nasional ketika itu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad. Pada waktu ini ramai pengusaha jalur lebar telah memulakan perkhidmatan wifi percuma di merata tempat dan semakin hari semakin banyak tempat telah ada kemudahan wifi percuma. Mungkin pemikir pakatan Pembangkang ini sahaja yang tidak mengetahuinya.
Tujuh perkara dari sepuluh perkara semuanya tidak berasas dan penulis fikir tidak perlulah penulis membahas lagi 3 perkara sekiranya 7 perkara pun tidak masuk akal untuk dilaksanakan. Apa pun yang ditulis dalam buku jingga pujaan pakatan pembangkang ini semuanya hanya karut semata-mata dan mungkin bertujuan untuk mengaburi mata rakyat dari realiti yang mereka hadapi pada waktu ini.
Penulis ingin menegaskan rakyat perlukan sebuah kerajaan yang menunaikan janji, membangunkan kerajaan negeri dengan berbelanja secara berhemah dan mengambil berat tentang rintihan mereka. Penulis fikir hanya Barisan Nasional sahaja yang mampu membuat sesuatu dasar mengikut kehendak dan aspirasi rakyat. Penerbitan Buku jingga ini seolah membuktikan bahawa Pakatan pembangkang tidak memahami aspirasi rakyat keseluruhannya dan secara langsung membuktikan mereka tidak mampu untuk memerintah. Kemungkinan mereka hanya memahami rintihan yang mereka dengar dari kalangan ahli mereka sahaja bukan rakyat.
Penulis fikir sesuatu perkara yang dirancang perlu diteliti dan dinilai terlebih dahulu untuk melihat dari skop keefisienannya terhadap pembangunan rakyat jangka masa panjang tidak kira siapa sahaja yang merancang. Sama ada perancangan dari segi ekonomi, sosial mahupun pembangunan Negara. Fikirkan dari skop yang lebih besar dan bukan berfikiran sempit. Apakah ianya mendatangkan faedah kepada rakyat secara keseluruhan dan faedah itu dapat bertahan pada tahun mendatang. Fikirkan siapakah yang mampu untuk merancang lebih baik untuk masa hadapan. Pada waktu ini hanya Barisan Nasional sahaja yang mampu lakukan. Semuanya hasil usaha bersama gabungan parti dalam Barisan Nasional yang berbilang kaum. Semoga pemikiran kita semua terbuka untuk menilai dengan baik. Fikirkanlah yang terbaik untuk semua….
Sekiranya inilah yang terbaik boleh dibuat oleh pemikir-pemikir pakatan pembangkang, adalah lebih baik mereka semua memikirkan cara bagaimana untuk membantu rakyat keseluruhan dan lebih utama cara bagaimana untuk menunaikan janji pilihanraya PRU12 yang masih belum dilunaskan. Ianya lebih utama dari yang lain. Rakyat masih menunggu janji PRU12 yang kini sudah melebihi 3 tahun belum terlaksana.
-Rakyat tertipu | PERUTUSAN YAB. PERDANA MENTERI SEMPENA TAHUN BARU 2011 Posted: 02 Jan 2011 03:04 AM PST Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia. - Alhamdulillah, sayugia kita bersama-sama mengatur setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT, lantaran izin dan atas kehendak-Nya jua, kita bakal menempuh gerbang 2011. Fajar tahun baru yang akan menjelang ini sekali gus melabuhkan tirai 2010 yang telah kita lalui dalam suasana tenang, aman damai, rakyat hidup rukun, serta ekonomi yang makin kukuh.
- Sesungguhnya waktu dan masa berpacu dengan amat pantas. Hari esok menjadi tanda pembuka lembaran kepada dekad yang seterusnya. Semasa saya memberikan perutusan tahun baru yang lalu, Malaysia sedang di ambang pemulihan ekonomi setelah mengalami pertumbuhan negatif untuk tiga suku yang pertama tahun 2009.
- Namun, hasil daripada tindakan kerajaan yang lekas dan pantas, negara kita kini bukan sahaja berada di landasan pertumbuhan yang mapan tetapi juga diletakkan pada trajektori yang betul ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi apabila tahun 2020 menyingsing tiba nanti.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian, - Seperkara yang menjadi hakikat dan perlu difahami oleh setiap orang adalah, dalam menguruskan negara, terutamanya ehwal ekonomi, kerajaan senantiasa mengamalkan sikap penuh kebertanggungjawaban. Selama beberapa dekad, segala pencapaian yang diraih bukanlah terjadi secara kebetulan atau tiba-tiba. Akan tetapi, setiap sesuatu telah dirancang, direkayasa dan dilaksana secara tersusun serta tuntas dengan mengambil kira aspek jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.
