Khamis, 9 Januari 2014

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


Addin

Posted: 09 Jan 2014 11:20 AM PST

Kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN) akan terpaksa mengambil langkah mengurangkan jumlah kakitangan awam sekiranya tabiat gemar berbelanja boros yang ada diteruskan sehingga hutang negara mencapai paras 55% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekali gus diisytiharkan muflis.

Langkah itu akan diambil apabila kerajaan pusat pada ketika itu terdesak untuk mengurangkan perbelanjaannya bagi membayar hutang sedia ada yang dijangka distrukturkan semula.

Pada ketika itu, pinjaman baru sama ada daripada Bank Dunia atau Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) atau bank antarabangsa lain terpaksa dibuat.

Begitu yang diramailkan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam temubual khasnya dengan Selangorkini, akhbar kerajaan negeri Selangor.

Ramalan ini dibuat di tengah-tengah semua pihak termasuk kakitangan awam gelisah dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di negara ini susulan pengurangan subsidi oleh kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata, kerajaan perlu membuat tindakan pengurangan subsidi dan sebagainya untuk menjaga kepentingan ekonomi negara.

Rafizi berkata, pinjaman baru yang diambil nanti akan dikenakan syarat tertentu yang menjadikan rakyat dan kakitangan awam sebagai mangsa.

"Apabila pinjaman sudah terlalu tinggi dan kerajaan tidak mampu bayar, maka kerajaan akan ambil pinjaman lain untuk tampung sementara pinjaman diambil tetapi syarat dikenakan terlalu besar.

"Kalau kita negara yang mengalami situasi sama seperti Greece atau Sepanyol, baik Bank Dunia, IMF atau bank-bank antarabangsa akan mengenakan syarat yang selalunya golongan pertama jadi mangsa adalah rakyat.

"Jika kerajaan BN sudah tidak boleh bayar hutang dan sampai ke peringkat muflis maka dia terpaksa akur keputusan ekonomi dengan memangsakan rakyat," katanya.

Rafizi berkata, situasi itu bukan sahaja menyebabkan jumlah kakitangan awam dikurangkan, gaji dipotong dan harga perkhidmatan serta barangan keperluan naik mendadak, bahkan pada masa sama perbelanjaan lain untuk rakyat akan dikurangkan.

"Akan berlaku keadaan seperti menarik balik subsidi minyak dan barangan keperluan lain serta merta hingga menyebabkan harga petrol dan barang keperluan lain naik mendadak lebih tinggi daripada sekarang. Perkara ini akan berlaku," katanya.

Katanya, ada beberapa negara pernah mengalami muflis seperti Greece, Sepanyol, Iceland, Rusia dan Argentina memutuskan sama ada memperkenalkan cukai baru atau menaikkan cukai sedia ada melambung tinggi.

Ia bagi mendapatkan dana membayar semula hutang dan menjana pendapatan negara semasa negara dalam keadaan muflis.

"Kesengsaraan rakyat di negara muflis itu juga disusuli kurangnya keupayaan untuk menjaga ketenteraman awam disebabkan perbelanjaan berkaitan keselamatan dikurangkan.

"Dalam keadaan itu, rusuhan dan jenayah meningkat seperti Argentina ketika muflis, keganasan meningkat sebanyak 142 peratus dan anak muda menganggur terpaksa merompak untuk mendapatkan sumber kewangan," katanya seperti dilaporkan Selangorkini. ~tmi

Anak Sungai Derhaka

Posted: 09 Jan 2014 09:49 AM PST


Antara yang terkandung dalam manifesto BN 'Menepati Janji, Membawa Harapan' menjelang PRU13 lalu ialah menurunkan kos sara hidup rakyat dengan menurunkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus.

Agenda yang diciplak dari Pakatan Rakyat itu dipertahankan oleh macai sebagai idea bernas oleh Presiden UMNO, Najib Tun Razak.

Biarpun sebelum itu, agenda Pakatan Rakyat itu telah dikutuk oleh ramai macai dan pemimpin UMNO dengan alasan kononnya ia hanya janji manis Pakatan Rakyat.

