Jumaat, 4 November 2011

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


Full content generated by Get Full RSS.

DIALOG RAKYAT

Posted: 04 Nov 2011 03:36 PM PDT

PPSMI: Menteri Pelajaran Buat Pengumuman Penting

Posted: 04 Nov 2011 05:19 AM PDT

PUTRAJAYA: Ini adalah berita yang baru diterima - Timbalan Perdana Menteri mengumumkan bahawa pelajar yang sedang mempelajari matapelajaran matematik dan sains di bawah sistem PPSMI akan dibenarkan untuk terus menggunakan bahasa Inggeris sehingga mereka selesai pengajian di tingkatan 5.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan demikian ketika mengumumkan langkah-langkah pendekatan yang akan diambil dalam transisi dari PPSMI kepada bahasa kebangsaan semula, di sini, pada Jumaat.

Berikut adalah butiran penting pengumuman beliau:

> Semua murid dari tahun 2 sehingga tingkatan 5 tahun ini yang kini sedang mengikuti sistem PPSMI akan dibenar meneruskan pengajian mereka mengikut sistem tersebut sehingga mereka tamat belajar.

> Mulai tahun depan semua pelajar sekolah kebangsaan dari tahun 3 hingga tahun 6 akan dibenar untuk meneruskan pengajian mereka dalam matapelajaran matematik dan sains sama ada dalam bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia atau kedua-duanya sekali.

> Mana-mana pelajar yang sedang mengikuti kedua-dua matapelajaran tersebut dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris, akan dibenarkan meneruskan pengajian mereka dalam Bahasa Malaysia sepenuhnya.

> Pembelajaran dan Pengajaran matapelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia sepenuhnya akan bermula dari tahun 2016 untuk sekolah rendah.

> Untuk sekolah menengah pula, kedua-dua subjek berkenaan akan diajar sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia mulai tahun 2021.

Masalah sosial remaja perlu kerjasama semua pihak mengatasinya

Posted: 04 Nov 2011 05:18 AM PDT

KENINGAU KINI

KENINGAU: Masalah sosial yang berlaku di kalangan remaja perlu kerjasama dari semua pihak untuk mengatasinya demi masa depan generasi itu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zahari Mohamed berkata, "sebagai ibu bapa kita juga ada perasaan, kita tidak mahu tindakan tegas pihak polis akan menjejaskan masa depan mereka. Kita tidak mahu perkara ini berlaku."

Sehubungan dengan itu, kata Zahari, masyarakat perlu berganding bahu untuk menghindarkan remaja dari melakukan kegiatan yang merugikan diri sendiri.

"Cari pendekatan atau kegiatan yang boleh menghindarkan remaja dari kegiatan sosial yang merugikan masa depan. Peranan ibu bapa, ketua kampung atau masyarakat penting untuk pastikan apa yang remaja suka lakukan, " kata Zahari.

Kata Zahari, remaja masa kini mempunyai pelbagai minat dan naluri, dan antara contoh pendekatan tersebut ialah aktiviti bersukan, rekreasi, hiburan yang boleh dimanfaatkan untuk golongan ini.

Selain dari itu kata Zahari, ibu bapa juga harus tahu apa aktiviti anak-anak mereka.

"Kita tidak salahkan ibu bapa dan masyarakat juga tidak harus salahkan ibu bapa semata," katanya," sambil menambah dihadapan kita ialah peranan masyarakat untuk menanganinya bersama,' kata Zahari.

Tegas Zahari, terdapat remaja yang berkeliaran di pusat-pusat hiburan, terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan jenayah, bagaimanapun tahap kes melibatkan remaja di kawasan pedalaman masih terkawal.

Beliau juga meminta pusat-pusat hiburan supaya mematuhi peraturan dengan beroperasi mengikut masa yang ditetapkan.

Zahari berkata demikian kepada media selepas majlis Kenaikan Pangkat Koperal (Time based) di perkarangan Pejabat Polis Daerah di sini.

Sementara itu seramai 60 anggota polis menerima kenaikan pangkat. Upacara menyematkan pangkat itu dikendalikan oleh pasangan atau anggota keluarga masing-masing.

Beliau turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pucuk pimpinan kerajaan atas kenaikan pangkat tersebut berdasarkan time based.

"Bagi pihak polis di kawasan pedalaman kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau terhadap Polis Diraja Malaysia yang kini menikmati kenaikan pangkat dan penyelarasan gaji," ujar Zahari.

Beliau seterusnya menasihati anggota polis untuk terus meningkatkan perkhidmatan mereka berasaskan nilai ketimuran dan keagamaan.

Hassan Ali Sertai Demo Anti Seksualiti Merdeka Hari ini.

Posted: 04 Nov 2011 05:09 AM PDT

KL POS.COM

KUALA LUMPUR - Beberapa Pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) Islam menganjurkan demonstrasi yang bakal berlangsung hari ini selepas Solat Jumaat di Masjid Negeri Shah Alam.

Demonstrasi yang diadakan bagi membantah penganjuran Program Seksualiti Merdeka 2011 ini turut menyelitkan Ucapan dan Amanat dari Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr. Hassan Ali dan bekas Presiden ABIM Dr. Yusri Mohamad.

Menurut penganjur iaitu PEMBELA, Demo ini bakal menyaksikan bantahan keras mewakili umat Islam di Negara ini dan memberi isyarat agar tindakan lebih tegas dilaksanakan bagi memastikan Program ini tidak berjaya diteruskan.

"Ini adalah rancangan mereka untuk mendesak pemerintah supaya memberi pengiktirafan kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender. Demonstrasi ini adalah anjuran Pembela bersama pertubuhan-pertubuhan bukan Islam yang lain. Pihak Penganjur program Seksualiti Merdeka 2011 juga ingin mencabar kedudukan Perlembagaan yang menyatakan Islam sebagai agama persekutuan," katanya wakil PEMBELA.


Beliau turut menambah adalah satu penghinaan terhadap maruah Negara apabila terdapat program yang menuntut pengiktirafan kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender di Negara ini dan ianya akan mengakibatkan diskriminasi bentuk baru atas nama hak asasi manusia.

"Tuntutan mereka juga mencerca syariah, perundangan Malaysia, asas moral dan kesucian semua agama, serta mengancam ketenteraman dan kemanan negara," katanya lagi.

Peninju Israel: Shabery Cheek kantoi

Posted: 04 Nov 2011 05:08 AM PDT

Niat nak kenakan negeri Pakatan Rakyat (PR) namun sebaliknya berlaku. Diri sendiri pulak yang terkantoi.

Baru-baru ini dilaporkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah memberi peruntukan RM5 juta untuk kejohanan The Challenger Muay Thai yang disertai rakyat Israel yang diadakan dalam kampus Universiti Putra Malaysia, Serdang untuk rakaman Channel TV AXN.

Konon dakwa Shabery, kementeriannya hanya meluluskan penganjuran sebagai aktiviti kesukanan dan tidak terlibat dengan aspek lain.

Shabery dilihat cuba memperbodoh rakyat konon kerajaan PR Selangor telah memberi peruntukan untuk kejohanan yang disertai rakyat Israel. Dengan kata lain, Selangor konon bersubahat dengan kehadiran rakyat Israel berkenaan.

Dia ingat orang bodoh boleh terima bulat-bulat penipuan dan pembohongan bodoh tu.

Setakat beri peruntukan atau taja RM5 juta, apa kaitan dengan kehadiran peninju Israel?

Pertama sekali, kejohanan itu memang sebuah program di bawah Kementerian Belia dan Sukan dijaga oleh Shabery Cheek.

Selangor sekadar memohon daripada kementeriannya agar program itu diadakan di negeri itu tanpa mengetahui penglibatan peserta Israel, Ilya Grad. Bahkan, Selangor tidak dimaklumkan bahawa terdapat peserta dari negara tersebut.

"Kerajaan negeri tidak dimaklumkan bahawa dalam kejohanan tersebut ada perserta dari Israel kerana semua jemputan dilakukan oleh pihak kementerian dan Negeri Selangor hanya menyediakan tempat sahaja.

"Sekiranya kita tahu jika ada penglibatan peserta dari Israel sudah pasti kita akan membuat bantahan awal tetapi kita tidak diberitahu. Apa yang kita tahu hanyalah mengenai program tersebut sahaja dan kita sanggup untuk menganjurkannya," kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Jadi, untuk mendapat hak penyediaan tempat (penganjur), Selangor perlu membayar sebahagian kos program berkenaan, tapi urusan urusan jemputan dilakukan oleh pihak kementerian yang dipegang Shabery.

Kedua, kehadiran Ilya Grad dalam Kejohanan The Challenger Muay Thai yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia, baru-baru ini telah menimbulkan persoalan bagaimana rakyat Negara Israel boleh memasuki Malaysia.

Malah sewaktu memasuki Malaysia melalui Thailand, beliau ditahan selama 25 jam di pintu masuk sebelum mendapatkan bantuan Persekutuan Muay Thai Malaysia, "dengan sokongan menteri sukan Malaysia" mengikut kenyataan di blog tinju Muay Thai Authority.

Jadi jelas sekali, Shabery sendiri yang 'membawa' masuk rakyat Israel ke Malaysia untuk program berkenaan. Jika bukan kerana pas khas, kebenaran imegresen di pintu masuk ke negara ini, sudah tentu rakyat Israel tidak dapat memasuki Malaysia. Jadi, usahlah tembelang memperbodohkan rakyat dengan pembohongan nyata.

Eh..eh..hangpa dah lupa ke bagaimana pihak atasan boleh mengerahkan pihak berkuasa menahan kemasukan peguam dari Perancis yang membicarakan kes 'komisyen gelap' dalam pembelian kapal selam 'Scorpene' tempoh hari? Baca sini.

Peguam tu hangpa boleh tahan, peserta Muay Thai dari Israel kamu tak boleh tahan pulak. Tak mampu ke atau lembab?

Hantu komunis lagi…

Posted: 04 Nov 2011 01:26 AM PDT

Komentar Roketkini

Seluruh negara tahu hubungan intim UMNO dengan Parti Komunis China. Malah Setiausaha Agung UMNO Datuk Tengku Adnan Mansor bangga dengan hubungan antara dua parti itu.

Namun, Timbalan Menteri Luar Negara Datuk Richard Riot menafikan hubungan UMNO-Parti Komunis China, dengan menjelaskan bahawa apa yang wujud hanyalah hubungan dua hala di antara kerajaan Barisan Nasional yang mewakili Malaysia dan kerajaan Republik Rakyat China.

Bercakap di dalam Dewan Rakyat semalam, Richard yang mewakili Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dalam BN, bagaimana pun enggan menjelaskan dengan lanjut tentang memorandum persefahaman dan kerjasama yang ditandatangani oleh UMNO dan Parti Komunis China.

Mungkin kerana SUPP dan Sarawak sering dipinggirkan oleh UMNO yang menguasai kerajaan pusat, Richard tidak mendapat gambaran sebenar tentang apa yang pimpinan UMNO lakukan.

Hipokrasi UMNO

Malah, kerana jawapan Richard yang sedemikian kepada soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sewaktu sidang Dewan itu, Naib Presiden PAS tersebut telah menyifatkan UMNO sebagai hipokrit.

Menurutnya, hipokrasi UMNO terserlah kerana bersekongkol dengan Parti Komunis China tetapi pada masa yang sama mengaitkan pembangkang dengan komunisme yang disifatkan oleh pemerintah sebagai satu pengkhianatan yang perlu diperangi habis-habisan.

Menurut agensi berita rasmi Bernama, UMNO dan Parti Komunis China menandatangani satu perjanjian persefahaman yang membolehkan pertukaran kepemimpinan belia dalam usaha meningkatkan kefahaman antara pemimpin belia mengenai pembangunan ekonomi dan sosial di kedua-dua negara pada Ogos tahun lalu.

Mahfuz telah bertanya di dalam Dewan Rakyat sama ada kerajaan sedar bahawa memorandum persefahaman yang ditandangani UMNO itu dibuat dengan Parti Komunis China yang membekalkan senjata kepada Parti Komunis Malaya "dan mungkin juga bunuh polis Bukit Kepong" pada tahun 1950.

Richard menjawab dengan menyatakan China sekarang sudah berbeza kerana ia mengamalkan dasar pintu terbuka.

Jawapan Richard yang lemah tanpa banyak asas itu menguatkan hujah Mahfuz tentang sikap talam dua muka UMNO yang masih cuba membohongi rakyat dengan hantu komunisme.

Sokong komunis, dosa pengkhianat yang tidak diampun

Minggu lalu, Datuk Seri Najib Razak sendiri yang lebih banyak bermain politik daripada bersikap sebagai pemimpin negara telah menyatakan bahawa mana-mana rakyat Malaysia yang mengagungkan perjuangan komunis adalah pengkhianat yang dosa mereka tidak layak diampunkan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, dalam kes serangan Balai Polis Bukit Kepong, kerajaan mempunyai bukti kukuh bahawa Mat Indera yang dianggap sebagai pejuang kemerdekaan oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, adalah seorang komunis.

Jumaat lalu, enam pemimpin dan ahli Parti Sosialis Malaysia yang ditahan pada 2 Julai lalu mengikut Ordinan Darurat telah dibebaskan (atau dalam bahasa undang-undangnya dilepaskan tanpa dibebaskan).

Mereka ditahan dua minggu sebelum perhimpunan aman Bersih 2.0 diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Apakah sebenarnya 'kesalahan' mereka sehingga dituduh mahu 'melancarkan perang terhadap yang di-Pertuan Agong'?

Apabila ditahan, bahan-bahan yang polis temui bersama mereka adalah bebarapa t-shirt dengan imej pemimpin komunis dan sosialis, serta risalah kempen PSM "Udah la tu…Bersara la" yang mengkritik BN. Itu sahaja.

Apa yang terjadi ialah PSM menjadi mangsa hantu komunisme untuk pemerintah menghancurkan usaha rakyat prihatin menjayakan perhimpunan aman Bersih 2.0 walau pun pihak berkuasa menyedari kempen PSM tidak ada kena-mengena dengan Bersih.

Namun, demi menegakkan benang yang basah, walau pun UMNO intim hubungan dengan Parti Komunis China dan mempunyai ikatan dengan beberapa parti komunis antarabangsa yang lain, ideologi itu telah dijadikan senjata untuk melumpuhkan usaha rakyat membebaskan negara daripada cengkaman politik perkauman UMNO.

Meludah ke langit

Sebelum ini pun, Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming, menyergah UMNO kerana bersikap hipkorit apabila mengecam Mat Sabu sedangkan UMNO sendiri bersekongkol dengan Parti Komunis China.


"Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Mansor sendiri telah menandatangani perjanjian atau memorandum kerjasama antara Parti Komunis China dan UMNO pada bulan Ogos, tahun 2010.

"Adalah jelas ini terbukti bahawa apabila UMNO mengutuk komunis dan melemparkan segala fitnah terhadap Parti Komunis Malaya serta cuba menodai nama baik Mat Sabu, UMNO secara terbuka telah menjalin hubungan intim dengan bapa komunis kepada PKM iaitu Parti Komunis China," katanya.

Baginya, UMNO bersikap seperti meludah ke langit, akhirnya kena pada muka sendiri kerana akibat fitnah.

Yang dapat menyedarkan UMNO daripada perbuatan fitnah yang semakin menjadi-jadi adalah rakyat sendiri, khusususnya orang Melayu yang sering dipermainkan sentimen dan emosi mereka oleh parti itu serta kumpulan penyokong dan pecacai mereka.

Memang fitnah, termasuk fitnah yang dikaikan dengan komunisme untuk memburukkan Pakatan Rakyat, menguntungkan segelintir pemimpin yang gila kuasa. Tetapi yang paling rugi adalah rakyat terbanyak kerana mereka juga akan dihidangkan juadah fitnah pada hari-hari mendatang.

Malah, yang bakal menjadi mangsa adalah jutaan ahli biasa UMNO sendiri. Relakah ahli-ahli UMNO ditipu hidup-hidup oleh para pemimpin yang hanya pentingkan diri, keluarga dan kepentingan mereka sendiri sahaja? – Roketkini.com

Politik rempit

Posted: 04 Nov 2011 01:26 AM PDT

Oleh Adil Mat Selamat

Kita sebagai anggota masyarakat menyedari kewujudan golongan anak muda yang menggunakan motosikal sebagai alat untuk melepaskan perasaan atau tekanan perasaan yang berpunca dari keadaan tempat kerja, sekolah atau keluarga.

Siapa Mat Rempit

Kita amat bersimpati kepada golongan ini yang rata-ratanya anak muda Melayu. Umumnya golongan ini bukanlah dari mereka yang berpendidikan tinggi atau keluarga mewah, sebaliknya mereka yang terkandas di peringkat sekolah menengah atau yang gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Mat Rempit juga merupakan golongan dari keluarga miskin bandar dan dari keluarga luar bandar. Mereka merempit siang dan malam, selain berpunca dari tekanan hidup, majoriti mereka ini sekadar ingin berseronok dan ada pula yang sudah ketagih.

Tetapi, kita juga sedar bahawa ada segelintir dari mereka yang memang ada bakat menunggang dan menyimpan cita-cita untuk menjadi pelumba profesional.

Namun, dari segi jumlah dan faktor persekitaran, maka niat itu selalunya gagal dicapai. Dilema ini mengundang pelbagai rantaian masalah yang tak kunjung selesai.

Nikmat merempit

Memulas throttle minyak dengan kelajuan yang maksimum, berserta deruman bunyi ekzos motor yang berdemping kuat akan mudah menarik perhatian orang ramai kepada gelagat mereka. Kebisingan dan kelajuan ini akan bertambah hebat apabila semua mata tertumpu melihat aksi mereka. Inilah antara perhatian yang amat diinginkan oleh para Mat Rempit.

Malah ia akan lebih seronok dan ghairah apabila ada polis yang membuat sekatan jalan raya semata-mata kerana Mat Rempit. Suasana kesesakan jalan ketika road block akan menimbulkan semacam kebanggaan di hati Mat Rempit.

Keadaan ini akan lebih teruja apabila ada adegan polis trafik mengejar Mat Rempit, dan tentunya nikmat kemuncak golongan ini tercapai apabila berjaya melepaskan diri dari sekatan polis. Inilah dunia Mat Rempit.

Mereka bukan saja berani dan mahir dengan teknik menunggang malah mereka kreatif mengubah suai motosikal. Segala jenis alat ganti semuanya mereka tahu. Pendek kata, hal motosikal di hujung jari mereka saja.

Manja menuntut perhatian

Namun sayang sekali, kreativiti ini biasanya akan berakhir seperti bakat mengubah suai mercun hari raya tanpa memahami asas fizik dan kimia, biasanya tangan dan jari yang putus, kalau pun tidak disambar maut. Lebih buruk lagi, nyawa orang lain yang tidak berdosa pula yang melayang.

Secara asasnya, golongan ini manja mahukan perhatian. Sama seperti golongan artis dan ahli politik yang amat dahagakan perhatian umum, Mat Rempit mahu masyarakat menghargai dan menghormati mereka.

Mereka juga mahu kemahiran mereka mengendalikan aksi-aksi stunt di jalan raya diiktiraf dan dipuji oleh masyarakat termasuk pihak berkuasa.

Hakikatnya, niat mereka tidak banyak beza dengan manusia lain yang mahu diberi perhatian. Tetapi, sekali lagi, niat mereka ini tidak terzahir seperti yang diharap dek kerena sikap, mentaliti dan bakat yang disalahgunakan.

Ia tidak ubah seperti anak kecil yang nakal dan 'buas' sehingga pecah dan rosak barangan dalam rumah semata-mata mahu menarik perhatian ibu bapa yang biasa sibuk dengan tugas seharian. Jika tidak diendahkan keluarga, 'buas' mereka akan dijaja di sekolah pula.

Politik rempit sembrono

Kini, kelompok-kelompok politik yang gila kuasa, korup dan amat terdesak telah mula mencari jalan untuk memanipulasi minda Mat Rempit yang hanya ketagihkan perhatian. Golongan ini telah mempergunakan Mat Rempit sebagai alat untuk menjustifikasikan tindakan politik kasar, hodoh dan jahil.

Ia merupakan gaya mainan politik keji yang baru dengan menggabungkan politik fitnah yang sudah menjadi darah daging golongan terdesak itu. Ia dinamakan sebagai politik rempit – memanipulasi minda anak muda yang gila merempit.

Inilah yang berlaku beberapa hari lalu di Pulau Pinang. Bila insan waras melihatnya, mahu tertawa pun ada, mahu menangis pun ada.

Sifat asas politik rempit ini masih sama dengan kerja merempit. Mereka sekadar mahu perhatian dengan cara yang mengundang bahaya dan kekecohan kepada masyarakat umum. Kreativiti politik jenis ini hanya untuk mahu memuaskan nafsu politik mereka.

Kononya, dengan bertindak sedemikian, mereka berharap masyarakat akan membenci kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin oleh DAP dalam gabungan Pakatan Rakyat bersama PKR dan PAS.

Niat mereka mahu masyarakat melihat kononnya Mat Rempit adalah mangsa dasar kerajaan negeri. Dengan cara yang sembrono seperti merempit juga mereka cuba mengungkap keinginan mereka dengan cara sensasi dan 'gempak'.

Sama seperti pecutan motosikal yang memecut laju dan mengambil selekoh maut dengan gaya yang paling sembrono tanpa mempedulikan pandangan masyarakat kepada mereka sendiri.

Mungkinkah kejadian kumpulan Mat Rempit menguasai jalan raya di pusat Bandar Georgetown baru-baru ini dibayangi oleh UMNO-BN?

Seperti biasa, UMNO cepat-cepat menafikannya.

Politik rasis konspirasi siapa

Tetapi semua orang tahu kerja-kerja menuduh Ketua Menteri Pulau Pinang dengan ayat-ayat dan perkataan-perkataan tertentu datangnya dari pihak mana. Fitnah zalim yang dilontarkan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang semakin menjadi-jadi sejak pilihan raya umum 2008.

Mungkinkah kumpulan Mat Rempit berkenaan mempunyai begitu banyak wang sehingga mampu menyediakan t-shirt dengan slogan "Selamatkan Pulau Pinang, LGE Rasis" serta sepanduk-sepanduk besar yang turut menuntut supaya "Selamatkan Mat Rempit" dan mahu disediakan litar lumba motosikal?

Jika golongan Mat Rempit ini benar-benar ikhlas mahukan litar lumba untuk golongan mereka, mintalah seperti mana orang lain yang inginkan sesuatu dari kerajaan negeri.

Mengapa perlu mengaitkan permintaan mereka dengan slogan yang bukan-bukan seperti 'LGE Rasis'? Apa kaitan permintaan litar lumba dengan tuduhan 'rasis'? Jika Pulau Pinang tiada litar lumba, maka mengapa Pulau Pinang perlu 'diselamatkan'? Diselamatkan dari apa, dari siapa?

Adakah Pakatan Rakyat Pulau Pinang pernah berjanji dalam manifestonya untuk membina litar lumba untuk Mat Rempit atau pelumba motosikal Melayu sahaja?

Atau selepas ini Mat Rempit seluruh negara akan bermaharajalalela di jalan raya untuk menuntut perkara yang sama di negeri-negeri seperti Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan sebagainya?

Bayang-bayang UMNO-BN

Modus operandi ini sudah menceritakan dari mana gaya politik sebegini datang. Kita masih tidak lupa bagaimana demonstrasi haram yang pernah dibuat oleh beberapa pihak termasuk Senator Ezam Mohd Noor yang pernah memberi amaran mahu membakar pejabat portal media bebas kerana tidak sependapat dengannya.

Semua ini adalah gaya politik rempit yang terlalu hangit bau UMNO-BN. Tidak kira sama ada mereka mencipta kumpulan-kumpulan mi segera, hakikatnya kebanyakan mereka adalah dari parti satu kaum itu juga.

Cuma kali ini kita cukup tersinggung kerana pemimpin politik dewasa tergamak memperalat golongan Mat Rempit. Anak muda ini adalah golongan bermasalah yang perlu dibantu tetapi sebaliknya mereka diperalat oleh pemimpin kaum mereka sendiri.

Dari sudut sosial, Mat Rempit bukan punca masalah, mereka adalah tanda atau symptom kepada masalah yang lebih besar. Beberapa pandangan pakar telah dikemukakan untuk menyandarkan punca masalah itu kepada dasar-dasar perkauman kerajaan UMNO-BN yang mengakibatkan pengasingan atau alienation kumpulan remaja.

Memperalat dan mempergunakan anak muda

Apa yang semakin terserlah ialah UMNO-BN hanya tahu mengguna dan memperalat golongan muda, bakat muda, pengundi muda, tenaga muda dan segala yang 'muda' demi melampias politik kotor mereka.

Bukan remaja Melayu sahaja yang dipergunakan, model-model mini skirt wanita muda kaum Cina juga dijadikan wakil ke persidangan MCA baru-baru ini, atas sebab yang sama, iaitu untuk menarik perhatian masyarakat.

Sama ada UMNO menafikan atau tidak penglibatannya dalam demonstrasi Mat Rempit di Pulau Pinang, yang jelas adalah anak muda yang gila merempit telah tergolong dalam sasaran UMNO untuk dijadikan pekakas dan akhirnya, setelah cita-cita politik mereka tercapai, Mat Rempit akan sekali lagi kembali menjadi 'kambing hitam'.

Hanya Mat Rempit sendiri mampu mengubah nasib mereka. Jika mereka berani menolak tawaran beberapa ringgit, termasuk duit minyak serta hadiah t-shirt daripada kumpulan-kumpulan pelampau kaum, Mat Rempit akan membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka benar-benar indipenden dan pantang dipergunakan oleh mana-mana pihak.

Dengan adanya sikap berani dan adanya keikhlasan hati, tidak ada kerajaan yang lokek untuk menabur dana demi kemajuan kerjaya dan hobi Mat Rempit, asalkan tidak melibatkan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Jangan dikatakan litar lumba, sekolah belajar berlumba sekali pun mungkin mampu ditawarkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat asalkan golongan Mat Rempit ini menyulam diri dengan usaha gigih, dan bukan sekadar mahu jadi jaguh jalan kampung.

Jika diri diperalat orang lain, yang rugi adalah diri sendiri. Semua Mat Rempit faham keadaan ini. – Roketkini.com

Sudahlah meniru Pakatan, tak betul pula pelaksanaan…

Posted: 04 Nov 2011 01:21 AM PDT

Roketkini.com

PETALING JAYA – Kerajaan Barisan Nasional yang cuba menjadi juara rakyat dengan meniru Bajet 2012 Pakatan Rakyat dilihat lebih membawa kerugian, malah mungkin membankrapkan negara.

Ianya dilihat sebagai satu lagi projek pembaziran oleh kerajaan BN apabila mengumumkan akan menambah 2,000 pekerja tambahan untuk menguruskan permohonan bantuan RM500 kepada keluarga yang berpendapatan isi rumah kurang dari RM3,000.

Adun DAP Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, keputusan kerajaan yang memperuntukkan RM1.8 bilion untuk menjalankan program itu menjelaskan maksud sebenar mereka yang tergesa-gesa mengejar populariti.

Menurutnya, kos mengurus untuk membantu orang miskin lebih tinggi daripada jumlah dan nilai yang akan diterima oleh orang miskin, dan semuanya ini bakal ditanggung oleh pembayar cukai.

Beliau berkata, kos tinggi yang terpaksa kerajaan persekutuan tanggung, iaitu sebanyak RM36 juta setahun jika gaji purata ialah sebanyak RM1,500 sebulan untuk 2,000 pekerja tambahan ini.

"Satu ketika dahulu, kerajaan persekutuan yang didalangi BN mengkritik hebat dasar Pakatan Rakyat kerana dikatakan akan menjadikan kerajaan bankrap.

"Kalau dasar Pakatan akan membankrapkan kerajaan, mengapakah BN pula melaksanakannya sekarang?

"Malah kerajaan persekutuan di bawah UMNO pula dilihat cuba menggunakan duit kerajaan untuk memperkayakan ahli-ahli mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Lau yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor, berbanding Belanjawan 2012 Pakatan, peruntukan RM1.8 bilion oleh kerajaan persekutuan langsung tidak memperuntukkan satu sen pun untuk menampung perbelanjaan emolumen.

Justeru beliau mempersoalkan sama ada kerajaan BN sedar akan banyak kepincangan mereka sendiri, sehinggakan perlu mengupah 2,000 pekerja tambahan dan kos tersebut akan dimasukkan dalam Bajet Tambahan.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni kelmarin bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu mengupah seramai 2,000 pekerja tambahan untuk menguruskan program tersebut.

"Mengapakah kerajaan persekutuan tidak menggunakan tenaga kakitangan sedia ada untuk melaksanakan dasar ini?

"Adakah kerajaan persekutuan akan mengambil ahli-ahli UMNO untuk menjalankan program ini dan sekaligus menjadikan dasar ini alat pancing undi?

"Jikalau ini ialah apa yang berlaku sebenarnya, maka ini menunjukkan kerajaan persekutuan tidak merancang program ini sebaik-baiknya daripada permulaaan," katanya.

Kes saman bapa Altantuya: Tak mustahil dibawa ke ICC

Posted: 04 Nov 2011 01:19 AM PDT

Oleh: Nabihah Hamid

KUALA LUMPUR: Pengurusan kes saman bapa warga Mongolia, Altantuya Shaariibu terhadap kerajaan Malaysia perlu dipercepatkan kerana ia akan menjadi lebih buruk jika kes itu dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof berkata, tidak mustahil keluarga mendiang berbuat demikian, sekiranya kes saman yang mereka failkan di negara ini masih tertangguh.


"Kita tidak akan dapat menghalang (bapa Altantuya) untuk mendapatkan keadilan kerana mereka boleh pergi ke mana-mana sahaja.

"Bukan sahaja ke Paris, malah mereka juga boleh pergi ke mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk mencapai keadilan," katanya yang merujuk kes Scorpene yang difailkan di mahkamah tinggi Perancis.

Menurut Yusmadi, kes pembunuhan ALtantuya bukan kes biasa kerana ia melibatkan dua aspek penting iaitu sistem keadilan jenayah dan dasar luar negara.

"Sehingga kini.. tidak ada satu kenyataan maaf yang dibuat oleh kerajaan malaysia, kerana yang terlibat secara faktanya adalah pegawai penjawat awam yang beruniform,"

"(Jelas) kes ini dapat layanan yang berbeza, bersifat diskriminasi malah dari segi aspek pengendalian kes, kita lihat ia tidak dapat layanan yang sewajarnya," kata Yusmadi.

Pada Jun 2007, bapa Altantuya, Setev Shaariibu memfailkan saman ke atas Kerajaan Malaysia dan tiga tertuduh yang didakwa dalam kes pembunuhan itu, bagi mendapatkan ganti rugi RM100 juta.

Writ saman berkenaan difailkan melalui firma Tetuan Karpal Singh & Co di Mahkamah Tinggi Sivil.

Empat anggota keluarga terdekat mangsa, termasuk dua anak kecilnya, dinamakan sebagai plaintif.

Mereka menamakan Cif Insp Azilah Hadri, Kpl Sirul Azhar Umar, Abdul Razak Abdullah Baginda dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Bagaimanapun, setahun sudah berlalu tetapi beliau masih belum menerima sebarang berita mengenai tarikh kesnya itu akan dibicarakan.

Lengah pendaftaran PR, ROS jangan main politik

Posted: 04 Nov 2011 01:19 AM PDT

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Pendaftar Pertubuhan (ROS) diingatkan supaya tidak bermain politik apabila melengahkan pendaftaran Pakatan Rakyat, kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor.

Ini kerana katanya, permohonan itu sudah dibuat sejak dua tahun lalu namun sehingga kini tiada keputusan daripada ROS.

"Kami mengingatkan ROS agar tidak bermain politik kotor dengan Pakatan Rakyat.

"Sebagai sebuah agensi yang mengurus pendaftaran pertubuhan, ROS perlu melayan semua pertubuhan dengan telus, jujur dan adil tidak kira ianya parti dari kerajaan mahupun pembangkang," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution menafikan kenyataan Ketua Pengarah ROS, Abdul Rahman Othman yang mendakwa tiada permohonan baru daripada Pakatan untuk mendaftarkan gabungan itu.

Permohonan itu sebelum ini diuruskan oleh Datuk Zaid Ibrahim selaku Pengerusi Sekretariat Pakatan Rakyat, sebelum beliau berpaling tadah meninggalkan KEADILAN.

Bagaimanapun jawatan itu kemudian diterajui Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar sejak Mac tahun ini.

Sejak itu sehingga Oktober, sekretariat itu mengadakan pertemuan antara tiga hingga empat minggu dengan pihak ROS.

Malah, sekretariat itu telah menghantar segala dokumen yang diperlukan termasuk enam salinan meliputi surat permohonan, undang-undang tubuh, logo dan bayaran sebanyak RM30.

Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook yang juga Setiausaha Agong Sekretariat menyifatkan tindakan ros itu berat sebelah.

"Semasa Zaid mohon pendaftaran Pakatan dan masih ahli KEADILAN, Ros enggan lulus tetapi Ros luluskan pula pendaftaran parti KITA pimpinan Zaid dalam masa dua minggu sahaja, ternyata keputusan Ros terhadap permohonan kami bersifat politik, berat sebelah dan berkepentingan," katanya.

Laporan The West Australian sengaja dirancang?

Posted: 04 Nov 2011 01:16 AM PDT

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mencetuskan kemungkinan media Australia dirancang menyiarkan laporan mengenai anak perempuan Datuk Seri Najib Razak.

Akhbar The West Australian baru-baru ini melaporkan anak perempuan perdana menteri itu berbelanja mewah sebanyak RM195,000 di David Jones- sebuah gedung membeli belah terkemuka di Perth, Australia.


Bagaimanapun akhbar itu membuat pembetulan hari ini dengan menyatakan anak perdana menteri itu tidak berada di lokasi membeli belah seperti dilaporkan, Isnin lalu.

"Perlu difikirkan ini mungkin boleh disifatkan kegagalan kempen media antarabangsa yang melibatkan wang yang banyak yang dibayar oleh kerajaan Malaysia, sesuatu yang amat tidak kena berlaku, Najib sendiri perlu melihat perkara ini.