- Apatah lagi, sebagai sebuah kerajaan yang begitu prihatin dalam meresapi nadi dan nubari rakyat, kita tidak akan sekali-kali membelakangkan kepentingan orang ramai dengan menjanjikan sesuatu atau mengambil sebarang keputusan yang pada mata kasarnya popular namun pada hakikatnya bersifat amat menjejaskan kemudian hari terhadap kepentingan semua.
- Justeru, dewasa ini, kita telah menyaksikan bagaimana negara-negara yang dianggap maju juga mula ditimpa masalah apabila mereka tidak mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah serta tidak mendakap disiplin fiskal dalam merancang pembangunan negara dan kebajikan rakyat di negara masing-masing.
- Sememangnya, mana-mana kerajaan yang menggubal atau menjanjikan dasar-dasar sekadar bersifat popular tetapi tidak bertanggungjawab ini mungkin akan mendapat pengiktirafan atau sanjungan jangka pendek namun untuk tempoh masa panjang, rakyatlah sebenarnya yang akan menderita serta menjadi galang gantinya.
- Mengambil iktibar daripada kekhilafan-kekhilafan sekeliling, sepanjang tahun 2010 kita telah memancang asas-asas yang kukuh bagi menentukan keseluruhan potensi dan sumber negara mampu dirangsang serta diaturgerakkan ke arah tercapainya wawasan kebangsaan. Segala yang telah dipersembah, merupakan peta laluan komprehensif lagi bersepadu demi kepentingan nasional yakni mengangkat taraf dan mutu hidup lebih tinggi kepada seluruh rakyat Malaysia.
- Perjalanan kita dilengkapi dengan wahana-wahana panduan pentadbiran bermula dengan pelancaran Program Transformasi Kerajaan atau GTP bersama 6 NKRA-nya pada awal tahun 2010. Ia diikuti pelancaran Program Transformasi Ekonomi atau ETP dan 12 NKEA-nya, sebagai teras kepada Model Baru Ekonomi dan diikuti oleh pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 dan kemudiannya Bajet Tahun 2011 yang menjadi bajet pertama bagi Rancangan Malaysia Ke-10. Ini menandakan kedua-dua fasa perancangan dan pelaksanaan telah pun mengambil tempat dan bermula.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, - Sejak sekian lama, kerajaan yang diberi mandat telah mentadbir dan berusaha dengan ikhlas untuk memberikan yang terbaik kepada keperluan rakyat serta kemajuan negara. Sayangnya, terdapat pihak-pihak yang menangguk di air keruh dengan berwenang-wenang menuduh bahawa kerajaan hanya berminat terhadap projek-projek tertentu terutamanya yang berbentuk mega. Sesungguhnya lemparan kata-kata ini tidak benar sama sekali.
- Saya mengajak kita mengkaji hal ini dengan memeriksanya secara profesional dan objektif. Apa yang jelas, bukankah dahulunya pihak yang sama mengkritik antara lainnya pembinaan Lebuhraya Utara Selatan atau PLUS, Menara Berkembar Petronas dan Jambatan Pulau Pinang, kini tersipu-sipu dan terkesima tanpa keberanian moral mahupun keikhlasan intelektual untuk mengakui bahawa mereka telah silap dan sepatutnya menelan kata-kata liar yang diluahkan.
- Pokoknya, masa yang berlalu telah menjadi penentu sebuah kebenaran. Ternyata, projek-projek yang dirancang dan dilaksana oleh kerajaan selama ini telah membawa manfaat kepada rakyat terbanyak. Di persimpangan ini, saya berharap agar rakyat mampu melihat dan menilai yang mana kaca dan yang mana intan. Persoalannya, jika pendapat mereka terbukti salah dalam perkara yang sebegitu besar, bagaimanakah mungkin rakyat boleh mempercayai lagi sebarang janji mereka? Apatah lagi baru-baru ini, janji 100 hari mereka yang hanya akan menambahkan lagi perbelanjaan tanpa mengambil kira realiti pendapatan serta punca kewangan negara.
- Pucuk pangkalnya, kerajaan yang ada sejak dahulu, telah memberi perhatian kepada matlamat untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan kerana lonjakan kekayaan negara akan membolehkan peningkatan untuk perbelanjaan dan terlaksananya keadilan sosial. Ia berkadar terus, ertinya, semakin meningkat pendapatan kerajaan, maka semakin meningkat perbelanjaan untuk kesejahteraan rakyat.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, - Jika dikaji, matlamat membasmi kemiskinan telah dilakukan secara lebih sistematik apabila Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada awal tahun 70an. Sepanjang tempoh pelaksanaan ini dan dasar-dasar yang berikutnya, kayu ukur lebih definitif dan saintifik diutarakan untuk mengukur paras kemiskinan.
- Sejak itu, tanpa jemu kita telah berusaha kuat memerangi kemiskinan yang melibatkan separuh daripada rakyat Malaysia dan mengurangkan kadarnya kepada 3.8 peratus dalam tempoh hayat satu generasi sehingga berjaya melahirkan generasi peribumi kelas menengah serta profesional yang besar.
