Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA |
- Video polis Bersih 2.0 tak laku
- PAS Dedah Nama Daftar Pemilih Bertindih
- "Saya Bukan Mangsa SUARAM" - Bourdon
- Sambutan kuning untuk PM di KL Sentral: 10 ditangkap
- Kes 'Umno kafir': NSTP-Lim selesai 'luar mahkamah'
- Nik Aziz nafi sokong biometrik SPR
- PSM6: Saras dakwa dipaksa tandatangan dokumen
- Pakatan kata SPR mengaku pengundi hantu wujud
- Kematian Teoh: BN patut dipersalahan, kata Lim
- Pensyarah: Majlis media mahu sekat 'suara sumbang'
Video polis Bersih 2.0 tak laku Posted: 27 Jul 2011 01:45 AM PDT KUALA LUMPUR, 27 Julai: Video Bersih 2.0 yang dirakam dan ditayangkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ternyata tidak diminati oleh orang ramai untuk menontonnya atau 'tidak laku', sehingga Menteri Penerangan terpaksa digunakan untuk memberikan publisiti mengenainya. Sekiranya video itu menarik dan benar-benar menceritakan kejadian sebenar, ia pasti akan menarik perhatian orang ramai menontonnya tanpa dipaksa. Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menegaskan, dengan itu, pihak PDRM hanyalah melakukan kerja yang sia-sia dan membazirkan wang rakyat untuk menghasilkan video itu kerana ia tetap tidak diminati oleh orang ramai. Menurut beliau, nasib video polis itu samalah seperti nasib filem-filem negara yang sememangnya tidak menarik minat orang ramai untuk menontonnya walaupun pembikinannya mengambil masa agak lama dan memakan belanja yang besar. Katanya, untuk tidak mensia-siakan pembikinan video itu, pihak kerajaan kini terpaksa memaksa stesyen-stesyen TV di tanah air menyiarkannya tetapi usaha tersebut tetap gagal, apabila hanya pihak RTM sahaja yang sudi menayangkannya. "Keengganan stesen-stesen TV lain khususnya TV swasta untuk menayangkan video polis itu kerana diyakini video itu tidak akan menarik perhatian orang ramai untuk menontonnya, malah kalau disiarkan pasti akan memberikan kesan buruk kepada stesen-stesen TV itu sendiri. "Kini media-media utama tanah air yang dikuasai kerajaan sudah tidak lagi dipercayai oleh orang ramai. Sekiranya video polis itu juga turut disiarkan, orang ramai pasti akan menjadi lebih tidak mempercayai stesyen-stesyen TV berkenaan. Menyedari hakikat itulah stesen-stesen TV swasta enggan menyiarkannya," katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seruan Menteri Penerangan, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya rakyat negara ini hanya melihat video Bersih 2.0 yang ditayangkan oleh PDRM berhubung himpunan Bersih 2.0. Menurut Mahfuz, saranan Rais itu sememangnya menggelikan hati kerana ia jelas membuktikan video tersebut tidak diminati oleh orang ramai untuk menontonnya, sehingga menyebabkan pihak kerajaan terpaksa menggunakan Menteri Penerangan untuk membuat publisiti mengenainya dan membuat seruan seperti itu. Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena juga yakin pihak RTM sendiri sebenarnya turut tidak berminat untuk menyiarkan video itu, tetapi ia terpaksa disiarkan juga kerana terpaksa setelah dipaksa oleh kerajaan BN yang memerintah negara kita sekarang. "Rakyat negara kita sekarang sudah semakin cerdik. Rakyat sendiri tahu yang mana video yang bermutu dan yang mana video yang tidak bermutu. "Rakyat sendiri tahu yang mana video yang benar dan yang patut ditonton dan yang mana video yang tidak benar yang tidak patut ditonton malah kalau ditonton pasti hanya menggelikan hati. "Oleh itu, pihak kerajaan sendiri dapat mengambil pengajaran dari nasib malang yang dialami oleh video polis itu untuk mengetahui realiti sebenar tentang rakyat di negara kita sekarang yang sudah tidak boleh diputarbelitkan lagi," tegas beliau. Malah semakin diputarbelit, tegas beliau, rakyat akan menjadi semakin marah dan meluat dengan kerajaan sehingga menyebabkan segala tindakan kerajaan sekarang akan menjadi pertikaian di kalangan rakyat. "Begitulah nasib kerajaan BN kini setelah sekian lama memerintah dan setelah sekian lama memutarbelit dan menzalimi rakyat dalam pelbagai aspek," ujar beliau. Sumber: Harakah Daily |
PAS Dedah Nama Daftar Pemilih Bertindih Posted: 27 Jul 2011 01:40 AM PDT SHAH ALAM 27 JULAI: PAS hari ini terus mendedahkan bukti pertindihan nama daftar pemilih dalam data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Perkara tersebut sekaligus mempertikaikan kesediaan suruhanjaya itu untuk melaksanakan sistem biometrik pada pilihan raya umum akan datang seperti yang diumumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof minggu lalu. Dalam kenyataan media oleh Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda Pas, Suhaizan Kayat menyertakan senarai tiga nama daftar pemilih yang dikesan bertindih dengan membolehkan mereka mengundi lebih daripada sekali. Contohnya semakan keatas seorang anggota polis yang memegang kad pengenalan polis dan biasa dalam laman web SPR didaftarkan di dua alamat berasingan. Malah individu tersebut layak mengundi secara pos di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan di sebuah sekolah di Kampung Tok Busah, Kedah. Individu kedua seorang wanita berbangsa India yang berkelayakan untuk mengundi di dua kawasan parlimen iaitu Alor Setar dan Merbok di Kedah manakala individu ketiga seorang lelaki berbangsa Melayu layak mengundi di parlimen Alor Setar dan Sungai Petani. Dalam sebuah forum "Apa Selepas 9 Julai" anjuran Sinar Harian semalam, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengumumkan cadangan perlaksanaan sistem biometri untuk pilihan raya masih di peringkat kajian. Sistem yang belum pernah dilaksanakan mana-mana negara itu mendapat kritikan pelbagai pihak selain mempertikaikan intergriti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang akan menjadi semak imbang senarai nama daftar pemilih. Cadangan tersebut disokong oleh Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S.Ambiga yang juga panel dalam forum itu namun menggesa agar suruhanjaya itu membuktikan bahawa sistem tersebut bebas daripada sebarang bentuk manipulasi. Sekiranya gagal maka Ambiga menyarankan agar SPR menerima pakai penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya. Suhaizan berkata sehingga kini Pas telah mengemukakan sebanyak 253 senarai pengundi pos yang bertindan. Menurutnya perkara tersebut telah dikesan sejak tahun 2008 namun sehingga ke hari ini masih tidak berlaku sebarang perubahan dalam data tersebut walaupun SPR telah berjanji untuk menanganinya. "Pertindanan ini bertentangan dengan perkara 119 Perlembagaan Malaysia. Saya mempunyai terlalu banyak bukti pertindanan ini. Dalam kenyataan Dato Wan Ahmad kepada The Star pada 24hb Julai 2011, bahawa beliau bersetuju bahawa terhadap kad pengenalan klon dalam daftar pemilih SPR yang sah," ujar beliau. Justeru, Suhaizan menyifatkan SPR belum bersedia untuk bertindak sebagai suruhanjaya bebas sekaligus mengasingkan diri daripada cengkaman kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN). Sumber: TVSNEWS |
"Saya Bukan Mangsa SUARAM" - Bourdon Posted: 27 Jul 2011 01:35 AM PDT SHAH ALAM 27 JULAI : Peguam Hak Asasi Perancis, William Bourdon tidak melihat pengusirannya dari Malaysia sebagai 'dipergunakan atau dijadikan mangsa' oleh Suara Rakyat Malaysia (SUARAM). Kenyataan Bourdon itu menolak alasan rapuh yang dikeluarkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi sebelum ini kononnya Bourdon adalah mangsa politik SUARAM. Bourdon berkata, beliau datang ke Malaysia adalah sebagai seorang peguam dan tindakan kerajaan Malaysia menghalangnya berjumpa dengan anak guamnya adalah suatu tindakan penafian perundangan. Bourdon Jumaat lalu, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dihantar pulang ke Perancis pada sebelah malamnya, tanpa sebarang alasan daripada kerajaan Malaysia. "Pihak berkuasa cuba menjadikan Suaram sebagai 'hantu' dalam usaha mengusir saya," katanya. Bourdon diusir selepas beliau menghadiri majlis makan malam di Pulau Pinang, 21 Julai lalu, apabila beliau memberi taklimat mengenai perkembangan siasatan kehakiman Perancis berhubung skandal pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM7 bilion ($2.8 bilion) oleh kerajaan Malaysia. Kerajaan didakwa menerima komisen sebanyak RM540 juta dari firma pertahanan Perancis DCNS pada tahun 2002, melalui syarikat Perimekar iaitu subsidari KS Ombak Laut Sdn Bhd, yang mana pemegang saham utamnya adalah isteri Abdul Razak Baginda. Razak Baginda adalah rakan rapat Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak. Razak Baginda didakwa terbabit dalam pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shariibuu. Namun mahkamah membebaskannya daripada tuduhan tersebut. Pada Disember 2009, SUARAM memfailkan aduan kepada mahkamah Perancis mengenai hal itu dan mendapatkan khidmat Bourdon. Sumber: TVSNEWS |
Sambutan kuning untuk PM di KL Sentral: 10 ditangkap Posted: 27 Jul 2011 01:30 AM PDT Sepuluh orang termasuk pembantu ahli parlimen Ampang dan pemimpin pemuda PKR ditangkap di KL Sentral petang ini kerana berpakaian kuning dan cuba menyerahkan memorandum tuntutan BERSIH 2.0 kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Mohd Fareez Kamal Intidzam, pembantu kepada Zuraida Kamaruddin, ditahan oleh sekumpulan anggota polis sejurus sebelum ketibaan Najib dan rombongannya. "Ironinya, seorang daripada kami memakai jersi bolasepak pasukan Malaysia dan saya sendiri memakai warna merah 'Patriot' ketika kami ditangkap," kata Fareez kepada Malaysiakini. Semua mereka yang ditahan kemudiannya dibawa ke balai polis Travers. Selain Fareez, timbalan ketua penerangan pemuda PKR Rozan Azem Mat Rasip adalah antara mereka yang ditangkap. Najib dan beberapa anggota jemaah menteri menaiki kereta api laju Express Rail Link, dari Putrajayamenuju ke stesen KL Sentral bagi mengedarkan bendera Jalur Gemilang menjelang sambutan hari kebangsaan pada 31 Ogos ini. Beliau dan rombongan yang sebelum itu dibawa dengan bas dari Pejabat Perdana Menteri ke Stesen Putrajaya Sentral pada 2.10 petang disambut 1,000 orang yang menunggu sejak 11 pagi. Sementara itu, dalam satu kenyataan di Facebook, Polis Kuala Lumpur, ASP Suffian Sulaiman berkata tangkapan itu dibuat ke atas sekumpulan orang awam yang memakai baju kuning dan membuat kacau. Sumber: Malaysiakini |
Kes 'Umno kafir': NSTP-Lim selesai 'luar mahkamah' Posted: 27 Jul 2011 01:25 AM PDT Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini bersetuju membuat penyelesaian di luar mahkamah dengan New Straits Times Press (M) Bhd berhubung saman fitnahnya yang mendakwa akhbar itu salah memetiknya ketika pilihan raya kecil Galas yang lalu. Bagaimanapun jumlah pampasan yang dipersetujui tidak dinyatakan. Perkara itu didedahkan oleh peguam Lim, Sangeet Kaur setelah perjumpaan dengan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini. "Pihak-pihak berkenaan diminta hadir semula pada 17 Ogos bagi merakamkan kenyataan dan syarat-syarat yang dipersetujui," kata hakim. "Berikutan kenyataan yang dirakamkan itu nanti, saman berkenaan akan ditarik balik." NSTP diwakili oleh peguam Liew Teck Huat. Lim pada November tahun lalu menfailkan saman fitnah terhadap NSTP kerana mendakwa ia menyiarkan artikel berunsur fitnah semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di akhbar Berita Harian, pada 2 November lalu. Dalam pernyataan tuntutannya, Lim berkata NSTP telah secara salah dan berniat jahat menyiarkan artikel bertajuk "Tindakan Kit Siang tuduh Umno kafir melampau" yang mengandungi perkataan-perkataan fitnah dicetak dan disiarkan di akhbar Berita Harian. Menurutnya, artikel itu antara lain melaporkan bahawa beliau telah berucap di satu ceramah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di Kelantan, di mana beliau telah menuduh orang Melayu Umno kafir. Katanya artikel itu membawa maksud beliau adalah seorang ahli politik yang berniat jahat untuk mewujudkan perasaan saling benci-membenci di kalangan masyarakat majmuk di negara ini. Lim berkata penyiaran perkataan-perkataan fitnah itu, telah merendahkan kedudukan beliau sebagai seorang ahli politik serta penghinaan awam, dan sehubungan itu beliau menuntut ganti rugi teruk, teladan, faedah dan kos. Malah kata Lim, beliau langsung tidak hadir pada cermah di Kampung Baru Hulu di kawasan Galas yang juga dihadiri oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim . Sumber: Malaysiakini |
Nik Aziz nafi sokong biometrik SPR Posted: 27 Jul 2011 01:20 AM PDT Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menafikan bahawa beliau menyokong cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan sistem biometrik untuk identiti pengenalan pengundi dalam pilihan raya umum. "Saya hanya menyatakan akan menyokong apa jua sistem yang membawa kebaikan dan tidak diragui. Sekiranya biometrik meragukan, maka ia juga wajar ditolak. Adapunlaporan yang menyatakan bahawa saya menyokong adalah tidak tepat. "Lebih baik (guna) dakwat kekal yang kita (pembangkang) minta (dulu) itu, supaya tidak ragu, selagi biometrik ini meragukan maka tak usah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Kota Baharu hari ini. Semalam sebuah akhbar menyiarkan di muka depannya berita bertajuk "Nik Aziz sokong biometrik" dan memetik kenyataan Menteri Besar Kelantan itu selepas merasmikan pelan hala tuju ICT negeri Kelantan 2011-2015 di Kota Darulnaim, di Kota Baharu. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak sistem biometrik itu kerana berpendapat sistem itu terdedah kepada manipulasi pihak yang mengendalikannya kerana hanya segelintir sahaja yang ada kepakaran dan terlibat mengendalikan biometrik. Ditanya sama ada di Kelantan terdapat pertindihan dalam senarai daftar pemilih, Nik Abdul Aziz berkata PAS pusat sedang membuat semakan senarai daftar pemilih di seluruh negara dan dijangka siap dua minggu lagi. --Bernama |
PSM6: Saras dakwa dipaksa tandatangan dokumen Posted: 27 Jul 2011 01:15 AM PDT Keluarga M Sarasvathy - salah seorang daripada enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan bawah Ordinan Darurat (EO) - mendakwa aktivis itu dipaksa untuk menandatangani dokumen setebal 62 muka surat. Abangnya, M Narayanasamy (kiri) mendakwa Sarasvathy dipaksa berbuat demikian pada 16 Julai lalu sewaktu dia dalam keadaaan sakit kepala dan sakit perut. Narayanasamy (kiri sekali) memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar selepas menemui adiknya itu di balai polis Jinjang pagi ini. Hadir sama ialah empat lagi ahli keluarganya dan keluarga tahanan yang lain. Narayanasamy mendakwa adiknya itu sakit teruk pada 14 dan 15 Julai lalu. "Selepas itu, dia diberi ubat. Bila dia makan ubat itu, dia sakit kepala dan perut. Pada 16 Julai, ada 62 muka surat (dokumen) suruh baca dan tandatangan. Tapi dia tak boleh baca sebab sakit. "... dia dipaksa tandatangan. (Tapi) dia tandatangan juga. Tapi dia tidak tahu apa (kandungan) didalamnya," katanya Narayansamy berkata adiknya itu akan dibawa ke hospital minggu depan untuk memeriksa "tekanan" yang dihadapi. Sebelum itu, setiausaha agung PSM S Arutchelvan berkata Saraswathy sakit dada dan susah tidur pada 14 Julai lalu dan dibawa ke hospital dua hari kemudian. "Sebelum itu, dia kata, dia sakit dada dan komplikasi lain datang selepas (menjalani) ujian poligraf (alat kesan pembohongan). Sumber: Malaysiakini |
Pakatan kata SPR mengaku pengundi hantu wujud Posted: 27 Jul 2011 01:10 AM PDT Pakatan Rakyat hari ini berkata langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan pelaksanaan sistem biometrik, secara tidak langsung, mengesahkan bahawa pengundi hantu dan pengundian berulangkali memang wujud dalam amalan pilihan raya di negara ini - satu isu yang sering dibangkitkan oleh gabungan pembangkang. Bagaimanapun, gabungan itu menentang pelaksanaannya kerana ia hanya akan menambahkan masalah dan bukannya menyelesaikan pelbagai dakwaan penipuan yang berlaku selama ini. Dalam satu kenyataan bersama melalui sekretariat Pakatan, ia menganggapnya "pengakuan tidak langsung" oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang menyokong cadangan pelaksanaan sistem tersebut, adalah ekoran perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu. Sumber: Malaysiakini |
Kematian Teoh: BN patut dipersalahan, kata Lim Posted: 27 Jul 2011 01:05 AM PDT BN harus memikul tanggungjawabnya yang mencipta raksasa di kalangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga menyebabkan kematian pembantu politik Teoh Beng Hock, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang. Lim berkata laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang diumumkan baru-baru ini dengan jelas menghuraikan betapa gerunnya cerita di sebalik pencabulan kuasa yang dimiliki SPRM ketika Teoh dalam tahanan mereka. "...kita yang membiarkan Parlimen meluluskannya (Akta SPRM 2009), beri mereka tambahan kuasa dan dana, serta segala sokongan. Apa yang terjadi? Ia menjadi raksasa," katanya pada wawancara eksklusif dengan Malaysiakini. Lim, yang mencatatkan pembabitan 45 tahun aktif dalam politik tahun ini juga menuduh BN memperkudakan SPRM, khususnya SPRM Selangor dalam agenda politik untuk merampas kembali negeri itu daripada pemerintahan Pakatan Rakyat. Katanya laporan suruhanjaya itu adalah dokumen pertama yang dibacanya sejak menjalani pembedahan pada mata kirinya April lalu. Hasil rumusannya, Lim berkata tindakan pegawai dan anggota SPRM itu jelas "menghina mahkmah" dan mencabuli kuasa bagi menjalankan operasi ke atas wakil rakyat Pakatan yang dipilih oleh rakyat tanpa sebarang asas. Sasaran Lim ditujukan kepada timbalan pengarah SPRM Selangor Hishamuddin Hashim, yang didakwanya berkhidmat mengikut telunjuk BN melalui anggotanya yang dibawa bagi menyiasat dan menyerbu bos Teoh - ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah. Katanya, Hishamuddin, yang kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai pengarah SPRM Negeri Sembilan selepas mengetuai "operasi besar-besaran" dengan "melanggar undang-undang demi undang-undang, bukan sahaja SOP (standard operating procedures) tetapi semua undang-undang". "Ini amat jelasa. Hishamuddin adalah timbalan pengarah tetapi beliau bertindak seolah-olah beliau lebih berkuasa daripada pengarah dan malah bertindak tanpa merujuk arahan ibu pejabat. "Ini bukan setakat operasi anti rasuah. Ini pasti agenda politik untuk tumbangkanPakatan di Selangor dengan menyerang ADUN DAP, Pakatan. "Jika tidak, macam mana seseorang timbalan pengarah mempunyai kuasa sebegitu besar? Bertindak dan mempercyai dirinya kebal dan boleh terlepas daripada hukuman? Dan dia bukan orang baru. Dia ada 19 tahun (pengalaman) dalam SPRM dan tiba-tiba bertindak sebegitu angkuh. "Saya pasti beliau menjalankan agenda politik dan ini hanya boleh membawa maksud ia agenda BN untuk gulingkan (Pakatan)," kata Lim. Sumber: Malaysiakini |
Pensyarah: Majlis media mahu sekat 'suara sumbang' Posted: 27 Jul 2011 01:00 AM PDT Cadangan kerajaan bagi menubuhkan majis perundingan media adalah usaha bagi membanteras pandangan "bukan konformis" dan "suara sumbang" khususnya di kalangan media alternatif, kata pensyarah media Zaharom Nain. "Media online dilihat semakin menjadi masalah," katanya ketika dihubungi untuk mengulas rancangan kerajaan menubuhkan majlis itu. Mesyuarat pertama bagi membincangkan penubuhan majlis berkenaan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Datuk Kamaruddin Siaraf. Ia diadakan Isnin lalu dengan beberapa editor di kalangan media arus perdana dan media online diwakili oleh Blog House Malaysia. Namun beberapa editor kanan, khususnya dari penerbitan sepertiThe Star, The Edge dan Malay Mail tidak kelihatan pada mesyuarat berkenaan yang dipercayai sebagai isyarat membantah penubuhan majlis berkenaan. Zaharom (atas, kanan) seorang profesor madya di University of Nottingham, kampus Malaysia berkata majlis itu akan bertindak sebagai satu lagi lapisan tapisan dan akan terus menghakis keyakinan orang ramai terhadap anggotannya. "Kawalan ketat seperti ini akan menyaksikan media arus perdana hilang terus kredibiliti yang sebelum ini pun sudah banyak hilang. "Ada kalanya, saya berpendapat, perkara buruk perlu dibiarkan mati sebelum yang baik boleh muncul," katanya. Profesor Mohd Safar Hasim (kiri) dari Universiti Kebangsaan Malaysia juga sependapat dengan sentimen Zaharom bahawa majlis itu akan dilihat sebagai satu lagi bentuk kawalan yang lebih ketat. "Apa-apa yang dilihat sebagai menyekat kebebasan tidak akan mendapat sambutan. "Dunia telah banyak berubah sejak beberapa dekad yang lalu, khususnya dengan adanya Internet. Konsep (rakan kongsi) seperti ini tidak lagi relevan," katanya. Mohd Safar yang menulis kertas kajian majlis media pada tahun 2002 berkata plan baru sekarang jauh berbeza dengan apa yang dicadangkan dahulu yang objektifnya adalah untuk menggalakkan amalan baik bagi meningkatkan kebebasan media. "Cadangan jumlah anggota majlis media (pada 2002) adalah 25, dengan tokoh media yang dihormati sebagai pengerusi dan majoriti anggotanya terdiri daripada wartawan dan editor termasuk perwakilan dari beberapa NGO dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ). "Tida ada wakil kerajaan kecuali editor dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan agensi berita nasional Bernama," katanya. Mohd Safar yang mengakui kehadiran jumlah perwakilan kerajaan yang besar dalam majlis media baru yang dicadangkan berkata adalah lebih baik ia dinamakan "Forum Perundingan Media". Mohd Safar mengakui malah pada 2002, pengamal media juga menolak majlis itu yang dilihat sebagai mekanisme tambahan kawalan dan menuntut agar beberapa undang yang menyekat penerbitan akhbar dan undang-undang penyiaran yang lain dibubarkan sebelum majlis berkenaan ditubuhkan. Sumber: Malaysiakini |
You are subscribed to email updates from Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |