OLEH : Norhayati Umor
SHAH ALAM : Kerajaan Selangor menyatakan komitmen untuk tidak akan menaikkan harga air walaupun kadar caj elektrik dinaikkan Kerajaan Pusat mulai 1 Januari 2014.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pendekatan itu diambil ekoran mahu membantu meringankan beban rakyat.
"Walaupun Kerajaan Pusat mengambil langkah menaikkan caj elektrik tetapi Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk tidak menaikkan harga air," katanya dalam ucapannya ketika lawatan kerja ke Rumah Puteri Arafiah Seksyen 7, di sini.
Hadir sama isterinya yang juga Yang diPertua Kebajikan dan Amal Wanita negeri (PEKAWANIS) dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Rumah Puteri Arafiah, Puan Sri Salbiah Tunut.
Turut hadir Ketua Pentadbir Perbadanan Menteri Besar (MBI), Rohany Datuk Talib dan wakil pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Norita Mohd Sidek serta Exco Kebajikan, Rodziah Ismail.
Abdul Khalid berkata sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin, rakyat perlu diberikan sokongan dalam menangani isu kenaikan ini.
"Langkah itu diambil untuk menolong rakyat yang mana kita merasakan rakyat memerlukan sokongan dalam masalah ini," katanya.
Tarif elektrik akan dinaikkan bermula tahun hadapan sebanyak 15 peratus.
Kenaikan itu menjadikan harga baru untuk sekilowatt 33.54 sen di Semenanjung Malaysia.
Manakala bagi Sabah dan Labuan, kadar baru naik sebanyak 16.9 peratus atau 5 sen daripada kadar semasa 29.52 sen/kwj kepada 34.52 sen/kwj.
Sebelum ini, Abdul Khalid mengumumkan Kerajaan Negeri akan meneruskan subsidi air kepada 10 tahun akan datang.-EZY
KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka tidak mampu menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi untuk menjadi negara berpendatan tinggi jika transformasi pendidikan dilakukan ke arah mengejar kecemerlangan, bukan secara ala kadar.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ini adalah berdasarkan kajian terkini kerajaan dalam penilaian Programme for International Student Assessment (PISA) 2012 dan laporan Bank Dunia berjudul "Malaysia Economic Monitor: High-Performing Education".Katanya, Penasihat Institute of Labour Market Information and Analysis (ILMIA), Lee Chee Sung, sebuah lembaga di bawah Kementerian Sumber Tenaga Manusia menyatakan demikian pada majlis perasmian portal ILMIA di Kuala Lumpur kelmarin bahawa walaupun 400,000 peluang kerja dibentuk tahun lalu, Malaysia masih belum menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi kerana kekurangan pekerja berkemahiran tinggi.
Pada majlis yang sama, Menteri Sumber Tenaga Manusia, Datuk Richard Riot Jaem mengakui bahawa pada masa ini, kira-kira 28 peratus daripada 12.7 juta tenaga buruh dalam negara terdiri daripada pekerja berkemahiran tinggi dan kerajaan mensasar untuk meningkat kepada 50 peratus menjelang 2020.
Bagaimanapun, menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, kedua-dua penanda aras pendidikan antarabangsa yang penting, Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2011 dan PISA 2012, menunjukkan pencapaian Malaysia dalam membangunkan sumber tenaga manusia negara adalah lemah, sedangkan modal insan adalah pemacu asas bagi pertumbuhan ekonomi.
"Seperti dinyatakan dalam laporan Malaysia Economic Monitor Bank Dunia, sistem pendidikan membina kemahiran kognitif dan melengkapkan pekerja dengan pengetahuan yang dapat meningkatkan daya pengeluaran mereka dan memungkinkan inovasi untuk terjadi.
"Pengetahuan daripada peringkat asas seperti kemahiran membaca sehingga kejuruteraan maju, yang disalurkan menerusi sekolah adalah amat penting untuk kemajuan ekonomi dan sosial kita," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pendidikan Malaysia bermasalah bukan daripada segi kuantiti atau akses kepada pendidikan, sebaliknya mutu atau akses kepada pendidikan bermutu.Katanya, Bank Dunia menyifatkan usaha membentuk sistem pendidikan berprestasi tinggi sebagai satu unsur penting dalam transformasi Malaysia ke arah menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, lestari dan inklusif.
"Atas sebab inilah semua rakyat Malaysia perlu memandang serius krisis sistem pendidikan negara dalam keadaan prestasi penilaian antarabangsa di bawah tahap yang wajar bagi sebuah negara yang mempunyai pendapatan per kapita serta perbelanjaan pendidikan.
"Selain itu kerana prestasi Malaysia lebih buruk daripada negara berpendapatan tinggi yang kita anggap pesaing dalam usaha menarik masuk pelaburan berasaskan inovasi dan pengetahuan," katanya.
Menurutnya, Malaysia berdepan dua masalah dalam usaha membentuk sistem pendidikan berprestasi tinggi iaitu memastikan pelajar Malaysia berusia 15 tahun yang pencapaian bawah tahap purata antarabangsa serta ketinggalan di belakang negara berprestasi tinggi seperti Shanghai, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan untuk mampu melakukan lonjakan berganda dalam PISA 2021 daripada tangga sepertiga tercorot ke tangga sepertiga terbaik.
Keduanya, peningkatan besar daripada segi peratusan pelajar berprestasi tinggi dalam subjek matematik, sains dan bacaan.
Untuk subjek matematik dalam PISA 2012, Shanghai-China memiliki pelajar berpencapaian terbaik iaitu pada Tahap 5 atau 6 (55.4%), diikuti Singapura (40%), Taiwan (37.2%), Hong Kong (33.7%) dan South Korea (30.9%).
Antara 15 dan 25 peratus pelajar Belgium, Kanada, Finland, Jerman, Jepun, Liechtenstein, Macao, Netherlands, New Zealand, Poland, dan Switzerland mencatatkan prestasi terbaik dalam matematik.Sebagai perbandingan, hanya 1.3% pelajar Malaysia tergolong sebagai pelajar berpencapaian terbaik, sedangkan lebih daripada separuh pelajar Malaysia (51.8%) tidak mencapai tahap keupayaan asas yang memadai dalam bidang itu (di bawah Tahap 2).
Pelajar Malaysia dalam kumpulan 5% terbaik sekali pun menunjukkan pencapaian yang hanya setara dengan pelajar biasa dari Korea Selatan dan Jepun.
Menurut Kit Siang, perkara yang perlu diperhatikan, pencapaian Malaysia berada di bawah Vietnam, sebuah negara berpendapatan rendah yang pertama kali menyertai PISA pada 2012. Sebanyak 13.3% pelajar Vietnam digolong sebagai pelajar berpencapaian tinggi dan hanya 14.2% yang keupayaan asas dalam subjek Matematik mereka berada di bawah tahap asas.
"Perbandingan mata PISA 2012 antara Vietnam dan Malaysia perlu diperhatikan secara lebih dekat pemimpin politik, perancang pendidikan dan ibu bapa dalam tiga subjek itu iaitu Malaysia dalam matematik (421), Sains (420) dan Bacaan (398) manakala Vietnam matematik (511), sains (528) dan bacaan (508).
"Apakah Malaysia mempunyai kesungguhan politik untuk mengubah sistem pendidikannya menjadi sistem pendidikan berprestasi tinggi demi mengejar kecemerlangan dan bukan hanya terbiar menjadi satu sistem ala kadar untuk membolehkan Malaysia mencapai matlamat untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, lestari dan inklusif menjelang 2020," katanya.-Roketkini.com
GEORGE TOWN: DAP akan menyerahkan maklumat tambahan yang diminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung kongres khas dan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), 29 September lalu.
Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh berkata, parti itu mahu ROS menarik balik arahan melarang CEC yang baru dipilih membuat keputusan."Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika ROS bertegas dengan larangan menyekat CEC baru DAP daripada membuat keputusan," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Dilaporkan parti itu menerima surat daripada ROS bertarikh 6 Disember lalu yang menyatakan parti berkenaan menghantar laporan tidak lengkap mengenai kongres khas dan pemilihan semulanya, 29 September lalu.
ROS juga menasihati CEC agar tidak melaksanakan sebarang keputusan sementara menunggu siasatan lanjut dijalankan.
ROS antara lain meminta DAP menyertakan senarai penuh 2,578 anggotanya, cawangan dan alamat mereka, serta senarai penuh 1,740 anggota yang mengundi dalam kongres khas itu.Semalam, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, permintaan ROS itu tidak pernah terjadi dalam sejarah sejak penubuhan DAP.
"Walaupun DAP bersedia memberi kerjasama bagi memenuhi permintaan ROS itu, parti itu juga tidak akan teragak-agak untuk mengheret ROS ke mahkamah bagi membantah tindakan yang bermotifkan politik dan tidak masuk akal.- Roketkini.com
Rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta golongan fakir miskin bakal berdepan dengan pelbagai kenaikan selepas PRU13 bermula dengan kenaikan petrolieum.
Kenaikan gula turut diikuti dalam pembentangan Budjet 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan Menteri Kewangan sehingga menghapuskan RM551.25 juta subsidi gula . Sejak Syed Mokhtar Al-Bukhary menguasai industri gula pada tahun 2009 , sebanyak 5 kali kenaikan sehingga kini.
Kini seluruh pengguna Astro pula berdepan dengan kenaikan RM2 bagi Pakej Famili dan RM6 bagi Pakej Sukan yang telah berkuatkuasa 11 November 2013 turut menambahkan tekanan pada lebih 3juta pengguna Astro yang terpaksa membayar kenaikan pakej tersebut.
Sedangkan Astro umumkan perolehan RM2.3 Billion untuk 6 bulan pertama berakhir 31 Januari 2014 iaitu peningkatan 13 peratus. Sedangkan Menteri Penerangan,Komunikasi dan Multimedia mempunyai kuasa terhadap mengawal dan menentukan harga pakej langanan yang ditawarkan Astro.
Bermula Januari 2014 pula rakyat Malaysia pula akan berdepan dengan kenaikan elektrik sepertimana yang diumumkan oleh Datuk Seri Maximus Ongkili baru-baru ini sebanyak 15 peratus atau 4.99sen setiap kilowatt,manakala di Sabah dan Labuan berjumlah 5sen.Satu kenaikan yang sangat ketara.
Wargakota Kuala Lumpur pula bakal berdepan dengan kenaikan tambang LRT dan Monorel berkuatkuasa pada 2014 sudah pasti akan membebankan para pengguna pengangkutan awam tersebut.Kerana LRT dan Monorel adalah merupakan pengangkutan golongan berpendapat rendah dan sederhana,mahasiswa,pelajar-pelajar dan warga miskin.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ,Datuk Seri Abdul Wahid Omar pula telah mengesahkan bahawa kadar TOL akan dinaikkan pada tahun 2014 dengan alasan terkandung dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuhraya.
Warga Kuala Lumpur pula ditekan dengan kenaikan cukai oleh DBKL mencecah 240 peratus sudah pasti akan memberikan impak kepada warga kota khususnya golongan berpendapatan rendah dan miskin. Justeru JINGGA 13 Malaysia menyeru agar turun ke "Himpunan Bantah Kenaikan Cukai Oleh DBKL" pada 16 Disember 2013 jam 11pagi di Dataran DBKL sebagai tanda bantahan terhadap kenaikan cukai yg tidak munasabah tersebut.
JINGGA 13 Malaysia yakin beberapa siri kenaikan lagi bakal dikenakan kepada rakyat ekoran siri kenaikan selepas PRU13 dan bakal dilaksanakan pada tahun 2014 turut mengundang kenaikan harga barang makanan dan keperluan hidup yang sudah pasti memberikan kesan kepada rakyat .
Kerajaan UMNOBN terus gagal memberikan kelegaan dan keselesaan kepada rakyat tetapi memberikan tekanan tanpa rasa belas kasihan dan perikemanusiaan ekoran kenaikan yang bakal dihadapi dan diterima oleh rakyat seluruhnya. Kenaikan harga barang makanan dan barang-barang keperluan terus meningkat manakala gaji dan pendapatan rakyat tidak naik malah berdepan dengan cukai yang terus membebankan mereka.
JINGGA 13 Malaysia mendesak Kerajaan UMNOBN menghentikan segala siri kenaikan dengan mengambil kira kesengsaraan majoriti rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan rendah dan serderhana serta golongan fakir miskin.
Muafakat*Prihatin*Berani
Zainal Abidin Bin Abu Bakar
Koordinator Panatia Ekonomi
JINGGA 13 Malaysia
Oleh : Mohd Ezli Mashut
SHAH ALAM : Kerajaan Selangor mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan mengenai laporan kecurian pasir di Sungai Long, Hulu Langat yang dilaporkan media.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri akan mendapatkan laporan lengkap dari semua jabatan dan agensi yang berkenaan bagi menjalankan siasatan dalaman.
"Kerajaan Negeri juga mengharapkan siasatan profesional dilakukan SPRM dan jaminan tidak akan memberi perlindungan kepada pihak-pihak yang terlibat sama ada di peringkat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) atau Pejabat Tanah Daerah (PTD)," kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan medianya hari ini.
Abdul Khalid berkata, Kerajaan Selangor tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti mengamalkan gejala rasuah kerana iktizam kerajaan negeri adalah menggalas amanah rakyat secara telus dan bertanggungjawab.
"Oleh kerana itulah, anak-anak syarikat kerajaan negeri termasuk KSSB telah diarah melaksanakan Integrity Pact dengan kerjasama Transparency International bagi meningkatkan kecekapan dan mengelak risiko berlakunya rasuah," kata Abdul Khalid.
Oleh : AFIX REDZUAN
BANDAR TUN RAZAK: Kesilapan Kerajaan Pusat dalam memeterai perjanjian dengan syarikat konsesi lebuhraya tanpa menyatakan jumlah keuntungan maksimum yang boleh dikutip konsesi mengakibatkan rakyat terpaksa membayar lebih daripada sepatutnya.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kesilapan ini sepatutnya diperbetulkan Kerajaan Pusat sejak sekian lama supaya rakyat tidak lagi terbeban dengan keadaan ini.
Katanya, ini kerana perjanjian konsesi lebuhraya lebih menumpukan kepada tempoh perjanjian sehingga mengakibatkan syarikat konsesi mengaut keuntungan lebih daripada kos perbelanjaan awal yang telah dikeluarkan untuk menyiapkan projek berkenaan.
"Kita dapati syarikat konsesi apabila membentangkan kertas kerja menyatakan peratus pertumbuhan trafik adalah lebih rendah dari apa yang berlaku sekarang.
"Ini bererti aliran tunai atau pendapatan hasil untuk konsesi adalah lebih besar daripada apa yang dijangkakan.
"Walau bagaimanapun pemegang konsesi masih menuntut walau mereka sudah memperoleh (keuntungan) daripada apa yang dijangkakan," katanya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak kepada Selangor Kini dalam sidang media.
Katanya, Kerajaan Pusat perlu menyemak semula pulangan keuntungan yang diperoleh syarikat konsesi dan mengubah pendirian mereka kerana pada dasarnya kerajaan sudah membayar lebih dari sepatutnya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata kenaikan kadar tol yang dijangka berlaku tahun hadapan tidak dapat dielakkan
Ini kerana, perkara itu terkandung dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya dan telah tiba masanya untuk kadar tol dinaikkan, memandangkan perjanjian konsesi menyatakan kadar itu perlu disemak dan dinaikkan pada 2011.
Pengumuman ini merupakan satu lagi 'hadiah' untuk rakyat untuk 2014 apabila Barisan Nasional menang selepas PRU-13.-EZY