- Selanjutnya, kerajaan kini terus komited bagi membasmi kemiskinan dan menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi di dalam Negara. Oleh yang demikian, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara bagi Isi Rumah Berpendapatan Rendah, Kerajaan mensasar untuk menyifarkan sebanyak 44,643 isi rumah miskin tegar yang telah didaftarkan di dalam Sistem eKasih mencecah penghujung 2009.
- Sehingga 20 Disember baru-baru ini pula, sebanyak 40,713 isi rumah telah berjaya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan tegar dan baki 3,930 isi rumah lagi sedang ditangani melalui pelbagai program seperti 1Azam.
- Sungguhpun pencapaian tersebut telah mencapai paras objektif yang ditetapkan, ini tidak bermakna bahawa kemiskinan tegar telah dibasmi sepenuhnya kerana insiden kemiskinan adalah bersifat relatif dan sentiasa berubah. Kerajaan juga tidak menafikan masih wujud tompokan kecil kemiskinan di kawasan-kawasan seperti pedalaman Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
- Sehubungan dengan itu, penekanan terhadap usaha-usaha pembasmian kemiskinan termasuk di kalangan minoriti Bumiputera Sabah dan Sarawak, kawasan setinggan, kawasan perladangan, kawasan pekebun kecil, penempatan Orang Asli dan sebagainya akan terus dipertingkatkan di bawah pelaksanaan RMK-10.
- Sudah pasti, proses ini merupakan satu perjalanan yang tidak ada noktahnya bagi kerajaan. Kita akan sentiasa bersifat awas terhadap insiden baru kemiskinan tegar. Golongan yang telah berjaya keluar dari kemiskinan tegar akan dibimbing pula untuk meninggalkan belenggu kemiskinan relatif dan seterusnya daripada golongan 40 peratus pendapatan yang terkebawah. Ini memerlukan pendekatan yang sentiasa inovatif, kreatif dan dinamik.
- Untuk itu, kerajaan menyeru kepada semua pihak yang bertanggungjawab di semua peringkat, kampung, mukim, daerah, residensi dan negeri untuk memastikan jika ada kes-kes yang baru, ia dibawa kepada perhatian pihak yang berwajib agar mereka dapat dimasukkan ke dalam senarai e-kasih dan tindakan susulan dapat diambil.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, - Segala yang kita rancang dan mahu laksanakan tidak akan menemui kejayaan tanpa sokongan dan kerjasama rakyat. Oleh kerana itu, kita telah merundingi setiap segmen masyarakat sebelum menggubal program transformasi yang telah kita lancarkan bagi memastikan ianya mencerminkan hasrat rakyat. Saya menyeru kepada semua agar marilah berganding dengan saya dan rakan-rakan di dalam kerajaan untuk meletakkan negara di tempat yang sepatutnya.
- Janganlah kita hanya berpuas hati dan hanya berpeluk tubuh menjadi pengkritik di tepian. Marilah kita corakkan masa depan generasi hari muka kepada yang lebih baik daripada hari ini. Kuasa membentuk adalah di tangan rakyat. Tunaikanlah tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya.
- Jelas, tawarikh dunia telah menunjukkan bahawa sekali tersilap melangkah, maka kita akan menderita sepanjang zaman. Janganlah nasib hari mendatang anak cucu kita didagang dan dipertaruhkan. Ini bukanlah masa untuk bereksperimen tetapi waktu untuk memperbaharui kepercayaan dan mengukuh keyakinan kepada apa yang telah terbukti berkesan.
- Merenung detik-detik lampau, banyak sudah yang telah kita lakukan, di mana, pihak asing meramal tidak mungkin berjaya. Banyak sudah yang kita berjaya lunaskan, demi Malaysia yang tercinta sekalipun cuba dinafikan suara-suara sumbang oleh pihak-pihak tertentu.
- Beringatlah bahawa di waktu kita mencapai kemerdekaan dahulupun, kita tidak terfikir akan maju ke tahap ini. Demikian juga apa yang kita pernah kurang yakin untuk dicapai hari ini, akan pastinya jua mampu kita perolehi pada masa hadapan, jika kita tetap berusaha bersungguh-sungguh, jika kita yakin pada kebolehan diri sendiri dan jika kita terus bersama memelihara perpaduan, kestabilan dan keamanan negara.
- Akhir kata, seiring dengan hembusan hawa dan semangat tahun baru yang mendatang, kepada golongan belia, veteran, pertubuhan bukan kerajaan, penjawat awam, pihak swasta, pendek kata rakyat keseluruhannya, tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang, marilah kita bersama-sama menyambut semboyan pertiwi menuju puncak kemajuan. Moga-moga kita berjaya. Insya-Allah. Selamat menyambut Tahun Baru 2011.
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Dato' Sri Mohd Najib Perdana Menteri 31 Disember 2010 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan