Pakatan Rakyat |
Posted: 26 Apr 2014 03:25 PM PDT | Benteng Umno di Buluh Kubu mulai robek Posted: 26 Apr 2014 03:51 AM PDT ASLANI M KOTA BHARU: Flat Buluh Kubu tidak jauh dari Pasar Besar Siti Khatijah satu-satunya kawasan di parlimen Kota Bharu yang tidak pernah kelihatan bendera PAS setiap kali kempen pilihan raya. Rumah flat tersebut dibina kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika mentadbir Kelantan. Sejak 1990 sehingga sekarang, Umno mendominasi kawasan berkenaan. Namun malam tadi situasi itu tiba-tiba bertukar. Seramai 62 ahli dan penyokong Umno yang menjadi penggerak jentera Umno di situ mulai menilai semula perjuangan lama. Diketuai bekas Setiausaha Cawangan Buluh Kubu, Mohd Nor Hashim Che Naim, 48 mereka menyerah borang menyertai PAS. Borang tersebut diserah kepada Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa pada ceramah yang diadakan di perkarangan flat tersebut. Ramai penduduk tempatan hadir. Malam tadi mencatat sejarah baru apabila PAS berjaya mengadakan program ceramah di situ. Terdapat lebih 200 keluarga yang mendiami beberapa blok flat terbabit. Turut hadir meraikan penghuni anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Muhammad Fadzli Hassan, Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Ketua Pemuda PAS Kota Bharu, Dr Rosli Alani Abdul Kadir dan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Kelantan, Lim Guan Seng. Nor Hashim berkata, ramai lagi penghuni Flat Buluh Kubu tidak sempat mengisi borang menyertai PAS untuk diserah pada ceramah tersebut. "Selepas ramai tahu saya mahu meninggalkan Umno dan menyertai PAS mereka datang menemui saya bagi mengikut jejak langkah saya. "Saya tidak pernah menjanjikan mereka apa-apa tetapi kerana datang dengan kesedaran sendiri. Mereka tahu hanya sekadar menjadi alat setiap lagi kempen pilihan raya diadakan. "Pemimpin peringkat bahagian hanya datang ketika musim kempen sahaja. Tetapi pemimpin PAS lain, biar pun mereka tahu di sini kubu Umno namun mereka tetap datang. Saya sudah lama perhatikan perkara itu," katanya ketika ditemui . Beliau dilantik sebagai Setiausaha Umno Cawangan Buluh Kubu sejak empat penggal lalu. Beliau berada dalam Umno selama 25 tahun. Menurutnya juga biar pun lama berada dalam Umno namun tidak pernah meminta diberi sebarang jawatan atau projek di bawah kerajaan pusat. "Saya hanya ikhlas untuk membantu Umno. Kalau ada penduduk hendak dapatkan tandatangan pemimpin peringkat bahagian, saya pergi cari mereka untuk pastikan hasrat penduduk tercapai. "Namun sekarang saya sudah menilai apa yang saya lakukan selama ini. Tidak selamanya saya membiarkan diri saya menjadi alat pemimpin. Saya memikirkan semula perjuangan lama, lebih-lebih lagi memikirkan soal agama," ujarnya. Katanya beliau bukan orang berada, hanya mencari rezeki dengan berniaga di pasar bagi mencari rezeki yang halal. Pada majlis itu juga beberapa penghuni Flat Buluh Kubu yang uzur menerima kerusi roda dan tongkat disampaikan Pusat Khidmat Dun Kota Lama. | Pemilihan PKR: Khalid tak mahu kait kritikan Jeff Ooi Posted: 26 Apr 2014 03:49 AM PDT HARAKAHDAILY KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mahu mengaitkan kritikan Ahli Parlimen Jelutong berhubung masalah air di negeri itu dengan jawatan Timbalan Presiden PKR yang sedang ditandinginya. "Saya tidak mahu menghubung kait (dengan pemilihan PKR). Apabila saya buat (andaian) itu, saya pula yang mungkin membuat fitnah tentang perkara tersebut," katanya pada sidang media semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan Jeff Ooiwakil terhadapnya dalam laman Facebook semalam. Ooi semalam dalam nada marah bercampur kecewa mendesak Khalid dipecat kerana masalah catuan air di negeri yang menyulitkan urusannya hingga terpaksa "mandi kerbau" setiap kali pulang ke kediamannya di Subang Jaya, Selangor. Mengulas desakan itu, Khalid berkata Ooi tidak mempunyai kuasa untuk mendesak beliau supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor. "Saya ingat dia tiada kuasa (desak saya dipecat)," katanya. Ditanya adakah beliau akan bertindak terhadap kritikan berkenaan, Abdul Khalid menegaskan ia tidak perlu kerana perkara itu membabitkan kematangan dan kewibawaan seorang pemimpin. Proses pengundian bagi Pemilihan PKR 2014 sudah bermula semalam dan akan berlangsung hingga 11 Mei depan. Abdul Khalid adalah salah seorang calon bertanding bagi kerusi Timbalam Presiden PKR. Beliau berdepan penyandang jawatan yang juga Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung parti, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. Sementara seorang lagi calon bagi jawatan itu, Datuk K. Ramachandran mengumumkan menarik diri daripada bertanding semalam | MH370: Dr Mahathir pertahankan MAS, salahkan pengeluar Boeing Posted: 26 Apr 2014 03:43 AM PDT OLEH MD IZWAN Tun Dr Mahathir Mohamad mahu pengeluar pesawat Boeing bertanggungjawab ke atas kehilangan misteri penerbangan MH370 sehingga hari ini sejak 8 Mac lalu. Bekas perdana menteri itu mempertahankan syarikat Malaysia Airlines (MAS) yang menerima cemuhan dan kritikan banyak pihak, mengatakan Boeing yang sepatutnya dipersalahkan di atas kehilangan MH370 dan 239 penumpang serta anak kapal. "Saya sangat kecewa apabila pekerja MAS ditahan sebagai tebusan di Beijing oleh ahli keluarga penumpang MH370," tulis Dr Mahathir dalam blognya www.chedet.cc malam tadi. "Saya kecewa kerana mereka menyalahkan pihak yang salah. Kehilangan pesawat tersebut berpunca daripada pengeluarnya, Boeing." MAS mengesahkan kakitangannya ditahan di sebuah dewan utama di Lido Hotel, Beijing petang Khamis lalu. Insiden tersebut tercetus ekoran ahli keluarga tidak berpuas hati dengan pendedahan butiran berhubung kehilangan pesawat itu. MH370 hilang secara tiba-tiba tidak dapat dikesan radar selepas berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 Mac lepas, dan tiada sebarang isyarat kecemasan atau amaran diterima Menara Kawalan Udara. Teori alat pengesan dimatikan sendiri oleh individu dalam pesawat MH370 diperkatakan sejak awal kehilangan, bagaimanapun Dr Mahathir membidas Boeing kerana mengeluarkan sebuah pesawat yang mudah dilumpuhkan sistemnya daripada dikesan. "Bagaimana Boeing boleh mengeluarkan pesawat yang mudah dilumpuhkan sistemnya?" katanya. "Boeing mesti jelaskan mengapa semua alat pengesan pesawat boleh dilumpuhkan, boleh gagal. "Sama ada teknologinya sangat lemah atau tidak selamat. Saya tidak akan terbang dengan menggunakan pesawat Boeing lagi melainkan mereka boleh jelaskan mengapa semua sistem gagal dan dilumpuhkan," kata Dr Mahathir. Dr Mahathir mengulangi kehairanannya dan berkata mustahil MH370 hilang secara tiba-tiba tanpa dapat dikesan dengan teknologi dan satelit canggih yang dimiliki ketika ini. "Saya percaya terdapat peralatan dalam pesawat yang membolehkan ia dikesan, mungkin dengan GPS (Global Positioning System). "Kamera rumit yang dikendalikan satelit pengintip oleh sesetengah negara boleh mengambil gambar orang di bumi dan mengenalpastinya. Sudah pasti kamera dapat melihat dan mengambil gambar pesawat 63 meter panjang tersebut," kata beliau. Menurut Dr Mahathir lagi, syarikat Boeing juga tidak menunjukkan kesungguhan dalam misi mencari dan menyelamat tersebut, walhal sepatutnya mereka yang bertanggungjawab untuk menjejak semula MH370. "Boeing dan pihak berkuasa negara pengeluar yang sepatutnya mencari pesawat tersebut. Mungkin jenis pesawat tersebut juga perlu dihentikan. "Tetapi Boeing tidak menunjukkan sebarang minat dan mengeluarkan kenyataan yang secara praktikalnya salah," kata beliau. Dr Mahathir juga tidak mempercayai teori yang mengatakan juruterbang dan pembantunya melakukan tindakan membunuh diri dan sengaja membiarkan pesawat terhempas. "Juruterbang MAS dilatih sebaik mungkin. Walaupun juruterbang mahu membunuh diri, pembantunya dan anak kapal tidak akan membenarkan ia berlaku tanpa menghalangnya. "Namun, tiada seorang pun, tiada seorang penumpang yang melakukan sesuatu. Mungkin mereka pengsan kerana kekurangan oksigen," kata Dr Mahathir. Bagi Dr Mahathir, syarikat penerbangan negara tersebut tidak wajar dipersalahkan. "MAS menerbangkan pesawat yang dijangka melengkapkan tugasannya. Tetapi pesawat tersebut tiba-tiba berkelakuan ganjil. "Siapa yang bertanggungjawab? Bukan MAS, tetapi pastinya pengeluar pesawat - Boeing Aircraft Corporation," katanya. Selain Dr Mahathir, bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Zolkipli Abdul juga sebelum ini mendakwa Boeing dan Rolls Royce tidak sepatutnya mengambil sikap berdiam diri kerana mereka merupakan pembuat dan pengeluar komponen pesawat MH370. Beliau berkata, sikap dua syarikat berkenaan amat mengecewakan dan memperlihatkan mereka cuba mengambil sikap lepas tangan dalam kemelut pesawat MH370 yang hilang sejak awal bulan lalu. "Umum mengetahui, sebagai pembuat dan pengeluar, Boeing mempunyai sistem dan kepakaran untuk mengesan pesawat yang hilang," katanya seperti dilapor akhbar Utusan Malaysia versi Ahad, Mingguan Malaysia baru-baru ini. | Virus MERS-CoV disyaki berpunca daripada unta, kata Dr Subramaniam Posted: 26 Apr 2014 03:37 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER Penyebaran wabak Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV), jangkitan respiratori yang disebabkan oleh virus korona, disyaki berpunca daripada unta di Arab Saudi. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam (gambar), berkata pemeriksaan terhadap darah unta di negara itu mendapati tahap antibodi haiwan berkenaan sama dengan virus itu. "Ada kemungkinan virus itu ada pada unta. Mungkin daripada situ ia menular dan merebak kepada manusia. Ia (virus) bukan boleh merebak dengan mudah, perlu berada dekat atau bersentuhan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesihatan Masyarakat MySihat India 1Malaysia di Butterworth, hari ini. Semalam, Dr Subramaniam berkata, tiada kes jangkitan terbaharu MERS-CoV di negara ini, sejak kes kematian seorang lelaki akibat pneumonia teruk susulan jangkitan virus itu pada 13 April lalu. Lelaki berusia 54 tahun dari Batu Pahat, Johor itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail selepas mengadu demam, batuk dan kesukaran bernafas, kira-kira 10 hari selepas kembali daripada mengerjakan umrah pada 29 Mac. Kes itu merupakan yang pertama dilapor di rantau ini. Dr Subramaniam berkata, beliau sudah berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengenai langkah pencegahan selain menasihati jemaah yang ingin mengerjakan umrah berhubung risiko virus berkenaan. Beliau juga menasihatkan para jemaah supaya mengamalkan langkah keselamatan seperti kerap mencuci tangan, membawa sanitiser, mandi dengan lebih kerap dan menjauhkan diri daripada orang sakit. Ditanya sama ada Kementerian Kesihatan akan mengenakan pelalian tambahan kepada jemaah yang akan mengerjakan ibadah Haji pada Oktober ini, Dr Subramaniam berkata: "Malaysia sudah mempunyai sistem perubatan terbaik untuk jemaah haji. Di Arab Saudi pun kita mempunyai kemudahan rawatan dan doktor pun ada di sana. "Kita kena lihat sama ada terdapat keperluan untuk meningkatkan kemudahan itu. Kita kena bincang dengan pihak Tabung Haji yang menguruskan perkara tersebut," katanya. – Bernama | Perhimpunan pembangkang tidak jejas pelaksanaan GST, kata Ahmad Maslan Posted: 26 Apr 2014 03:31 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata perhimpunan yang dirancang pembangkang bagi membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) awal bulan depan di Kuala Lumpur tidak menjejaskan pelaksanaan cukai itu pada 1 April 2015. Beliau berkata, perhimpunan itu tidak akan memberi kesan kepada kerajaan untuk terus berusaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020. "GST satu-satunya percukaian yang lebih adil dan telus setelah kerajaan memikirkan selama 30 tahun untuk melaksanakannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa di Pasir Puteh, hari ini. Ahmad diminta mengulas rancangan pembangkang mengadakan perhimpunan secara besar-besaran di ibu negara awal bulan depan bagi membantah pelaksanaan CBP. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa membentang Belanjawan 2014 pada Oktober tahun lalu mengumumkan cukai tunggal GST pada kadar 6% akan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16%. Ahmad berkata, harga barangan tidak mungkin naik selepas pelaksanaan GST kerana kerajaan hanya akan mengenakan cukai pada kadar 6%. Beliau berkata, rakyat berpendapatan rendah tidak perlu bimbang kerana GST tidak dikenakan ke atas barangan asas seperti beras, sayur, ikan, daging, pengangkutan awam, rumah kediaman, pendidikan, kesihatan dan makanan laut. Pada asasnya, cukai itu lebih banyak dikenakan terhadap golongan berpendapatan tinggi dan pungutan akan dikembalikan kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah seperti menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM). Ahmad berkata, perhimpunan yang dirancang bertentangan dengan janji pembangkang sebelum ini di Parlimen mereka tidak akan menghalang pelaksanaan GST. Katanya, hasil penerangan berkaitan GST oleh kerajaan sebelum ini mendapati sebilangan besar rakyat sudah memahami serta mula menerimanya dan mereka tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang. – Bernama, | Doktor Islam selar MMA kerana jadikan hudud sebagai jenaka Posted: 26 Apr 2014 01:09 AM PDT THE MALAYSIAN INSIDER Pengerusi I-Medik, Prof Dr Azmi Md Nor berkata kenyataan presiden MMA tidak profesional, tanpa menghormati perasaan umat Islam apabila meminta pemotong daging diberi tugas menjalankan hudud melibatkan hukuman potong tangan. "Jika MMA tidak dapat bersetuju dengan cadangan yang dibuat oleh kerajaan negeri Kelantan, ia tidak seharusnya menjadikan isu hukum hudud ini sebagai suatu jenaka kepada 63.1% umat Islam di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau menyifatkan kenyataan presiden MMA itu dibuat secara terburu-buru tanpa sebarang usaha untuk memahami kepentingan perundangan syariah kepada umum, khususnya kepada umat Islam dan ribuan profesional perubatan Islam di negara ini. Menurut Dr Azmi, seorang doktor beragama Islam selain menjalankan tugas mereka mengikut sumpah perubatan Islam, juga menyokong penuh perundangan Syariah. Semalam Tharmaseelan yang merupakan presiden MMA mencadangkan kerajaan Kelantan menggunakan khidmat pemotong daging untuk melaksanakan hukuman hudud kerana petugas perubatan yang bertauliah tidak sanggup untuk melakukan perkara sedemikian. "Prosedur (potong tangan) sangat rumit. Jika doktor tidak tergamak melakukannya maka anda perlu cari tukang potong daging," katanya. Dr Azmi berkata lagi adalah terlalu awal bagi membincangkan isu siapa yang harus menjalankan hukuman kerana ia memerlukan lebih banyak kajian dan perbincangan berhubung soal teknikal perundangan Syariah. "Lebih banyak kajian dan perbincangan harus diadakan berhubung soal teknikal perundangan Syariah, yang sering disalahtafsir dengan mengecilkan skop kepada memotong tangan, sedangkan ia melibatkan falsafah keadilan, pengajaran dan pencegahan," katanya. Oleh demikian, beliau menegaskan agar MMA lebih sensitif dalam menyampaikan pandangan mereka terutamanya apabila menyentuh mengenai agama Islam. Semalam Tharmaseelan turut berkata, pihaknya tidak akan bekerjasama dengan kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan undang-undang syariah di negeri tersebut. Katanya, doktor dan jururawat bertauliah terikat mengikut bidang kuasa Kementerian Kesihatan dan tidak perlu patuh kepada arahan kerajaan negeri. "Semua hospital di Kelantan hanya menerima arahan daripada Kementerian Kesihatan kerana gaji mereka dibayar oleh kerajaan pusat," katanya. Tharmaseelan berkata, MMA akan mengambil tindakan saman dan membatalkan kelayakan tauliah jika mendapati ada doktor yang melakukan perkara tersebut | Pergiat penerangan hudud kepada bukan Islam Posted: 26 Apr 2014 01:01 AM PDT SALMAH MAT HUSAIN KOTA BHARU: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam meluangkan masa menziarahi bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman. Beliau mengambil peluang kira kira 40 minit untuk bertanya khabar berhubung kesihatan Abdul Halim yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan itu di kediamannya di Penambang. Dalam pertemuan itu, Tuan Guru Abdul Hadi turut menyatakan usaha kerajaan Kelantan berkaitan perlaksanaan syariat Islam di negeri itu yang turut diusahakan oleh Abdul Halim sebelum ini akan diteruskan. Beliau berkata, usaha PAS kini bukan hanya membawanya di Parlimen, malah mempergiat usaha penerangan kepada masyarakat bukan Islam berkaitan hukum tersebut. "Ianya penting untuk memberi penerangan kepada mereka agar memahaminya berkenaan hukum tersebut,"ujarnya. Abdul Halim dalam responnya berharap ianya berjalan dengan baik. Pada masa yang sama beliau mengucapkan terima kasih pada Tuan Guru kerana menziarahinya. Prestasi kesihatan Abdul Halim yang juga bekas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa kini semakin baik. Beliau mengalami masaalah saraf sejak tahun lalu. Sebelum ini Penasihat Umum Parti Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menziarahi beliau. - | Posted: 26 Apr 2014 12:57 AM PDT Oleh Mohammad Fahmi Ahmad Kashfi Anak-anak yatim, fakir miskin dan OKU Kewujudan insan-insan ini sering dipandang sebelah mata oleh masyarakat. Umumnya mereka mendapat bantuan daripada kerajaan, zakat daripada jabatan agama Islam dan sumbangan daripada ahli korporat, namun ianya hanya bermusim. Golongan ini dilihat mewah ketika menjelang bulan Ramadan, banyak jemputan ke majlis berbuka puasa, sumbangan untuk menyambut Syawal serta banyak lagi program-program 'one-off' yang dibuat. Situasi di atas adalah sedikit gambaran kemungkinan yang berlaku dalam masyarakat kita. Saya melihat masyarakat kita sudah membuka mata seluas-luasnya terhadap golongan sedemikian. Semakin banyak pihak yang tidak berkepentingan turun membantu demi menunjukkan rasa tanggungjawab mereka terhadap insan-insan ini. Walaupun sesetengah pihak tidak mendapat sebarang habuan, namun mereka masih sudi bekerja demi membantu masyarakat sekeliling. Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada orang lain Semangat aktivisme golongan muda haruslah disalurkan pada jalan yang sepatutnya. Idea-idea mereka diharapkan dapat memainkan peranan terhadap pembangunan masyarakat khususnya dan negara umumnya. Lambakan NGO, kelab dan persatuan menunjukkan masyarakat kita mulai serius untuk mengejar status 'negara impian'. Negara impian yang dimaksudkan ialah suatu masyarakat majmuk di bawah pimpinan yang adil dan saksama, tiada korupsi dan masyarakat yang tertindas. Pembelajaran sepanjang hayat adalah satu usaha kerajaan untuk memastikan rakyat keluar daripada kepompong kejahilan. Namun, aspek lain yang harus dilihat ialah kualiti dan hak sama rata setiap orang untuk mendapat pendidikan sepanjang hayat. Sebilangan golongan yang tercicir untuk menyambung pelajaran adalah golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). Kemudahan fasiliti yang tidak mesra OKU menyebabkan golongan ini memilih untuk tidak menyambung pelajaran. Mungkin kerajaan boleh menimbangkan idea untuk membina sebuah pusat pengajian tinggi khas untuk golongan OKU, autisme, disleksia atau menambah baik infrastruktur sedia ada supaya lebih mesra golongan istimewa. Selain itu, golongan miskin juga sering dinafikan hak mereka di dalam pendidikan. Hampir semua perkara di dunia ini mengguna pakai konsep 'money based', setiap perkara mestilah berasaskan wang, jika tidak ia tak mungkin berlaku. Walaupun segala yuran ditanggung kerajaan, bantuan pengajian diberikan, biasiswa dihulurkan, namun wang masih menjadi punca sesetengah orang untuk tidak menyambung pelajaran mereka. Saya masih menanti dan berharap idea-idea tentang pendidikan percuma untuk setiap rakyat dibincang secara serius dan dilaksanakan. 'You'll find your happiness when you find your purpose' Bahagia adalah suatu yang sukar didefinisikan. Ia mungkin memberi seribu maksud kerana setiap manusia mempunyai pandangan yang berbeza tentang kebahagiaan. Begitulah juga dengan masyarakat 'terpinggir', pemahaman mereka tentang kebahagiaan sukar untuk didefinisikan kerana kita tidak melalui perit jerih yang melanda mereka. Hakikatnya, tidak akan wujud istilah masyarakat 'terpinggir' andai kita tidak melihat mereka sebagai suatu beban, tetapi sebagai suatu tanggungjawab. Maka akan lahirlah sebuah masyarakat madani di bawah 'negara impian'. – * Penulis ialah aktivis Mahasiswa TFTN daripada Institut Pendidikan UIAM. | Gambar fitnah Wan Azizah: Polis digesa bertindak pantas serupa kes Rosmah Posted: 26 Apr 2014 12:46 AM PDT KUALA LUMPUR : Polis digesa mengambil tindakan segera berhubung penyebaran gambar dan berita fitnah kononnya Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah meninggal dunia semalam. Gambar yang tersebar di facebook dengan nama pemilik 'Blue Wave Army' itu memaparkan wajah Wan Azizah dengan memakai cermin mata berada di dalam balutan kain kafan putih. Sekeping lagi gambar memaparkan tiga orang lelaki sedang memasukkan jenazah ke dalam liang lahad sambil diperhatikan orang ramai. Kenyataan di facebook itu juga menyebut Wan Azizah sebagai 'isteri kedua ketua pembangkang' dan menggelarkannya sebagai 'mujahidah bangsat'. Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah tersebut. "AMKPP mengutuk tindakan pemilik akaun facebook dengan nama 'Blue Wave Army' yang menyiarkan berita fitnah bergambar tentang kematian YB Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail semalam. "AMKPP akan membuat laporan polis bermula hari ini," kata Ketuanya, Dr Afif Bahardin dalam kenyataan hari ini. Beliau turut mendesak pihak polis memandang serius fitnah ini dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang memuat naik serta menyebarkan berita palsu dan fitnah yang berniat jahat itu. "Jika suspek yang dipercayai memuat naik gambar mayat Datin Seri Rosmah Mansor tempoh hari boleh dikenakan tindakan segera, AMKPP menggesa PDRM melakukan tindakan pantas yang serupa. "Buktikan bahawa PDRM tidak melakukan langkah pencegahan terpilih dalam memerangi jenayah," tegas Dr Afif. | Tharmaseelan minta jaga mulut anda Posted: 26 Apr 2014 12:42 AM PDT Oleh Mohd Sayuti Omar Cadangan dan hasrat menggila sesetengah pihak untuk melihat terlaksananya hukum hudud di negara ini adalah tidak waras atau pun berpijak di bumi nyata serta melihat kepada realiti masyarakat negara ini. Mereka yang mahukan hukum hudud dilaksanakan tanpa mengambil kira kesan sampingan, sebaliknya hanya mengharapkan keredhaan Allah semata-mata adalah mereka yang kuat berilusi dan tidak memahami hakikat dan rahmat disebalik undang-undang itu diperintahkan. Kita tahu akan kecetakan pemahaman mengenai hudud dan ada mereka yang telah meletakkan keutamaan itu pada tempat bukan utamanya. Lebih parah lagi ada yang menjadikan hukum hudud sebagai ulam percakapan dan politik. Justeru apa saja ulasan dan pandangan mengenai hukum hudud dialu-alukan untuk memberi natijah baik ke atas pelaksanaanya. Bagaimana pun cadangan yang dibuat oleh Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) NKS Tharmaseelan agar kerajaan Kelantan yang tergila-gila hendak laksanakan hudud itu menggunakan khidmat pemotong daging sebagai melaksanakan hudud satu kenyataan yang keji dan sungguh biadab. Kenyataan NKS Tharmaseelan itu juga menghina kerajaan Kelantan dan seluruh umat Islam yang yakin dan percaya dengan hukum hudud. Kalau pun beliau tidak membenarkan doktor pakar diambil sebagai pelaksana hukum hudud (potong tangan) kerana bertentangan dengan etika perubatan, tetapi jangan sampai memberi cadangan sejelek itu. Rasanya umum faham kenapa doktor pakar bedah tidak dapat melaksanakan tugas sdeperti mana disarankan oleh Pengerusi Teknikal Hukum Hudud Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah. Doktor