Rabu, 19 Disember 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Jangan bermain politik dalam jubah mufti

Posted: 18 Dec 2012 03:58 PM PST


KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru para mufti agar menjaga nama baik mereka dan tidak bermain politik partisan untuk kepentingan pihak tertentu.

Ingatan itu berhubung kenyataan beberapa orang mufti yang mendesak agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menarik balik apa yang didakwa sebagai 'Amanat Haji Hadi'.

"Boleh berbincang dengan cara yang elok dan tak perlu bermain politik partisan di dalam jubah mufti.

"Jangan jual harga mufti dengan murah," tulisnya dalam Facebook petang tadi.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu lagi, beliau secara peribadi sangat mengenali Tuan Guru Abdul Hadi dan meyakini bahawa ilmu yang dimiliki oleh Presiden PAS itu tidak lebih rendah daripada ilmu yang dimiliki oleh para mufti.

"Bahkan beliau merupakan lulusan Madinah yang cemerlang.

"Jadi saya menyeru kepada para mufti, jangan beranggapan Presiden PAS sebagai orang yang tidak tahu hukum hakam," katanya.

Sebelum ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dilaporkan menggesa Tuan Guru Abdul Hadi menarik balik amanat mendakwa Umno kafir, yang pernah dikeluarkan lebih tiga dekad lalu.

Harussani berkata, tidak mudah untuk meletakkan orang itu kafir dan, perkara itu sudah pun dijelaskan yang mana ia bukan masalah parti, sementara Wan Zahidi pula berkata, amanat tersebut tidak berbahaya kepada Umno sebaliknya kepada diri Hadi sendiri.

Amanat Tuan Guru Abdul Hadi merujuk kepada satu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh beliau di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

Kelantan jayakan hasrat Jelapang Makanan Negara

Posted: 18 Dec 2012 03:57 PM PST

KOTA BHARU: Kelantan akan menghidupkan tanah terbiar dengan lebih agresif dalam menjayakan hasrat sebagai Jelapang Makanan Negara menjelang tahun 2015.

Dianggarkan sebanyak 100 hektar tanah terbiar lagi bakal diterokai tahun 2013, berbanding 57 hektar tahun ini dengan pelbagai program pertanian.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata usaha Kelantan untuk menjadikan negeri pertanian tidak pernah silap sejak menerajui kepimpinan negeri tahun 1990 sehingga muncul sebagai pengeluar produk pertanian yang terpenting di negara ini.

Katanya, peningkatan itu hingga berjaya mencapai 19.4 peratus bagi sektor pertanian yang merupakan sebahagian penyumbang besar KDNK tahun 2012.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Bertani Satu Ibadat, anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik).

Menurutnya, walaupun telah banyak kawasan tanah terbiar telah diterokai, namun usaha itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

"Islam menitik beratkan pertanian, kerana itu Kelantan memperkenalkan tema pertanian Bertani Satu Ibadat kerana aspek itu merupakan sebahagian dari ibadat," ujarnya.

Menurutnya, walaupun dengan peruntukkan yang kecil hanya RM2.2 juta peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk program pertanian, namun hasil yang diperolehi begitu membanggakan.

"Sema aspek sama ada pertanian, penternakan khususnya lembu pawah begitu berjaya," ujarnya.

Turut berucap pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Seramai empat orang petani dan pengusaha berjaya menerima cenderahati berupa benih durian dan baja dari Timbalan Menteri Besar pada majlis yang diadakan di Balai Islam, Lundang pagi tadi.

Perpindahan kuasa selepas PRU13 paling aman

Posted: 18 Dec 2012 03:57 PM PST


KUALA LUMPUR: PAS penuh keyakinan, perpindahan kuasa yang akan berlaku dalam pilihan raya ke 13 nanti bakal berjalan dengan penuh keamanan.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa membayangkan, pihak istana akan memanggil pimpinan Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan seawal jam 10 malam hari pilihan raya nanti.

"Ketika itu, Datuk Seri Najib dan Tun Dr Mahathir sibuk untuk meninggalkan negara kerana bimbang dengan kesalahan masa lalu mereka.

"Manakala rakyat keseluruhannya menyambut perubahan kerajaan dengan gembira," kata Husam dalam satu majlis bersama jentera pilihan raya PAS di Kota Bharu baru-baru ini.

Senario ini disebut sekali lagi oleh Husam yang juga Pengarah 'Roadmap  to Putrajaya' PAS ini kepada Harakahdaily.

Oleh kerana semua rakyat menyambut baik perpindahan kuasa ini, beliau yakin semua pihak yang mendokong negara termasuk angkatan tentera dan polis tidak akan bertembung dengan kehendak rakyat.

"Apabila rakyat membuat keputusan yang jelas memberikan mandat kepada Pakatan, saya yakin semua aparatus negara akan bersama rakyat kerana terlalu tinggi risiko yang diambil kalau mereka tidak bersama rakyat," kata Husam penuh keyakinan.

80 kerusi

Maklumat terbaru yang beliau terima menunjukkan BN bakal mendapat hanya sekitar 80 dari 222 kerusi Parlimen sahaja dalam pilihan raya ke 13 nanti.

Beliau juga diberitahu, para pengundi Melayu juga sudah berubah termasuk di kawasan Felda seiring dengan  kajian yang dibuat oleh sebuah badan di Selangor.

"Apabila ini berlaku, masalah yang bakal dihadapi oleh PAS dan parti-parti dalam Pakatan adalah menghadapi permohonan berbondong-bondong para wakil rakyat BN untuk menyertainya.

"Kita tidak akan mempunyai masa yang cukup untuk menapis mereka sedangkan kita perlu membuat keputusan segera," kata Husam yang merupakan antara pakar strategi PAS itu.

Sebelum ini, Husam yang mula-mula mencadangkan agar negeri-negeri Pakatan membuat pilihan raya berasingan dari kerajaan pusat jika tarikh yang dipilih BN tidak sesuai dengan Pakatan.

Akibatnya, Selangor bertegas tidak mahu mengadakan pilihan raya awal dan menghalang Najib dari menetapkan tarikh pilihan raya bersendirian.

Oleh itu, bagi Husam, apa yang berlaku sekarang mencapai sasaran kenyataan beliau hari itu iaitu BN perlu berunding dengan Pakatan dalam menetapkan tarikh pilihan raya atau menolaknya sehingga ke hujung waktu.

Tiada ulasan:

Pengikut