Dari TV Selangor
Tiga hakikat terserlah pada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu, yang semakin menguatkan hujah dan persepsi bahawa perbicaraan mantan Timbalan Perdana Menteri itu sudah hilang kredibiliti dan kewibawaan.
Pertama,seorang doktor yang enggan merujuk kepada nota-notanya dan lebih rela memberi jawapan yang samar-samar dan tidak jelas.
Kedua,seorang Ketua Pendakwaraya yang tidak mengemukakan kepada mahkamah laporan kimia secara keseluruhan.
Ketiga,dubur atau rektum pengadu Saiful Bukhari Azlan di dapati kosong sungguhpun beliau sebelum itu mendakwa tidak membuang air besar selama dua hari dan malah tidak mandi kerana “mahu menyimpan bukti.”
Amalan doktor merujuk kepada nota-nota pemeriksaan dalam memberi keterangan di mahkamah adalah amalan biasa bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia. Keengganan doktor pakar Razali Ibrahim berbuat demikian bersabit pemeriksaan awal terhadap Saiful Bukhari Azlan menimbulkan kecurigaan peguam Anwar, Karpal Singh.
Ini kerana jika beliau berbuat demikian, maka peguambela Anwar berhak mendapatkan akses kepada nota-nota itu dan sekali gus boleh memperincikan latar belakang dan sejarah perubatan Saiful. Nota-nota itu penting untuk membolehkan kebenaran diketahui . Nota-nota itu penting untuk memastikan ketelusan dan kewibawaan dalam perbicaraan.
Untuk seorang hakim, tentunya keperluan menegak kebenaran mengatasi adalah perkara pokok dalam segala pertimbangan. Rakyat biasa tentu memikirkan apa salahnya mengemukakan nota-nota doktor kepada mahkamah supaya kebenaran terserlah dan keadilan dilaksanakan sepenuhnya.
Karpal yakin Dr Razali yang merupakan saksi pendakwaraya tidak mahu merujuk kepada nota-notanya kerana ia akan membuktikan percanggahan serius antara keterangan yang diberi di mahkamah dan hasil pemeriksaan awal ke atas Saiful.
Pihak Pendakwaraya “mati-mati” menegaskan peguam-peguam Anwar tidak berhak mendapatkan nota-nota itu selagi Dr Razali tidak menggunakan dalam memberi keterangan.
Yusuf turut mempertahankan tindakannya tidak menyerahkan laporan penuh kimia kes itu kepada mahkamah sebagai hak pendakwaraya.
Sayugia diingatkan pasukan peguambela Anwar sudah pun dinafikan hak untuk mendapatkan beberapa bahan bukti termasuk kenyataan Saiful kepada polis dalam usaha untuk menyediakan pembelaan tuntas.
Hakim Zabidin Mohd Diah kini diminta untuk memutuskan sama ada peguambela berhak untuk mendapatkan nota-nota klinikal. Pada 22 November, beliau juga akan memutuskan sama ada laporan kimia “separa siap” yang dikemukakan oleh pendakwaraya boleh diterima oleh mahkamah.
Pasukan peguam Anwar sebelum ini telah hilang permohonan untuk mendapatkan bahan-bahan bukti yang relevan termasuk kenyataan Saiful kepada polis.
Hakim juga memutuskan untuk meneruskan kes ini walapun mendapati ada asas kepada dakwaan Saiful menjalin hubungan sulit dengan pendakwaraya – satu amalan luar biasa yang dilihat menjejaskan kredibiliti pendakwaan terhadap Anwar. Pada masa sama, pengadu Saiful Bukhari Azlan juga mengaku berjumpa dengan Perdana Menteri Najib Tun Razak sebelum membuat laporan polis terhadap Anwar.
Malah Saiful mengadakan pertemuan di sebuah hotel dengan seorang pegawai polis yang pernah dituduh mereka cipta bukti terhadap Anwar pada perbicaraan pertama beliau tahun 1999.
Jelas Mahkamah kali ini, seperti pada tahun 1999, berdepan dengan soal kredibiliti dan kebenaran.
Keputusan Hakim Zaibin Mohd Diah pada 22 November lagi akan berkait rapat dengan dua isu asas ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan