Isnin, 7 Mei 2012

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Imej polis makin buruk angkara media, blog Umno

Posted: 07 May 2012 04:57 AM PDT

KUALA LUMPUR: Tindakan polis menjadikan Khalid Mohd Ismath sebagai orang yang disyaki hanya berdasarkan tuduhan blog-blog Umno memburukkan lagi imej pasukan keselamatan itu, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Pasukan polis mempunyai segala kelengkapan yang canggih untuk membuat penyiasatan bagi mengenal pasti siapakah lelaki berbaju belang yang menendang polis itu.

"Amat tidak professional dan zalim jika polis menjadikan Khalid sebagai orang yang disyaki hanya berdasarkan tuduhan blog-blog Umno yang sebelum itu memfitnahkan pelajar itu sebagai lelaki berkenaan.

"Dengan tindakan itu, polis meletakkan dirinya sama taraf dengan Utusan Malaysia dan memburukkan lagi imejnya," kata beliau.

Utusan Malaysia semalam menyiarkan di muka hadapan gambar Khalid dan gambar lelaki yang menendang polis itu untuk memberikan gambaran bahawa Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) itulah yang menendang polis ketika perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Malah, di bawah gambar lelaki yang menendang polis itu, akhbar tersebut dengan jelas menulis "Khalid Mohd. Ismath menendang anggota polis trafik sewaktu perhimpunan Bersih 3.0".

Mahfuz berkata, polis tidak sepatutnya meletakkan pihaknya sama taraf dengan Utusan dan blog-blog Umno yang sebelum itu menuduh Khalid adalah lelaki berkenaan.

"Polis tidak sepatutnya melakukan perbuatan yang menyebabkan masyarakat semakin hilang kepercayaan terhadapnya dan tidak lagi meyakininya.

"Tindakan polis menahan Khalid hanya berdasarkan gambar itu bukan sahaja menyebabkan masyarakat tidak mempercayainya malah ia dibimbangi boleh mengakibatkan polis menjadi bahan cacian dan ejekan yang dimaki-maki," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mengenai tindakan polis yang mahu menangkap lagi Khalid berikutan tulisannya di dalam laman Facebook, Mahfuz berkata perkara itu berlaku kerana Khalid sangat tertekan setelah ibunya, Faridah Abdul, cedera teruk akibat tindakan polis semasa perhimpunan Bersih 3.0  pada 28 April lalu.

"Perlu juga diambilkira apa yang menyebabkan Khalid menulis luahan kemarahan sedemikian.

"Jangan ketepikan hakikat bahawa ibunya sendiri cedera parah akibat tindakan polis menyerang mereka yang berhimpun," katanya.


Sumber: Harakahdaily.net

5,422 pengundi tak ikut kod kelahiran

Posted: 07 May 2012 04:10 AM PDT

KUALA LUMPUR, 7 Mei: Berdasarkan daftar pemilih bagi suku pertama 2012 yang dipamerkan, PAS mengenalpasti 5,422 pengundi yang kad pengenalannya tidak mengikut kod kelahiran yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata hasil penelitian dari daftar pemilih yang dipamerkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga jam satu pagi, semalam, pihaknya mendapati kod kelahiran pada sejumlah nama itu tidak sama seperti ditetapkan di JPN.

Beliau berkata, JPN mempunyai kod-kod kelahiran khusus membabitkan negeri seperti 14 bagi Wilayah Persekutuan, dan kod-kod lain bagi negeri lain, sedangkan beliau menemukan kod kelahiran seperti 70, 76, 74, 62, 66, 85 dan lain-lain.

Bercakap ketika sidang media di Pejabat Agung PAS, hari ini, Ahli Parlimen Pokok Sena itu memberikan beberapa contoh, seperti kad pengenalan yang bernombor 890327665045 yang dimiliki Lim Jain Zao.

"Kod 66 itu tidak terdapat dalam kod kelahiran yang tersenarai atau ditetapkan JPN.  Persoalannya, di negeri manakah pemegang IC ini lahir?" soal beliau, sambil mendakwa kemungkinan mereka merupakan warga asing yang didaftarkan SPR sebagai 'pendaftaran baru'.

Mahfuz menambah, biarpun nama-nama terbabit terdapat dalam sistem JPN, SPR sebagai sebuah badan bebas sewajarnya mempersoalkan kod kelahiran yang janggal itu kepada JPN.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan senarai daftar pemilih yang dikatakan mempunyai 'senarai pemilih yang tidak perlu hadir', yang bermaksud tidak hadir pada hari pengundian.

Senarai tersebut, difahamkan merupakan pengundi pos yang akan mengundi awal dan diletakkan di lokaliti tentera.

Jelas Mahfuz, sejumlah 113 nama diletakkan di lokaliti tentera, yang kod lokalitinya 400 ke atas dan dinamakan sebagai Palapes.

"Apa yang saya faham, mereka ini merupakan mahasiswa yang terlibat dengan Palapes.  Kenapa mereka didaftarkan dalam lokaliti tentera, sedangkan mereka belum berkhidmat dalam tentera?" soal beliau.

Tambah beliau, sebahagian daripada Palapes itu mempunyai kad pengenalan tentera, manakala kebanyakannya mempunyai IC awam yang sepatutnya diletakkan di lokaliti biasa.

Ekoran itu, Mahfuz menyifatkan perkara ini sebagai penyelewengan SPR dan satu rangka 'task force' yang beroperasi di Jabatan Perdana Menteri (JPM) seperti yang didakwa beliau sebelum ini.

Sehubungan itu, Mahfuz mendesak JPN dan SPR segera menjelaskan keraguan berhubung kedua-dua perkara yang dibangkitkan beliau bagi mengelakkan tanggapan buruk orang ramai terhadap dua agensi kerajaan terbabit.

Sebelum ini, Mahfuz mendedahkan wujudnya 'task force' yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum nanti.

Beliau juga bertindak menyerahkan memorandum kepada pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung isu tersebut bagi menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong.


Sumber: Harakahdaily.net

Scorpene: Umno patut adakan perhimpunan khas

Posted: 07 May 2012 04:00 AM PDT

Berbagai-bagai isu yang dihadapi oleh PM Najib nampakya tidak pula mendapat pembelaan dari pemimpin partinya dengan jelas. Pemimpin-pemimpin besar UMNO tidak ada yang ke hadapan untuk mempertahankan Najib dalam isu Scorpene.yang Najib dikatakan terlibat secara terus. Pendakwaraya di Perancis telah memberitahu Suaram yang Najib pernah meminta USD 1 billion untuk dimasukkan ke akaun Paremekar Sdn Bhd sebagai syarat untuk DCNI bertemu dengan beliau di Paris. Kenyataan pihak pendakwa itu amat serius kerana ia melibatkan ketua negara sebuah negara yang dikatakan berdaulat ini.
Selalunya jika ada apa-apa tuduhan dan kenyataan yang disebut sebagai salah laku pemimpin kita, akan bertalu-talulah pemimpin-pemimpin UMNO dan kerajaan membela yang dilibatkan itu. Najib nampaknya kesaorangan dan tidak ada menteri-menteri dan ahli-ahli jemaah kabinetnya mengeluarkan kenyataan mempertahankan Perdana Menteri yang telah melantik dan diberi tanggungjawab oleh Najib. Tidak ada satu pun media perdana menyentuh isu dakwaan terhadap Najib ini. Saya telah membeli Utusan untuk menyemak samada akhbar organ UMNO itu menyentuh isu ini atau tidak.

Tuduhan ini amat serius dalam masa Najib sedang berhempas pulas untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat yang telah jelas tidak lagi memberikan dukungan yang pernah diperolehi oleh Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelum beliau. Rakyat sedang menunggu reaksi Muhyiddin Yassin, sepupu Najib, Hishamuddin Husein serta panglima-panglima Najib yang lain.

Saya tidak tahu kenapa UMNO tidak membuat perhimpunan Agong Khas untuk menangani isu ini dan membuat keputusan memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi terhadap  Presidennya yang sedang menghadapi berbagai-bagai cobaan dan masalah yang besar sejak akhir-akhir ini. Mendiamkan diri dalam isu ini bermakna bersetuju dengan tuduhan pendakwa di negara Perancis itu. Persidangan khas untuk menangkis isu ini amat wajar diadakan dengan segera.

Lepas satu isu datang lagi isu-isu yang berat yang menghadapi Najib dan sikap ramai pemimpin-pemimpin tertinggi parti sekarang ini seolah-olah ada perancangan untuk membiarkan Najib menghadapi isu kepimpinan seorang diri sahaja. Saya mencadangkan supaya Majlis Tertinggi bermesyuarat dan mengeluarkan kenyataan resmi tentang pendirian parti keatas isu yang dihadapi oleh seorang Perdana Menteri negara kita ini.

Ini melibatkan isu dan tuduhan rasuah seorang Perdana Menteri sebuah negara merdeka. Najib bukannya pemimpin kecil. Beliau seorang Perdana Menteri Malaysia yang mempunyai kuasa memasukkan dan mengeluarkan sesiapa yang beliau suka ke penjara. Najib bukannya Presiden Filipina yang mana seorang Presiden boleh dihadapkan ke Mahkamah di atas berbagai-bagai masalah.

Perdana Menteri Malaysia adalah kebal dari tindakan undang-undang dan boleh melakukan apa yang beliau suka walaupun kerja-kerja jenayah yang besar-besar. Yang tidak boleh lari dari tindakan mahkamah ialah mata-mata (Polis) yang menerima rasuah dua tiga ratus atau pun kerani pejabat tanah yang menerima suapan dua ratus ringgit.

Berbalik kepada tuduhan pendakwa Perancis yang telah menghantar kandungan komunikasi Najib dengan DCNI itu tentang permintaan USD 1billion oleh Najib itu kepada Suaram amat memberi kesan yang amat buruk kepada negara.

Rakyat mahu melihat pemimpin-pemimpin politik UMNO dan BN mengeluarkan kenyataan dan menzahirkan pendirian mereka terhadap isu yang melibatkan Perdana Menteri kita. Reaksi barisan pimpinan kita amat penting kerana ia melibatkan maruah negara kita. Yang dinamakan sebagai seorang yang terlibat dalam isu sensitif ini ialah Perdana Menteri negara yang berdaulat dan merdeka.

Dengan berdiam diri boleh ditakrifkan yang pemimpin-pemimpin lain dalam UMNO dan BN mempunyai kepercayaan yang kuat yang apa yang dikatakan oleh pendakwa di Paris itu adalah benar belaka. Jika itulah pandangan barisan kepimpinan UMNO maka yang kita tunggu ialah untuk melihat bagaimana Najib akan disingkir atau tersingkir dari jawatan yang amat beliau perlukan untuk dikekalkan.

Itulah sebabnya blog ini selalu mengingatkan Najib yang penting beliau uruskan ialah pemimpin-pemimpin dalam partinya sendiri; bukannya menumpukan perhatian kepada parti-parti pembangkang.

Najib perlu sedar yang musuh yang terang dihadapan beliau tidak begitu merbahaya untuk beliau. Yang lebih bahaya ialah ular-ular sawa yang sedang mengintai-ngintai untuk mematuk dan membelit beliau.

Sesungguhnya Najib adalah seorang pemimpin yang dalam kesunyian. Beliau kesaorangan. Beliau nampaknya akan mengalami apa yang dialami oleh Abdullah Badawi. Sejarah Abdullah akan berulang.

Apabila saya memikirkan bermacam isu yang menjejaskan rakyat dan negara ini dengan mendalam, saya merasakan saya telah bersama dengan beberapa orang yang lain telah melakukan yang terbaik dengan menyertai DAP. Parti ini tidak ada masalah kepimpinan yang dipersoalkan kewibawaan  mereka seperti yang berlaku terhadap ramai kepimpinan BN.

Bagi mengelak dan menjauhi diri dari kumpulan yang tidak bermoral ini, keluar dari UMNO itu merupakan satu-satunya jalan yang ada kepada kita semua. Ramai yang tidak faham lagi sikap dan sifat kepimpinan UMNO. Bercakap berderai-derai tentang Islam tetapi apa yang dilakukan mereka semuanya anti dan bersalahan dengan syariat Islam. Itulah namanya sifat hipokrit

Bagi mereka yang tetap imannya mereka boleh berada dimana-mana kerana orang yang beriman itu seperti ikan yang hidup dilautan yang dalam dan masin. Ikan yang hidup tidak akan rasa masin jika dikeluarkan dari lautan yang masin itu. Ikan yang jenis ini adalah ikan segar dan begitu enak dimasak dan di gulai.

Sebaliknya kepada ikan yang telah mati (tidak berjiwa lagi) jika dikeluarkan dari lautan dan dijemur akan menjadi ikan kering masin. Ikan masin hanya sedap dijadikan perasa di dalam masakan sayuran kangkong dan kailan sahaja.  Maksud saya pimpinan UMNO sudah tidak berjiwa lagi.
 
Dalam isu Scorpene ini UMNO patut memanggil Persidangan Agong khas untuk menyelesaikan isu ini secara resmi. Yang dituduh itu bukannya Mat Rempit. Beliau adalah Perdana Menteri. - http://aspanaliasnet.blogspot.com


Sumber: Harakahdaily.net

Saya dibelasah teruk kerana dituduh pukul polis

Posted: 07 May 2012 03:40 AM PDT

SHAH ALAM: Seorang anggota Unit Amal PAS, Mohd Fahmi Mohd Noor mendakwa beliau dipukul ketika ditahan pihak polis dan sepanjang perjalanan ke Dataran Merdeka sebelum dibawa menaiki trak polis.

Fahmi mendakwa beliau ditahan kira-kira jam 4.30 petang di persimpangan lampu isyarat di hadapan bangunan Sime Darby di Jalan Raja Laut ketika sedang mengarahkan peserta Bersih 3.0 beredar dan tidak menimbulkan sebarang tindakan yang boleh menaikkan kemarahan pihak polis.

Menurut Fahmi, beliau ketika itu dalam posisi membelakangi polis menyebabkan beliau tidak sedar bahawa polis sudah menghampiri beliau menyebabkan beliau ditangkap walaupun pada waktu itu beliau sedang mengarahkan peserta bertenang serta beredar.

"Saya sedang mengarahkan agar peserta tidak melakukan provokasi saya pula ditangkap.

"Dalam perjalanan ke Dataran Merdeka ketika melalui kaki lima saya telah dipukul oleh pihak polis termasuk ditendang malah terdapat di antara mereka mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Menceritakan insiden itu lebih lanjut, Fahmi berkata, ketika ditahan beliau sempat bertanya kepada polis samada beliau sedang melakukan provokasi ataupun mengawal keadaan.

Namun salah seorang anggota polis itu ada mengatakan memang tiada provokasi dilakukan oleh beliau tetapi beliau harus juga ditangkap.

Beliau kemudian dibawa ke Dataran Merdeka bersama kumpulan lain yang lebih awal ditangkap.

"Jarak perjalanan agak jauh dan saya sendiri tidak pasti berapa kali dipukul, malah ketika sudah hampir di Kelab Di Raja Selangor saya sekali lagi dipukul oleh empat orang polis, disepak dan menyebabkan saya jatuh," ceritanya lagi.

Fahmi memberitahu setelah dipukul, beliau diletakkan bersama-sama dengan tahanan yang lain termasuk dengan bekas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Abdul Aziz Bari.

"Ketika saya duduk bersama-sama tahanan yang lain, terdapat seorang anggota polis menjerit dan mengatakan saya telah memukul anggota polis, tindakan tersebut menyebabkan saya sekali lagi ditarik dan dibawa ke belakang trak polis sebelum dibelasah teruk oleh sembilan orang anggota polis.

"Ketika itu saya dipukul dengan teruk termasuk dipijak di perut, ditendang di bahagian dada dan belakang. Saya telah ditumbuk menyebabkan cermin mata saya telah jatuh.

"Dalam keadaan samar akibat kehilangan cermin mata saya cuba mengambil semula cermin mata tersebut tetapi salah seorang anggota polis telah memijak cermin mata saya sehingga pecah, saya dipukul dengan teruk tanpa ada belas kasihan langsung oleh pihak polis," sambung beliau lagi.

Sewaktu dipukul, beliau juga mendakwa ada mendengar Aziz Bari merayu meminta polis berhenti memukul beliau.

Akibat dibelasah beramai-ramai itu, Fahmi mengalami kecederaan di bahagian muka, dada dan belakang.

Tidak lama kemudian, beliau bersama tahanan yang lain dibawa ke Pulapol untuk diambil keterangan.

Ketika memberi keterangan pula, Fahmi mendakwa  polis hanya mengambil maklumat peribadi sahaja tanpa bertanya apa yang berlaku terhadapnya sebenarnya.

Beliau yang baru enam bulan menyertai Unit Amal Shah Alam itu kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada hari Isnin 30 April sebelum membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang juga pada hari yang sama.

"Biarlah apa yang polis lakukan terhadap saya itu diadili oleh Allah dan saya tidak mempunyai apa-apa dendam dengan mereka.

"Cuma yang paling menyentuh perasaan saya ketika saya diarahkan menanggalkan beret yang dipakai oleh saya dan saya sendiri tidak mengetahui apa alasan sebenarnya polis suruh saya tanggalkan beret tersebut," katanya.


Sumber: Harakahdaily.net

Kejayaan awal, Umno pun sertai himpunan tanah

Posted: 07 May 2012 03:20 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pengerusi Himpunan Tanah Rakyat (Tanah) Mazlan Aliman menyifatkan himpunan yang dihadiri ribuan rakyat di Plaza Angsana Johor Bahru semalam satu kejayaan awal menarik kesedaran rakyat.

Menurutnya, kehadiran ramai itu juga membuktikan isu tanah adalah antara isu besar yang sedang dihadapi rakyat di negara ini.

"Bagi saya ini satu kejayaan awal kepada kita dalam usaha menggesa kerajaan pusat dan negeri menyelesaikan isu tanah rakyat ini.

"Bahkan orang Umno juga datang dan memberi ucapan dalam himpunan itu dengan menyatakan masalah tanah yang dihadapi di tempat mereka," kata Mazlan ketika dihubungi Harakahdaily.

Semalam ribuan rakyat menyertai himpunan Tanah di Plaza Angsana Johor Bahru bagi menyatakan solidariti penduduk negeri Johor yang banyak menghadapi masalah tanah yang gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri.

Himpunan yamg bermula jam 2 petang itu berlangsung amantanpa sebarang provokasi dari mana-mana pihak.

Mereka turut membuat 10 resolusi sebagai tuntutan kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Johor untuk menyelesaikan masalah tanah.

Tuntutan itu antara lain mahu kerajaan Johor menuntut semula Pulau Batu Puteh, siasat penyerahan tanah KTM Tanjung Pagar, hentikan pengurniaan tanah KPRJ atau kroni, rampas tanah penyeleweng serta selamatkan tanah rizab Melayu.

Selain itu mereka juga mahu kerajaan negeri mewartakan tanah rizab orang asal, memastikan ketelusan pengurniaan tanah, pemilik tanah miliki ekuiti projek mega, selesaikan projek rumah terbengkalai dan hentikan manipulasi dan kurangkan birokrasi.

Sebagai langkah penerusan menurut Mazlan, pihaknya akan mengadakan siri jelajah ke seluruh daerah di negeri Johor.

"Kita juga akan serahkan 10 tuntutan ini kepada pihak yang berautoriti untuk diambil tindakan sewajarnya.

"Kita juga tidak teragak-agak untuk menggerakkan himpunan lebih besar di hadapan pejabat menteri besar jika tiada sebarang respon positif dari mereka terhadap tuntutan rakyat ini," katanya.


Sumber: harakahdaily.net

Sokongan buta tuli bekas KPN p’raya tak bersih

Posted: 07 May 2012 03:05 AM PDT

Sokongan membuta-tuli tidak berasas oleh tiga bekas Ketua Polis Negara berasaskan dakwaan Najib Razak bahawa perhimpunan aman "Duduk Bantah" Bersih 3.0 merupakan satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan sekarang adalah bukti terbaru yang menunjukkan bahawa reformasi proses pilihanraya supaya bersih dan adil tidak mungkin akan dijalankan.
Hampir setiap hari, rakyat Malaysia dijamu dengan bukti terbaru bahawa tidak akan wujud suatu platform dimana pilihanraya yang berlandaskan proses yang bebas dan adil di Malaysia boleh berlaku dan kerajaan Barisan Nasional nampaknya telah jauh terpesong daripada menjawab 8 tuntutan Bersih 2.0 dalam perhimpunan aman 9 Julai 2011 untuk pilihanraya yang bebas dan adil. Apatah lagi 3 tuntutan tambahan perhimpunan aman "duduk bantah" Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Lapan Tuntutan Bersih 2.0 adalah:
1. Pembersihan senarai pengundi berdaftar
2. Mereformasikan undi pos
3. Penggunaan dakwat kekal
4. Tempoh berkempen minima 21 hari
5. Akses media yang bebas dan adil bagi media arus perdana
6. Pengukuhan institusi awam
7. Hentikan rasuah
8. Hentikan politik kotor

Tiga Tuntutan Tambahan "Duduk-Bantah" Bersih 3.0 adalah :

1.       Suruhanjaya Pilihanraya mesti meletak jawatan, terutama sekali atas kegagalannya dalam melaksanakan tanggungjawab dan telah kehilangan kepercayaan umum.
2.       Proses pilihanraya mesti dibersihkan sebelum Pilihanraya Umum Ke-13.
3.       Menjemput pemerhati antarabangsa untuk meneliti proses Pilihanraya Umum Ke-13.
Bukti terbaru yang menunjukkan bahawa Malaysia masih jauh daripada melaksanakan pilihanraya yang bebas dan adil adalah, pertamanya, tuduhan melulu dan dakwaan Perdana Menteri Najib Tun Razak bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional; dan keduanya, sokongan membuta tuli yang telah diberi oleh tiga bekas Ketua Polis Negara terhadap dakwaan Najib itu.

Muka hadapan hari ini akhbar Berita Harian milik UMNO, telah memaparkan berita tiga bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar, Tan Sri Rahim Noor dan Tan Sri Musa Hassan turut membantu menguatkan tuduhan melulu Najib bahawa perhimpunan "428" "duduk-bantah" Bersih 3.0 merupakan satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan, dengan menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan keatas dakwaan cubaan merampas kuasa.

Nampaknya, ketiga-tiga bekas Ketua Polis Negara dipergunakan untuk memberi justifikasi kepada tindakan keras yang telah digunakan, yang mengingatkan kita kepada penahanan beramai-ramai dalam Operasi Lalang pada tahun 1987!

Apa wujudkah sekelumit bukti pun yang menunjukkan bahawa perhimpunan aman "duduk-bantah" Bersih 3.0 adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan sepertimana yang didakwa oleh Najib dan disokong oleh tiga bekas Ketua Polis Negara untuk memberi justifikasi kepada tindakan yang bakal diambil polis?

Tidak sama sekali, seperti yang terbukti dalam pengakuan Haniff sendiri. Berikut adalah kenyataan Haniff:

"Perlu ada bukti kerana Perdana Menteri tidak boleh membuat andaian semata-mata. Ianya mungkin berlaku dan pasti ada segolongan yang akan melakukan  sedemikian untuk kepentingan masing-masing"

Ini adalah puncak segala yang tidak masuk akal, dan buat pertama dalam sejarah 55 tahun negara ini wujud sebuah dakwaan bahawa sebuah kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri sendiri, tidak kira bagaimana liar dan tidak masuk akal, menjadi bukti sahih yang mencukupi untuk tindakan lanjut pihak kerajaan.

Tidak ada seorang pun dari kalangan lima Perdana Menteri  sebelum ini, termasuklah Tun Dr Mahathir sendiri dalam tempoh masa 22 tahun sebagai Perdana Menteri yang keempat, telah membuat dakwaan bahawa kenyataannya tidak boleh diragui.

Ini bukan sahaja percubaan yang berbahaya untuk menjadikan kenyataan Perdana Menteri bertaraf seakan undang-undang malah untuk menjadikannya bukti mutlak dan tidak boleh diragui, tidak kira betapa tidak masuk akal atau tidak munasabah dakwaan yang ditujukan itu.

Dua daripada lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah "akses bebas dan adil bagi media arus perdana" dan "hentikan politik kotor".

Rakyat Malaysia sedang menyaksikan "politik kotor" yang paling teruk dalam sejarah 55 tahun negara ini dalam rangka menuju Pilihanraya Umum Ke-13, mendapat tempat di dalam media arus perdana dan diberi kebebasan yang dinafikan bagi pihak-pihak lain yang bertanding dan mempunyai kepentingan terhadap pilihanraya yang bebas dan adil.

Telatah yang tidak bertanggungjawab oleh pihak Perdana Menteri  dan tiga bekas Ketua Polis Negara merupakan contoh terkini dan contoh yang jelas mengapa Lapan Tuntutan Bersih 2.0 masih relevan, penting dan tidak mungkin ditunaikan, dan merupakan satu sebab kukuh bagi semua rakyat Malaysia yang menghargai kebebasan yang ada untuk mendesak sekeras-kerasnya untuk Pilihanraya Umum Ke-13 dijalankan di atas medan yang adil.

Sumber: Harakahdailynet

Nik Aziz: Keputusan Majlis Fatwa 'guna sebelah mata'

Posted: 07 May 2012 02:50 AM PDT

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang mengharamkan perhimpunan yang menurut majlis itu bertujuan tidak baik sepertimana yang berlaku dalam perhimpunan 28 April lalu, dibuat hanya menggunakan "sebelah mata".

Mengulas kenyataan pengerusi Majlis Fatwa Kebangsan, Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Hussin mengenai perkara itu, Nik Aziz berkata, beliau setuju bahawa perhimpunan yang bertujuan untuk mencetuskan huru hara dan merosakkan harta benda adalah haram.

"Bagaimanapun, apabila dikaitkan dengan himpunan BERSIH 3.0 yang dikatakan menimbulkan huru-hara, saya berpandangan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan dengan hanya menggunakan sebelah mata.

"Mata yang digunakan pula adalah kabur dengan cermin mata yang telahpun rosak," katanya sambil menambah beliau menghormati anggota Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Namun dalam hal ini saya amat berbeza dengan pendirian yang dikemukakan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ini," kata Nik Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Abdul Shukor dilaporkan berkata Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang dan kekacauan di dalam negara.

Menurut laporan akhbar, pengerusi Majlis Fatwa itu berkata Islam membenarkan mencari keadilan tetapi melaui tindakan beradab.

Mengulas lanjut, menteri besar Kelantan itu berkata perhimpunan BERSIH 3.0 bukannya bertujuan untuk mencetuskan huru-hara

Perhimpunan itu, tambahnya, menggariskan lapan tuntutan untuk membersihkan pilihan raya dan jauh sekali untuk mencetuskan huru-hara bagi menjatuhkan kerajaan melalui jalan raya.

"Jika dikatakan menggunakan cara beradab dibenarkan, maka suka saya bertanya, apakah jalan beradab yang lebih aman melainkan pergi dan duduk?

"Pernahkah Majlis Fatwa memandang dan memahami di sebalik lapan tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH untuk mengatasi isu pengundi hantu dan penipuan di dalam pilihan raya yang implikasinya lebih besar kepada negara?" soal Nik Aziz.

Sehubungan itu, beliau yakin bahawa fatwa tersebut hanya "laporan akhbar pro-kerajaan sahaja tanpa mendapat penjelasan dari penganjur BERSIH 3.0 sebelum membuat pertimbangan dibuat.

"Justeru, soalan saya ialah fatwa-kah namanya sekiranya tanpa penjelasan dari kedua-dua belah pihak, terus sahaja dijatuhkan hukuman?" kata Nik Aziz lagi.

Sebaliknya, kata menteri besar Kelantan itu, huru-hara tercetus jika ia dihalang.

"Andaikan himpunan di Gua Musang dan RTC, Kota Bharu ketika kedatangan Perdana Menteri baru-baru ini ke Kelantan dihalang dan disembur dengan air, tidak mustahil ia turut menjadi huru-hara. 

"Jika BERSIH berhimpun dianggap haram, apa pula hukum perhimpunan Presiden Umno di Gua Musang dan RTC baru-baru ini yang tujuannya jelas mengajak rakyat menukar kerajaan Kelantan?

"Justeru cukuplah saya mengatakan, jangan berjalan sebelah kaki, nanti pincang mengatur langkah. Salam hormat saya buat Majlis Fatwa Kebangsaan," tambahnya.


Sumber: Malaysiakini

PKR: Fatwa haram demo ikut kehendak Umno

Posted: 07 May 2012 02:35 AM PDT

Ketua penerangan PKR Dr Muhammad Nur Manuty mendakwa fatwa mengharamkan orang Islam daripada menyertai demonstrasi dibuat untuk memenuhi kehendak pemimpin Umno.

"Adalah jelas bahawa fatwa tersebut semata-mata bertujuan untuk memenuhi kehendak pimpinan Umno yang terdesak menggunakan isu-isu agama Islam dan bangsa Melayu bagi survival politik mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian dengan mempersoalkan pendirian jawatankuasa tersebut dalam isu yang sering digunakan untuk menyerang pemimpin Pakatan Rakyat.

"Di manakah pendirian rasmi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terhadap amalan budaya fitnah jahat, perbuatan mengaibkan individu Muslim serta penyebaran video seks yang begitu berleluasa penyebarannya serta mendapat perlindungan dari pemerintah?"

Beliau mengulas keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang memutuskan haram bagi umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.

Fatwa memeranjatkan itu dikeluarkan semalam selepas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April merupakan usaha untuk mengguling kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi sistem demokrasi.

Sedangkan, penganjur sejak awal lagi menyatakan bahawa perhimpunan itu diadakan bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil, kata Muhammad Nur.

Malah pengharaman itu juga bertentangan dengan hukum keharusan berdemonstrasi seperti pandangan presiden Persatuan Ulama Sedunia Yusuf Al-Qaradhawi, katanya.

"(Yusuf) berpendapat bahawa demonstrasi adalah harus kerana ia adalah salah satu kaedah untuk membebaskan rakyat dari cengkaman pemerintahan yang zalim, tidak adil serta tidak memberikan kebebasan rakyat bersuara dan bergerak dalam suasana yang aman," katanya.


Sumber: Malaysiakini

PAS: Bimbang diguling, Najib takut bayang-bayang

Posted: 07 May 2012 02:15 AM PDT

Naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menyanggah dakwaan perdana mentgeri bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 merupakan usaha untuk menumbangkan kerajaan seperti Arab Spring yang berlaku di negara-negara Arab.

Katanya perhimpunan berkenaan tidak menuntut supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan tetapi untuk membolehkan pilihan raya bersih dan adil diadakan.

"Najib takut bayang-bayang dia sendiri. Kita bukan mintak kerajaan turun. Kita tak minta Najib turun.

"Kita minta pilihan raya bersih, bukan nak guling kerajaan. Berbeza dengan Mesir, (peserta demonstrasi) minta (bekas presiden, Jeneral) Hosni (Mubarak) turun, nak rampas (kuasa).

"Di Malaysia, bukan minta dia turun. Itu minta kemenangan percuma. Kita mahu menang atau kalah dalam pilihan raya bersih dan adil," katanya lagi dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.

Beliau mengulas kenyataan Najib yang bimbang sekiranya peserta perhimpunan BERSIH 3.0 akan terus menduduki Dataran Merdeka seperti yang dilakukan di Dataran Tahrir, Mesir.

Perdana Menteri berkata kerajaan tidak boleh berkompromi dengan kumpulan tersebut yang cuba menumbangkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah.


Sumber: Malaysiakini

Warga Siber Siar Foto Polis yang 'dikehendaki'

Posted: 07 May 2012 02:00 AM PDT

Kecewa dengan tanggapan bahawa polis tidak mengambil tindakan terhadap anggotanya yang didakwa menggunakan kekerasan berlebihan semasa perhimpunan BERSIH 3.0, warga siber memulakan inisiatif untuk mengenal pasti mereka yang dikatakan telah menyerang seorang jurugambar akhbar.

Satu imej empat anggota polis yang dikatakan telah menyerang
Huang An Jian - jurugambar akhbar berbahasa Cina, Guang Ming Daily - telah dimuatkan dalam halaman peminat Facebook berbahasa Cina.

Postingnya bermaksud 'Masa untuk balas dendam! Kongsi ini! Empat anggota polis yang menyerang wartawan Guang Ming Daily!".

Dalam masa 24 jam, imej tersebut telah menarik lebih 3,000 'likes' dan lebih 200 komen. Ia telah dikongsi oleh lebih 6,000 pengguna Facebook.

Perhimpunan di Kuala Lumpur pada 28 April lalu telah dicemari oleh keganasan yang membabitkan kedua-dua pihak - anggota polis dan para peserta.

Polis telah menerbitkan gambar 91 peserta, meminta mereka tampil membantu siasatan dakwaan berlaku keganasan. Gambar-gambar lain menunjukkan peserta 'merempuh benteng polis'.

Sekurang-kurangnya 13 wartawan, jurugambar dan juruvideo telah diserang semasa perhimpunan tersebut. Kebanyakan mereka mendakwa telah dikasari polis walaupun mereka menunjukkan kad media dan memperkenalkan diri mereka sebagai petugas media.

Banyak gambar atau klip video yang menunjukkan dakwaan
kekejaman polis, telah dimuatnaik di Internet oleh para saksi.

Polis, bagaimanapun, hanya menerbit gambar satu sahaja insiden tersebut dan meminta saksi dan mangsanya menghubungi mereka.

Ini menyebabkan warga siber mengkritik pihak polis kerana didakwa menjalankan siasatan berat sebelah dan cuba melindungi anggotanya yang terbabit.


Sumber: Malaysiakini

Demo Mansuhkan Tol Batu 3 dan dg Rasau

Posted: 07 May 2012 12:00 AM PDT


Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


DUNIACACAMARBA

Posted: 07 May 2012 03:36 PM PDT

[BERNAMA] Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berharap semua pihak termasuk media memberi peluang kepada timbalan presiden PKR Azmin Ali membersihkan nama berhubung rakaman video panas yang didakwa mirip dirinya (Azmin).

"Saya tak ada hak untuk bercakap tentang itu, biar dia sendiri yang cakap secara langsung....beri peluang (kepada Azmin membersihkan namanya)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa diminta mengulas rakaman video panas yang didakwa mirip Azmin bersama seorang wanita yang tersebar baru-baru ini, selepas menyampaikan ceramah umum bersama bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir di Bukit Tok Beng, Batu Rakit, di Kuala Terengganu, hari ini.

Ketika diminta mengulas kenyataan Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin yang mendakwa rakaman video berkenaan dibuat oleh orang dalam parti PKR sendiri, Abdul Hadi berkata beliau tidak mahu mengulas berdasarkan andaian atau dakwaan.

"Saya tak nak komen sebab ia dakwaan sahaja, satu andaian... buat andaian memang tak boleh. Kita (PAS) berpegang kepada ajaran Islam, adat Islam kena ada empat saksi, saksi yang adil, ikhlas dan bersopan dan mahkamah yang bebas.

"(Yang penting) beri peluang Azmin bela diri, termasuk yang menuduh itu pun kena diambil tindakan, mana boleh menuduh saja-saja," katanya.

Mengenai ura-ura beberapa lagi video panas yang didakwa membabitkan pemimpin pembangkang yang lain akan didedahkan, Abdul Hadi berkata pihak yang mendakwa mempunyai rakaman berkenaan sepatutnya membawa kes berkenaan ke mahkamah.

"Berdosa, kalau tuduh orang, betul sekali pun tapi tak ada saksi dan tak ada bukti tetap berdosa, apatah lagi benda salah, Islam tak benar begitu," katanya. 

Hadi: Beri peluang Azmin bela diri
[SH] KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta RTM dan TV3 membuat liputan secara langsung bagi memberi peluang kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali membela diri dan menjawab tuduhan yang mengaitkan beliau berhubung isu video panas yang tersebar baru-baru ini.

Bercakap kepada media di sini, Abdul Hadi menganggap beliau tiada hak mengulas mengenai pembabitan pelaku yang mirip Azmin itu, tetapi menyifatkan kaedah yang dicadangkan itu adil kepada individu terbabit.

Beliau berkata, siaran secara langsung boleh memberi liputan penuh kepada kenyataan Azmin tanpa sebarang suntingan.

"Saya minta RTM, TV3 bagi peluang kepada Azmin untuk bercakap di TV. Biar dia bercakap, bagi peluang kepada dia barulah adil. Saya tiada hak untuk bercakap tentang itu. Biar dia sendiri melalui siaran secara langsung. Kalau rakaman, nanti dipotong pula," katanya kepada media selepas menyampaikan ceramah umum di Kampung Bukit Tok Beng, di sini, semalam.

Abdul Hadi turut menggesa pihak yang menyebarkan video terbabit diambil tindakan kerana ia tidak wajar didedahkan sedemikian rupa kepada umum.

Berhubung pendirian Pas, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, pihaknya berpegang kepada kaedah Islam yang menuntut empat saksi bagi mengesahkan kesahihan pelaku dalam video terbabit.

"Kita berpegang kepada ajaran Islam. Adat Islam kena ada empat saksi, saksi yang adil, ikhlas dan bersopan dan mahkamah yang bebas, akhbar boleh jadi mahkamah," katanya.

Ditanya khabar angin mengenai penglibatan pemimpin Pas yang turut dikaitkan dalam video tidak bermoral yang masih belum didedahkan, beliau menegaskan, jika benar, ia perlu dibawa ke mahkamah.

Jelasnya, sebarang penyebaran imej tidak senonoh tidak boleh disebarkan sewenang-wenangnya.

Beliau turut mengingatkan mana-mana pihak yang terlibat dengan penyebaran imej lucah adalah berdosa termasuk pihak penerbitan akhbar dan penulis yang menyampaikan maklumat berkaitan, walaupun ia benar kerana kesalahan yang dilakukan pelaku itu disifatkan sebagai hak tuhan.

"Mana boleh sebar, bawalah pergi mahkamah kalau mahu buat tuduhan, tak baik dan berdosa, akhbar pun berdosa, yang tulis itu pun berdosa. Kalau tuduhan itu betul sekali pun tapi tiada saksi, tiada bukti tetap berdosa apatah lagi benda salah. Islam tak benar begitu.

"Walaupun kita tengok orang buat benda salah, kita seorang ada, itu tetap salah sebab itu adalah hak tuhan, ini pergi rampas hak tuhan mana boleh macam tu," katanya.

DIALOG RAKYAT

Posted: 07 May 2012 03:16 PM PDT

Pasca Bersih 3.0: Kisah Ibu Tua yang dibelasah polis

Posted: 06 May 2012 06:14 PM PDT

 Oleh: Hafiz Zainuddin

Ini adalah kisah seorang ibu tua penanam belimbing yang telah dihalau dari tanah yang diterokanya suatu ketika dulu. Lantas, beliau dan keluarga membawa diri ke Kuantan untuk memulakan kehidupan baru.

Tanahnya yang kini telah dibangunkan The Mines Shopping Mall yang megah itu baginya cuma sekadar kenangan duka jerih perih mencari nafkah dari bumi bertuah ini. Segalanya telah berlalu.

Ibu tua berumur 71 tahun ini bernama Tuw Ah Mei.

Beliau ibu bagi empat orang anak, juga nenek bagi sembilan orang cucu. Beliau seperti kita, rakyat biasa yang mengharapkan agar negaranya sejahtera dan aman di mana masyarakatnya dapat hidup dalam keadaan harmoni dan adil…  Cukuplah dulu tanah kebunnya telah dirampas kerajaan Barisan Nasional…

Sebagai seorang ibu dan warganegara yang sedar dan prihatin. Puan Tuw sememangnya cakna dan sensitif terhadap isu yang berlegar di sekitarnya. Tidak hairanlah, demi menunjukkan kepedulian dan komitmennya kepada semangat kebebasan dan keadilan, beliau pernah berpuasa selama lima hari dan berdoa agar Anwar Ibrahim dibebaskan pada 9 Januari lalu (tarikh keputusan kes Liwat II). Ibu tua ini juga telah memprotes dengan mogok lapar apabila Lim Guan Eng ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Semangat seorang ibu…

Semangat Puan Tuw Ah Mei tidak boleh dinafikan. Demi masa depan negara yang tercinta, baru-baru ini beliau turut serta dalam perhimpunan duduk-bantah Bersih 3.0 yang menuntut reformasi sistem pilihan raya Malaysia. Dalam perhimpunan tersebut, beliau telah menyaksikan keganasan pihak polis membelasah peserta perhimpunan.

Insiden pertama keganasan polis yang disaksikan Puan Tew berlaku di Jalan Raja Laut pada Sabtu itu, sewaktu beliau melihat tiga orang peserta perhimpunan aman dibelasah oleh beberapa orang polis. Perkara yang sama juga disaksikan semasa beliau melalui Jalan Tun Perak yang menyaksikan lebih ramai peserta perhimpunan aman dibelasah beramai-ramai. Perasaannya ketika itu luluh bercampur-baur antara ketakutan dan kesedihan.

Hati ibu ini sangat tersentuh dengan insiden yang disaksikan oleh mata kepalanya sendiri. 'Polis pukul orang tanpa sebab yang munasabah…' Semena-mena air matanya mengalir, beliau menangis sambil mempersoalkan tindakan melulu pihak polis. Mereka yang dibelasah polis tersebut ibarat anak-anaknya sendiri. "Apakah kejadian 'Teoh Beng Hock' akan berlaku sekali lagi?" bisik hati kecilnya.

Sang ibu ditumbuk polis wanita…

Dalam keadaan kacau bilau tersebut, Puan Tuw telah ditahan. Hati mana yang tidak meradang, sudahlah perhimpunan aman diganggu pihak berkuasa dengan kekasaran, semburan air asid dan tembakan gas pemedih mata, ditahan pula tanpa sebab yang munasabah malahan semasa dimasukkan ke dalam kereta polis, beliau ditolak dengan kasar.

Sewaktu ibu tua ini berada di dalam kereta polis, tidak semena-mena pula beliau ditumbuk oleh seorang polis wanita!

Mengapa semua ini berlaku? Apakah polis wanita tersebut tidak ada perasaan belas sehingga sanggup menumbuk seorang ibu tua berusia 71 tahun? Dimanakah letaknya peri kemanusiaan atau sekurang-kurangnya rasa hormat terhadap orang tua dan sesama wanita?

Sebagai warga Malaysia yang bermaruah dan prihatin, apakah kita boleh menerima tindakan polis wanita tersebut menumbuk seorang seorang ibu tua berusia 71 tahun?

Dalam keadaan tertekan, kepenatan dan marah di atas apa yang berlaku. Dengan segala kekuatan  orang tua yang ada, Puan Tuw membalas tindakan polis wanita tersebut dengan menendangnya. Maka berlakulah sedikit 'pergelutan' sehinggalah seorang anggota polis yang prihatin datang menegur polis wanita tersebut dan meleraikan pergaduhan.

Di Pulapol…

Puan Tuw ditahan dan dibawa ke Pulapol Cheras. Dalam perjalanan ke bilik tahanan, seorang anggota polis telah menyimbah wajahnya dengan air. Beliau terpinga-pinga dengan tindakan anggota polis tersebut.

Segala persoalan membayangi fikirannya. Kenapa wajahnya perlu disimbah dengan air sedemikian rupa? Mengapakah ia perlu berlaku? Siapa pun pasti terpinga-pinga.

Polis yang dibayar oleh rakyat gaji mereka bertindak seolah-olah mereka yang memiliki negara ini. Walhal, Negara ini milik kita semua. Dimanakah letaknya sifat peri kemanusiaan seorang anggota keselamatan? Dimanakah letaknya maruah sebagai seorang insan? Apakah perkara ini adil bagi seorang ibu tua? Malah terhadap siapapun jua, ia tidak sepatutnya berlaku.

Apabila Puan Tuw membuka mulutnya…

Atas kejadian yang menimpa beliau. Puan Tuw telah pun membuat laporan polis untuk memohon siasatan segera terhadap aduannya dan turut menggesa polis untuk mengambil tindakan terhadap siapa sahaja yang melanggar undang-undang. Beliau juga dibantu oleh pihak parti untuk membuat sidang media menceritakan pengalaman yang dilaluinya.

Malangnya, inisiatif ibu tua prihatin ini telah diperlekehkan oleh Pengerusi MCA Serdang Liew Yun Keong. Menurut laporan Malaysiakini.com, Liew telah membuat tuduhan terhadap Puan Tuw dengan mengatakan bahawa Puan Tuw berbohong dan telah digunakan oleh DAP untuk menimbulkan isu ini.
Apakah Liew sengaja membuat tuduhan ini untuk mendapat publisiti murahan?

Mungkin ini tuduhan sembarangan, masakan Liew tahu puan Tuw berbohong sedangkan beliau sendiri tidak berada di tempat kejadian?

Memang benar Puan Tuw Ah Mei adalah ahli DAP. Apakah itu boleh menghalalkan perlakuan sedemikian rupa terhadapnya? Apakah beliau tidak boleh melaporkan apa yang berlaku ke atas dirinya? Dan apakah beliau tidak layak untuk bersuara?

Polis belasah bukan perkara asing…

Kejadian 'polis membelasah peserta perhimpunan' bukanlah kes terasing. Kalau Puan Tuw Ah Mei berbohong sekalipun, ia tidak mengurangkan kebenaran tentang keganasan dan salah guna kuasa polis sebelum ini.

Peristiwa yang berlaku terhadap ibu tua bernama Puan Tuw Ah Mei bukanlah satu-satunya kejadian yang berlaku. Masih ramai lagi peserta perhimpunan dan rakyat Malaysia mengalami peristiwa yang hampir serupa; dibelasah polis, tercedera ketika menyelamatkan diri, lemas dalam gas pemedih mata dan sebagainya. Semuanya adalah sebuah manifestasi kepada sebuah kerajaan yang takut dengan bayang-bayangnya sendiri.roketkini.com

Suhakam dipinggir, Najib terus dolak-dalik

Posted: 06 May 2012 05:36 PM PDT

Roketkini.com

PETALING JAYA: Kuman di seberang laut, Najib nampak; gajah di depan mata, dia pura-pura rabun.

Itulah sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu menubuhkan sebuah panel baru bagi siasatan terhadap salah guna kuasa polis semasa perhimpunan aman Bersih 3.0 sedangkan Malaysia sudah mempunyai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata, Najib perlu mencermin dirinya terlebih dahulu sebelum mendakwa perhimpunan Bersih telah melanggar "prinsip dan semangat Akta Perhimpunan Aman."

"Perdana Menteri gagal untuk memahami dan menghayati prinsip dan semangat akta tersebut yang membenarkan ruang demokratik yang lebih besar untuk bersuara dan behimpun rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, laporan Bernama memetik Najib sebagai berkata beliau sedang mencari "orang yang sesuai" bagi menjadi sebahagian dari panel penyiasat.

Menurut Pua, kerajaan telah pun membentuk Suhakam di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 yang antara peranannya bertanggungjawab terhadap sebarang siasatan aduan mengenai perlanggaran hak asasi manusia.

Katanya, Seksyen 4(2) Akta Suhakam juga mempunyai kuasa untuk 'menasihati kerajaan dan atau pihak berkuasa berkenaan' bagi aduan terhadap mereka dan untuk mengesyorkan tindakan sewajarnya diambil.
"Buat masa ini, Suruhanjaya tersebut diketuai oleh Tan Sri Hasmy Agam. Pesuruhjaya yang lain termasuk Professor Dr. Khaw Lake Tee, Encik Mohd Sha'ani Abdullah, Professor Datuk Dr Mahmud Zuhdi Majid and Encik James Nagayam," tambah beliau.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, semua Pesuruhjaya itu telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang dicadangkan oleh Perdana Menteri untuk mempertahankan hak asasi manusia di negara ini.

"Jadi, kenapa SUHAKAM dipinggirkan apabila siasatan melibatkan pencabulan hak asasi manusia secara terang-terangan oleh pasukan polis?

"Apakah Pesuruhjaya Suhakam yang ada ini tidak bagus? Atau kabinet sendiri risau Suhakam akan menemui perkara-perkara yang akan menjejaskan pasukan polis dan kerajaan dan sebab itu, Najib cuba membentuk panel baru yang akan lebih 'bersimpati' terhadap kerajaan?

"Kita menyeru Perdana Menteri untuk berhenti mengheret dirinya sendiri di atas tindakan keterlaluan dan keganasan polis terhadap wartawan dan rakyat biasa semasa perhimpunan Bersih," ujarnya.

Beliau kesal kerana kerajaan UMNO-BN telah membiarkan polis memukul dan mencederakan ramai rakyat Malaysia tanpa sebab yang jelas, termasuk wartawan The Sun, Radzi Razak, yang mengalami patah tulang pipi dan rusuk akibat dibelasah polis

"Kabinet perlu secepat mungkin melantik Suhakam sebagai panel siasatan bebas untuk menyelesaikan kontroversi ini secepat mungkin," ujarnya, menambah bahawa Najib tidak perlu membuang masa dan wang rakyat untuk menubuhkan panel yang baru.

Pua berkata, kerajaan UMNO-BN perlu membuka mata bahawa punca utama kekecauan sewaktu perhimpunan aman Bersih 3.0 bermula apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak dipilih oleh rakyat telah menolak permohonan Bersih untuk menggunakan Dataran Merdeka.

"Perdana Menteri sekali lagi cuba mengelak tuduhan kekacauan yang dibuat oleh polis semasa perhimpunan Bersih berlaku akibat keputusan jawatankuasa Bersih yang menolak penggunaan Stadium Merdeka sebagai tempat alternatif.

"Hakikatnya, lokasi tersebut ditawarkan pada saat-saat akhir sebelum perhimpunan bermula, ia bukanlah satu sebab munasabah yang diberi oleh DBKL atas penolakan untuk menggunakan Stadium Merdeka," tambah beliau.

Dalam perhimpunan Bersih 2.0 tahun lalu, Najib dan beberapa menterinya juga menngunakan  taktik yang sama dengan menawarkan stadium tetapi kemudian ditolak oleh pihak berkuasa di saat-saat akhir.

Menurut Pua, disebabkan penolakan tanpa alasan yang munasabah, peserta perhimpunan terpaksa berhimpun di jalanan manakala pasukan polis pula dikerahkan untuk mengawal Dataran Merdeka.

"Ia merupakan satu tindakan mengarut dan ironi apabila perhimpunan Bersih seolah-olah dibenarkan di jalanan tetapi tidak dibenarkan berlangsung di atas padang," katanya.

Beliau menegaskan bahawa Najib telah melakukan kesilapan menafikan hak Bersih untuk berhimpun di Stadium Merdeka semasa Bersih 2.0 Julai tahun lepas yang menyaksikan kekacauan di jalanan di mana pihak polis memerangkap peserta himpunan malah menyerang mereka di Hospital Tung Shin menggunakan semburan air dan gas pemedih mata.

"Beliau sekali lagi melakukan kesilapan yang sama dengan menafikan permohonan himpunan 'duduk-bantah' Bersih di Dataran Merdeka yang mengakibatkan  berlakunya keganasan yang tidak wajar sama ada dari pihak polis, media mahu pun peserta Bersih.

"Tindakan dan penafian beliau membuktikan bahawa 'program transformasi politik' telah gagal sepenuhnya dan bersifat kosmetik yang semata-mata bertujuan untuk menaikkan imejnya di mata masyarakat," ujarnya. – Roketkini.com

Syarikat Kroni Umno/BN Terengganu Pula Dapat Tanah?

Posted: 06 May 2012 05:23 PM PDT

Wartawan Buletin  

KUALA NERUS – Selepas menganugerah kan tanah kepada wakil-wakil rakyat, kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu dijangka akan mengagih-agihkan tanah kepada syarikat-syarikat kroni pula.

Menurut sumber, pada waktu terdekat, kerajaan akan memberikan tanah kepada syarikat yang menjalankan operasi kuari Bukit Batu Hampar atau dikenali kuari Bukit Berapit bersebelahan kuari Bukit Jong dekat sini.

Sumber tersebut berkata, atas tujuan tersebut, kerajaan Umno/BN Terengganu akan 'merampas'  tanah penduduk sekitar lokasi kuari itu beroperasi.

Pada tahun 2008, kira-kira tiga bulan dari tarikh pilihanraya umum ke-11, kuari terbabit yang telah ditutup sekian lama ditutup telah diberikan kepada syarikat Imbuhan Pelangi Sdn Bhd bekas Menteri Besar Dato' Seri Idris Jusoh.

Perkara tersebut telah didedahkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said ketika menjawa soalan yang dikemukakan oleh ADUN Bukit Tunggal, Dr Alias Razak, pada April 2010.

Semakan yang dibuat Buletinonline dan laporan diterbitkan pada 11 April 2010 mendapati, salah seorang Ahli Lembaga Pengarah syarikat tersebut adalah Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Nerus.

Namun begitu, menurut penduduk setempat, kuari yang banyak membekalkan bahan bagi membina jalan dan jambatan Kampung Jeram ke Kampung Bukit Guntung itu, bukan diuruskan oleh syarikat tempatan.

"Ia mungkin telah dijual kepada syarikat luar Terengganu, samada ia betul atau tidak, Wallahu'alam, tapi saya lihat orang luar yang menjalankan urusannya,"ujar beliau yang tidak mahu dikenali, ketika ditemui Buletinonline.

J'kuasa fatwa haram demo, AMK tuntut penjelasan

Posted: 06 May 2012 05:19 PM PDT

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menuntut penjelasan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung keputusan jawatankuasa itu hari ini bahawa umat Islam haram menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang melanggar undang-undang.

Ketua pergerakan itu, Shamsul Iskandar Md Akin berkata Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia perlu menjelaskan kerana keputusan tersebut mungkin dibuat dengan hanya berdasarkan laporan media arus perdana.

Sedangkan, perhimpunan BERSIH 3.0 – bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil – mempunyai tujuan yang baik, katanya lagi dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

"Kalau kita ambil pendekatan seperti ungkapan  yang mengatakan 'mencegah lebih baik daripada mengubati' dan 'berkata benar walaupun pahit', adalah wajib (sertai perhimpunan).

"Kita mesti ada kebebasan  untuk menyatakan pendirian dan pendapat dengan berani walaupun berdepan dengan risiko. Kita akan minta penjelasan daripada majlis fatwa supaya tidak dilihat fatwa ini akan memosong pemikiran orang Islam," katanya.

Sementara itu, pada sidang media sama, Shamsul turut menuntu penjelasan terperinci berhubung fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan hari ini mengenai penyertaan perhimpunan dan demonstrasi.

Menurut Shamsul lagi, jika diperlukan, beliau sedia mengemukakan majlumat lanjut berhubung perhimpunan BERSIH jawatankuasa majlis fatwa memerlukannya.

Jawatankuasa itu hari ini memutuskan haram bagi umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan hura-hura dan kekacauan dalam negara.

Rompakan Terbesar Malaysia; Kedudukan Najib Umpama 'Telur Di Hujung Tanduk'

Posted: 06 May 2012 05:16 PM PDT


Wartawan Buletin  
 
Umno Bakal Menyingkir Presidennnya 

 KUALA TERENGGANU – Antara pernyataan politik yang paling tajam sepanjang minggu lalu ialah kedudukan Presiden Umno Dato' Seri Najib Razak yang juga Perdana Menteri Malaysia dalam senario politik tanah air.

Menurut Ali Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad, kedudukan Najib semakin bahaya sekiranya beliau menagguhkan lagi pilihanraya umum sehingga tahun hadapan.

Katanya, perbicaraan kes pembelian kapal selam Scorpene yang sedang berlangsung di mahkamah Perancis membimbangkan Najib dan Umno.

"dalam konteks mahkamah di Perancis, mereka akan memanggil beberapa individu sebagai saksi termasuk Perdana Menteri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan hari ini Dato' Zahid Hamidi,

"ini adalah pendedahan yang akan mengakibatkan kedudukan Najib Tun Razak akan menjunam,"jelasnya.

Menurutnya, kes pembelian dua kapal selam Scorpenen sebelum ini yang disebut sebagai kes rasuah akan disebut sebagai kes  sabitan  jenayah sekaligus.

Katanya, menurut kenyataan SUARAM, Najib telah meminta pembayaran rasuah sebanyak RM1 bilion dollar Amerika bersamaan RM3 bilion.

NGO hak asasi manusia itu juga mengungkap, ia adalah satu kes 'Rompakan Terbesar di Malaysia' (Great Malaysian Robbery).

Oleh kerana itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat mendakwa Najib amat tertekan dasn meramalkan Najib akan disingkirkan dari Umno.

"saya rasakan Najb amat tertekan, dan sekiranya ditangguh lagi pilihanraya, saya meramalkan, Umno akan menyingkirkan Presidennnya untuk menyelamatkan Umno dalam pilihanraya umum ke-13 (akan datang),"tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penerangan Isu Semasa Pasca Bersih 3.0 yang diadakan pada 4 Mei, di Gong Pauh, Chukai Kemaman.

Pada perhitungan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan PAS itu, ia adalah isu yang paling besar dihadapi oleh Umno dan Barisan Nasional masakini.

Turut berucap dalam majlis tersebut ialah Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Saad dan Timbalan Ketua Penerangan PAS Terengganu Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani

LIHAT VIDEO DI SINI

AMK gesa kerajaan terima tawaran La Rue

Posted: 06 May 2012 05:01 PM PDT

Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Md Akin berkata kerajaan perlu menerima tawaran daripada seorang pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menyiasat dakwaan keganasan yang berlaku dalam perhimpunan BERSIH 3.0.

Katanya, penyertaaan oleh pelapor khas itu, Frank La Rue, akan meningkatkan lagi kredibiliti panel siasatan yang diumumkan perdana menteri sebelum ini.

Selain penyertaan La Rue, panel berkenaan juga perlu dilihat tidak berpihak dan turut menyertaan wakil daripada organisasi media dan MP Pakatan Rakyat, kata peguam itu.

Katanya lagi, keengganan kerajaan untuk berbuat demikian akan memberi gambaran tidak baik ke atas kredibiliti jawatankuasa berkenaan, kata Shamsul lagi dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

"Kita mengalu-alukan panel bebas seperti yang dikatakan. Anggota mesti dalam kalangan jawatankuasa BERSIH, Ahli Parlimen Pakatan, Wakil Suhakam, wartawan dan juga pelapor khas dari PBB itu," katanya.

La Rue hari ini memberitahu Malaysiakini bahawa beliau sedia menawarkan diri untuk menyiasat insiden yang berlaku dalam perhimpunan 28 April itu sekiranya kerajaan menjemput beliau untuk berbuat demikian.

Peguam yang berpengkalan di Geneva itu mengikuti rapat laporan berhubung perhimpunan BERSIH 3.0.

Saifuddin: Siswa sokong BERSIH, bukan parti

Posted: 06 May 2012 05:00 PM PDT

Timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah percaya golongan mahasiswa yang hadir ke perhimpunan BERSIH 3.0 bukan merupakan penyokong parti pembangkang.

Sebaliknya, kumpulan mahasiswa berkenaan hadir di perhimpunan tersebut untuk menyokong perjuangan NGO dalam gabungan pertubuhan menuntut pilihan raya bersih dan adil itu, katanya.

"Saya yakin mereka pergi ke Dataran Merdeka untuk menyertai BERSIH dengan kefahaman mereka atas tanggungjawab," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Kuala Lumpur hari ini.

Tambahnya, beliau juga mendengar rungutan bahawa "tokoh tertentu" memperalatkan perhimpunan tersebut sehingga menimbulkan rasa tidak senang di kalangan peserta perhimpunan 28 April itu.

Sehubungan itu juga, Saifuddin turut meminta 22 orang mahasiswa yang dikehendaki polis berhubung insiden yang berlaku pada hari itu supaya tampil membantu siasatan.

Katanya, lebih baik sekiranya pelajar berkenaan berbuat demikian daripada terus dicari oleh pihak polis.

"Lebih baik mereka tampil memberi kerjasama... Mereka harus menyatakan di mana dan kenapa mereka menyertai BERSIH. Ini akan memudahkan polis membuat siasatan dan memberi gambaran peristiwa sebenar," katanya.

Pihak polis sebelum ini polis mengeluarkan 49 wajah peserta BERSIH yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan.

Ekoran itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin memaklumkan bahawa 22 orang daripada individu berkenaan merupakan golongan mahasiswa.

Umno mahu SU Agung PKR minta maaf

Posted: 06 May 2012 04:57 PM PDT

ROSMIZA KASIM

Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed

 

 

KOTA BHARU - Umno Kelantan menggesa Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail memohon maaf kepada Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar kerana mendakwa beliau ahli Umno dan tidak layak memegang jawatan itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dakwaan yang dibuat tanpa kajian itu secara tidak langsung menjejaskan kredibiliti Wan Ahmad sebagai pegawai SPR.

Menurutnya, pendedahan yang dibuat Sinar Harian semalam jelas menunjukkan (Datuk) Wan Ahmad bukanlah ahli Umno Cawangan Kubang Bunggor, Pasir Mas seperti yang didakwa pembangkang dan itu adalah dakwaan palsu.

"Dia (Saifuddin) kena minta maaf atas tuduhan tidak berasas ini.Ini adalah kerja-kerja mereka sepanjang menjadi pembangkang yang sentiasa mengeluarkan tuduhan melulu tanpa selidik perkara sebenarnya.

"Mereka ini cuba memperdayakan rakyat dengan pelbagai tuduhan dan ada juga di antara masyarakat yang mempercayainya walhal ia sebenarnya tidak benar," katanya semalam.

Terdahulu beliau merasmikan Pelancaran Kawasan Industri Majlis Amanah Rakyat (Mara) (Kimfest) 2012 dan Halal Park di Pengkalan Chepa di sini.

Seperti yang didedahkan Saifuddin dalam Sinar Harian 26 April lalu, mendakwa nama Wan Ahmad Wan Omar kad pengenalan bernombor 490101-03-5179 dan kad pengenalan lama 2756290 adalah disebut dimiliki oleh Datuk Wan Ahmad.

Saifuddin mengaitkan nombor kad pengenalan Wan Ahmad seorang peniaga kedai makan itu adalah milik Datuk Wan Ahmad sebagai ahli Umno sehingga turut mencabarnya bersama Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof membuat penafian sebelum pendedahan dibuat.

Saifuddin juga turut mendesak Abdul Aziz dan Datuk Wan Ahmad melepaskan keahlian mereka bagi membuktikan SPR bebas dan berkecuali.

Perkara ini seakan-akan terjawab setelah Sinar Harian mendedahkan seorang lelaki mengaku nama dan nombor kad pengenalan itu sebenarnya adalah miliknya tetapi bukan merujuk kepunyaan Datuk Wan Ahmad.

Dalam masa sama Wan Ahmad juga bersimpati terhadap Datuk Wan Ahmad dan Umno perlu menjawab perkara itu untuk menjaga imej SPR sebagai badan pengurus pilihan raya yang bebas dan berkecuali.

Wan Ahmad anggap isu ahli Umno selesai

Posted: 06 May 2012 04:55 PM PDT

HASLINA KAMALUDIN

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar

 

 

SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar menganggap isu keahliannya dalam Umno dibangkitkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sudah selesai apabila individu yang dikaitkan tampil membuat pengakuan.

Menurutnya, kenyataan penafiannya sebelum ini sudah cukup membuktikan dirinya tiada kaitan dengan dakwaan Saifuddin yang sebelum ini memberikan bukti nama, nombor kad pengenalan serta nombor keahlian.

"Perkara ini sudah selesai. Saya tidak mahu memikirkan perkara yang dijadikan isu lagi. Fokus utama saya adalah kepada taklimat SPR. Saya akan menjelajah beberapa negeri bagi memberikan taklimat untuk persediaan pilihan­ raya.

"Saya perlu memberi tumpuan pada kerja saya kerana ini melibatkan semua pihak," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Semalam, Sinar Harian menemui Wan Ahmad yang berkongsi nama dengan timbalan pengerusi SPR itu. Dia seorang peniaga kedai makan di Pasir Mas, Kelantan.

Ditanya mengenai tempoh permohonan maaf secara terbuka yang diberikan kepada Saifuddin, Wan Ahmad berkata: "Kalau benar beliau pemimpin bermaruah dan mempunyai integriti tinggi, seharusnya beliau tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

"Beliau telah mengaibkan saya tanpa usul periksa. Beliau dilihat terburu-buru dan secara melulu membuat prasangka. Jika seorang pemimpin sudah melakukan kesilapan, perlulah memohon maaf.

"Tapi, saya tidak meletakkan apa-apa tempoh. Apa yang penting, masyarakat sudah mengetahui perkara sebenar," katanya.

Pas sudah ada senarai calon PRU13

Posted: 06 May 2012 04:53 PM PDT

RAZIF ROSLI

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

 

 

IPOH – Pas hampir selesai menamakan semua calon sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang dijangka diadakan bila-bila masa.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hampir setiap negeri sudah pun menyenaraikan calon pada PRU13 kelak.

Menurutnya, Majlis Syura Pas sudah pun meneliti senarai nama sementara keputusan individu dipilih menjadi calon hanya akan diputuskan di peringkat Majlis Syura berkenaan.

"Boleh dikatakan hampir selesai, lepas ini kita akan berbincang bersama Majlis Syura dalam masa terdekat dan selepas itu jawatankuasa Pusat akan putuskan.

"Pas sudah mengenal pasti calon berpotensi membawa suara rak­yat dalam menghadapi PRU13. Di dalam Dun ataupun Parlimen menghantar sekurang-kurangnya dua nama serta Majlis Syura telah setuju dengan nama-nama ini, malah senarai akan didedahkan bila Parlimen dibubarkan kelak," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pas Perak Kali Ke-16, semalam.

Tuan Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat (PR) secara keseluruhannya sudah 90 peratus siap menyenaraikan pembahagian kerusi pada PRU13.

"Setakat ini semuanya berjalan de­ngan lancar, cuma ada satu dua negeri yang masih dalam perbincangan akhir dan kita sedang berusaha ke arah itu secepat mungkin.

"Dari segi manifesto PR peringkat pusat, kita sudah pun menyiapkannya dan kita hanya tunggu untuk peringkat pelancaran dan di peringkat negeri pula kita mendapat maklumat sebahagian besar sudah pun menyiapkan, malah ada yang dah lancar pun seperti di Terengganu dan Negeri Sembilan.

"Kita akan lancar apabila Parlimen bubar kerana kebiasaannya Umno akan tiru manifesto kita seperti yang terjadi kepada Buku Jingga sebab mereka dah tiada idea, jadi biar kita tunggu dulu," katanya.

Pada pilihan raya lalu, PKR meletakkan 94 calon dari parti itu dan memena­nginya sebanyak 31 kerusi. Manakala Pas memenangi 23 kerusi dan DAP menang 28 kerusi.

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil


Indahnya Bendera PAS berkibar

Posted: 07 May 2012 12:02 AM PDT

Bahang PRU 13 kian dirasai. Tarikh tepat pilihanraya belum diketahui. Tidak seperti negara Demokrasi moden lain yang mana tarikh pilihanraya telah diketahui 2,3 tahun awalnya. Itulah 'hebatnya' demokrasi Malaysia.

Ketika rangking Malaysia dalam kebebasan media kian jatuh dalam rangking dunia dan kebebasan bersuara yang kian lompong seperti mana kita lihat dalam demostrasi BERSIH 3.0 baru-baru ini. Inilah kesan rakusnya pemimpin-pemimpin BN yang sibuk mengumpulkan harta untuk mereka dan kroni-kroni mereka dengan duit rakyat. Mereka sanggup mengadaikan kebahagiaan rakyat semata-mata untuk kepentingan diri mereka.

walaubagaimanapun, Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil terus melangkah mara ke hadapan bagi menegakkan keadilan di bumi malaysia amnya dan Melaka khasnya. Dengan berpegang teguh dengan Al-quran dan hadis, Pemuda Pas Bukit katil tetap gagah untuk memenangi hati rakyat. Sesuai dengan slogan PAS Melaka, Rakyat Di Hati Kami, Pemuda PAS Bukit Katil mengambil langkah kanan dengan mengibarkan bendera PAS bersaiz 20 kaki di markas operasi di bukit baru. Ini sebagai satu simbol dimana Dewan Pemuda PAS tetap akan berjuang untuk islam dan rakyat walaupun dibenci oleh golongan-golongan yang menentang ISLAM.

Keindahan Bendera PAS

AMK BATU

AMK BATU


Fatwa Majlis Kebangsaan Ehwal Islam Mengenai Hukuman Haram Berdemonstrasi

Posted: 07 May 2012 01:50 AM PDT

BIRO PENERANGAN
PARTI KEADILAN RAKYAT
KENYATAAN MEDIA

Petaling Jaya, Selangor, 7 Mei2012.  KEADILAN berpendirian tegas bahawa pandangan Pengerusi Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Abdul Shukur Hussain, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan seperti yang disiarkan dalam media semalam (5hb Mei 2012) adalah sangat bertentangan dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh seorang ilmuan Islam yang sangat berotoriti iaitu Shaikh Yusuf al-Qaradawi, Presiden Persatuan Ulama Sedunia seperti yang tercatat dalam buku yang berjudul Thawrah al-Sha'b (Revolusi Rakyat). Beliau berpendapat bahawa demonstrasi adalah harus kerana ia adalah salah satu kaedah untuk membebaskan rakyat dari cengkaman pemerintahan yang zalim, tidak adil serta tidak memberikan kebebasan rakyat bersuara dan bergerak dalam suasana yang aman.

Adalah jelas bahawa fatwa tersebut semata-mata bertujuan untuk memenuhi kehendak pimpinan UMNO yang terdesak menggunakan isu-isu agama Islam dan bangsa Melayu bagi survival politik mereka. Sewajarnya Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan merujuk dahulu kepada beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat bagi mendapat fakta yang sebenar apa yang telah berlaku pada 28 hb April yang lalu. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak wajar berat sebelah. Yang jelas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah gagal melihat insiden 28hb April secara menyeluruh. KEADILAN yakin bahawa pihak penganjur Bersih 3.0 sejak dari awal lagi mempunyai tujuan yang jelas itu perhimpunan secara aman demi untuk mempastikan berlakunya keadilan dan ketulusan dalam pengurusan pilihanraya di Malaysia.

Justeru, kewibawaan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebagai sebuah badan tertinggi dalam pembuatan fatwa amat diragukan kredibilitinya. Kita ingin bertanya di manakah pendirian rasmi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terhadap amalan budaya fitnah jahat,  perbuatan mengaibkan individu Muslim serta penyebaran video seks yang begitu berleluasa penyebarannya serta mendapat perlindungan dari pemerintah? Apakah pandangan Jawatankuasa Fatwa terhadapan keganasan fizikal yang telah dilakukan oleh pasukan PDRM ke atas demonstran dalam demonstrasi Bersih 3.0? Rakyat berhak mendapat jawapan-jawapan yang ikhlas dari Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam isu-isu tersebut demi kebenaran dan keadilan sejagat.

Sesungguhnya peranan jawatankuasa Fatwa Kebangsaan adalah untuk mempastikan fatwa-fatwa yang dikeluarkan memenuhi ciri-ciri kesahihan sesuatu fatwa seperti yang dikehendaki dalam Islam iaitu mempastikan fakta yang diperolehi adalah benar bukan artificial atau penuh dengan sangkaan buruk (su' al-zann), mempunyai sandaran hukum yang berpaksi kepada al-Qur'an, Sunnah dan lain-lain sumber yang muktabar, serta adil. Adalah jelas bahawa fatwa Jawatankuasa Kebangsaan lebih berbaur "politik murahan" dari kewibaan fatwa yang dibahaskan oleh alim ulama yang berotoriti.

Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat
Tel: 019-332-8302
Email: dr_manuty@hotmail.com

Pengikut