Malah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin menyifatkan janji pakatan pembangkang untuk menurunkan harga kereta sekiranya mereka mendapat mandat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang adalah janji populis yang dibuat secara spontan untuk memancing undi..

Seperti biasa, bila Najib mengumumkan BN akan menurunkan harga kereta selepas PRU13, macai-macai yang pada awalnya mengutuk agenda Pakatan Rakyat itu, bertepuk tangan memuji langkah Najib itu..

Najib ketika melancarkan manifesto Barisan Nasional di Stadium Putra Bukit Jalil menjelaskan antara intipati manisfesto ialah Barisan Nasional berjanji untuk menyemak semula Dasar Automotif Nasional bagi mengurangkan harga kereta secara berperingkat antara 20 hingga 30 peratus serta meningkatkan daya saing kereta nasional.

Malang buat rakyat Malaysia.. janji kini tinggal janji.. harga kereta yang kononnya akan diturunkan secara berperingkat langsung tidak akan diturunkan malah jangan bermimpi kata Penganalisis daripada firma penyelidikan Frost & Sullivan (F&S), Kavan Mukhtyar.


KUALA LUMPUR 8 Jan. - Pembeli tidak perlu mengimpikan penurunan harga kereta melalui pengumuman Dasar Automotif Negara (DAN) pada pertengahan bulan ini, sebaliknya dasar itu lebih menumpukan kepada usaha meningkatkan pelaburan dalam industri automotif tempatan.

Penganalisis daripada firma penyelidikan Frost & Sullivan (F&S), Kavan Mukhtyar berkata, sebaliknya dasar itu akan lebih menyentuh kepada usaha menarik pelaburan pelbagai jenama kereta asing ke Malaysia, terutama sekali insentif cukai terhadap kenderaan jenis cekap tenaga (EEV).

Beliau berkata, DAN mungkin membabitkan pengenalan dasar baharu seperti had tempoh jangka hayat kereta dan penghapusan permit import (AP), namun tidak percaya kedua-dua dasar itu akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya, liputan yang meluas terhadap DAN sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada jualan kereta tempatan, kerana pembeli mengharapkan dasar itu dapat menjadikan harga kereta tempatan menurun.

"Harga akan menurun, tetapi secara berperingkat terutama membabitkan model yang dipasang secara tempatan (CKD)," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar mengenai jangkaan industri automotif Malaysia 2014, di sini hari ini.

Kavan berkata, Malaysia tidak ketinggalan dalam usaha menarik pelaburan automotif asing berbanding Indonesia dan Thailand.

"Terdapat pelbagai lagi jenama kereta asing mewah yang masih belum meneroka pasaran Asia Tenggara secara besar-besaran.

"Oleh itu, saya percaya DAN amat penting bagi memastikan Malaysia mampu menarik pelabur asing," ujarnya.

Dalam pada itu, Kavan berkata, jualan kenderaan baru (TIV) bagi 2014 dijangka mencecah 675,000 unit, disumbang oleh persekitaran ekonomi negara yang baik serta pengenalan beberapa model baharu.

"TIV mungkin sedikit terjejas pada awal 2014 kerana pembeli mahu menunggu keputusan DAN. Tetapi bermula suku kedua, kadar jualan kembali pulih seperti biasa," kata beliau lagi.

Sementera itu katanya, bagi mengukuhkan kehadiran Proton dalam arena permotoran global, jenama nasional itu perlu menetapkan jumlah pengeluaran keretanya meliputi semua model sebanyak 300,000 unit setahun bagi mencapai skala pengeluaran yang ekonomi.

"Jumlah itu termasuklah untuk tujuan eksport. Barangkali, Proton boleh memulakan usahakan untuk melesenkan jenama mereka di pelbagai negara supaya dikenali di peringkat antarabangsa," katanya lagi.

Ketika ini, Proton mengeluarkan 150,000 unit kereta setahun ~ Utusan

Tiada ulasan:

Pengikut