"Kecualilah ia memang menjadi strategi permainan perang saraf baru di mana (Najib) rancang media (supaya) lapor salah dan kemudian media tersebut minta maaf dengan harapan memadam sekali isu besar," tulis Chegu Bard dalam blognya.

Sebelum ini kerajaan melantik FBC Media sebagai konsultan untuk menaikkan imej Malaysia dan juga Perdana Menteri di peringkat antarabangsa.

Kontrak selama setahun itu disambung sebanyak dua kali dan tamat pada 2010 dengan kos perbelanjaan selama tiga tahun sebanyak Euro 19.6 juta (RM84 juta).

Kerajaan juga menggunakan perkhidmatan syarikat pro Israel, Apco Worldwide sebanyak RM77 juta bagi tujuan itu, selain didakwa mempromosi slogan 1Malaysia yang menyamai konsep One Israel, hasil nasihat perunding berkenaan.

Isnin lalu, akhbar The West Australian bertajuk "Delegates go shopping, sightseeing", menyiarkan berita anak gadis Najib yang membelanjakan $60,000 (RM195,000) untuk membeli belah di Perth.

Selain itu, ia juga menyiarkan berita seorang Wanita Pertama membelanjakan kira-kira A$150,000 (RM487,000) membeli mutiara di David Jones.

The West Australia melaporkan mereka berbelanja mewah ketika mengikut rombongan Najib menghadiri Persidangan Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM), sebelum akhbar itu membuat pembetulan terhadap berita mereka hari ini.

PAS mahu identifikasi seksualiti dicari penyelesaian, bukan dicaci

Posted: 04 Nov 2011 01:14 AM PDT

SHAH ALAM — PAS mahu pihak berkuasa membantu golongan yang berhadapan dengan masalah identifikasi seksualiti khususnya secara semula jadi, bukan dengan kekerasan menutup ruang pembelaan kepada mereka.

Sehubungan itu, PAS Selangor berkata Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mengeluarkan satu panduan dalam perkara ini.

"PAS juga menyeru agar badan-badan keagamaan selain Islam turut menjelaskan pendirian dan sama-sama membantu dalam menangani permasalahan ini," kata Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman pada sidang media hari ini berkisar pada isu semasa Seksualiti Merdeka.

Sehubungan itu kata beliau, PAS Selangor juga bersedia dengan sikap terbuka untuk mengadakan pertemuan, diskusi dan dialog dalam mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan identifikasi seksualiti.

"PAS menyedari wujudnya masalah identifikasi seksualiti di kalangan golongan tertentu.

"Golongan yang sedang keliru dan berada dalam dilema ini perlu dibantu dan bukan dicaci," kata beliau lagi.

Katanya, masalah tersebut perlu ditangani melalui perbincangan dan perbahasan untuk mengukuhkan pendirian seseorang untuk berpegang kepada fitrahnya.

"Mereka perlu diberi kekuatan untuk menolak kecenderungan yang songsang dan bukan diberikan galakan untuk mengikutnya," kata beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri Meru ini berkata, dari segi pandangan Islam, hak asasi manusia adalah untuk menghayati dan memenuhi peranannya sebagai mahkluk yang dijadikan Allah.

"Ini meliputi hak bersuara, menentang kezaliman, hidup bebas dengan kehormatan tanpa ancaman ditahan tanpa perbicaraan dan sebagainya.

"Program yang memperjuangkan hak LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) adalah dari sudut Islam bukan bertujuan memperjuangkan hak asasi manusia," katanya lagi.

Sebaliknya kata beliau, ia memperjuangkan cara hidup songsang yang menjatuhkan martabat manusia sehingga terpesong jauh dari fitrah manusia itu sendiri

Empat saman UKM harap Kabinet mansuh Seksyen 15 AUKU

Posted: 04 Nov 2011 01:11 AM PDT

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR- Empat bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berharap kerajaan pusat akan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan awal minggu ini dengan memansuhkan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang didakwa mengekang hak menyertai politik dengan aktif.

"Kepada penggubal-penggubal perundangan Malaysia, kami menggesa agar mereka berpegang kepada doktrin pengasingan kuasa dan keluhuran undang-undang.

"Kami meminta mereka menghormati keputusan mahkamah dan memansuhkan Seksyen 15(5)(a) AUKU secepat mungkin demi kepentingan belia dan masa depan generasi akan datang di negara ini," kata pelajar-pelajar itu dalam satu kenyataan. Kabinet dijangka mengambil pendirian mengenai perkara itu hari ini.

Keputusan sama ada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan merayu atau tidak berhubung keputusan Mahkamah Rayuan terhadap peruntukan Seksyen 15 (5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dijangka diketahui hari ini.

Selama, Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penelitian terhadap keputusan penghakiman sudah dibuat, kini bergantung kepada cadangan serta pendapat Kabinet sama ada wajar atau tidak untuk merayu.

"Buat masa ini, saya tidak ada apa yang nak ditambah mengenai isu AUKU, kita tunggu sahaja keputusan Kabinet esok (hari ini)," katanya.

Malah semalam, tiga Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk dua timbalan menteri berharap kerajaan tidak akan meneruskan rayuan ke peringkat lebih tinggi, sebaliknya memansuhkan seksyen tersebut.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden MCA Gan Peng Siew yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berpendirian bahawa Seksyen 15 AUKU perlu dimansuhkan selaras dengan program transformasi politik.

Mereka juga menegaskan dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu peruntukan 15(5)(a) sudah tidak lagi wujud dan kini mahasiswa bebas untuk berpolitik.

Isnin lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 15(5)(a) AUKU yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Wira Low Hop Bing memutuskan seksyen tersebut dalam AUKU itu tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.

Hakim Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus dan Datuk Linton Albert membenarkan rayuan empat penuntut jurusan sains politik UKM yang menghadapi tindakan disiplin kerana didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 24 April 2010.

Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adza dalam saman pemula mendakwa mereka menerima notis dari UKM untuk menghadiri Lembaga Disiplin UKM bagi menjawab tuduhan melanggar Sesksyen 15(5)(a) Akta AUKU.

Kata mereka, bertolak daripada keputusan Mahkamah Rayuan tempoh hari, masa depan negara terletak pada bahu pelajar generasi masa depan.

"Kami berpegang bahawa hak pelajar untuk melahirkan sokongan, simpati atau bangkangan adalah langkah ke depan dalam melahirkan golongan yang dihormati, kritikal dan progresif, yang mahu membawa negara ini ke tahap lebih tinggi dalam tahun-tahun mendatang, dengan berani mahu mendapatkan kebenaran, mempertahankan keadilan dan mewarisi kebebasan tanpa mengira kaum, agama atau kelas," kata mereka lagi.

Seksualiti Merdeka: Ingin laksana 'revolusi gila'

Posted: 04 Nov 2011 01:07 AM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Slogan Queer Without Fear program Seksualiti Merdeka 2011 menunjukkan golongan berkenaan terlalu menginginkan revolusi gila mereka itu terlaksana.

Justeru, Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (Unggas) berpendapat program itu amat bertentangan dengan norma budaya segenap lapisan masyarakat yang wujud di Malaysia.

"Baik agama Islam, Buddha, Hindu bahkan Kristian sekalipun melarang hubungan sejenis mahupun 'kemerdekaan gender' yang mereka perjuangkan," kata jurucakapnya, Ciffi Faizal Zahinor.

Katanya, golongan yang menubuhkan kumpulan 'seksualiti merdeka' itu bukanlah terdiri dari golongan yang biasa-biasa sahaja tetapi kebanyakannya terdiri daripada golongan artis, pelukis, penceramah, peguam, pakar perubatan serta golongan elit yang berorientasikan pemikiran liberal.

Golongan itu, ujarnya bijak memilih perkataan 'merdeka' seumpama mereka dijajah, didikriminasikan oleh kerajaan dan 'golongan agama'.

"Namun realitinya, golongan inilah yang sebenarnya dijajah oleh pemikiran 'kuning' budaya barat yang sebelum ini tidak pernah digembar-gemburkan di rantau Asia ini," ujarnya lagi.

Menurutnya, slogan queer without fear atau 'ganjil tanpa rasa takut' jelas mengajak mereka yang sefahaman dengan golongan itu tampil ke hadapan untuk meninggalkan adab susila budaya Timur.

Beliau menambah, jika dilihat pada tentatif program, ternyata penganjuran program kali ini amat tersusun jika hendak dibandingkan tahun 2008 dahulu yang hanya menjalankan persembahan pentas dan beberapa ceramah bebas.

Namun, katanya berlainan pula pada tahun ini di mana mereka telah berjaya mengumpulkan aktiviti berbentuk forum dan ceramah yang berfokus kepada ke arah menjadikan Malaysia negara yang menerima seksualiti songsang sebagai satu gaya hidup.

Selain itu, ujarnya golongan itu juga giat berusaha agar satu polisi bagi melindungi hak-hak mereka terlaksana.

"Program ini harus disekat daripada terus diadakan kerana ia amat bertentangan dengan akidah dan sudah tentu terang-terangan melanggar fitrah kejadian manusia," tegasnya.

Selain itu, tambah beliau impak kepada program itu adalah ia akan lebih banyak menyebabkan dan menggalakkan penyakit jangkitan seksual seperti HIV/Aids dan penyakit kelamin.

Menurutnya, melalui program itu juga, dikhuatiri fahaman liberalisma semakin tersebar dan akhirnya akan menyebabkan kerancuan kepada masyarakat.

Beliau berkata, dari satu sudut yang lain pula, penganjuran program seperti itu sebenarnya amat bercanggah dengan norma budaya masyarakat Asia sendiri yang terkenal dengan kesopanannya dan amat berpegang teguh kepada agama dan adat warisan.

"Unggas amat khuatir sekiranya berlaku kepincangan rumahtangga jika pihak-pihak berwajib mengambil langkah untuk 'menghalalkan' program-program sebegini seperti yang sedang berlaku di negara barat," ujarnya.

Katanya, kerosakan dan kepincangan masyarakat memang tidak akan dirasai dalam masa yang singkat tetapi akan tetap berlaku jika semua pihak menganggap program-program seperti itu sebagai suatu perkara yang remeh.

Kelantan salur RM400,000 pada SKMK

Posted: 04 Nov 2011 01:05 AM PDT

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sekali lagi meletakkan kepentingan rakyat di hadapan apabila memperuntukkan RM400,000 kepada Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK).

Ini ekoran syarikat pengendali pengangkutan awam itu telah menyampaikan hasrat untuk memberhentikan operasi di 17 laluan dalam negeri.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, SKMK yang ditubuhkan pada 24 Februari 1947 itu telah banyak menabur jasa kepada rakyat negeri ini dalam soal penyediaan pengangkutan awam.

Namun, ujarnya kerana kenaikan harga minyak dan pelbagai kos termasuk penyelenggaraannya, SKMK telah melahirkan hasrat tersebut kepada kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri melalui keputusan mesyuarat kerajaan telah diberi taklimat sebanyak dua kali oleh SKMK dan kita amat memahami permasalahan ini dan kita tahu sekiranya mereka memberhentikan perkhidmatan, maka ia akan menyukarkan pergerakan rakyat terutamanya pelajar sekolah," ujar beliau pada sidang media selepas meraikan pemain The Red Warriors bertempat di Dewan Teratai hari ini.

Sehubungan itu, katanya kerajaan telah bersetuju pada peringkat awal untuk menyelamatkan SKMK dari memberhentikan perkhidmatannya dengan membantu dari segi kewangan dan ia akan dibantu bermula pada bulan November ini sebanyak RM100,000 dan akan diteruskan selama empat bulan.

Menurutnya lagi, sekiranya SKMK memberhentikan perkhidmatannya ia akan memberi implikasi besar kepada rakyat bawahan.

Justeru, katanya kerajaan akan bekerjasama dengan pengurusan SKMK untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal pengangkutan bas bagi membincangkan langkah pemulihan operasi syarikat tersebut yang dipengerusikan oleh Exco negeri, Mejar Datuk Mohd Anizam Abdul Rahman.

Sementara itu, bagi memberi penghargaan kepada pasukan bola sepak The Red Warriors, kerajaan telah memperuntukkan RM84,000 kepada semua pemain dan pegawai pasukan yang disampaikan sendiri Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz.

PAS sokong tuntutan Bersih bukan Ambiga

Posted: 04 Nov 2011 01:04 AM PDT

Aziz Muda

KUALA LUMPUR: PAS menegaskan sokongan parti itu terhadap Datuk S Ambiga hanyalah terhadap isu yang dibawanya terutama mengenai tuntutan Bersih baru-baru ini, tetapi bukanlah sokongan ke atas batang tubuhnya.

Oleh itu, PAS tetap tidak bersetuju malah menentang keras pendirian Ambiga terhadap hak asasi manusia yang diperjuangkannya mengenai seksualiti termasuk sokongannya terhadap program Seksualiti Merdeka yang dianjurkan oleh pihak-pihak terbabit baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) berkata, perkara itu perlu difahami oleh kesemua pihak dan tidak sepatutnya disalah anggap sejajar dengan dasar perjuangan PAS sejak ditubuhkan untuk menegakkan Islam di tanah air.

"Dalam hubungan ini, saya sememangnya bersetuju dengan kenyataan dan pendirian Dewan Ulamak PAS yang menentang penganjuran Pesta Seksualiti Merdeka dan sebarang aktiviti seks luar tabie melibatkan lesbian dan gay," katanya.

Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab pertanyaan kontroversi Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu (Bebas), Zulkifli Noordin mengenai sokongan PAS ke atas Ambiga, sedangkan Ambiga jelas menyokong Pesta Seksualiti Merdeka atas alasan hak asasi manusia.

Menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Zulkifli ketika mencelah ucapannya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, sejak dulu sokongan PAS terhadap seseorang bergantung kepada isu, bukan ke atas batang tubuh seseorang dan ia tidak terkecuali dengan Ambiga.

Menurutnya, sokongan PAS dalam isu Bersih yang dibawa oleh Ambiga sesuai dengan tuntutannya yang selaras dengan perjuangan PAS, tetapi dalam isu seksualiti yang membawa sokongan Ambiga terhadap Pesta Seksualiti Merdeka berbeza sama sekali.

"Dalam isu Pesta Seksualiti Merdeka, PAS tidak menyokong Ambiga kerana isu tersebut ternyata bertentangan dengan perjuangan PAS," tegasnya yang juga AJK PAS Pusat.

Sebelum itu, beliau menjelaskan, dalam perkara perjuangan hak asasi manusia oleh pihak-pihak terbabit, ada perkara yang diterima oleh PAS dan ada pula yang ditolak oleh parti itu.

Katanya, penolakan PAS terhadap sesuatu perkara melibatkan hak asasi manusia itu berdasarkan sebab-sebab tertentu selaras dengan dasar perjuangannya dan parti itu tetap mempunyai hujah mengenai perkara itu.

Begitu juga, tegasnya, dengan penolakan PAS terhadap aktiviti seks luar tabie dan perzinaan tetap mempunyai hujahnya kerana ia diharamkan dalam Islam dan amalan itu bertentangan dengan norma-norma kemanusiaan serta mengundang kemusnahan individu terbabit, keluarga dan masyarakat

Sungguhpun begitu, beliau menyarankan agar pihak-pihak terbabit mengambil langkah lunak terhadap mereka yang terlibat dengan aktiviti haram itu untuk menyedarkan mereka supaya kembali menjalani hidup dengan cara normal.

"Tapi kalau kita guna undang-undang sahaja ke atas mereka, takut nanti mereka akan menjalani aktiviti bawah tanah. Ini pasti lebih merumitkan untuk diatasi," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menyarankan kerajaan agar turut menggubal undang-undang khusus bagi membolehkan zina dikategorikan sebagai jenayah, setelah liwat diletakkan sebagai jenayah di bawah Seksyen 377.

Beliau juga mendesak kerajaan agar mengambil pendirian tegas mengutuk kezaliman yang dilakukan oleh pihak pemerintah Syria terhadap rakyatnya sehingga menyebabkan kematian ratusan ribu orang awam di negara itu.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (kiri) menegaskan bahawa dewan itu sama sekali tidak akan menyokong apa sahaja langkah yang bertentangan dengan nilai fitrah manusia.

Penganjuran program itu dilaporkan oleh akhbar perdana kelmarin dipromosikan melalui laman sesawang www.seksualitimerdeka.org yang kononnya bertujuan mempertahankan hak golongan homoseksual agar boleh diterima dalam kalangan masyarakat negara ini.

"Kebebasan ada peraturannya, memang manusia diberikan kebebasan menyuarakan pandangan tetapi hendaklah di dalam kerangka yang dibenar dan tidak bertentangan dengan fitrah kejadian manusia" kata beliau yang juga Adun Manir, Terengganu.

"Namun Dewan Ulamak PAS menyeru supaya golongan seperti ini diubati sehingga dapat hidup bersama masyarakat secara fitrah dan bukannya memberikan pengiktirafan yang tidak akan menyelesaikan masalah, Dewan Ulamak melihat dari sudut penyelesaian masalah iaitu golongan ini mesti diubati dan bukannya meneruskan masalah," ujar beliau lagi.

Kelantan beri RM85 ribu kepada Red Warriors

Posted: 04 Nov 2011 01:02 AM PDT

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU: Di atas keperihatinan serta sokongan penuh kepada pasukan bolasepak Kelantan, kerajaan negeri hari ini memberikan RM85 ribu untuk diagihkan kepada semua pemain dan pengurusan The Red Warriors.

Majlis penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Turut hadir exco negeri Abdul Fattah Mahmood dan Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman di jamuan makan meraikan pemain hari ini.

Sementara itu rombongan The Red Warriors pula diketuai oleh Pengurus Pasukan yang juga Setiausaha Agung KAFA Azman Ibrahim.

Abdul Fattah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,Belia, Sukan dan NGO ketika menyampaikan ucapan berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau perjalanan pasukan The Red Warriors.

Walaupun tahun ini gagal ke final Piala Malaysia, namun kejayaan memiliki dua piala iaitu Piala Presiden dan Piala Liga Super sudah cukup memberangsangkan.

"Saya berharap pemain yang menerima sumbangan ini menjadikannya sebagai perangsang untuk meneruskan perjuangan dalam musim akan datang"ujar beliau.

Abdul Fattah juga berkata sebelum ini kerajaan hanya bercadang untuk memberi RM60 ribu tetapi di atas keperihatinan Menteri Besar Tuan Guru , peruntukkan tersebut ditambah menjadi RM84 ribu dan sumbangan peribadi sebanyak RM1 ribu dari Tuan Guru disumbangkan kepada tabung kebajikan pemain.

Sementara itu Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata Islam tidak pernah melarang mana-mana umatnya menyertai sukan atau dikenali sebagai Riadah.

" Dalam Islam, kita boleh lakukan apa sahaja namun ia ada batas-batas tersendiri dan dalam bersukan juga ada batasannya,oleh itu saya berharap pemain The Red Warriors ini sentiasa mematuhi kehendak agama agar tidak terjerumus dalam perkara yang tidak elok"ujar beliau.

Nik Aziz juga mengimbau kembali yang beliau pernah bermain bolasepak di zaman era penjajahan Jepun lagi dan sehingga kini kenangan tersebut masih segar.

" Saya amat meminati sukan bola sepak ni, sebab tu saya sanggup hadir menonton sendiri perlawanan di peringkat akhir ketika Kelantan layak dulu" ujar beliau.

Bagi Pengurus pasukan The Red Warriors, Azman Ibrahim pula ketika ditemui berkata sumbangan kerajaan negeri kepada pemain ini adalah satu lagi tanda keperihatinan kerajaan kepada sukan bolasepak Kelantan.

"Saya yakin dengan sumbangan yang pemain terima hari ini, mereka akan lebih bersemangat lagi pada musim hadapan dan diharapkan kerajaan akan sentiasa menyalurkan pelbagai bantuan demi pembangunan sukan bolasepak negeri ini," katanya.

Akta Kerja bukti BN tidak bela pekerja

Posted: 04 Nov 2011 01:01 AM PDT

Fakhri Ali

BUKIT MERTAJAM: Pindaan Akta Kerja 1955 yang telah diluluskan pada 6 Oktober yang lalu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sedang memerintah negara lemah dan tidak memberi perhatian yang sewajarnya untuk membela nasib pekerja.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berucap dalam majlis ceramah perdana di Dataran Rakyat, Taman Guar Perahu, Penanti, malam tadi.

Menurut beliau lagi, akta yang diluluskan membuktikan nasib pekerja tidak dibela. Mereka akan dilabelkan sebagai pekerja kontrak yang tidak mempunyai perlindungan keselamatan serta masa depan.

"Kewujudan kontraktor akan menjadi lambakan baru kronisme yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan BN. Ini adalah antara unsur memperbodohkan rakyat. Ia juga merupakan suatu sistem yang menghala kearah eksploitasi tenaga kerja.

"Pindaan ini juga adalah pindaan yang tidak bertanggungjawab. Walaupun rakyat membuat bantahan, mereka masih tetap berdegil untuk mempertahankan projek terancang yang memperlekehkan pekerja dan tenaga kerja dalam negara," ujarnya lagi.

Jelasnya lagi, sekiranya rakyat tidak menolak kerajaan sedia ada dalam PRU yang akan datang, tidak mustahil banyak lagi rencana bermotifkan kronisme dan penyelewengan sepertimana yang didedahkan oleh Laporan Audit Negara akan menjadi amalan.

"Jika mahu negara dan rakyat selama, perubahan perlu dibuat dengan menolak BN dalam PRU 13 yang akan datang," tegasnya lagi.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Sungei Petani, Datuk Johari Abdul, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dan pimpinan PR Pulau Pinang.

Pengamal media mesti bertanggungjawab

Posted: 04 Nov 2011 12:56 AM PDT

Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan pengamal media perlu melaksanakan tanggungjawab yang betul dalam setiap apa yang dilaporkan.

Ini, katanya kerana kesilapan mereka menyiarkan sebarang berita akan menjatuhkan maruah sesebuah negara mahupun individu tertentu.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas tindakan akhbar Australia, The West Australian mengakui laporannya sebelum ini yang mendakwa anak perempuan Datuk Seri Najib Razak berbelanja besar di negara itu sebagai tidak benar.

"Saya rasa apa yang penting adalah sikap tanggungjawab pengamal media apatah lagi ia menjadi rujukan sehingga peringkat antarabangsa.

"Sebarang laporan yang tidak tepat sudah pasti akan memjatuhkan imej sesebuah negara serta individu tersebut, dan apa yang saya katakan ini bukan hanya merujuk kepada apa yang disiarkan di dalam akhbar milik Australia itu sahaja tetapi ia meliputi pengamal media di dalam negara kita.

"Yang mana penyebaran fitnah berita-berita yang tidak tepat sudah menjadi sinonim dengan mereka terutamanya di media elektronik milik kerajaan dan juga media cetak," jelasnya.

Beliau juga berkata, tidak kira berita kepada siapa jua disiarkan kalau ia berunsur fitnah serta tanpa bukti yang kukuh, maka perlu diketepikan.

Justeru, ahli Parlimen Kubang Kerian itu meminta pengamal media agar perlu berhati-hati dalam setiap apa yang mereka ingin sampaikan.

"Kita berharap akhbar milik kerajaan di negara ini juga mempunyai sikap yang sama. Kalau perkara itu tidak betul atau masih samar-samar janganlah disiarkan kerana ia boleh menjatuhkan maruah seseorang. Jangan pula terkena pada diri sendiri baru kita nak melenting," sambungnya lagi.

Awal minggu ini, laporan berita di The West Australian, mendakwa anak gadis Najib membelanjakan A$60,000 (RM195,000) semasa membeli-belah di David Jones, antara gedung terbesar di Australia.

Dalam laporan tersebut juga, peniaga membuat keuntungan besar apabila "seorang wanita pertama" membelanjakan A$150,000 (RM487,000) membeli mutiara Australia Barat, manakala 'anak gadis Najib' dilapor membelanjakan A$60,000.

Bolehkah bukan muslim selamat dari neraka?

Posted: 04 Nov 2011 12:55 AM PDT

Mohd Asri Zainul Abidin

Soalan ini mungkin mengejutkan. Sebab, secara umumnya ramai muslim menganggap setiap yang bukan muslim pasti akan diazab dalam neraka. Tanpa mengambil kira keadaan mereka.

Apabila saya merenung sikap baik ramai individu bukan muslim di Oxford ini dan di tempat lain juga, ia mengingatkan saya kepada Prof DiRaja Engku Aziz. Semasa saya masih Mufti Perlis, beliau pernah datang ke pejabat saya secara bersendirian. Beliau ingin berbicara dengan saya secara tertutup. Ada beberapa soalan yang beliau kemukakan, antaranya: apakah orang bukan muslim yang berakhlak baik itu tetap memasuki neraka? Saya telah jawab serba sederhana untuk beliau ketika itu.

Berbudi baik

Soalan itu kembali bermain di fikiran saya apabila melihat ramai orang bukan muslim di Barat ini yang jauh lebih berdisiplin dalam hubungan mereka sesama manusia dibandingkan sesetengah orang muslim sendiri. Ya, bukan semua, tetapi ramai. Ya, sejarah orang Barat juga penuh dengan tompokan hitam; pembunuhan, penyeksaan dan pelbagai lagi. Hari ini pun, banyak negara yang mereka ganggu.

Itu cerita politik dan cerita agama yang dipolitikkan. Bukan semestinya sama cerita orang politik dengan cerita orang awam. Hakikatnya, dalam kehidupan peribadi, ramai mereka menepati janji, jujur dalam pekerjaan, ada nilai simpati yang tinggi terhadap manusia, haiwan dan alam. Banyak usaha menderma di sana sini untuk kefakiran dan malapetaka. Ada pula yang enggan memakan daging kerana simpati kepada binatang. Pelbagai lagi asas kemanusiaan dan nilai murni dalam hidup mereka. Di samping tidak dinafikan, sebagai manusia ada juga perkara negatif lain.

Saya ada seorang kawan baik daripada Austria, beliau seorang vegetarian. Dia juga enggan makan produk Nestle dan Coca-cola. Saya bertanya, "Stefanie! Apakah kerana itu satu pegangan agama? Jawabnya, 'Tidak, hanya saya simpati kepada haiwan dan saya benci kepada kedua syarikat itu kerana mereka menindas orang miskin. Saya akan terus pulau mereka selagi saya hidup". Saya diam, saya rasa kita orang muslim pun sukar hendak memulau kedua syarikat itu sekalipun isu Palestin dibangkit mengenai syarikat-syarikat tersebut. Stefanie masih muda, saya tidak tahu sehingga bila beliau boleh bertahan dengan pendiriannya.

Muslim berdakwah di tengah Bandar Oxford. Nasib baik masyarakat mereka tidak membantah orang lain berdakwah dalam negara mereka.

Halangan Hidayah

Bukan sedikit mereka yang seperti beliau. Jiwa mereka baik, perasaan mereka luhur. Malangnya, cahaya hidayah yang sebenar tidak sampai kepada mereka. Bagaimana hendak sampai dengan mudah, banyak hadangan yang mendindingi cahaya yang hakiki itu untuk sampai. Kemunduran negara umat Islam yang sentiasa porak-peranda, kelam-kabut, merusuh dan bergolak. Sikap buruk sesetengah orang muslim yang mendominasi keadaan lalu gagal menjadi contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat dunia. Ditambah media massa Barat yang memberikan wajah buruk tentang Islam; disokong pula oleh tindakan umat Islam sendiri.

Lihat Iran yang menzalimi rakyatnya, Pakistan yang porak peranda dan menindas wanita dan Dunia Arab yang sentiasa korupsi dan menumpah darah antara satu sama lain. Kelompok-kelompok kononnya jihad yang mengebom di sana-sini. Mereka semua itu telah menggunakan lencana "Islam", jenama "Islam", lambang "Islam" sehingga Islam yang hakiki menjadi begitu suram dan kabur. Kesemua itu adalah gunung dan bukit yang menghalang cahaya keindahan Islam yang hakiki dari menembusi jiwa kebanyakan manusia hari ini. Maka, bukanlah satu keadilan jika Allah menghukum mereka di akhirat dalam keadaan demikian. Allah berfirman:

"Tidaklah tuhanmu itu zalim terhadap hambaNya" (Fussilat: 46).

Namun tidak dinafikan ada yang telah sampai penerangan yang jelas melalui jalan yang Allah kehendaki. Cuma, bukan semua berpeluang. Mungkin kita kata: mereka boleh cari Islam yang sebenar dalam internet. Malangnya, maklumat dalam internet juga bercampur baur antara yang benar dan yang palsu, antara yang indah dan buruk. Entah berapa banyak puak dan aliran dalam masyarakat muslim. Jika orang yang lahir dalam masyarakat Islam pun keliru, apatahlagi yang baru hendak mencari.

Kemudian, bukan semua orang mempunyai kemampuan analisa. Tidak pula semua mempunyai cukup masa. Juga bukan semua yang sedar bahawa mereka tidak berada atas hidayah. Jika pada zaman dahulu, Salman al-Farisi mengembara dari Parsi untuk mencari Nabi dengan penuh dugaan dan derita, tapi berapa orangkah penduduk Parsi yang sanggup sepertinya? Tiada. Parsi hanya menerima Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w dengan sampainya tentera Umar bin al-Khattab ke sana. Jika Allah mewajibkan semua orang lakukan seperti Salman, pasti suatu bebanan yang tidak tertanggung oleh manusia.

Bolehkah Selamat?

Hari selesa lepas di Centre for Muslim-Christian Studies, Oxford seperti biasa ada seminar mingguan. Setiap hari, saya berjalan kaki berkilometer untuk menghadiri pelbagai seminar. Saya berjalan ke seminar tersebut sejauh dua kilometer dengan penuh harapan mendapat sesuatu yang menarik. Ini kerana tajuk minggu ini "Can Non-Muslims be Saved?". Pembentangnya; Jon Hover, pensyarah Islamic Studies, University of Nottingham.

Saya fikir beliau akan menyentuh apa yang saya harapkan. Malangnya, beliau membahaskan pemikiran Ibn Qayyim al-Jawziyyah (meninggal 751H) tentang Fana an-Nar (Penamatan Neraka). Memang, dalam beberapa karyanya khususnya Hadi al-Arwah, Ibn al-Qayyim berhujah dengan beberapa alasan yang menarik bahawa nereka itu akhirnya akan tamat. Tiada sebarang hikmat Allah menghukum manusia kuffar dalam neraka selamanya. Idea yang kontroversial itu dipertahankan oleh Ibn Qayyim dengan beberapa hujah; riwayat salaf, tafsiran al-Quran dan atas sifat rahmat Allah yang sentiasa mengatasi murkaNya. Namun, saya rasa Jon Hover gagal membentang secara rapi hujah Ibn Qayyim khususnya berkaitan ayat al-Quran Surah Hud ayat 106-108. Saya tidak berhasrat membahaskan pemikiran Ibn Qayyim itu di sini.

Saya rasa persoalan "can non-muslims be saved?" bukanlah itu jawapannya yang memuaskan. Isu apakah neraka kekal atau akhirnya musnah hanyalah tafsiran dan andaian. Hanya Allah Yang Mengetahui. Apapun, yang ke neraka, tetap ke neraka. Ada perbahasan lain yang lebih menarik oleh Ibn al-Qayyim dan para sarjana Islam yang lain. Lebih sepakat, lebih jelas dalilnya dan lebih menyerlahkan keadilan Allah dan keindahan Islam.

Selamat Dari Azab

Para sarjana bersepakat dengan prinsip yang ditegaskan oleh al-Quran bahawa Allah tidak akan mengazabkan seseorang melainkan setelah diutuskan rasul. Sesiapa yang tidak sampai kepadanya ajaran yang benar dari seorang rasul, tidak ditegakkan hujah yang teguh sehingga tiada alasan untuk ragu dan syak, maka dia tidak akan diazabkan oleh Allah. Ini seperti yang Allah tegaskan: (maksudnya)

"Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul" (Surah al-Israk: 15).

Inilah yang menyelamatkan bukan muslim yang tidak sampai hujah hidayah kepada mereka. Bahkan inilah juga yang menyelamatkan muslim yang jahil yang tidak disampaikan hujah dalam amalan atau kepercayaan tentang Islam mengenai sesuatu perkara. Al-Sa'di dalam tafsirnya menyebut:

"Allah itu Maha Adil, Dia tidak akan mengazab seseorang melainkan ditegakkan hujah dengan pengutusan rasul tapi dia menolaknya. Adapun sesiapa yang tidak sampai kepadanya hujah Allah, maka sesungguhnya dia tidak diazab".

Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah: (maksudnya)

"Rasul-rasul pembawa khabar gembira dan amaran supaya tiada bagi manusia suatu hujah (alasan untuk berdalih pada hari kiamat) terhadap Allah sesudah mengutuskan rasul-rasul itu. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" (al-Nisa: 165).

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karyanya Tariq al-Hijratain menyebut:

"Sesungguhnya azab itu layak diterima kerana dua sebab; pertama, tidak mahu mendengar hujah serta enggan menerima dan beramal dengan tuntutannya. Kedua, berkeras setelah ditegakkan hujah dan meninggalkan tanggungjawab berkaitan. Maka jenis yang pertama; kufur berpaling (enggan mendengar) dan yang kedua; kufur keras kepala. Adapun kufur kerana jahil tanpa ditegakkan hujah dan tanpa kemampuan untuk mengenali hujah, jenis inilah yang Allah tidak akan azab sehingga tertegaknya hujah rasul".

Seterus Ibn Qayyim menyebut lagi:

"Sesungguhnya penegakan hujah itu berbeza dengan berbezanya zaman, tempat dan individu. Mungkin dikira tertegaknya hujah ke atas orang-orang kafir pada suatu zaman, tidak pula pada zaman yang lain. Juga dikira tertegak pada satu tempat atau kawasan, tidak pada tempat atau kawasan yang lain. Demikian untuk seseorang, namun tidak pada individu lain" (m/s 438. Kaherah: Maktabah al-Mutanabi)

Ya, maksudnya cara dan pendekatan penerangan tentang kebenaran Islam itu sehingga dianggap tertegak hujah adalah berbeza mengikut zaman, tempat dan individu. Mereka yang hidup dalam suasana hari ini caranya berbeza dengan zaman dahulu. Zaman kekeliruan tidak sama zaman kejelasan. Demikian latar tempat dan negara. Seseorang yang berada di negara muslim, tidak sama yang berada di negara bukan muslim dan seterusnya. Demikian latar pendidikan dan akal, tidak sama. Maka, apabila hujah tidak memadai untuk mereka, Allah berjanji tidak akan mengazab mereka. Apakah di Barat dan Malaysia juga hujah sudah memadai?

*Mohd Asri Zainul Abidin (gambar kiri) ialah bekas mufti Perlis, tulisan ini dipetik dari blog beliau.

Yusry guna khidmat bomoh hujan ketika penggambaran "Vikingdom"

Posted: 04 Nov 2011 12:53 AM PDT

MALAYSIA CHRONICLE

PUTRAJAYA - Pengarah filem Vikingdom, Yusry Abdul Halim mengakui telah menggunakan khidmat bomoh untuk menahan hujan ketika penggambaran filem tersebut.

Kata Yusry, dia menggunakan alternatif tersebut sekadar salah satu usaha untuk menjalankan penggambaran filem tersebut secepat mungkin.

"Saya tidak percaya tentang perkara-perkara begini tetapi ia hanya hanya satu usaha sahaja untuk kami melakukan penggambaran dengan lancar.

"Alhamdulillah sama ada betul atau kebetulan penggambaran untuk beberapa babak yang dilakukan di luar kawasan berjalan lancar biarpun hujan lebat turun selepas setiap kali selesai penggambaran," katanya ketika majlis memperkenalkan barisan pelakon filem Vikingdom, di Marriot Putrajaya, di sini, Khamis.

Filem ini membariskan beberapa pelakon antarabangsa seperti Dominic Purcell, Crig Fairbrass, Natassia Malthe dan Jon Foo sebagai tunggak utama.

Filem yang dianggap projek bertaraf antarabangsa bagi KRU Studio ini telah menjalani penggambaran hampir dua minggu di beberapa lokasi di Malaysia.

"Kita menjalankan penggambaran di beberapa lokasi di Malaysia yang jarang dilakukan oleh produksi lain seperti di Kelly Castle di Perak.

"Sementara lokasi luar negara hanya dilakukan di dalam studio, kami hanya ada masa hingga 21 November ini untuk pelakon-pelakon ini sebelum mereka pulang semula ke negara mereka," katanya.

Bercerita tentang pengalaman mengarahkan pelakon-pelakon popular tersebut, kata Yusry kesemua mereka memberi kerjasama dengan baik sepanjang di lokasi penggambaran.

"Mereka semua profesional dan datang ke lokasi dengan persiapan yang cukup. Mereka juga banyak memberi idea untuk mencantikkan lagi skrip dan cerita.

"Bagi saya sepanjang tempoh penggambaran ini tiada yang berlagak bagus dan lebih penting adalah hasil depan skrin yang memuaskan," tuturnya.

Filem ini turut menggunakan 100 peratus bahasa Inggeris dan skripnya ditulis James Coine.

Selain itu, Vikingdom akan menggunakan teknologi terkini, stereoskopik 3D yang pernah digunakan dalam pembikinan filem fiksyen Avatar.

Filem ini dijangka akan berada di pawagam penghujung tahun 2012 atau awal 2013.- mStar

Kelantan serah poster ucapan Tun Razak di parlimen

Posted: 04 Nov 2011 12:49 AM PDT


KOTA BHARU - Pemimpin Kerajaan Kelantan akan ke Parlimen pada 10 November ini untuk membawa poster ucapan pemimpin terdahulu termasuk Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak berhubung royalti petroleum bagi mengingati ulang tahun ucapan allahyarham pada 12 November 1975.

Kunjungan yang akan disertai anggota Exco kerajaan negeri, Adun, anggota Parlimen, Gegar termasuk Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum, Datuk Husam Musa akan menyerahkan himpunan risalah Tun Abdul Razak serta beberapa pemimpin lain kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Husam pada sidang media semalam memberitahu, risalah tersebut mengandungi ucapan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Yaacob, Pengerusi Pertama Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah dan lain-lain agar pimpinan kerajaan Persekutuan hari ini sedar Kelantan berhak mendapat royalti petroleum.

"Memandangkan hari Sabtu Parlimen tidak bersidang, jadi kita memilih hari yang paling hampir dengan tarikh tersebut, iaitu 10 November untuk menyerahkan risalah serta amanat ayahanda kepada Perdana Menteri sekarang berhubung perkara itu," ujarnya.

Husam berkata, risalah atau poster tersebut akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri sekiranya Perdana Menteri tidak hadir.

"Sekiranya kedua-duanya tidak ada, risalah tersebut akan diserahkan kepada mana-mana menteri atau timbalannya," ujarnya.

Sehubungan itu juga, menurutnya himpunan kata-kata rasmi pimpinan terdahulu yang terkandung dalam risalah itu akan diedarkan kepada orang ramai pada hari berkenaan.

Antara yang terkadung dalam risalah itu ucapan Tun Abdul Razak pada tahun 1975, ketika menjawab pertanyaan Lim Kit Siang dalam sidang Dewan Rakyat ketika itu menyebut mengikut perjanjian, tiap-tiap negeri akan menerima 5 peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai sama ada kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut.

Selain itu, risalah tersebut turut mengisi ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Kasitah Gaddam yang menyokong kerajaan berhak mendapat hasil royalti petroleum.- Harakah Daily

Isu murtad Himpun, Seksualiti Merdeka tak jejas undi Pakatan

Posted: 04 Nov 2011 12:44 AM PDT


SHAH ALAM — PAS, komponen Pakatan Rakyat, yakin bahawa arah aliran sokongan kepada perikatan itu tidak akan terjejas meskipun diserang dan dilabel secara negatif ekoran dua peristiwa dalam tempoh sebulan ini — pemurtadan dan program Seksualiti Merdeka ketika spekulasi menyebut pilihan raya umum semakin dekat.

Malah kata PAS, pihaknya sedar Barisan Nasional (BN) dan Umno cuba mengaitkan Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S. Ambiga, yang sepatutnya merasmikan program Seksualiti Merdeka 9 November ini, dengan Pakatan Rakyat.

Perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara pada Julai lalu dengan kehadiran sekitar 50,000 orang menuntut pembaharuan pilihan raya, mendapat sokongan Pakatan Rakyat tetapi dikecam keras oleh BN.

"Rasanya tidak sangat, kecuali mereka (BN dan Umno) dapat mempengaruhi rakyat... setakat ini tidak," kata ahli jawatankuasa PAS pusat Khalid Samad (gambar) pada sidang media di Pejabat PAS Selangor di sini hari ini.

"Tidak wajar mengaitkan dengan kami, Pakatan Rakyat... memang di Dewan Rakyat semalam pun ada Ahli Parlimen dengan Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi sepatutnya tidak," kata beliau pada sidang media di pejabat PAS Selangor di sini.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman.

Isu pemurtadan menjadi fokus agenda yang dibincangkan pada Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang telah diadakan di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober lalu.

Pengkritik juga mengaitkan lokasi penganjuran Himpun dengan negeri Selangor yang memerintah sejak memenangi pilihan raya umum 2008.

Agenda itu bertolak daripada isu Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor — lokasi yang didakwa wujud usaha memurtadkan umat Islam.

PAS tidak mengambil bahagian dalam Himpun atas alasan ia bukan merupakan aktiviti membabitkan parti-parti politik.

Bagaimanapun kepimpinan pusat parti Islam ini tidak membenarkan ahli-ahlinya hadir atas nama PAS.

PAS mengambil pendirian tegas membantah program Seksualiti Merdeka yang didakwa memperjuangkan hak asasi manusia bagi golongan yang berhadapan dengan identiti seksualiti bukan secara semula jadi.

Khalid yang juga Timbalan Pesuruhajaya PAS Selangor berkata pihaknya memang menyokong Ambiga sebagai ketua Bersih 2.0 yang memperjuangkan isu berkaitan dangan hak asasi manusia, yang bercanggah dengan undang-undang termasuk prinsip agama, misalnya pembaharuan sistem pilihan raya.

"Ada perkara yang kami setuju dengan Datuk Ambiga, dan ada perkara yang kami tidak setuju," tegas beliau.

Khalid yang juga Ahli Parlimen kawasan Shah Alam memberitahu bahawa beberapa pemimpin PAS telah menghubungi Ambiga untuk mendapatkan penjelasan dan memberikan pandangan parti itu.

"Saya difahamkan ada beberapa pemimpin PAS ada menghubungi dan tegur beliau walaupun ada perkara yang kami bersetuju dengan beliau dan mungkin beliau adalah pendiriannya dalam soal hak asasi manusia (selaku peguam dan bekas presiden Majlis Peguam).

"Jadi tidak wajar mengaitkan isu ini (program Seksualiti Merdeka) dengan Pakatan Rakyat dan juga hak asasi manusia," kata wakil rakyat penggal pertama ini.

Di Kota Baru semalam, Musyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sama sekali tidak menyokong malah mengecam langkah pembabitan Ambiga dalam penganjuran Seksualiti Merdeka.

"Ini tidak betul. Kita sokong Ambiga dalam soal lain tetapi dalam program ini (Seksualiti Merdeka) saya tidak sokong (Ambiga) kerana dalam soal agama, kita tidak boleh sokong perkara itu," katanya.

Nik Aziz berkata soal kebebasan sebenarnya mempunyai had tertentu dan negara ini tidak boleh sama sekali membenar dan mengiktiraf budaya songsang diamalkan.

Mengulas lanjut tegas Khalid, isu pemurtadan yang menjadi fokus Himpun juga bukan satu perkara dan telah wujud sekian lama dan tidak wajar BN dan Umno mendakwa bahawa apabila Pakatan Rakyat memerintah agama Islam akan terhakis.

"Isu murtad bukan satu perkara yang baru berlaku, bukan benda baru," katanya lagi.- Harakah Daily

Pakatan Rakyat akan selesaikan masalah Melayu

Posted: 04 Nov 2011 12:36 AM PDT

Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, Pakatan Rakyat telah berjaya menyelesaikan banyak masalah yang ditinggalkan oleh BN di negeri itu


PETALING JAYA: Kerajaan Pusat perlu mencontohi Pulau Pinang dalam menguruskan pembangunan dan rakyat walaupun baru tiga tahun Pakatan Rakyat memerintah, kata seorang ahli Parlimen PKR hari ini.

Yusmadi Yusoff, ahli Parlimen Balik Pulau berkata, Pakatan Rakyat telah berjaya menyelesaikan banyak masalah yang ditinggalkan oleh BN di negeri itu.

Katanya, tidak seperti negeri-negeri lain, Pulau Pinang mencatatkan pelaburan asing tertinggi dan kadar jenayah terendah.

"Isu-isu asas dalam semua bidang terutama yang utama seperti perumahan, agama dan agama telah diselesaikan," katanya yang dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, Yusmadi yang pertama kali menjadi ahli parlimen menegaskan kerajaan negeri perlu menyelesaikan beberapa isu lain di negeri itu.

Antaranya ialah isu kebudayaan, alam sekitar dan luar bandar yang perlu diberikan perhatian lebih supaya seimbang dengan pembangunan sedia ada.

Jika semua masalah ini boleh diselesaikan, Pakatan Rakyat akan menawan Putrajaya dalam pilihan raya nanti, katanya.

`Pecah amanah'

Mengenai keresah orang Melayu di Pulau Pinang yang mendakwa semakin terpinggir, ahli parlimen Balik Pulau menegaskan, isu tersebut perlu diselesaikan secara bersama membabitkan semua pihak.

Menurutnya, isu ini telah berlaku sejak tahun 70-an dan Umno yang berkuasa gagal menyelesaikannya.

"Saya percaya Pakatan Rakyat boleh menyelesaikannya dengan syarat ada muafakat yang bersungguh-sungguh dari semua pihak.

"Isu Melayu gagal diselesaikan kerana berlaku `pecah amanah' oleh Umno," dakwanya.

Yusmadi menegaskan jalan penyelesaian orang Melayu perlu berdasarkan keadilan sosial dan bukannya bersandarkan kepada kaum.

Katanya, jika gagal berbuat demikian sudah tentu masalah orang Melayu Pulau Pinang tidak akan selesai dan malah menjadi semakin teruk.

NGO sokong hapuskan PPSMI

Posted: 04 Nov 2011 12:34 AM PDT

PPSMI telah gagal kerana pengendaliannya yang bercelaru.


PETALING JAYA: NGO-NGO tempatan menyambut baik keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin menutup terus kemelut pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi Buku Jingga, Faris Musa berkata dasar PPSMI yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak memberi sebarang faedah.

Menurutnya, PPSMI telah gagal kerana pengendaliannya yang bercelaru.

"Kita mahukan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris yang lebih tersusun supaya ia mencapai kejayaan.

"Kita mahu jumlah guru bahasa Inggeris ditambah dan masa belajar lebih lama supaya pelajar dapat menguasainya dengan baik," katanya.

Sesuai di bandar

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Muhyiddin bahawa keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI sebagai muktamad.

Menteri Pelajaran berkata demikian dalam satu sidang media di ibu negara semalam.

Sementara itu, Setiausaha Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia, Mohd Faizal Salleh berkata, PPSMI sesuai di kalangan pelajar bandar sahaja.

Katanya, sebaliknya pelajar Melayu di luar bandar terus ketinggalan dalam menguasai bahasa Inggeris.

"Adakah guru di sekolah luar bandar itu mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik seperti di kawasan bandar?" katanya.


Pak Lah jadi saksi kes Chan Kong Choy

Posted: 04 Nov 2011 12:33 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY

Bekas menteri pengangkutan itu boleh dihukum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.


KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi akan dipanggil sebagai saksi pendakwa dalam perbicaraan kes tipu bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy berkaitan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang akan bermula 2 April tahun depan di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim menetapkan tarikh berkenaan setelah Chan mengaku tidak bersalah kepada tiga pertuduhan pindaan yang dibacakan kepada beliau hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan memaklumkan bahawa terdapat pindaan dalam ketiga-tiga pertuduhan iaitu dengan meminda perkataan "kerajaan Malaysia" kepada "sokongan kamu (Chan) sebagai menteri pengangkutan".

Oleh itu mengikut pertuduhan pindaan itu Chan didakwa menipu bekas perdana menteri itu dengan memperdayakan beliau (Abdullah) bagi meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna untuk menjalankan pembangunan projek hab penghantaran di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja-kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006 bernilai RM1.9 bilion.
Menyembunyikan fakta kos

Chan, 55, didakwa dengan curangnya menyembunyikan fakta pembiayaan kos pembangunan akan dibiayai melalui bon oleh KDSB melalui Transshipment Megahub Berhad dengan sokongannya sebagai menteri pengangkutan.

Bekas menteri itu dituduh melakukan kesalahan itu di tingkat empat blok utama di pejabat Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Chan boleh dihukum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Hakim Zamani menetapkan tarikh perbicaraan itu bermula dari 2 April sehingga bulan Ogos, sambil mengingatkan kedua-dua pihak untuk bersikap profesional bagi memastikan perbicaraan berjalan lancar.

"Ini adalah kes berprofil tinggi dan mendapat perhatian ramai jadi saya bercadang untuk memulakan perbicaraannya seawal Januari tetapi mahkamah membenarkan kes ini bermula April selepas mempertimbangkan permohonan pihak pembelaan yang memerlukan lebih masa untuk memperolehi semua dokumen berkaitan daripada pendakwaan," katanya.

`Kertas kabinet'

Hakim Zamani merupakan salah seorang hakim di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan ditugaskan mengendalikan perbicaraan ini.

Di awal prosiding hari ini, peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Chan berkata walaupun pihaknya ada menerima dokumen-dokumen daripada pihak pendakwaan, tetapi memerlukan lebih banyak lagi dokumen berkaitan 'kertas kabinet' khususnya berkaitan isu bon.

"Kami memerlukan dokumen-dokumen berkenaan secepat mungkin dan berharap pihak pendakwaan akan memberikan kerjasama dan kami tidak berniat sama sekali untuk melengah-lengahkan perbicaraan," kata Tan.

Nordin memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telahpun menyerahkan 'kertas kabinet' dan bersedia menyerahkan dokumen-dokumen lain sekiranya pihak pembelaan menyatakan secara spesifik apakah dokumen-dokumen tambahan yang lain.

Selepas prosiding hari ini, Nordin memberitahu pemberita selain Abdullah, pihak pendakwaan akan memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan dalam kes itu.Bernama

Biaqpila

Posted: 04 Nov 2011 03:25 PM PDT

Oleh anipzz

1. Apakah hukum melakukan ibadah korban?

J: Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Hukum menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Eidul Adha atau Hari Raya Korban ke atas umat Islam yang mampu ialah sunat muakkad dan meninggalkannya adalah makruh.
Allah S.W.T berfirman;

"Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah". - Surah al-Kautsar: ayat 2

Mengikut tafsiran ulama maksud solat atau sembahyang pada ayat ini ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban.

2: Apakah dalil yang mensyariatkan ibadah korban?

J: Dalil yang mensyariatkan ibadah korban ialah firman Allah S.W.T.;
"Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah". - Surah al-Kautsar, ayat 2. Maksud solat ataupun sembahyang pada ayat ini ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban. Imam Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut seperti berikut:
"Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah semata dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai tanda syukur terhadap apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya". Wallahuaklam

3: Apakah kelebihan melaksanakan ibadah korban?

J: Banyak sekali hadis yang menerangkan akan kelebihan korban, ia antara ibadah yang mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W bersabda:
"Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu." Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim. Wallahuaklam

4: Apakah hikmah korban?

J: Hikmah sebenar sesuatu ibadah hanya Allah S.W.T. sahaja yang tahu. Walau bagaimanapun ibadah korban yang menjadi amalan umat Islam sekarang mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan peristiwa korban di antara Nabi Ibrahim A.S. dengan anaknya Nabi Ismail A.S. Maka dengan melihat kepada peristiwa tersebut beberapa hikmah dapat disimpulkan;

1. Ia menguji kekuatan iman dan keteguhan mental orang yang berkorban.
2. Supaya orang yang berkorban dapat menjauhkan diri daripada sifat terlalu sayangkan harta dan kedekut dengan harta yang Allah S.W.T kurniakan kepadanya.
3. Berkongsi merasai nikmat Allah S.W.T dengan golongan yang kurang bernasib baik atau miskin.
4. Membudayakan dalam masyarakat salah satu syiar Islam iaitu berkorban.
Wallahuaklam

5: Adakah ibadah korban dilakukan pada zaman Nabi-nabi yang terdahulu dan bagaimana ia dilaksanakan?

J: Mengikut riwayat yang boleh kita perolehi amalan ibadah korban telah dilaksanakan dari zaman Nabi Adam A.S lagi sehingga zaman Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Secara ringkasnya sejarah perlaksanaannya adalah seperti berikut;

Pada zaman Nabi Adam A.S, peristiwa korban Habil dan Qabil menunjukkan betapa korban memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan hidup manusia. Kisah mereka telah dinukilkan di dalam al-Quran surah al-Maidah, ayat 27.
Maksud Ayat: "Dan bacakanlah kepada mereka berita tentang dua anak Adam iaitu Habil dan Qabil dengan benar, ketika anak Adam itu mempersembahkan korbannya, maka Allah menerima korban salah seorang dari keduanya iaitu Habil dan tidak diterima korban yang seorang lagi iaitu Qabil. Qabil berkata: Aku pasti membunuhmu? Habil berkata: "Sesunguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa".

Pada zaman Nabi Nuh A.S pula, setelah peristiwa taufan berlaku, Nabi Nuh menyediakan satu tempat khas untuk korban. Ada riwayat yang mengatakan bahawa haiwan korban tersebut dibakar.

Manakala pada zaman Nabi Ibrahim A.S, korban bermula dengan roti dan sebagainya, kemudian anak sapi, kambing dan biri-biri. Peristiwa penyembelihan anak Nabi Ibrahim iaitu Nabi Ismail ialah ujian pengorbanan yang paling getir dihadapi oleh Nabi Ibrahim A.S. Kisah ini telah Allah rakamkan dalam al-Quran surah Ash-Shaffat, ayat 103-107.

Pada zaman Nabi Musa A.S, cara korban ialah dengan membahagikan binatang yang disediakan untuk korban kepada 2 bahagian, sebahagian dilepaskan dan sebahagian lagi disembelih.

Budaya dan amalan berkorban ini berterusan sehingga ke zaman bangsa Yunani dan Rumani, pada umumnya mereka membahagi-bahagikan daging korban kepada orang yang hadir. Semasa upacara penyembelihan, pendeta mereka memercikkan madu dan air, kemudian madu diganti dengan air mawar. Adat ini terdapat sampai sekarang. Di samping bangsa Yunani, korban dengan melakukan penyembelihan terhadap manusia juga berlaku, ini dilakukan oleh bangsa Finiki, Parsi, Rom dan bangsa Mesir kuno. Wallahuaklam

6: Bolehkah penyembelihan haiwan korban diniatkan sekali dengan aqiqah?

J: Pada hari raya korban kita disunatkan menyembelih haiwan korban, begitu juga pada hari ketujuh kelahiran seorang anak, kita dituntut melaksanakan aqiqah untuknya, jadi apabila bertemu hari raya korban bertepatan dengan hari ketujuh kelahiran anak, maka mengikut pandangan ulama mazhab Hanbali, kita boleh gabungkan niatkan perlaksanaan korban tersebut dengan niat untuk aqiqah anak, seperti mana jika bertemu hari Jumaat dengan Hari Raya, maka saudara boleh niatkan mandi sunat keduanya dengan sekali mandi sahaja. Wallahualam

7: Siapakah yang dituntut untuk melaksanakan korban?

J: Menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Korban dianjurkan ke atas seluruh umat Islam, akan tetapi tuntutan sebenar ialah kepada yang mampu, sehingga Rasulullah S.A.W memberi amaran dalam beberapa buah hadis kepada mereka yang tidak menunaikan ibadah korban, antara hadis tersebut ialah;
Maksud hadis, "Sesiapa yang mempunyai kelapangan (mampu), tetapi tidak berkorban, janganlah ia mendekati tempat solat kami." Wallahualam

8: Apakah jenis korban yang dilarang oleh Islam?

J: Korban yang diamalkan oleh seluruh umat Islam pada setiap tahun diniatkan hanya kerana Allah S.W.T, dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T di samping mendapat ganjaran lain yang telah Allah S.W.T janjikan.. Oleh itu, mana-mana korban atau penyembelihan yang diniatkan kepada selain Allah S.W.T, seperti korban yang dilakukan untuk memuja sesuatu, atau untuk tujuan ilmu hitam, memuja syaitan dan sebagainya, serta tidak bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan ganjaran yang disediakan, maka ia adalah dilarang oleh Islam. Wallahualam "

al-futhuhat

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Full content generated by Get Full RSS.

Pengikut