Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil |
Berita Sidang DUN Melaka ( Mac 2015 ) Posted: 15 May 2015 03:54 PM PDT Ketua Menteri Melaka puji Adun PAS MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Idris Haron memuji sokongan yang diberikan oleh Adun Bukit Baru (PAS), Dr Md Khalid Kassim berhubung tindakan melarang penjualan arak di kedai serbaneka 24 jam dalam kawasan majoriti Islam. Dato' Idris Haron menyifatkan sokongan tersebut sebagai pembakar semangat bagi kerajaan negeri di dalam menjaga kebajikan umat Islam di Melaka ketika menggulung usul di Persidangan Dun Melaka, baru-baru ini. Menurut Dr Md Khalid bahawa tindakan itu wajar dipuji dan ia penting dalam menjaga kepentingan umat Islam di negeri ini . "Ada yang melihat tindakan ini agak kecil tetapi apa yang perlu dilihat adalah makna serta kesannya yang cukup besar, syabas di atas pengharaman jualan arak oleh kedai tertentu di kawasan majoriti Islam ini. "Ia sedikit sebanyak dapat mencegah penjualan arak secara bebas dan terbuka khususnya kepada muda-mudi Islam yang begitu mudah membelinya di kedai serbaneka 24 jam tanpa ada kawalan pihak berwajib," ujarnya. Keputusan melarang penjualan arak itu dibuat pada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 28 Januari lepas terhadap seluruh kedai serbaneka 24 jam di kawasan bermajoriti umat islam. Hutang Melaka RM861 Juta MELAKA:Persidangan Pertama, Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ketiga Belas di Seri Negeri, baru-baru ini dimaklumkan bahawa hutang Kerajaan Negeri Melaka berjumlah RM861 juta. Adun Ayer Keroh (DAP), Khoo Poay Tiong dalam soalan lisan nombor enam menanyakan Ketua Menteri berapakah hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Pusat pada akhir 2014. Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Idris Haron menyatakan bahawa hutang Kerajaan Negeri berakhir 2014 berjumlah RM861,709,420.15 di mana ia merupakan baki pinjaman pokok. "Rizab Kerajaan Negeri pada 2013 berjumlah RM217.13 juta dan rizab Kerajaan Negeri pada 2014 pula turun kepada RM206.61 juta di mana ia meliputi rizab akaun mengurus, rizab di bawah Tabung Amanah Melaka serta pinjaman kepada agensi," ujarnya. Idris Haron turut menjelaskan bahawa jumlah pinjaman agensi negeri kepada institusi kewangan berakhir 31 Januari 2015 berjumlah RM192.060,990.85 dan agensi yang terlibat adalah Yayasan Melaka, Majlis Agama Islam Melaka, Kolej Universiti Islam Melaka, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka serta Melaka ICT Holdings Sdn Bhd. Poay Tiong dalam soalannya turut menanyakan bagaimana Kerajaan Negeri membantu rakyat Melaka menghadapi ketidaktentuan ekonomi. Manakala, jawapan yang diberikan Ketua Menteri bahawa kerajaan telah memberikan BR1M, kempen kawalan harga barang, penurunan harga minyak, mempergiatkan industry pelancongan dan mensasarkan dapatan pelaburan RM5 bilion setahun. Pastikan kesejahteraan rakyat tidak diabai MELAKA: Pembangunan fizikal yang dilaksanakan kerajaan negeri perlulah mengambil kira kebajikan rakyat bagi menjamin kesejahteraan hidup mereka tidak diabaikan. Adun Bukit Baru (PAS), Dr Md Khalid Kassim berkata demikian ketika ucapan penangguhan pada Persidangan Dun Melaka di sini, baru-baru ini. Menurut beliau, pembangunan adalah agenda utama kerajaan untuk meraih sokongan rakyat khususnya daripada penduduk bandar atau luar bandar seperti taman perumahan dan kemudahan rakyat yang lain. "Sebaliknya pembangunan fizikal boleh mengancam sesuatu tempat apabila mengetepikan kelestariannya, saya harap kerajaan mendengar rintihan rakyat terhadap projek pembangunan yang tidak sempurna. "Ia mengakibatkan banjir dan penyakit berjangkit seperti demam denggi, kebajikan mereka terabai sedangkan mereka telah berkorban atas nama pembangunan," ujarnya. Sumber : Harakah edisi 22 – 24 JAMADILAWAL 1436 / 13 – 15 MAC 2015 |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda PAS Bukit Katil To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |