Pemimpin PAS berjiwa besar, junjung ukhwah Posted: 28 Dec 2011 07:27 PM PST KUALA LUMPUR, 29 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) mengucapkan terima kasih dan penghargaan setingginya kepada pucuk pimpinan PAS yang berjaya menyelesaikan kemelut dalaman secara penuh ukhwah dan semangat persaudaraan melalui pertemuan khusus yang diadakan semalam.
"DPP Malaysia merasa terharu kerana pimpinan PAS bingkas menyelesaikan segala konflik dan kemelut dalaman yang membelenggu PAS beberapa minggu ini dengan penuh sifat tawadduk dan merendah diri," kata naib ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss.
Katanya, pertemuan dan penyelesaian penuh bermakna antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Datuk Dr Hassan Ali dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa pastinya akan menjernihkan keadaan dan memadamkan fitnah yang selama ini membakar dan meliar di dalam gerakan Islam itu.
Menurutnya, masyarakat khususnya yang beragama Islam melihat bahawa PAS mampu menjadi contoh kepada semua parti politik bagaimana pengurusan konflik boleh diselesaikan dengan baik dan mudah tanpa persengketaan yang panjang.
Katanya, meskipun terdapat perbezaan pandangan dan pendapat dalam beberapa perkara, akhirnya ia mampu diselesaikan di meja rundingan dalam pertemuan penuh mahabbah.
Tambahnya lagi, ternyata segala tohmahan liar segelintir golongan bahawa kemelut dalaman PAS tidak akan berkesudahan adalah suatu tuduhan tidak berasas.
PAS, ujarnya membuktikan masih menjunjung tinggi nilai ukhwah, perpaduan dan persaudaraan yang bertunjangkan kepada akidah perjuangan Islam.
"Nilai ini terus bertahan dan tidak akan luput sejak ia ditubuhkan dan selama mana hayat PAS di persada tanah air ini," ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, DPP Malaysia percaya penyelesaian baik yang ditunjukkan antara pimpinan PAS membuktikan kepemimpinan PAS berjiwa besar dan sanggup berlapang dada bagi menyelesaikan permasalahan mereka secara baik.
PAS juga, katanya dilihat mampu menjadi pengganti Umno BN yang sudah semakin mereput menanti ajal. "Insya Allah, keteladanan yang terpuji oleh kepemimpinan tertinggi PAS mampu menjadi bekal buat semua ahli dan pendokong PAS bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan dalam PRU ke-13," katanya lagi. |
Wacana Perdana Posted: 28 Dec 2011 07:27 PM PST |
Mana suara mufti zakat biayai guaman menteri Posted: 28 Dec 2011 07:24 PM PST KUALA LUMPUR, 28 Dis: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta para ulama dan Mufti di negara ini bersuara dengan memberikan pandangan terhadap isu penggunaan duit zakat untuk tujuan membayar kos guaman Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Timbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata pandangan segera para ulama dan Mufti penting bagi mengelakkan timbulnya pelbagai persepsi negatif dari umat Islam di negara ini terhadap institusi zakat dan pemimpin yang berkuasa menjaga institusi tersebut.
Katanya, isu sama ada duit tersebut telah dikembalikan tidak timbul kerana persoalan pokok yang perlu dijawab adalah bolehkah duit zakat digunakan untuk kepentingan peribadi pemimpin.
"Sebagai pemimpin yang berkuasa dalam urusan hal ehwal umat Islam di negara ini, sepatutnya beliau memegang amanah ini sebaiknya.
"Wang zakat perlu diuruskan dengan betul dan disalurkan ke tempat yang sewajarnya. Wang zakat tidak boleh sewenang-wenangnya dikeluarkan selain dari urusan yang selayaknya," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Menurutnya, tindakan Datuk Seri Jamil Khir mengeluarkan wang zakat bagi membiayai kos guaman beliau dan orang bawahannya amat dikesali seluruh umat Islam yang membayar zakat di negara ini, khususnya di Wilayah Persekutuan.
Tindakan tersebut ujarnya, boleh menimbulkan prejudis dikalangan umat Islam dengan persoalan adakah wang zakat disalurkan ke tempat yang sepatutnya ataupun ianya digunakan untuk tujuan-tujuan tertentu.
"DPPWP mengharapkan agar para ulama dan Mufti di negara ini bersuara dengan menyatakan pandangan mereka.
"Sekiranya tindakan ini salah dan melanggari syariat Islam, teguran secara terbuka perlu dibuat terhadap Datuk Seri Jamil Khir dengan ingatan dan amaran keras," ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, kemungkaran yang dilakukan perlu dicegah terutama melibatkan pemimpin besar negara kerana mereka perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakat.
Selain itu, Datuk Seri Jamil Khir juga jelasnya perlu memohon maaf atas tindakan beliau dan menyerahkan kepada pihak polis atau yang berkaitan untuk menyiasat dan mengambil tindakan lanjut.
"Beliau perlu bersedia menghadapi sebarang tindakan dan hukuman jika terbukti jelas telah melakukan kesalahan," tegasnya. |
Final Piala YAB Tok Guru Posted: 28 Dec 2011 07:23 PM PST |
Tekanan kepada mahasiswa atas kehendak Umno Posted: 28 Dec 2011 03:06 PM PST KUALA LUMPUR, 28 Dis: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim(gambar) menggesa kerajaan menghentikan semua bentuk tekanan terhadap mahasiswa. Ini, katanya kerana jelas ia merupakan kehendak politik pimpinan Umno yang terdesak. "Saya juga mengulangi tekad dan komitmen Pakatan Rakyat untuk memansuhkan Auku serta memberi penumpuan kepada usaha mengangkat mutu pendidikan yang berteraskan prinsip kebebasan akademik, pencerahan dan pemerkasaan intelektual. "Saya meneliti secara serius perkembangan mutakhir gerakan kebebasan akademik yang dipimpin oleh kelompok mahasiswa yang kini berdepan dengan pelbagai tekanan politik Umno," ujarnya dalam satu kenyataan. Tambahnya, tatkala kesedaran menuntut kebebasan di kalangan mahasiswa mulai berkembang dan matang, pimpinan Umno semakin gusar dan resah dalam menghadapi asakan itu serta bertindak melulu dengan menzahirkan ancaman fizikal bersifat biadab dan semberono. Katanya, komitmen pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, kononnya mahu meminda Seksyen 15, Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) dan memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa dalam politik kepartian kini dilihat tidak lebih sekadar omong kosong. Menurutnya, perkembangan membabitkan Adam Adli, mahasiswa dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang kini berdepan dengan tindakan di bawah Auku sememangnya menzahirkan ketakutan Umno terhadap gelombang kebangkitan mahasiswa. Tambah beliau, tindakan sama turut dilihat dalam beberapa kes terdahulu dengan tindakan keras oleh pihak universiti termasuk risiko dibuang kampus.
"Insiden remeh di depan ibu pejabat Umno di PWTC yang dikaitkan dengan tuntutan mahasiswa tempoh hari diangkat oleh media milik Umno seolah-olah ianya jenayah besar walhal isu-isu yang berkait dengan fitnah, ugutan bunuh, jenayah dan rasuah seringkali diketepikan," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Beliau berkata, tindakan menghukum dengan menggunakan peruntukan Auku terhadap mahasiswa selepas insiden tersebut jelas bertujuan untuk menakut-nakut dan sebagai langkah untuk mengendurkan semangat serta iltizam mahasiswa. |
Umno belum mampu bina kekuatan di Kemahang Posted: 28 Dec 2011 03:05 PM PST TANAH MERAH, 28 Dis: Biar pun Felda Kemahang 2 dan 3 merupakan kubu tradisi Umno, namun PAS mampu bertapak di situ pada pilihan raya umum lalu. Sebahagian peneroka meninggalkan Umno kerana kecewa dengan pihak pengurusan Felda sehingga mereka membawa kes ke mahkamah. Sebelum itu seramai 354 peneroka Felda Kemahang 3 menyaman Felda berhubung dakwaan menipu gred buah kelapa sawit. Selepas bertahun-tahun menunggu akhirnya Mahkamah Persekutuan mengarahkan Felda membayar RM11 juta. Usaha mengetengahkan kes tersebut turut mendapat sokongan pemimpin PAS sehingga akhirnya mereka menang saman. Setiausaha Majlis Tindakan Dun Kemahang, Jusoh Ismail berkata, biar pun ada cakap-cakap segelintir peneroka terbabit mahu kembali semula ke pangkuan Umno kerana tidak puas hati jumlah pampasan diterima, namun belum ada yang berbuat demikian. "Belum ada ahli atau penyokong PAS di di Kemahang 3 menyertai Umno sebagaimana didakwa media massa baru-baru ini. "Sebaliknya apa yang berlaku tidak lebih sekadar gimik segelintir peneroka dengan meluah perasaan pada satu majlis dihadiri Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad di Felda Kemahang 3 baru-baru ini," katanya di sini. Menurutnya rasa tidak puas hati hanya berlaku sesama peneroka berkaitan pembahagian jumlah pampasan selepas mereka menang dalam kes saman Felda sebelum ini. Katanya, masalah itu terbawa-bawa sehingga ada peneroka tidak puas hati dan hadir pada program penyampaian bonus yang dihadiri Isa di Kemahang 3. Baru-baru ini Ketua PAS Cawangan Felda Kemahang 3, Mohd Ramli Deramin dilaporkan meletak jawatan kerana hilang keyakinan terhadap parti itu. Menurutnya sebahagian daripada 304 peneroka yang menyertai PAS sebelum ini akan mengikut jejak langkahnya. Jusoh yang juga penghulu Mukim Kemahang berkata, ada peneroka meluahkan rasa kecewa ketika Isa Samad datang, kemudian digambarkan media seolah-olah mereka mahu menyertai Umno. "Peneroka terbabit ada menemui saya selepas majlis tersebut dan menjelaskan perkara sebenar yang tidak lebih sebagai gimik semata-mata," katanya. |
KELANTAN TEWAS DALAM PIALA UNITY 2011 Posted: 28 Dec 2011 03:04 PM PST Piala Unity ( kiri ) Milik Persebaya Kelantan gagal membawa pulang Piala Unity 2011 ke Negeri Cik Siti Wan Kembang selepas tewas secara aggregat 4 – 3 pada aksi kedua Kelantan dan Persebaya di Surabaya Indonesia. Terikat 1 – 1 pada perlawanan pertama di Kota Bharu 23 Disember lalu, Persebaya tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol selepas Andik Vermansyah berjaya menyumbat masuk gol pada minit ke 15″. Gol kedua dan ketiga Persebaya hadir pada minit ke 65″ dan 73″ hasil kesilapan dan kelekaan pertahanan Kelantan. Gol pertama dan kedua Kelantan menerusi Norshahrul Idlan Talaha dan Indraputra Mahyuddin pada minit ke 48″ dan 93″. Kelantan dilihat banyak melakukan serangan pada separuh masa kedua namun buntu mencari lebih banyak jaringan. Tamat Perlawanan menyaksikan Kelantan tewas 4 – 3 secara aggregat kepada Persebaya Indonesia dan Persebaya muncul Juara Unity Cup 2011 buat kali pertama sejak ia diperkenalkan pada tahun ini. |
Suka Duka Di Perlawanan Separuh Akhir Piala YAB Tok Guru Posted: 28 Dec 2011 03:02 PM PST |