yang berpegang kepada falsafah dan piagam perkhdimatan menyihatkan manusia tidak sesekali akan bersedia dengan kehendak Mohd Amar itu walaupun doktor itu sendiri mempercayai hudud. Saya yakin kalau kerajaan Kelantan membuat tawaran kerja untuk mencari petugas memotong tangan dengan gaji lumayan semisalnya RM100 ribu untuk sebatang tangan pun tidak ada siapa yang memohon untuk memikul tugas itu. Kalau ada pun mukim penagih pil kuda sedia melakukannya kerana untuk memenuhi kebutuhan mereka. Tharmaseelan sebagai seorang profesional seharusnya tidak tergamak untuk memgemukakan cadangan berkenaan kerana ia bersifat memerli dan menghina Islam dan pihak kerajaan Kelantan. Beliau cukup setakat memberi penjelasan bahawa pihaknya MMA, tidak bersetuju dengan apa dicadang oleh Mohd Amar itu selain ia menyalahi etika perkhidmatan ia juga bertentangan dengan undang-undang dan peraturan ditetapkan oleh Kementerian Kesiahatan dimana, mana-mana doktor atau jururawat bertaulisah tidak dibenarkan menjadi pelaksanakan hukum berkenaan. Sebelum ini Mohd Amar dilaporkan berkata khidmat pakar bedah akan digunakan untuk melaksanakan tugas memotong tangan bagi pesalah mencuri di mana mengikut hukum hudud ianya perlu dipotong tangan. Cadangan Mohd Amar itu juga dilihat kurang profesional dua kali lima saja dengan Tharmaseelan. Tidak patut Mohd Amar membincang dan berfikir soal pelaksana hudud lebih jauh dari itu. Apa yang Timbalan Menteri Besar itu perlu lakukan berusaha memberi penjelasan kepada semua orang agar benar-benar memahami hudud. Selesaikan dulu kegelisahan fikiran rakyat umum mengenai hal itu. Hudud walaupun ia perintah wajib tidak boleh dilaksanakan dalam keadaan orang tidak memahaminya. Islam itu cantik dan indah, meletakkan keutamaan dan kesejahtraan umatnya. Semua pihak perlu memahami bahawa Islam itu penyelamat. Penyelamatan bukan sahaja dari tanggung dosa kerana tidak melaksanakan perintah Allah tetapi penyelamat kepada keadaan, dunia dan seluruh penghuni lain. Kalau Islam dilaksanakan tetapi tidak menjamin keselamatan dan kesejahtraan itu bermakna bukan Islam. Cadangan yang dibuat oleh Mohd Amar itu untuk menggunakan khidmat pakar bedah juga menunjukkan kepincangan dari segi teknikal pelaksanaan hukum hudud itu sendiri. Ertinya kerajaan Kelantan masih belum menyediakan semua prasarana diperlukan untuk membolehkan hudud dilaksanakan. Sepatutnya lengkap dahulu semua prasarana itu baru bercakap untuk laksanakan hudud. Lantaran kepincangan inilah maka tuduhan mengatakan kerajaan Kelantan "gelenyer" dengan hudud adalah benar. Cuba faham kenapa bertahun-tahun Kanun Jenayah Syariah II diluluskan tetapi Nik Aziz tidak obses untuk melaksananya. Mungkin Nik Aziz dapat membaca impikasi disebalik hajat hendak laksanakan hukum itu tetapi prasaranannya masih belum lengkap. Maka itu belaiu menangguhkan bertahun-tahun. Di sinilah kebijaksanaannya. Dinasihatkan Pas Kelantan janganlah bermain dengan hukum hudud ataupun mahu menjadikan hukum hudud sebagai daya penarik sokongan rakyat. Hudud akan wujud dengan sendiri, apabila syariah Islam terlaksana dengan sepenuhnya di Kelantan. Laksanakan mana-mana syariah Islam yang boleh dilaksanakan tanpa menimbulkan implikasi undang-undang sepenuhnya. Masih banyak aspek Islam lain yang tidak terlaksana di Kelantan walapun ia tidak melibatkan pindaan undang-undang. Salah satu ialah kebersihan dan pengawalan kelestarian alam sekitar. Bagaimana pun di sini saya minta Tharmaseelan menarik balik persendaan beliau terhadap kerajaan Kelantan dan Islam itu. Jagalah mulut anda sebagai presiden kepada sebuah persatuan profesional. Saya tidak fikir minda dan kepala anda lebih kurang sama dengan beberapa presiden atau naib presiden NGO rasis sebelum ini yang mana banyak bercakapa menggunakan tumit dan kepala lutut, bukannya otak. Pihak kerajaan Kelantan juga wajar menulis surat langsung kepada Tharmaseelan untuk undang presiden MMA itu ke Kelantan untuk mendapat penjelasan mengenai hukum hudud yang dihasratkan itu. Dari satu sudut tingkah buruk Tharmaseelan itu ada hikmatnya kerana pihak yang tergilakan hudud dapat berintrasi dengannya dan beri penjelasan. Dan kepada kerajaan Kelantan janganlah gatal mulut dalam membuat janji dan mengumum sesuatu sedangkan kita sendiri masih lemah | Perhimpunan Agung Umno 28 Oktober-1 November Posted: 26 Apr 2014 12:31 AM PDT Najib menyampaikan ucapan dasar pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Umno Ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. - Bernama KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung Umno tahun ini akan berlangsung dari 28 Oktober hingga 1 November, kata Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.Najib berkata perhimpunan lima hari itu bermula dengan taklimat presiden pada 28 Okt, diikuti perhimpunan sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada 29 Oktober. "Perasmian Perhimpunan Agung Umno akan diadakan pada 30 Okt dan berakhir pada 1 November," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn di sini, hari ini. Turut hadir timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan anggota Majlis Tertinggi Umno yang lain. Najib berkata anggota Majlis Tertinggi Umno merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai pengerusi forum antarabangsa yang akan diadakan sempena perhimpunan agung parti tonggak BN) itu. Sementara itu, Najib berkata Jawatankuasa Pengurusan Umno memutuskan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kepong dikekalkan kepada Datuk Norizan Ali selepas meneliti bantahan Umno Bahagian itu. | Obama Jawab Soalan Tentang Kerjasama M'sia-AS Posted: 26 Apr 2014 12:29 AM PDT Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya sudah bersiap sedia menerima kunjungan rasmi Presiden Barack Obama selama tiga hari bermula Sabtu Hari ini, Sabtu, 26 April 2014, beliau juga menjadi presiden AS yang pertama untuk melawat Malaysia sejak Lyndon B. Johnson berbuat demikian pada 1966. Sempena lawatan tiga harinya ke sini, Barack Obama menjawab beberapa soalan eksklusif daripada Pengarang Bersekutu The Star, SANTHA OORJITHAM. SOALAN: Tuan akan menjadi Presiden AS yang pertama melawat Malaysia sejak Lyndon B.Johnson pada 1966. Enam tahun sebelum kedatangan Johnson, Malaysia telah mengisytiharkan Darurat (1960) dan Johnson sendiri berkata yang AS boleh mempelajari sesuatu daripada kejayaan Malaysia menangani Darurat ketika Amerika bergelut dengan perang di Vietnam. Bagaimana Tuan melihat hubungan bilateral sekarang dan apakah mesej yang ingin Amerika sampaikan kepada Malaysia? OBAMA: Saya sebenarnya berasa bangga menjadi presiden Amerika yang pertama untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia dalam tempoh 50 tahun. Ini memperbaharui peranan kepimpinan yang dimainkan oleh AS untuk rantau Asia Pasifik. Sejak saya mengambil alih jawatan presiden, saya telah memastikan yang AS melebarkan lagi rangkaian persahabatannya dengan negara-negara rantau Asia Tenggara sebagai satu keutamaan. Dengan penduduk yang berjumlah ratusan juta orang, dengan pertumbuhan ekonomi serta laluan samudera yang strategik, Asia Tenggara menjadi semakin penting kepada aspek keselamatan dan kemakmuran bukan sahaja kepada AS tetapi juga seluruh dunua. Dan di rantau inilah Malaysia memainkan peranan yang penting dan utama untuk masa kini dan juga akan datang. Perlu saya nyatakan bahawa saya juga membuat keputusan untuk datang ke Malaysia dalam usaha untuk meneruskan transformasi perhubungan di antara kedua-dua buah negara ini. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia telah berusaha untuk meningkatkan perhubungan dengan AS dan di sebelah saya juga, saya telah mengarahkan agar kerjasama ini dipertingkatkan. Dan hari ini, kedua-dua buah negara ini sedang bekerjasama dengan lebih rapat mencakupi semua bidang. AS adalah di antara pelabur luar terbesar di Malaysia dan eksport AS ke Malaysia turut membantu pertumbuhan di Amerika sendiri. Pada masa yang sama, kami juga sedang berusaha untuk mempromosikan kerjasama maritim dan kestabilan serantau. Kami juga sedang berusaha untuk meningkatkan Kerjasama Trans-Pasifik (TPP) dalam usaha untuk meningkatkan dagangan. Oleh yang demikian saya melihat lawatan saya ini sebagai satu peluang untuk menyeragamkan kerjasama yang komprehensif dan meletakkan batu asas kepada kerjasama yang lebih kukuh pada masa depan. Mesej utama saya ialah, AS sentiasa mengalu-alukan sumbangan pertumbuhan Malaysia kepada keselamatan serantau dan juga kemakmuran serantau. Dan pada ketika kami meningkatkan lagi kerjasama kami dengan kerajaan Malaysia, kami juga melihat ke hadapan untuk terus berinteraksi dengan masyarakat Malaysia termasuklah kumpulan masyarakat sivil dan generasi muda Malaysia yang merupakan pemangkin kepada masa depan negara ini dan juga serantau. SOALAN: Tuan secara peribadi mempunyai hubungan yang kukuh dengan Perdana Menteri Najib. Hasil daripada perbincangan yang terjalin di antara kedua-dua pemimpin negara ini, akhirnya kita dapat saksikan kumpulan pertama Program Bantuan Mengajar Bahasa Inggeris Fulbright telah dihantar ke Malaysia mulai 2012. Apakah bentuk komitmen dan cadangan yang akan dibawa oleh Tuan dalam lawatan rasmi ini dan apakah sasaran hubungan kerjasama dua hala yang Tuan harapkan untuk tempoh 10 tahun dari sekarang? OBAMA: Saya sebenarnya mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri Najib ke Washington pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear yang pertama empat tahun lalu, juga ke negeri asal kelahiran saya iaitu Hawaii untuk Sidang Apec dan kami telah bekerjasama dalam beberapa lagi sidang kemuncak serantau yang lain. saya dapati Najib sangat serius dan komited untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala di antara Malaysia dan AS malah membuka era baru. Secara khusus, saya memandang tinggi usaha Najib untuk menjadikan ekonomi Malaysia lebih dinamik dan kompetatif termasuk sokongan yang telah ditunjukkannya kepada pembangunan usahawan muda. Malah saya secara peribadi terhutang budi kepada Najib dan Malaysia kerana menjad hos Sidang Kemuncak Keusahawanan Global tahun lalu kerana ia adalah inisiatif yang saya sendiri mulakan dan sangat rapat di hati saya. Dalam pertemuan kami pada September 2010 di New York ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Perdana Menteri dan saya telah duduk berbincang untuk memulakan satu program yang hampir serupa yang pernah dilakukan oleh AS iaitu the Peace Corps - satu program yang akan membawa generasi muda Amerika ke Malaysia bagi membantu mengajar bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah Malaysia. Hasilnya kami telah memperkenalkan Program Bantuan Mengajar Bahasa Inggeris Fulbright. Sejak dua tahun yang lalu, hampir 200 warga Amerika telah dihantar ke Malaysia di bawah program ini. Mereka bukan sekadar mengajar bahasa Inggeris, malah mereka telah menjalinkan satu perhubungan yang erat dengan para pelajar mereka, malah keluarga mereka dan juga masyarakat sekitar. Dan saya berharap yang kami akan dapat menghantar lebih ramai warga kami untuk datang ke Malaysia dan mengajar bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar di sini kerana inilah kerjasama yang akan membantu merapatkan lagi jalinan di antara rakyat kedua-dua buah negara ini. Memandang ke hadapan, saya berpendapat kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang di antara AS dan Malaysia bermakna bertambahnya kemakmuran dan keselamatan untuk kedua-dua negara dan dengan lebih banyak kerjasama dagangan dan pelaburan menerusi TPP, kita akan dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan menjadi pemain global yang lebih kompetatif. Dan bertambahnya kerjasama keselamatan bermakna kita akan dapat mempromosikan kestabilan di rantau ini dan juga Pasifik dan kita juga akan dapat menentukan yang semua pihak mendapat keadilan sejagat di bawah peraturan yang sama, dan sebarang perbalahan akan dapat diselesaikan menerusi rundingan dan aman. Saya berharap, AS dan Malaysia akan dapat melancarkan beberapa inisiatif baru ketika saya berada di sini dan juga rantau Asean. SOALAN: Salah satu matlamat utama Tuan adalah untuk melakukan transformasi TPP tetapi apakah ini boleh dicapai tanpa penyertaan China dan juga Indonesia?Ia menuntut keputusan yang penting dan kadang kala sukar, serta komitmen daripada seluruh anggota negara TPP termasuklah Malaysia, untuk menentukan standard yang tinggi. Isu ini akan turut dibincangkan dengan Perdana Menteri Najib nanti dan saya percaya kita akan dapat mencapai matlamat ini. Tentang China dan Indonesia pula, memang buat masa ini mereka bukan sebahagian dari TPP tetapi kami telah pun menyatakan dengan jelas bahawa TPP pada akhirnya akan terbuka kepada semua ekonomi serantau yang bersedia untuk memenuhi standard yang tinggi. Ini bermakna mengurangkan halangan kepada urusan dagangan dan pelaburan dan pada masa yang sama memastikan perlindungan yang kuat untuk tenaga kerja serta alam sekitar, juga padang permainan yang sama rata untuk syarikat-syarikat yang melabur apabila mereka perlu bersaing dengan syarikat milik negara dan perlindungan yang kukuh ke atas harta intelek. Kita ingin melihat dagangan dapat dilakukan secara bebas dan saksama yang menyaksikan setiap negara perlu patuh kepada peraturan yang sama. SOALAN: AS telah memainkan peranan yang utama dalam usaha untuk menjejaki pesawat MH370. Jurucakap Inmarsat, Chris McLaughlin menyatakan, sejak tenggelamnya Titanic, undang-undang mengenai keselamatan nyawa di lautan telah diperkenalkan. Kita berharap perkara yang sama dapat dilakukan selepas tragedi MH370, bahawa semua pesawat harus sentiasa dapat dikesan. Komen Tuan. OBAMA: Lawatan saya ke Malaysia merupakan satu peluang untuk saya sampaikan simpati kami semua kepada mereka yang terjejas akibat daripada kehilangan pesawat Malaysia MH370. Ini termasuklah kepada keluarga, rakan-rakan semua penumpang dan anak kapal. Ia adalah satu tragedi yang amat dahsyat yang menyentuh jiwa dan perasaan setiap lapisan masyarakat di seluruh dunia. Sebagai sahabat dan rakan kepada Malaysia, AS adalah di antara negara yang pertama untuk turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat yang hilang itu. Aset Tentera Laut AS, pesawat dan kakitangan kami masih terus dalam usaha menjejaki pesawat berkenaan. Malah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), sedang bekerja rapat dengan Malaysia dalam siasatan berhubung apa yang menjadi punca kepada kehilangan pesawat itu. Dan AS akan terus menawarkan sokongan dan bantuan selagi usaha mencari dan menyelamat ini berterusan. Apabila tragedi seumpama ini terjadi, kita juga turut mengimbau apa yang boleh kita lakukan untuk menghalang ia daripada berulang semula. Perbincangan tentang ini sudah pun bermula di Malaysia dan juga di seluruh dunia dan sudah pastinya kita akan melihat apakah bentuk penambahbaikan yang dapat disyorkan untuk meningkatkan lagi keselamatan penerbangan. Satu perkara yang sudah pun jelas ialah, operasi mencari sebesar ini di peringkat antarabangsa mendapat faedah hasil daripada kerjasama yang telah sedia ada di antara negara-negara. Lebih banyak kita meningkatkan sikap bekerjasama dan bersedia untuk bekerja bersama di antara negara, kita akan menjadi lebih bersedia ketika dan saat malapetaka dan krisis melanda. | Adi Putra Belajar Bahasa Arab, Buka Syarikat Pakej Umrah Posted: 26 Apr 2014 12:23 AM PDT Adi mengambl langkah menguasai Bahasa Arab bagi melancarkan perniagaannya. Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 33, menyifatkan penguasaan bahasa Arab amat penting dalam perniagaannya memandangkan dia perlu berurusan dengan orang Arab yang kebanyakannya kurang fasih berbahasa Inggeris. "Kadang-kadang apabila mahu berurusan dengan pihak syarikat di negara tersebut, rasa macam ayam dan itik pula bercakap. "Hal itu membuatkan saya susah mahu berkomunikasi dengan mereka dan saya berpendapat ia sedikit sebanyak membuang masa kita yang mahu bekerja secara pantas dan efisyen," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, tambah Adi, walaupun ramai yang beranggapan sebagai selebriti, ia lebih memudahkan mereka dalam menjalani perniagaan kerana nama mereka yang sudah dikenali namun tidak baginya. Kata pelakon teater Di Bawah Lindungan Kaabah ini, popularitinya langsung tidak membantu kerana dia menjalinkan kerjasama dengan syarikat negara luar yang tidak tahu langsung siapa itu 'Adi Putra'. "Ramai ingat artis seperti saya, nak berniaga senang. Tetapi sebenarnya tidak. Orang Malaysia sahaja yang kenal saya tetapi orang Arab manalah nak kenal saya. "Jadi saya perlu memulakan perbiagaan daripada bawah dan setakat ini saya masih belum boleh katakan yang perniagaan saya ini sudah sukses. Bagaimanapun ia sedang menuju ke arah itu, Alhamdulillah." ujarnya. | Ramachandran Tarik Diri Tanding Timbalan Presiden PKR Posted: 26 Apr 2014 12:21 AM PDT Ramachandran. Beliau berkata, JPP menerima surat bertarikh 25 April 2014 daripada Ramachandran berhubung penarikan diri itu. "JPP telah mengadakan perbincangan mengenai perkara ini dan akhirnya menerima penarikan diri calon tersebut. "Oleh itu, dengan ini mengumumkan bahawa Datuk K. Ramachandran telah menarik diri dan tidak lagi bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. Johari berkata, para petugas JPP yang mengendalikan proses pengundian pada Sabtu akan diberi arahan untuk membatalkan nama Ramachandran dalam buku calon di semua pusat mengundi. Penarikan diri Ramachandran sebagai calon dalam pemilihan parti menyaksikan beliau kehilangan wang deposit pencalonan RM5,000. Perebutan jawatan Timbalan Presiden kini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandang jawatan yang juga Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali, yang akan dicabar oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Agung parti, Datuk Saifuddin Nasution Ismail. | MH370: Bluefin-21 Sekali Lagi Hadapi Masalah Teknikal Posted: 26 Apr 2014 12:18 AM PDT PERTH: Kenderaan Dalam Air Automatik (AUV), Bluefin-21 menghadapi masalah teknikal buat kali kedua pada Jumaat sejak pertama kali menjalankan misi dalam air bagi mencari lokasi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang. Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), yang menyelia operasi mencari, berkata kenderaan automatik itu sekali lagi dinaikkan ke permukaan air semasa dalam proses untuk melakukan misi ke-13 pada Jumaat berikutan menghadapi masalah pada set perisian yang perlu diset semula. Menurutnya peralatan teknikal pada AUV amat canggih, dan masalah perisian perlu diset semula merupakan perkara biasa dan masalah teknikal itu telah dapat diselesaikan malam tadi oleh juruteknik. Sementara itu, misi ke-14 sedang dijalankan, menurut agensi itu dalam kenyataan pada Sabtu. Pada 16 April, Bluefin-21, yang melakukan misi kedua telah menghadapi masalah teknikal yang memaksanya menghentikan misi itu dan naik ke permukaan air. Bagaimanapun, ia kemudiannya dikerahkan semula untuk meneruskan misi pencarian dalam air pada hari yang sama selepas masalah itu diatasi. Hari ini masuk hari ke-50 operasi mencari Penerbangan MH370, dan setakat ini tiada apa-apa ditemui yang ada kaitan dengan pesawat itu sama ada di permukaan air atau dalam air. Bluefin-21 dikerahkan untuk menjalankan misi pertama pada 14 April dengan harapan untuk mengesan sebarang serpihan pesawat itu dalam air berikutan tiada lagi isyarat dikesan oleh alat Pengesan Pinger Ditunda sejak 8 April. Ia dilengkapi sonar yang menggunakan bunyi akustik bagi menghasilkan peta 3D di dasar laut dan mengambil masa minimum 24 jam untuk menyelesaikan setiap misi termasuk empat jam untuk muat turun data dikumpul. Setakat ini, misi pencarian Bluefin-21 telah meliputi 95 peratus kawasan pencarian dalam air yang telah dikenal pasti, menurut JACC. Agensi itu berkata bagi operasi pencarian visual di permukaan air, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia merancang kawasan pencarian seluas kira-kira 57,311 kilometer persegi dengan garis pusatnya kira-kira 1,584 km barat laut Perth. Sebanyak lapan pesawat tentera dan 11 kapal meneruskan misi pencarian visual pada Sabtu. "Cuaca hari ini diramalkan hujan sekejap-sekejap, angin barat laut bertiup pada kelajuan sehingga 20 knot, laut bergelora sehingga setinggi dua hingga 2.5 meter manakala jarak penglihatan kira-kira satu meter dalam ribut petir dan tiga kilometer dalam hujan," menurut agensi itu. Penerbangan MH370 bersama-sama 239 orang hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200 itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya. Selepas analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". | PAS Sedia Muzakarah Isu Hudud - Hadi Posted: 26 Apr 2014 12:17 AM PDT KOTA BAHARU: PAS akan dan bersedia mengadakan muzakarah dengan semua pihak bagi memberi penerangan mengenai pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Beliau berkata muzakarah tersebut penting supaya setiap orang dapat memahami dengan tepat bagaimana undang-undang Islam itu akan diaplikasikan di negeri itu. "Kita sedia memberi penjelasan kepada semua pihak," katanya apabila diminta mengulas kenyataan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam bahawa muzakarah antara PAS dan Umno perlu diadakan berhubung hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud supaya pemahaman dan persetujuan bersama dapat dicapai. Abdul Hadi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bagi mengumpul dana untuk "Wisma Ilmuan Kelantan" di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, malam tadi. Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Ditanya bila tarikh muzakarah itu akan diadakan, Abdul Hadi berkata: "Itu jangan tanya pihak kami sahaja, kena tanya pihak lain juga. Tidak jadi kalau bertepuk sebelah tangan". Mengenai laporan bahawa sekutu PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak pelaksanaan hukum hudud, Abdul Hadi berkata: "Ia adalah hak PAS dan perlu dihormati kerana agenda ini (hudud) telah diadakan sebelum wujudnya PKR lagi." Sebelum ini, PKR dilaporkan bertegas menolak pelaksanaan hukum hudud seperti mana perjanjian yang dimeterai dalam Majlis Pimpinan Pembangkang pada tahun 2011. PAS Kelantan melalui anggota Parlimennya akan membawa usul rang undang-undang persendirian (hukum hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember ini. Sebelum ini, Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, dilaporkan berkata pihaknya sudahpun menyiapkan draf untuk tujuan itu dan cuma memerlukan sedikit penambahbaikan serta pandangan daripada pakar perundangan. Sementara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini berkata kerajaan Persekutuan tidak pernah menolak hukum hudud sebagai hukum yang ditetapkan Allah swt, namun banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diperhalusi sebelum dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum itu. | Laporan Awal MH370 'Tiada Apa-Apa Menarik' - Hishammuddin Posted: 26 Apr 2014 12:16 AM PDT Hishammuddin Tun Hussein. KUALA LUMPUR: Hasil laporan awal kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dijangka dikeluarkan minggu depan dan hanya mengandungi data awal dan tiada "apa-apa menarik", kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata, laporan itu telah diserahkan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), seperti disyaratkan oleh ICAO. "...tetapi bagaimanapun saya tidak fikir ada apa-apa yang menarik akan didedahkan dalam laporan itu kerana ia hanya tentang data awal," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini, Jumaat. Hishammuddin berkata, laporan kepentingan awam seperti itu perlu dikeluarkan selagi ia tidak menjejaskan penyiasatan serta emosi anggota keluarga 239 penumpang pesawat Boeing 777-200 itu yang hilang sejak 8 Mac. Penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Operasi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara sedang giat dilakukan di selatan Lautan Hindi di kawasan perairan Perth, Australia. | 'Pelaksanaan hudud makan masa' Posted: 26 Apr 2014 12:13 AM PDT IPOH - Pelaksanaan hukum hudud di negara ini perlu mengambil masa yang lama bagi memastikan masyarakat benar-benar faham mengenainya. Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, isu hudud hanya boleh diselesaikan tanpa pendekatan politik. Katanya, ia memerlukan konsultasi dan rundingan yang panjang oleh orang-orang yang berwibawa untuk merealisasikannya. "Sebagai orang Islam kita tidak berhak untuk menolak hukum yang ditetapkan ALLAH. "Malangnya ada pemimpin tertinggi negara yang sinikal tentang hudud dengan secara langsung memberi gambaran tidak baik kepada hukum ini kepada orang bukan Islam," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Muhammad Nur berkata, secara realitinya, persiapan perlu dibuat teliti dengan memastikan rakyat benar-benar faham tentang hudud itu. | Awas jika tetap tandatangan TPP Posted: 26 Apr 2014 12:07 AM PDT KUALA LUMPUR- Kos perubatan bakal meningkat sekali ganda atau lebih sekiranya Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) ditandatangani oleh kerajaan Malaysia. Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Datuk Dr NKS Tharmaseelan berkata, peningkatan kos ubat-ubatan yang mampu mencecah sehingga 80 peratus, akan menyebabkan ramai pesakit terutamanya golongan berpendapatan rendah tidak mampu membiayai kos perubatan mereka. "Jika perjanjian ini ditandatangani, saya percaya ubat-ubatan terutamanya membabitkan penyakit HIV akan menjadi lebih mahal. "Kos yang mahal akan mewujudkan lebih banyak halangan untuk rawatan, penjagaan dan sokongan perkhidmatan," katanya. Menurutnya, sekiranya perjanjian ini tetap dilaksanakan maka setiap ubat-ubatan generik (tidak berjenama) atau mampu milik yang dikeluarkan oleh kebanyakan syarikat tempatan akan disekat pengeluarannya. "Syarikat-syarikat berasaskan perubatan dari Amerika Syarikat akan memonopoli setiap penjualan ubat-ubatan dan ini akan menyebabkan ubat-ubat murah atau dipasaran disekat jualannya seperti mana yang tertakluk pada perjanjian TPP," katanya. Sementara itu, Pengerusi Polisi Majlis AIDS, Fifa Rahman berkata, kenaikan harga ubat-ubatan di bawah perjanjian TPP adalah disebabkan pemanjangan tempoh paten atau hak cipta ubat berjenama iaitu melebihi 20 tahun. Katanya, pemanjangan tempoh paten atau hak cipta tersebut turut dipercayai akan mengakibatkan ubat generik yang lebih murah sukar dihasilkan. "Sebagai contoh, ubat berjenama untuk kanser dijual pada harga yang mahal RM9,600 ke RM10,000 dan adakah sebahagian besar daripada pesakit-pesakit ini mampu membiayainya?," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Fifa yang juga Pakar Undang Undang Kesihatan berkata, satu protes aman membantah perjanjian TPP akan diadakan hari ini di pekarangan pusat membeli-belah Sogo. "Protes ini akan dihadiri oleh pelbagai seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Majlis AIDS Malaysia, Persatuan Penyakit Jarang Jumpa dan NGO yang lain," katanya. Sehubungan itu, Fifa berkata, orang ramai juga dijemput menyertainya demi memastikan hak-hak atau akses perubatan di negara ini terus dikekalkan seperti keadaan sebelumnya. | Hudud: Hanya perlu majoriti mudah Posted: 26 Apr 2014 12:04 AM PDT [Dikemaskini] SETELAH 21 tahun diluluskan di Dewan Undangan Negeri iaitu pada tahun 1993, hukum hudud kini dilihat boleh jadi kenyataan apabila kerajaan BN mula memberikan laluan kepada Kelantan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen. Namun pelbagai rintangan perlu dilalui Pas termasuk tentangan secara terbuka oleh parti komponen PR sendiri iaitu PKR dan DAP. Bagi mendapatkan penjelasan lebih mendalam ikuti temu bual eksklusif Ketua Wartawan Kelantan, Mohd Zailani Abd Rahman dan wartawan, Murni Abdul Rashid bersama TIMBALAN MENTERI BESAR, DATUK MOHD AMAR ABDULLAH. Sinar Harian: Melihat kepada perkembangan hudud sekarang, bila tarikh muktamad akan dibawa ke Parlimen? Mohd Amar: Paling lewat kita akan hantar akhir tahun ini lagipun draf rang undang-undang persendirian kita sudah ada dan tiada masalah jika nak bentang Jun depan. Sinar Harian: Bagaimana pula dengan sokongan yang diperlukan untuk realisasikan hudud? Mohd Amar: Kita bukan mahu bentuk Perlembagaan, kita ada dua pilihan sama ada mahu bawa rang udang-undang ini ke peringkat negara atau negeri tetapi kita setuju untuk peringkat negeri sahaja jadi tidak perlu pinda Perlembagaan. Kita mahu memohon kebenaran daripada Parlimen dan Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan hukuman dalam kesalahan-kesalahan yang ada dalam Kanun Keseksaan iaitu mencuri, merogol dan merompak. Ia adalah bidang tugas Kerajaan Persekutuan agar kesalahan-kesalahan boleh dibicarakan dalam mahkamah syariah dan hukuman yang dijatuhkan tidak terikat kepada kanun keseksaan. Parlimen perlu meluluskannya tetapi tidak perlu kepada dua pertiga tetapi hanya majoriti mudah iaitu 112 sudah mencukupi, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) mahu kemudahan cadangan meminda akta mahkamah syariah 1965 yang dikenali sebagai Akta 356 bagi membenarkan Kelantan menjatuhkan hukuman lebih tinggi dari peruntukkan akta tersebut iaitu denda RM3,000, penjara 5 tahun dan 6 sebatan. Kita mahu hukuman lebih besar dan tidak terikat. Sinar Harian: Bagaimana pula dengan sokongan di Parlimen? Mohd Amar: Jika semua wakil rakyat di parlimen yang beragama Islam menyokong pun sudah cukup sebab apa yang kita buat ini bukan isu politik tetapi menyentuh akidah dan agama. Kita tidak nampak bagi orang Islam untuk menghalang dan apa masalahnya kepada orang bukan Islam untuk mereka tolak ini kerana hudud bukan untuk mereka tetapi untuk orang Islam di negeri ini sahaja. Sinar Harian: Bagaimana pula dengan pendirian PKR dan DAP yang dilihat menolak hudud? Mohd Amar: Kita belum bincang apa-apa lagi, dia (PKR, DAP) nak cakap..cakaplah..lagi pun kenyataan tersebut dikeluarkan sebelum kita bincang apa-apa lagi. Paling penting kita nak jumpa Pas pusat dan mereka sudah pun bersetuju, itu sudah cukup selepas ini kita akan bagi penerangan tentang perancangan, pendekatan dan apa susulan tindakan yang akan dibuat selepas ini. Sinar Harian:Tidakkah Pas bimbang hudud bakal cetus pertelagahan besar dan akhirnya membawa kepada perpecahan dalam PR? Mohd Amar: Kita dah jumpa pimpinan PR sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini, kita jumpa dan bahas. Pada asasnya, Pas bersetuju untuk tidak bersetuju, maknanya pendirian Pas akan laksanakan dan DAP tidak bersetuju itu pendirian mereka dan kita tidak boleh halang. Hudud diluluskan tahun 1993 di Dewan Negeri sebelum wujudnya PR, lagipun kita hanya hendak laksanakan di negeri ini. Kita tidak bincangkan untuk buat hudud peringkat negara sebab asasnya kerana kita belum memerintah lagi. Dalam konteks ini, kita sudah memerintah Kelantan sudah 23 tahun dan hudud sudah diluluskan 21 tahun lalu. Ia bukan isu terlalu cepat atau tidak, dan 95 peratus rakyat negeri ini beragama Islam. Kalau mahu bercakap soal demokrasi kita kena hormati hasrat kerajaan negeri sebab kita menang dengan cara demokrasi. Orang sokong kita sebab mahu lihat undang-undang Islam dilaksanakan sekurang-kurangnya di negeri ini. Mereka kena hormat kehendak dan hasrat pengundi di negeri ini, bukan demokrasi jika nafikan hak rakyat. Malah, PR tidak akan berpecah jika PKR dan DAP bijak mengambil pendirian, jika sebaliknya berlaku ia akan membawa kepada keretakan hubungan, kita harap mereka (PKR dan DAP) bertindak bijaksana, sebagai sebuah parti kita tidak tahu respons mereka dan kita akan meminta pimpinan Pas pusat bawa perkara ini kepada pimpinan PKR. Sinar Harian: Bagaimana pula perbincangan dengan pemimpin Umno tentang hudud? Mohd Amar: Kita tidak bincang apa-apa dan tidak nampak keperluan untuk tujuan itu sehingga kini. Sinar Harian: Mengenai sokongan Umno mengenai isu ini, tidakkah itu satu perangkap atau mempunyai 'silent' agenda? Mohd Amar: Dalam politik tidak ada perkara yang tiada agenda, kita tahu kemungkinan ini satu perangkap, tetapi kita akan masuk dengan berhati-hati sebab selama ni Umno tidak mahu hudud dan menghalang, jadi sekarang dia sudah beri kerjasama dan kita ambil peluang tersebut. Sinar Harian: Berapa jumlah wakil rakyat bukan Islam perlu menyokong untuk mencapai majoriti mudah? Mohd Amar: Secara peribadi saya yakin ramai wakil rakyat bukan Islam akan menyokong kecuali jika ditentang oleh parti mereka, undi boleh dibuat dengan pelbagai cara sama ada kira satu persatu, angkat tangan, undi sulit semua itu kita serah kepada speaker. Kita mengharapkan wakil rakyat Islam menyokong usul ini sebab ia bukanlah isu politik, kita pergi dengan tanggungjawab agama dan sabar menunggu selama 20 tahun, harap hormati pendirian demi kesedaran agama sebab kita pergi mengikut kaedah Perlembagaan. Sinar Harian: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini ada mengkritik Kerajaan Brunei dalam perlaksanaan hudud, tidakkah ia satu kebimbangan jika ia berlaku di Malaysia khususnya Kelantan? Mohd Amar: Orang nak kritik kita tidak boleh sekat dan halang itu hak dunia yang berdemokrasi apa yang penting jangan halang kita, seperti Brunei, kerajaan mereka sudah buat keputusan, benda ini kena jelas. Sinar Harian: Selepas hudud dapat kebenaran di Parlimen, apa langkah seterusnya? Mohd Amar: Ia akan diwartakan dan selepas itu undang-undang itu boleh dilaksanakan, soal hukuman potong tangan atau tidak ia bergantung kepada mahkamah cukup bukti atau tidak. Bukti kena mengikut syarat dan itu sudah cerita lain. Soal orang yang ingin melaksanakan hukuman tidak semestinya pakar, rotan sudah ada, orang yang nak merotan pun sudah ada, di mahkamah dan dalam penjara, jika sudah dalam kebenaran Pusat sudah mesti mereka akan beri kerjasama selepas ini. Malah, baru-baru ini kita sudah bersetuju dengan cadangan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) di mana Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menempatkan pegawai penyiasat di jabatan agama untuk bantu penguatkuasaan undang-undang syariah, iaitu membantu proses siasatan, pendakwaan dan sebagainya. Kita sudah menandatangani persetujuan agar benda ini lebih mudah, isu besarnya ialah membina mahkamah khas untuk hudud dan mahkamah rayuan khas. Hakim pula kita sudah ada calon cuma tunggu pelantikannya. Selepas ini kita akan tingkatkan acara keterangan dan memantapkan penguat kuasa. Berapa peratus kadar indeks jenayah akan menurun kita tidak jamin kita serah kepada ALLAH SWT dan kita tidak kata jika laksanakan hudud tidak ada jenayah tetapi yakin akan turun pada tahap paling minimum. Sekarang jenayah makin meningkat ia kerana salah satunya orang tidak takut pada hukuman, longgar pegangan agama dan masalah ekonomi. Apabila sudah ada yang mencuri kena potong tangan pasti yang lainnya akan lebih berhati-hati dan takut. Sinar Harian: Pada pandangan Pas, kenapa DAP menolak hukuman ini? Mohd Amar: Pada pandangan saya, DAP menolak perlaksanaan hudud kerana bimbang sokongan kaum Cina, jika ramai yang menyokong pasti DAP akan menyokong secara terbuka. Saya yakin ramai orang bukan Islam menyokong bukan di negeri ini sahaja malah negara juga. Jika perlaksanaan tersebut mendatangkan kebaikan dan dijalankan secara saksama, saya pasti orang bukan Islam akan beri sokongan penuh pada masa akan datang. Lihat sahaja Bank Islam, ramai yang guna adalah orang Cina sebab apa kerana mereka lihat sistemnya yang baik. Hudud jika berjalan tanpa penyelewengan ramai akan sokong dan menurunkan kadar jenayah. |
Posted: 26 Apr 2014 03:21 PM PDT Isu hak asasi manusia pasti menjadi salah satu agenda yang dibincangkan dalam lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia bermula hari ini. Walaupun tidak dijadual mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini mewakili suara pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan yang pelbagai, demokrasi dan hak asasi manusia ialah agenda tetap dasar luar AS, dan bermula penggal lalu, hak gay diangkat menjadi salah satu prioriti dalam agenda dasar luar AS. John Sifton dari kumpulan Human Rights Watch dilapor berkata Obama wajar menyampaikan mesej mendesak Malaysia lebih menghormati hak LGBT, walaupun akan sedikit memalukan tuan rumah. Menjelang lawatan Obama, tekanan semakin meningkat mendesak beliau menyampaikan mesej membela hak kelompok LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transeksual), dengan dakwaan liwat terhadap Anwar dijadikan salah satu fokus utama isu ini. Aktivis LGBT Malaysia, Pang Khee Teik, yang dijemput menyertai perbincangan dengan Human Rights Watch dan Kedutaan AS untuk diminta pandangan menjelang lawatan Obama walau bagaimanapun mempersoalkan agenda sokongan Obama itu, dan mendakwa hasilnya ialah komuniti LGBT menjadi bidak dalam percaturan kuasa-kuasa yang bersaing. Dalam satu tulisan panjang yang diterbitkan di laman Facebook beliau, Pang menulis, "Saya berasa terganggu kerana LGBT semakin menjadi bidak dalam pertarungan ideologi pihak yang berkuasa," Beberapa wakil kumpulan hak asasi manusia, termasuk yang terlibat dalam memperjuangkan hak LGBT dijadual mengadakan pertemuan dengan Obama, termasuk Islamic Renaissance Front, IRF, dan wakil pertubuhan pemerhati pilihan raya Bersih. Kumpulan-kumpulan tersebut ialah pertubuhan bukan kerajaan yang mesra dengan agenda hak asasi dan demokrasi yang disokong AS, dan mendapat sokongan politik dan bantuan kewangan daripada sumber AS seperti Endowmen Demokrasi Nasional, NED. Agenda yang selari dengan AS juga menyebabkan mereka mudah diangkat oleh Washington. Satu contoh, Sisters in Islam disebut beberapa kali sebagai satu kuasa progresif yang penting oleh Setiausaha Negara Hillary Clinton dalam satu majlisnya semasa melawat Malaysia pada 2010. Pertemuan Obama dengan kumpulan-kumpulan ini bakal mencetuskan debat yang panas berhubung agenda liberal yang diperjuangkan. Kelompok konservatif akan menilainya sebagai sokongan kuasa asing terhadap kumpulan terbabit, dan pihak liberal dijangka mempromosikan pertemuan tersebut sebagai satu bentuk endorsmen daripada AS, yang masih dinilai sebagai sesuatu yang berprestij di sini. Pada masa sama, lawatan Obama ke Kuala Lumpur ini juga bakal diangkat sebagai satu perakuan terhadap Malaysia di bawah pentadbiran Najib yang berdepan pelbagai tekanan berhubung isu-isu hak asasi dan demokrasi, dan ini dikuatkan lagi oleh keputusan Obama tidak bertemu dengan Anwar. Malaysia juga berada di kedudukan yang selesa pada masa ini dalam hubungan dengan AS, pada masa hubungan Washington dengan negara Islam lain seperti Turki - yang dilihat sebagai model negara Islam progresif - dan Mesir berada pada tahap agak kurang baik. Najib dilihat mempunyai hubungan yang baik dengan Obama dan telah beberapa kali bertemu di majlis berprofil tinggi. Najib konsisten dalam usahanya menngemukakan imej Muslim moderat dalam usahanya merapatkan hubungan dengan Obama. Obama dalam lawatan ini berusaha mengimbangi sokongannya terhadap Najib dan kumpulan-kumpulan liberal, dengan kedua-dua pihak tidak akan dapat mendakwa kemenangan sepenuhnya dalam usaha mendapatkan restu Obama. Kumpulan-kumpulan bukan kerajaan walau bagaimanapun sentiasa mendapat perhatian AS dan tetap akan mendapat manfaat masing-masing hasil lawatan Obama. Aktivisme kumpulan terbabit bakal terus meningkat, memandangkan agenda demokrasi dan hak asasi yang kekal menjadi tonggak dasar luar AS, dan juga akibat pengaruh kumplan-kumpulan ini di negara membangun seperti Malaysia. Agenda seperti LGBT dan hak asasi manusia dan demokrasi, yang ditolak oleh konservatif akan kekal kuat diperjuangkan, memandangkan iklim politik global masa kini. |
You are subscribed to email updates from Pakatan Rakyat To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |